Jarang
saya menulis berkaitan abah. Sebabnya sebahagian besar masa saya dibesarkan,
abah banyak habiskan masa di kilang sebagai senior
machinist. Overtime sokmo. Abah
seorang pekerja yang rajin dan gigih dan selalu dapat reward atas kerajinan. Dan hadiah tu selalu kamilah yang dapat
termasuklah mak. Kami anak-anak yang bertuah sebab tak perlu beli mainan
mahal-mahal sebab boleh dapat percuma. Kalau kanak-kanak lain berangan memiliki
kereta mainan jenama Hotwheels dan
patung mainan Barbie, kami tak sempat
berangan kerana sudah ada depan mata. Sampai kadang-kadang tak pandai
menghargai. Patung Barbie tu selalu
jadi mangsa deraan saya. Rambut dan baju yang cantik selalu digunting. Baju Barbie ni cantiknya tak payah cakap,
halus dan teliti jahitan. Tapi disebabkan saya ni anak tukang jahit, saya buat
baju kurung kat anak patung ni digantikan dengan baju gaun dia yang lawa tu.
Sudahnya, Barbie ni selalu tak
berpakaian dan dibuang. Kalau dikumpulkan, memang lebih dari 30 jenis anak patung
yang pernah ada. Tapi disebabkan mak abah tak pernah halang anak-anak untuk
berkreatif, jadi anak patung tu tak pernah diselamatkan. Sekarang hanya tinggal
sepasang patung Barbie yang masih
selamat di dalam rak cenderamata.
Cara
mendapatkan mainan tu, kalau anak-anak kecil kena merengek-rengek dengan mak
ayah mereka, kami hanya perlu pancing mainan tersebut dalam bekas yang
disediakan dalam setiap event kilang
abah, tunggu abah bawa balik dari kilang, cabutan bertuah atau masuk
pertandingan. Begitu seronoknya zaman kanak-kanak.
Walaupun
abah jarang ada di rumah, abah dikenali sebagai life-saviour kami daripada hukuman mak. Sebabnya setiap kali kena
hukum duduk di luar rumah, abah yang akan selamatkan. Kalau abah balik awal,
bermakna kami dapat masuk awal ke rumah. Kalau lambat, lambatlah masuk ke
rumah. Apabila mak menyambut abah di muka pintu, kami akan ikut perlahan-lahan
di belakang abah yang masuk ke dalam rumah. Mak tak pernah pun tengking “Ha! Ni
kenapa masuk? Keluar!” atau “Bila mak suruh masuk?!” Mak buat tak tahu sahaja
macam tak ada apa yang berlaku. Jadi kami selalu merasakan bila abah ada, kami
akan selamat daripada mak. Dengar sahaja motor abah “Yeay2, abah balik, abah
balik.” Masing-masing akan lari sambut abah. Ada yang memeluk kaki abah
dan ada yang bergantung di tangan sewaktu abah masuk ke dalam rumah.
Abah
jarang marah, tapi kalau sekali marah memang teruk. Boleh kira dengan jari
berbanding mak. First time kena
hukuman teruk dengan abah semasa saya pecahkan batang paip rumah. Masa tu
tengah main kejar-kejar. Adik-beradik yang lain kena kejar dengan saya guna batang betik
sambil pusing rumah. Sekali tangan saya tersaruk batang paip plastik. Kelajuan
saya menyebabkan batang paip tersebut patah sehingga memancut-mancut air
keluar. Laju tak laju~Hukuman yang dikenakan- saya dirotan di kaki dengan batang betik
sementara adik beradik yang lain kena rotan dekat tangan. Menangis-nangis di
atas katil sampai mak datang pujuk. Mak tak boleh tengok saya menangis, nanti
dia akan menangis juga.
Abah
suka bawa kami jalan-jalan. Hujung minggu sahaja mesti akan pergi pantai atau
air terjun. Sebabnya nak cover balik
5 hari tidak bersama anak-anak. Tapi itu waktu masih kecil-kecil. Apabila
masing-masing sudah berada di asrama, cara menghabiskan masa bergantung kepada
minat individu. Kalau dengan adik beradik lelaki abah bawa pergi memancing atau
menjala. Kalau dengan saya, selalunya dibawa ke ceramah politik atau melihat
bola sepak. Entah kenapa saya boleh minat sangat dengan bola sepak masa di sekolah menengah. Adik beradik lelaki seorang pun tak minat bola. Jadi abah tak ada
teman selain saya. Perlawanan pertama yang mencetus minat saya adalah apabila
Pulau Pinang melawan Melaka. Masa tu adalah pemain macam Hasmawi Hasan, Fauzi
Soh sebelum masing-masing bawa diri. Pulau Pinang menang jadi saya mula
memperkembangkan minat saya sehingga abah terpaksa teman tengok bola di kedai
makan sebab tak nak pasang Astro.
Pernah
semasa menaiki motor dengan abah, abah bawa masuk ke jalan-jalan shortcut yang ada di seluruh pelusuk
kawasan Penanti, Kubang Semang dan Tanah Liat. Abah cakap jalan-jalan ni perlu
diketahui sebab nak lari daripada polis kalau pergi ceramah politik atau ada roadblock. Sebab itulah penjenayah yang
terlepas tu masih berkeliaran sebab jalan-jalan belakang ni sangat banyak dan
berselirat. Ada jalan-jalan masuk yang abah tunjuk semua akan berhenti di checkpoint yang sama iaitu tali air.
Terfikir saya, seronok jadi lelaki ni. Macam-macam rahsia alam dia tahu sebab
banyak berguru dan berkawan.
Walaupun
tak rapat dengan abah, tapi selepas abah masuk hospital, saya cuba memahami
jiwa dan prinsip abah. Risau andai tak sempat berbuat sebaik mungkin dengannya.
Macam kisah benar A.Fuadi penulis Negeri 5 Menara, beliau menyesal kerana
seumur hidup tidak pernah mengucap sayang dan mencium ayahnya. Jadi, saya tak
nak menyesal walaupun apabila ditanyakan apakah penghujung hidup manusia?,
jawapannya adalah penyesalan.
Sebenarnya banyak rahsia tersembunyi di sebalik
seorang insan bernama abah ni.
Kadang-kadang
kalau duduk-duduk di buaian dengan abah, banyak benda yang saya cuba cungkil
dan abah tak lokek bercerita. Kalau dahulu, nak sembang pun jarang sangat. Kadang-kadang saya tanya, ‘abah rindu kat tok
(mak abah) dak?’. Jawapan abah, ‘rindu’. Dan abah akan bercerita panjang tentang tok masa zaman abah masih kecil. Dulu kalau abah ada masalah
dengan mak, abah akan pergi duduk di rumah tok, sembang-sembang dengan tok. Biar mak sejuk dahulu. Bukan macam sesetengah lelaki lain yang akan pergi ke kedai kopi dan melepak
dengan kawan-kawan. Lepas tu cerita masalah dengan isteri dekat kawan-kawan,
pastu kawan-kawan bagi solusi- kahwin jer lain… Bagi saya kalau ada masalah dengan
wanita, bukanlah selesai dengan minta nasihat lelaki, tetapi mintalah nasihat
wanita yang berilmu dan berpengalaman juga.
(semasa menonton bola sepak Piala Dunia Perancis vs Itali dengan sedara-mara)
Setiap
manusia ada kelemahan tetapi kelemahan itu sentiasa ditutupi dengan
kebaikan-kebaikan yang dibuat secara istiqamah. Selamat ulang tahun ke-52 abah.
Semoga sentiasa sihat dalam rahmat Allah s.w.t dan diberkati umur yang berbaki. Terima kasih sebab jadi abah saya...^^
1 comment:
tak leh kecik lg ke font tu ayu? ayoooo berpinau mata @_@
Post a Comment