Wednesday, April 4, 2012

Bersama mengulat

AMARAN: Entri kali ini terlalu panjang kerana penulis cuba mengurangkan ketepuan akibat terlalu lama membaca~

Kalau Faisal Tehrani rehat dari menulis dengan menulis, saya pula rehat dari membaca dengan menulis.  Kadang-kadang ada sahabat yang merungut, 

" Tak perlu la tulis berat-berat dalam blog, aku boleh baca kalau topik berat-berat kat tempat lain, aku buka blog kawan-kawan sebab nak baca secara santai macam tengah bersembang."  Jadi saya ikutkan jer lah permintaan pembaca.  Moga ada manfaat walaupun santai-santai.

Bila sebut tentang membaca ni, orang boring kalau shopping buku dengan saya sebabnya saya selalu sarankan buku-buku yang pada pendapat diorang berat dan tidak dapat dihadam.  Tapi itulah trend semasa saya. Saya tak pasti trend semasa genre pembacaan yang diminati penduduk Malaysia sekarang, tetapi trend pembacaan saya sangat dipengaruhi oleh sahabat yang selalu kongsikan buku yang mereka baca kepada saya.  

Tak pasti sama ada ini kebetulan atau tidak, trend ini ada perkembangan dari sudut kematangan isi kandungan seiring dengan usia saya.  Kiranya saya macam bertuah sebab Allah kirimkan sahabat-sahabat yang sentiasa membawa saya seiring dengan perkembangan dan tidak ketinggalan ke belakang.  Alhamdulillah.  Jadi carilah sahabat-sahabat yang boleh mendekatkan anda dengan kebenaran.

Di bawah ni saya saja-saja nak listkan trend pembacaan saya yang mungkin ada persamaan dengan pembaca.  Ada sesetengah orang, trend pembacaan dia sama sahaja, dulu, kini dan selamanya.  Contoh, novel cinta.  Sahabat sekolah rendah saya, Hajar memiliki beratus koleksi novel cinta dan setiap kali shopping buku dengan dia, novel cinta memang takkan lepas dari tangan.  Tambahan pula novel cinta memang sentiasa terupdate di pasaran.  Cadanglah buku apa pun, novel cinta juga yang dipilihnya.  Kalau pergi melawatnya di rumah, novel cinta bersusun atas meja.  Bacanya tidak sebab sibuk bekerja.  Tapi setiap kali saya balik cuti mesti ajak shopping buku.  Pengaruh ke atas kehidupan dan cara berfikir? Sangat besar kesannya.  Antaranya dia sanggup belajar buat puding karamel gara-gara terlalu menghayati kisah dalam novel Adam Hawa.  Sebelum saya rasa puding tu, dia akan story  scene dalam novel dengan dialognya sekaligus.  Kalau tak percaya, cuba buka novel tu.  Saya pun tak pernah baca sebenarnya sebab cukup sekadar mendengar dia bercerita berulang-ulang kali.  Ciri-ciri suami yang dia nak?  Namanya Adam supaya dia boleh panggil Am....alahai Hajar.  Nama awak Hajar, carilah yang namanya Ibrahim, kan cocok.  Err...melalut plak.  Tapi, ada bagusnya juga kan?  Sebab itulah saya risau kalau-kalau orang perempuan terlalu minat cerita Korea sebab dalamnya hanya diajar masak megi jer~

Itu trend yang tak dapat diubah, ada lagi, komik Gempakstarz.  Cuti semester saya pergi melawat sahabat, Fatihah.  Pergi tangan kosong, balik dengan kotak berisi penuh komik untuk dibaca.  Itulah untungnya ada sahabat-sahabat yang suka membaca, boleh pinjam...(^_^)V Walaupun saya tak sanggup nak buang duit untuk beli bahan bacaan macam tu, saya sanggup baca asalkan ada tulisan dan faham.  7 hari baca sekejap sahaja saya habiskan, sebab itulah sangat rugi untuk membeli sebuah komik ber-RM7 dan habis dibaca dalam sejam.

Trend saya pula dipengaruhi oleh sahabat-sahabat yang paling kerap menyogok buku:

