Monday, October 10, 2011

Menumpang kasih

(masa ni dia masih sombong)

"Mak Ngah buat apa tu?" si kecil molek Athirah bersuara.

Saya yang asyik memotong limau nipis memandang ke bawah.  Kaget sebentar.

"Emm...Mak Ngah tengah potong limau," dalam kaget saya bersuara.

"Nak buat apa potong limau?" Athirah merenung manja sambil jari-jemari halusnya menguis-nguis buju papan pemotong.

"Nak letak dalam laksa nanti," saya mula mengukir senyuman.

"Mak Ngah...Adik nak mandi," 

Terkebil-kebil saya sebentar. " Nak mandi? Err...Athirah tak mandi lagi ke?"

"Tak... Mak Ngah teman la Adik mandi," Itu rupanya hajat dia.

"Nak Mak Ngah jirus atau mandi sendiri?"  Sekadar menduga.

"Mandi sendiri la...." Lantas dia berlari-lari mendapatkan kain tuala yang berada di bilik.  Saya menyambung kembali kerja.  Selepas menghantarnya ke bilik mandi, saya berkira-kira nak ke dapur kembali.

"Mak Ngah tunggu la sini," Saya mati akal.  Hmm...apa kes sebenarnya?  Saya cuak melayannya mandi.  Di luar kedengaran tahlil dibacakan.  Mulut Athirah yang becok tidak berhenti-henti bercakap sambil tangannya laju mencedok air dan membasahkan badan.

Saya yang berdiri di hadapan pintu bilik air, hanya sekali sekala melayan soalan-soalannya.  Itupun dengan reaksi pendek, "Ya?", "Oooo," "Baik-baik, nanti jatuh," "Sudah ke belum?"

Selepas selesai mandi yang mengambil masa berbelas-belas minit juga, dia mula keluar.  Saya kelegaan lalu menghulurkan kain tuala kepadanya.  Tiba-tiba, Mak Toknya (Mak Jang saya) datang ke bilik air.

"Laaa...ni awat mandi lagi ni, tadi dah mandi dah pun," Mak Jang mula membebel.  Saya dah cuak.  Mak Jang mencapai kain tuala lalu mengelap badan Athirah cepat-cepat sambil mulut tidak berhenti membebel.  Saya hanya berdiri dan melihat kelakuan Mak Jang.

"Tak mau la! Nak Mak Ngah lap...." Athirah memprotes sambil menarik kain tuala dari Mak Toknya.  Melihat reaksi sebegitu,  Mak Toknya berlalu dari situ.

Dari mula mandi sehingga ke memakai baju saya melayan kerenahnya.  Keluar sahaja dari bilik tidur, Mak Toknya yang berada di situ menegur,

"La...yang hang pi pakai baju tu buat apa, tu baju tidoq, macam-macamla,"

"Biaq la kat dia, lawa apa," Pak Ndak saya yang kebetulan berada di situ mempertahankan Athirah.

Saya bertindak keluar terus dari rumah dan mencari mak.  Nampak sahaja saya, mak bersuara;

"Mak dok tanya, mana Ayu pi, lama sangat kat dalam, rupanya dok layan Athirah," Saya hanya tersenyum dan duduk di samping mak.

Sebenarnya kaget saya tak habis lagi.  Saya pelik kerana Athirah kenal saya.  Dulu bukan main sombong, saya sangka sebab dia tak kenal saya, yer la kanak-kanak umur 3-4 tahun, rupa-rupanya dia ingat saya.  Habis tu, kenapa sebelum-sebelum ni bila saya panggil, berpaling pun tak nak.  Tambah pula, saya memang bukan favourite kanak-kanak.  Jadi tak pernah melayan kerenah dia.  Segalanya berlaku dengan tiba-tiba.

Tiba-tiba timbul rasa simpati kepada si kecil Athirah.  Pada usia 4 tahun, dia terpaksa membesar tanpa belaian seorang ibu.  Layanan Mak Tok mana sama dengan ibu.  Sedangkan di usia inilah, tumpuan 100% harus diberikan kepada kanak-kanak kerana perkembangan mental sedang berlaku.  Dahulu pada usia sebegini, saya dikawal sepenuhnya oleh mak, bermula dari makan, pakai, main, belajar, semua diurus dan dipantau oleh mak.  Orang lain tak berpeluang untuk masuk campur.

Mak Tok.........mana sama dengan mak.....

Teringat sewaktu Athirah masih bayi dan berada dalam dakapan maknya.  Tak boleh orang cium anaknya yang gebu sikit, terus dimandikan dan diberi salinan baru.  Dilumur dan disapu semua jenis losyen Johnson's Baby.

Sekarang, di usia 4 tahun, dia kena berdikari sebab......

Mak Tok ........mana sama dengan mak....

dan yang lebih penting,

Mak Ngah........mana sama dengan mak....

Abg Farhan, cepatlah cari pengganti...sian Athirah.

Kepada semua, sayangilah dan hargailah mak, mak, mak dan ayah kalian sementara Allah bagi kesempatan.


Saya sempat menghadiahkan sebuah ciuman ke pipi Athirah sebelum bertolak pulang.  Semoga dia membesar menjadi insan berguna kepada agama dan negara. (macamlah takkan jumpa dah)


No comments: