Tuesday, August 7, 2012

Penantian

Hari lahir saya jatuh pada 10 malam terakhir...baru saya sedar apabila sahabat dari Mesir mengingatkan.  Saya cemburu dengannya sebab saya tahu suasana sambutan Ramadhan di sana sangat berbeza berbanding di sini.  Sebab itulah setiap kali Ramadhan, sahabat saya lebih memilih untuk menyambutnya di Mesir berbanding dengan rakan-rakannya yang memilih untuk pulang ke tanah air.


 Teringat nostalgia dahulu sewaktu di Irshad, kami akan berlumba-lumba untuk buat amal ibadat semasa 10 malam terakhir bersama-sama.  Kadang-kadang cemburu dengan muslimin yang selalu berpeluang solat malam di surau jadi kami akan senyap-senyap ke surau untuk bersolat di saf belakang.  Bukan tidak ada surau di aspuri, ada tetapi kurang terasa nikmat berbanding apabila berada di dalam rumah Allah.



Pernah saya diberi peluang oleh Allah untuk berpuasa sepenuhnya pada 10 malam terakhir.  Memang manis saat-saat tersebut.  Saya tidak tahu sama ada saya mendapat malam lailatul qadar atau tidak, tapi saya masih ingat malam ke-25 itu berbeza dari malam-malam sebelumnya semasa saya berjalan ke surau.  Saya berharap Allah menerima ibadat saya pada malam tersebut.  Jika hari-hari sebelum itu panas terik, pagi esok suasana berbeza.  Tak panas terik, kalau lihat tanda-tanda yang diberikan;

Imam Hasan al-Basri berkata, tanda2 malam lailatul qadar ialah suasana malamnya tenang, damai, tenteram, tidak panas dan tidak terlalu dingin

>air laut kelihatan jernih, anjing tidak banyak menyalak dan matahari terbit pada keesokan paginya dengan sinar putih bersih dan cahaya yang redup

Pagi itu memang matahari terbit dengan sinar putih bersih dan cahaya yang redup.  Saya takkan lupakan suasana tersebut sebab hari-hari lain sebelum dan selepas hari itu memang terik dan panas.  Jadi, kecoh kawan-kawan sekelas mengatakan semalam ialah malam lailatul qadar.  Wallahualam, tetapi at least saya bersyukur sebab pada malam tersebut Allah beri peluang saya beribadat dan tidak tidur...

Tapi itu sudah menjadi sejarah, dan sekarang sudah tiba 10 malam terakhir yang ditunggu-tunggu.  Saya harap semua orang menggunakan peluang ini sebaiknya untuk beriktikaf di dalam masjid.  Selepas dari malam tersebut, sehingga sekarang saya tidak lagi mendapat peluang atau sebenarnya melepaskan peluang untuk berada seperti mana malam tersebut.  Terasa hati tak bersih...

Oleh itu, saya nasihatkan pembaca untuk memaksa diri dan walaupun kita tidak tahu sama ada kita akan mendapat atau tidak malam tersebut, gunakan setiap malam yang ada dengan beribadat, supaya tidak menyesal esok paginya andai kita terlihat tanda bahawa malam tersebut merupakan malam lailatul-qadar... Ya Allah, sampaikan aku padanya...T_T 

No comments: