Tuesday, January 15, 2013

Abah



Jarang saya menulis berkaitan abah. Sebabnya sebahagian besar masa saya dibesarkan, abah banyak habiskan masa di kilang sebagai senior machinist. Overtime sokmo. Abah seorang pekerja yang rajin dan gigih dan selalu dapat reward atas kerajinan. Dan hadiah tu selalu kamilah yang dapat termasuklah mak. Kami anak-anak yang bertuah sebab tak perlu beli mainan mahal-mahal sebab boleh dapat percuma. Kalau kanak-kanak lain berangan memiliki kereta mainan jenama Hotwheels dan patung mainan Barbie, kami tak sempat berangan kerana sudah ada depan mata. Sampai kadang-kadang tak pandai menghargai. Patung Barbie tu selalu jadi mangsa deraan saya. Rambut dan baju yang cantik selalu digunting. Baju Barbie ni cantiknya tak payah cakap, halus dan teliti jahitan. Tapi disebabkan saya ni anak tukang jahit, saya buat baju kurung kat anak patung ni digantikan dengan baju gaun dia yang lawa tu. Sudahnya, Barbie ni selalu tak berpakaian dan dibuang. Kalau dikumpulkan, memang lebih dari 30 jenis anak patung yang pernah ada. Tapi disebabkan mak abah tak pernah halang anak-anak untuk berkreatif, jadi anak patung tu tak pernah diselamatkan. Sekarang hanya tinggal sepasang patung Barbie yang masih selamat di dalam rak cenderamata.

Cara mendapatkan mainan tu, kalau anak-anak kecil kena merengek-rengek dengan mak ayah mereka, kami hanya perlu pancing mainan tersebut dalam bekas yang disediakan dalam setiap event kilang abah, tunggu abah bawa balik dari kilang, cabutan bertuah atau masuk pertandingan. Begitu seronoknya zaman kanak-kanak.

Walaupun abah jarang ada di rumah, abah dikenali sebagai life-saviour kami daripada hukuman mak. Sebabnya setiap kali kena hukum duduk di luar rumah, abah yang akan selamatkan. Kalau abah balik awal, bermakna kami dapat masuk awal ke rumah. Kalau lambat, lambatlah masuk ke rumah. Apabila mak menyambut abah di muka pintu, kami akan ikut perlahan-lahan di belakang abah yang masuk ke dalam rumah. Mak tak pernah pun tengking “Ha! Ni kenapa masuk? Keluar!” atau “Bila mak suruh masuk?!” Mak buat tak tahu sahaja macam tak ada apa yang berlaku. Jadi kami selalu merasakan bila abah ada, kami akan selamat daripada mak. Dengar sahaja motor abah “Yeay2, abah balik, abah balik.” Masing-masing akan lari sambut abah. Ada yang memeluk kaki abah dan ada yang bergantung di tangan sewaktu abah masuk ke dalam rumah.

Abah jarang marah, tapi kalau sekali marah memang teruk. Boleh kira dengan jari berbanding mak. First time kena hukuman teruk dengan abah semasa saya pecahkan batang paip rumah. Masa tu tengah main kejar-kejar. Adik-beradik yang lain kena kejar dengan saya guna batang betik sambil pusing rumah. Sekali tangan saya tersaruk batang paip plastik. Kelajuan saya menyebabkan batang paip tersebut patah sehingga memancut-mancut air keluar. Laju tak laju~Hukuman yang dikenakan- saya dirotan di kaki dengan batang betik sementara adik beradik yang lain kena rotan dekat tangan. Menangis-nangis di atas katil sampai mak datang pujuk. Mak tak boleh tengok saya menangis, nanti dia akan menangis juga.

Abah suka bawa kami jalan-jalan. Hujung minggu sahaja mesti akan pergi pantai atau air terjun. Sebabnya nak cover balik 5 hari tidak bersama anak-anak. Tapi itu waktu masih kecil-kecil. Apabila masing-masing sudah berada di asrama, cara menghabiskan masa bergantung kepada minat individu. Kalau dengan adik beradik lelaki abah bawa pergi memancing atau menjala. Kalau dengan saya, selalunya dibawa ke ceramah politik atau melihat bola sepak. Entah kenapa saya boleh minat sangat dengan bola sepak masa di sekolah menengah. Adik beradik lelaki seorang pun tak minat bola. Jadi abah tak ada teman selain saya. Perlawanan pertama yang mencetus minat saya adalah apabila Pulau Pinang melawan Melaka. Masa tu adalah pemain macam Hasmawi Hasan, Fauzi Soh sebelum masing-masing bawa diri. Pulau Pinang menang jadi saya mula memperkembangkan minat saya sehingga abah terpaksa teman tengok bola di kedai makan sebab tak nak pasang Astro.

Pernah semasa menaiki motor dengan abah, abah bawa masuk ke jalan-jalan shortcut yang ada di seluruh pelusuk kawasan Penanti, Kubang Semang dan Tanah Liat. Abah cakap jalan-jalan ni perlu diketahui sebab nak lari daripada polis kalau pergi ceramah politik atau ada roadblock. Sebab itulah penjenayah yang terlepas tu masih berkeliaran sebab jalan-jalan belakang ni sangat banyak dan berselirat. Ada jalan-jalan masuk yang abah tunjuk semua akan berhenti di checkpoint yang sama iaitu tali air. Terfikir saya, seronok jadi lelaki ni. Macam-macam rahsia alam dia tahu sebab banyak berguru dan berkawan.

Walaupun tak rapat dengan abah, tapi selepas abah masuk hospital, saya cuba memahami jiwa dan prinsip abah. Risau andai tak sempat berbuat sebaik mungkin dengannya. Macam kisah benar A.Fuadi penulis Negeri 5 Menara, beliau menyesal kerana seumur hidup tidak pernah mengucap sayang dan mencium ayahnya. Jadi, saya tak nak menyesal walaupun apabila ditanyakan apakah penghujung hidup manusia?, jawapannya adalah penyesalan. 

Sebenarnya banyak rahsia tersembunyi di sebalik seorang insan bernama abah ni.
Kadang-kadang kalau duduk-duduk di buaian dengan abah, banyak benda yang saya cuba cungkil dan abah tak lokek bercerita. Kalau dahulu, nak sembang pun jarang sangat. Kadang-kadang saya tanya, ‘abah rindu kat tok (mak abah) dak?’. Jawapan abah, ‘rindu’. Dan abah akan bercerita panjang tentang tok masa zaman abah masih kecil. Dulu kalau abah ada masalah dengan mak, abah akan pergi duduk di rumah tok, sembang-sembang dengan tok. Biar mak sejuk dahulu. Bukan macam sesetengah lelaki lain yang akan pergi ke kedai kopi dan melepak dengan kawan-kawan. Lepas tu cerita masalah dengan isteri dekat kawan-kawan, pastu kawan-kawan bagi solusi- kahwin jer lain… Bagi saya kalau ada masalah dengan wanita, bukanlah selesai dengan minta nasihat lelaki, tetapi mintalah nasihat wanita yang berilmu dan berpengalaman juga.

(semasa menonton bola sepak Piala Dunia Perancis vs Itali dengan sedara-mara)

Setiap manusia ada kelemahan tetapi kelemahan itu sentiasa ditutupi dengan kebaikan-kebaikan yang dibuat secara istiqamah. Selamat ulang tahun ke-52 abah. Semoga sentiasa sihat dalam rahmat Allah s.w.t dan diberkati umur yang berbaki. Terima kasih sebab jadi abah saya...^^

1 comment:

Unknown said...

tak leh kecik lg ke font tu ayu? ayoooo berpinau mata @_@