1.39 a.m.
Malam ni saya mengembara ke Amazon
sebentar. Seronok sebenarnya jungle
trekking ni. Ada sahabat saya cakap
dia tak suka masuk-masuk hutan sebab nanti akan menyebabkan berpeluh. Saya tak
pasti la saya suka ke tak, tambah-tambah jenis cerewet bab-bab tandas dan
tempat tinggal, tapi itulah perkara yang saya tak dapat elak daripada lakukan.
Dari kecil sampai besar. Kadang-kadang selalu berpesan kepada diri supaya
serik, tetapi kemudian terlibat lagi. I guess
it just couldn’t be helped. Semangat nak cabar diri dan keluar dari zon
selesa itu tidak dapat ditolak sampai sekarang. Bila terlibat, rasa serik, bila
keluar nak masuk balik. Mungkin terinspirasi dengan gambar abah yang jadi
pengakap masa sekolah menengah.
Sekolah rendah
Ketika di sekolah rendah, saya masuk
Tunas Puteri. Saya tak suka Puteri Islam sebab nampak sayoq kena pakai baju
kurung. Bila naik sekolah menengah saya masuk KRS dan kemudian Bomba sebab tak
nak aktif. Puteri Islam di Irshad aktif sangat sehingga masuk kawad ke
peringkat kebangsaan. Habis hitam muka sahabat-sahabat masa tu. Tapi saya pun
hitam juga gara-gara bola jaring. Itulah yang membuatkan saya insaf sehingga ke
hari ni. Nak hitam senang, nak cerah balik punyalah susah. Naik Tingkatan 6
baru saya masuk Puteri Islam. Sebabnya bila duduk di sekolah biasa, Puteri
Islam tak aktif berbanding persatuan beruniform lain. Punyalah saya nak lari
dari terlibat dengan aktiviti lasak.
Seawal sekolah rendah Darjah 3 saya
pernah terlibat dengan perkhemahan 3 hari 2 malam di sekolah. Tidur atas meja
dalam kelas. Mandi di tandas sekolah. Malam pertama tak pasti saya menangis ke
tak, tapi saya bersembang dan tak nak tidur sampai kena warning. Saya memang tak gemar aktiviti berkumpulan dulu hingga
kini. Tapi melalui metod sebegini kita belajar erti kerjasama dan setiakawan.
Apabila kita berkumpulan, kita kena tanggung kesusahan yang kawan kita buat,
dan benda inilah yang saya tak suka. Ia melambatkan pergerakan. Dan itulah
benda yang semua manusia cuba paksakan dan tanamkan dalam jiwa saya. Tak pasti
pula keberhasilan usaha tersebut. Aktiviti ala-ala ragging juga, sebab dikelola oleh orang dewasa yang belia-belia
dari mana ntah. Inilah pendedahan pertama.
Yang pastinya saya ni tak cemerlang
tetapi tak corot. Banyak perkara yang saya tak mampu nak puaskan hati pihak
urusetia. Waktu aktiviti berkumpulan ala-ala explorace, kumpulan kami agak terkebelakang berbanding
kumpulan-kumpulan lain. Suruh belajar dalam kelas saya tak ada masalah, suruh
buat praktikal saya selalu rasa kecewa dengan diri. Benda-benda yang saya tak
suka dalam perkhemahan sehingga sekarang adalah kena buat logo, nama kumpulan,
motto, visi, misi, trademark, cheers, bendera, dan akhir sekali
persembahan kebudayaan pada malamnya. Semua ini aktiviti yang perlu dilakukan
secara berkumpulan. Stress! Lagi stress bila benda inilah yang berlaku over and over again sepanjang jalan
menuju kedewasaan ini kecuali satu perkhemahan yang memang saya suka stailnya.
Lagi lagi stress apabila saya juga
yang kena bagi idea dan menggerakkan kumpulan. Saya suka kalau saya tak
terlibat dalam proses pembuatan keputusan dan jadi orang paling pasif dalam
kumpulan (sometimes I hope I can do that).
Tapi itu tak berlaku sehinggalah saya berjumpa dengan lelaki lelaki yang
bertanggungjawab melalui TQ di universiti. Lama juga sementara nak tunggu
tempoh tersebut.
Saya dipaksa untuk berfikir bagi
survival kumpulan sejak dari kecil and it
depressed me. Ada satu masa saya begitu bosan dengan orang yang tak nak
memberi idea sehingga semasa Kursus Kepimpinan Sekolah Rendah Peringkat Negeri
bagi melantik Ketua dan Penolong Pengawas Sekolah, kumpulan saya hanya buat
pantun. Naik pentas, seorang baca satu dua pantun, then habis. Padan muka. Kumpulan Ketua Pengawas saya pada masa itu
pula buat nasyid Keluarga Bahagia. Ok la dia berbanding saya.
Berbalik ke perkhemahan sekolah rendah,
aktiviti yang sama dilakukan sampai sekarang ialah obstacle course, Operasi Burung Hantu dan mengambil tandatangan
orang-orang tertentu. Waktu tutup mata dan berjalan mengharungi bawah meja dan
bangku, kaki saya terluka dan berdarah sebab termasuk dalam longkang, tetapi
saya diamkan saja.
Pantai Kerachut
Saya tak suka diprogramkan dan sentiasa
menanti bila saya boleh programkan orang pula. Pantai Kerachut merupakan ujian
saya semasa di Tingkatan 2. Terletak di belakang Pulau Pinang, dari tempat
turun/jeti, kami perlu meredah hutan selama 2 jam untuk sampai ke belakang
pulau. Ini saya suka sebab bukan aktiviti berkumpulan, jadi saya boleh berjalan
di hadapan sekali dengan cepat. Tapi kadang-kadang kena tunggu orang yang
lambat dan penat jadi perjalanan memakan masa yang lama.
Perkhemahan ini saya ingat pada masa
itu adalah yang paling mencabar. Aktiviti kumpulannya agak lasak dan berbeza.
Tidur dalam khemah dalam hutan, tandas di bawah tanpa lampu yang perlu dikongsi
dengan lelaki. Ada hikmahnya sikap selalu nak awal ni. Sebabnya macam yang saya
sebut sebelum ini, saya tak suka persaingan atau perebutan. Tapi apabila timbul
persaingan, saya memang akan memberi saingan yang terbaik sekali. Sikap ni sentiasa
menyelamatkan saya sehingga sekarang apabila tiba waktu kendiri. Tak perlu
berebut dan beratur sebab selalu jadi antara terawal yang makan, bangun dan berkumpul.
Dah tak peduli yang lain.
Antara aktiviti berkumpulan yang
seronok adalah setiap kumpulan perlu mencari seekor katak di kawasan sungai
berdekatan pada waktu tengah malam. Bercemperalah kami mencari. Kumpulan saya
dapat menangkap katak terbesar sekali. Memang betul-betul besarlah sehingga
saya fikir ini katak terbesar yang saya pernah tengok seumur hidup secara
langsung. Dan memang betul pun. Kaki belakang dia sahaja sudah menyamai 2/3
jari saya. Jadi setiap kumpulan diminta untuk pegang katak ni. Cara pegangnya
adalah dengan menggenggam kuat-kuat kaki belakangnya. Apabila tiba giliran
saya, saya memang jujur geli gila dan tak nak, tapi diorang paksa juga. Pegang
sahaja kaki katak tu, terus saya baling katak tu sebab geli sangat dengan kulit
yang dirasai. Seram!! Tambah pula katak tu bergerak…Memang saya dah kecewakan
kumpulan saya yang baru nak bangga dengan hasil tangkapan.
Waktu perkhemahan tersebut bersesuaian
dengan waktu penyu naik ke pantai untuk bertelur. Tapi disebabkan ada
sekumpulan pelancong berbangsa Cina yang berparti di tepi pantai pada malamnya
sehingga ke pagi dengan botol arak, maka kami tak dapat tengok penyu. Habis
rosak tandas-tandas dikerjakan pelancong tersebut. Teruk punya perangai! Kami
tidak ada pilihan lain selain menggunakan tandas tersebut. Bagus juga ianya
gelap, tetapi was was kondisi kebersihan diri. Dah la dalam tu juga nak diambil
wuduknya. Pada masa-masa kritikal begitu, saya terfikir bertuahnya jadi lelaki.
Bangun lambat pun dapat buat urusan dengan cepat. Kami tidak ada pilihan lain
selain tidak mandi agar masa boleh dijimatkan.
Lagi satu kalau saya pergi program,
benda yang saya tak suka dan tak boleh bertolak ansur adalah kalau urusetia ni buta adab
dan agama. Lagi geram apabila tahu batasan tapi tak jaga. Saya memang protes!
Meletakkan semua perkara ini di sebelah dengan alasan ini latihan/modul. Saya
tetap tak setuju! Bagi saya, nak buat modul apa pun konon nak menjatuhkan ego
haruslah dibuat berasingan. Penjatuhan maruah adalah tidak dapat diterima sama
sekali. Kesalahan Mahathir dalam menjatuhkan DSAI adalah kerana beliau
menyerang maruah DSAI. Berbanding dengan TPM beliau sebelum ini yang tidak pun
menentang walaupun dijatuhkan, DSAI menentang kerana serangan tersebut dibuat
ke atas maruah, bukan kreadibiliti kepimpinan.
Jadi semasa jungle trekking berkumpulan di dalam hutan, semasa hendak melintas
sebatang sungai yang agak dalam, urusetia tidak membenarkan kami melintas
menggunakan titi. Tetapi mereka mengarahkan kami untuk melintas menggunakan
tali yang direntangkan. Bagi perempuan mereka boleh melintas menggunakan batang
pokok dengan syarat dalam kedudukan berenang. Apa yang saya lihat amat
memalukan. Sambil kami melintas urusetia melihat sambil ketawakan peserta yang
berada dalam keadaan pelbagai. Saya tak rasa itu melawakkan dan saya tak
benarkan rakan-rakan saya berenang. Tetapi mereka ni lebih takutkan urusetia
berbanding memalukan diri sendiri. Apabila tiba giliran saya, saya duduk di
atas batang pokok tersebut dan mengengsot perlahan-lahan ke seberang. Tindakan
saya diprotes oleh seorang urusetia lelaki. Dia beri arahan supaya saya berada
dalam posisi berenang. Saya cakap ‘tak nak’. Dia ingat saya melawak. Geram
betul. Kemudian ada beberapa rakan saya yang ikut cara sebegitu dan urusetia
pun malas nak campur. Bolehlah dicakapkan saya lebih rela mati berbanding
menjatuhkan maruah sendiri di hadapan orang lelaki. Kalau di hadapan perempuan
semua, saya tak kisah pun nak tungging terbalik. Tak suruh pun saya sendiri
yang akan buat.
Semasa di kursus lain, kami perlu
menaiki flying fox. Saya tak suka
kami terpaksa memasukkan baju ke dalam seluar sebelum dipasang tali
keselamatan. Keadaannya sungguh memalukan. Saya protes dan disuruh turun oleh
pegawai yang menjaga aktiviti tersebut. Saya tak kisah pun, jadi saya turun.
Tapi entah macam mana, seingat saya, saya berjaya juga buat flying fox. Sama ada pegawai tersebut
diganti oleh yang lain atau saya ubah teknik memakai tali itu. Tapi dia tak
paksa dan faham apabila dia dapat tahu saya dari Irshad.
Tapi saya pelik dengan satu perkara.
Kenapa tidak ada lelaki yang mempertahankan maruah wanita apabila wanita
terpaksa berada dalam keadaan yang pelik-pelik di program? Dibiarkan beraksi
hingga terbuka aurat mereka. Mereka hanya diam membisu. Adakah mereka
menganggap itu tidak apa? Adakah kerana wanita-wanita tersebut bukan adik,
kakak atau isterinya? Adakah ia dianggap poyo kalau mereka bangun dan
mempertahankan maruah wanita?Atau sebenarnya mereka memang suka tengok? Saya
tak suka sikap lelaki sebegini. Kalau pun tidak mampu bangun mempertahankan,
janganlah dipandang dan dilihat. Tahu pun nak isteri yang solehah, menjaga diri dan memelihara maruah. Tapi biarkan wanita lain dalam keadaan sehingga terjatuh maruahnya tak apa. Teruk punya perangai! Adakah lelaki-lelaki
sebegini yang diharapkan untuk membela maruah wanita? Saya perhati sahaja
perangai lelaki-lelaki sebegini. Ada satu ayat ganas orang Utara selalu guna untuk
lelaki-lelaki sebegini, tetapi orang tua-tua sahaja selalu sebut, jadi saya
diamkan sahaja. Tapi saya pernah terjumpa kisah Ustaz Hasrizal di BTN di mana
beliau sangat menjaga maruah muslimat dalam kumpulannya. Terharu saya dan kagum
dengan sikap tegas beliau!
Jadi disebabkan dari dulu saya melihat sikap lelaki sebegini, saya tidak ada pilihan lain selain memprotes apabila merasakan aktiviti tersebut merendah-rendahkan maruah seseorang. Biarlah orang marah atau maki. Ingat orang suka-suka macam korang. Persetankan dengan modul atau sekadar latihan! Inilah hikmah pengalaman dari kecil...
(manalah t-shirt merah hitam ni hilang...)
No comments:
Post a Comment