Tingkatan 2-3- novel-novel cinta. 
Err...di sinilah pertama kali saya dah disogokkan dengan kisah cinta picisan. Amboi...Sahabat saya, Syamimi ni macam Hajar.  Memang waktu ni berlaku fenomena dalam kalangan pelajar tentang novel-novel cinta.  Berlaku sistem barter yang setiap hari.  Saya sempat terpengaruh dengan novel Kau Yang Satu, Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian, Tiada Lagi Mimpi (trilogi Sharifah Abu Salem).  Di sini saya mula perasan, kalau saya baca novel cinta jer mesti saya akan stress.  Mungkin sebab tak kena dengan jiwa.  Cewah...  Tapi, sahabat saya Syamimi ni memang sabar.  Kalau pun saya tak sanggup nak baca novel, dia sanggup ceritakan jalan cerita novel-novel yang lain kepada saya dalam kelas setiap hari Jumaat sampai saya tertidur.  Pelik tak pelik, niat sahabat saya ni bercerita dan dia tak kisah pun kalau saya sampai tertidur.  Jadi, saya jadikan perkara ini rutin setiap hari Jumaat (waktu ni saya belum berani main badminton sebab takut senior nampak).  Kami berdua dalam kelas, angin sepoi-sepoi bahasa, dia bercerita novel cinta yang baru dibaca, saya mendengar dan......tertidur.  Kadang-kadang saya menyampuk konon macam nak bagi reaksi yang saya dengar apa yang diceritakan tapi lain pula nama watak yang saya sebut.  Jadi, saya tak berani nak respon takut melukakan pula hati dia.  Tapi dia tak marah.  Waktu saya bangun, dia masih setia di sebelah.  Oh Tuhan, malaikatkah ini... dan begitulah seterusnya.   

Tingkatan 4-5- novel-novel Islamik
Jiwa waktu Tingkatan 4 & 5 ni macam sejuk sahaja sebab dah jadi senior, pengawas, Badar, Naqibah.  Bukanlah maksudkan diri sendiri, tapi sahabat-sahabat sekeliling.  Kalau dulu pelajar asrama kurang ngam dengan pelajar berulang, naik menengah atas sudah boleh berkongsi-kongsi pendapat dan minat.  Waktu inilah saya mula kenal dengan karya-karya Faisal Tehrani dan Zaid Akhtar.  Novel Advencer Si Peniup Ney, Detektif Indigo, 1515, Rona Bosphorus, Sesegar Nailofar bertukar-tukar tangan antara kami.  Bertambah bersemangat untuk belajar dan berbakti kepada agama dan bangsa dan sekolah terutamanya.  Kebetulan adik saya pula menghadiahkan novel Kombat karya Faisal Tehrani.  Dia cakap tak tahu Kak Yu minat ke tak, tapi Allah kan selalu kabulkan hajat hamba-Nya melalui jalan yang tidak disangka-sangka.

Lepas tingkatan 5- novel-novel cinta Islamik
Sebenarnya saya berasa selamat saya mula membaca novel sebegini selepas sekolah menengah.  Hati saya lebih terjaga.  Ni antara tempoh-tempoh sebelum dapat tawaran ke matrik.  Jadi, saya kadang-kadang melawat sahabat untuk berusrah.  Waktu di rumah Umairah, terjumpa novel-novel ni sebelum menjadi fenomena.  Jadi at least saya bukan baca disebabkan fenomena tetapi sebab sahabat yang cadangkan.  Antaranya Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2, Tautan Hati (Fatimah Syarha).  Ada sahabat saya, selepas saya beri dia baca novel Tautan Hati, terus dia putus cinta dengan kekasihnya.  Alhamdulillah. 

Tingkatan 6 bawah- 6 atas- motivasi-motivasi hidup
 Kehidupan lebih mencabar disebabkan subjek-subjek yang baru, suasana sekolah harian yang asing, rakan-rakan yang asing, cabaran yang baru jadi Allah utuskan seorang guru praktikal (saya terlupa nama dia…hu).  Kami selalu bertukar-tukar buku dan buku yang paling saya ingat ialah Life is an Open Secret karya Zabrina.  Waktu ni juga sahabat baik yang berada di Mesir, Sakinah Sobri hadiahkan -How to be the happiest women in the world karya Aidh Al-Qarni.
 
universiti- ilmiah-
Beratkan? Tapi sahabat-sahabat sekeliling yang mencorakkan trend pembacaan saya.  Pada masa yang sama, bersesuaian dengan kursus saya Sains Politik.  Antara karya-karya yang disogokkan- Cry For Freedom, Tarbiyah Siyasiyah, Act Like a Lady Think Like A Man,  dan sebenarnya, apabila berada di universiti, budaya bertukar-tukar minat membaca ini kurang diamalkan.  Mungkin kerana perpustakaan dah besar, internet banyak bahan atau malas… pelik pula trend di sini.  Saya fikir saya pula yang lebih banyak pinjamkan bahan bacaan kat rakan sekuliah, itupun untuk tujuan tugasan.  Hmm…ke mana hilangnya budaya berkongsi membaca dan berkongsi pendapat?

Kredit untuk sahabat yang selalu berkongsi minat- Azizah Najib. Septimus Heap (Magyk, Flyte, Darke, dll)- ini memang trend sepanjang zaman. 



No comments: