Showing posts with label nostalgia. Show all posts
Showing posts with label nostalgia. Show all posts

Thursday, November 7, 2013

Kenangan Semalam

Saya fikir saya seorang yang suka membina dan kemudian hidup dalam kenangan. Pulang ke kampung baru-baru ni, saya menyusuri beberapa tempat kenangan saya dan sahabat sekitar Irshad. Banyak perubahan yang berlaku.

Restoran Sahabat Selamanya sudah tidak ada di situ. Terkejut dan....sedih. Macam kehilangan sesuatu. Saya baru bercadang nak menikmati ais kacangnya setelah sekian lama. Restoran tersebut digantikan dengan restoran lain. Sekaligus terpadamlah niat nak bawa 'pak we' jalan-jalan makan ais kacang paling best di Penang satu hari nanti. Angan-angan pun dah menjadi kenangan.

Saya singgah menjenguk ke Kedai Nasi Goreng Ayam Pak Cik Lan. Masih ada di situ. Simpang Tiga Keling. Sementara menanti pesanan nasi goreng ayam yang legend tersebut disiapkan, saya memerhati sekeliling. Kedut dan kendur di wajah Pak Cik Lan dan isterinya sudah kelihatan. 7 tahun kemudian baru menapak kembali ke sini... Tempat saya dan sahabat selalu melepak setiap kali ada kelas tambahan di sekolah atau sekali sekala nak merasa makanan luar dari makanan asrama. Tempat berkongsi rahsia-rahsia hati dengan sahabat. Kalau Harry Potter dan sahabat melepak di Hogsmeade, kitorang melepak di Simpang Tiga Keling kalau keluar dari Irshad. Kenangan ini juga bakal terhapus ditelan masa bersama tuanya Pak Cik Lan dan isteri. Mereka tak punya anak. Dan anak-anak orang Melayu jarang mewarisi legasi orang tua-tua mereka. Tidak seperti bangsa Cina. Akhirnya saya mencapai satu kesimpulan sambil memandang langit;

'Wahhh...Sunyinya.' 

Satu-satu tapak kenangan ditelan masa dan perubahan- Stesen Kereta api Bukit Mertajam, Restoran Sahabat, rumah tok, dan entah apa lagi.

Kenangan tersebut ditarik bersama hilangnya jejak-jejak mereka.

Balik ke rumah, saya membelek-belek buku di rak. Sunyi-sunyi begini, kawan baik selalunya buku. Bila kita perlukan, dia selalu ada. Kalau kita tak perlu, dia setia di situ. Nama pun buku~ HAMKA bersama karya beliau ISLAM: Revolusi Ideologi dan Keadilan Sosial. 

Perasaan saya bagai tersalur bersama dengan perasaan HAMKA apabila beliau turut menjejaki kembali sejarah revolusi manusia mencari pegangan. Saya tak pernah kecewa baca karya beliau. Cara beliau menjalin cerita walaupun ianya sejarah, tebal, masih mampu membuatkan saya tenggelam dalam setiap helaian mukasurat. Ini karya kedua beliau yang saya baca selepas Sejarah Umat Islam.

Saya seronok membaca atau mendengar bicara sesiapa sahaja yang memiliki sudut pandang yang bukan kebiasaan. Sebab saya pun cuba melihat dunia ini dari sudut pandang yang berbeza. Selalunya ia memungkinkan saya disalahfahami. Tetapi penulisan buku-buku hebat sentiasa mendorong ke arah kebebasan berfikir. Alangkah indahnya andai saya mampu keluar dari kepompong minda sedia ada dan berfikiran besar. Macam kata-kata A.Fuadi 'peluklah impian erat-erat'.

Terus menapak dan kutiplah hikmah sepanjang jalan.

Saturday, September 14, 2013

Hakikat dunia

Hidup ini penuh dengan kesedihan…

Dulu masa sekolah rendah, ada sebuah keluarga tinggal betul-betul bersebelahan Masjid Jamek, Padang Menora. Rumah papan tu tersorok diapit oleh rumah batu bomoh patah dengan rumah batu Penghulu kampung. Kalau saya pergi ambil tandatangan Penghulu, saya berpeluang melihat rumah tersebut. Tapi tak berani nak dekati. Penghulu ada dua orang anak lelaki yang saya selalu nampak. Abangnya bisu manakala adiknya normal. Usia abangnya mungkin sebaya saya. Kalau dia nampak saya, kadang dia senyum, kadang dia melarikan diri.

Rumah papan di sebelah masjid tu dihuni oleh sepasang suami isteri yang memiliki 3 orang anak. Seorang anak lelaki dan dua perempuan. Anak sulungnya yang lelaki terencat akal. Begitu juga adiknya yang kedua. Kawan saya yang bagitahu. Ada yang cakap adiknya yang bongsu terencat juga, ada yang kata normal. Tapi mereka tetap ke sekolah dan belajar seperti mana murid-murid lain belajar. Saya selalu jumpa mereka semasa sekolah Arab waktu petang. Abangnya tua beberapa tahun dari saya. Nazri dan Nazirah. Mereka berdua selalu jadi mangsa buli. Selalu diketawakan. Tapi mereka hanya ketawa balik. Macam tak ada apa-apa.

Pernah satu masa, waktu saya naik ke kelas, kebetulan Nazirah berada di koridor. Waktu tu hujan. Ada beberapa orang pelajar lelaki sedang ketawakan dia. Saya hampiri mereka. Saya ingat saya marah mereka sebab ketawa dan ganggu dia. Salah seorang dari mereka kemudian bagitahu dia makan tahi kelawar. Ada pula yang bagitahu kawan mereka yang suruh dan dia ikut. Memang di koridor tersebut ada tahi kelawar menitik jatuh dari bumbung apabila hujan. Saya lagi bertambah marah sebab mereka tak halang dan hanya ketawakan dia. Saya tarik dia pergi. Pergelangan tangan dia kecil sahaja, macam pegang tulang. Saya dah tak ingat apa yang berlaku seterusnya. Dia hanya ketawa sedangkan saya hampir nak menangis lihat keadaan dia…

Kemudian saya dah tak jumpa mereka. Saya berhenti sekolah Arab semasa darjah 5 untuk beri tumpuan kepada UPSR dan mereka pula jarang-jarang datang sekolah kebangsaan. Kadang-kadang saya terjumpa mak atau ayah mereka mengayuh basikal. Air muka mak dia lembut dan mudah tersenyum. Tapi air muka ayah dia serius. Berwajah cengkung. Berita terakhir saya dengar mengenai mereka, Nazirah sudah meninggal sebab masalah jantung. Saya tak tahu apa terjadi kepada abangnya.

Dari kecil melihat kesedihan sebegini, saya jadi sensitif tengok orang kena buli. Kadang-kadang saya marah orang yang dibuli tu, kenapa biarkan diri dibuli? Kenapa tak pertahankan diri? Rasa macam nak lindung mereka walaupun mereka tak harap pun…nak mereka rasa yang ada orang peduli…tahu ada orang tak suka pun apa yang orang lain buat kat mereka… 

Dibandingkan dengan mereka, seharusnya saya berhenti mengeluh...

Saturday, July 20, 2013

Nasi & mafia

Marahkan ayam, nasi diboikot. Cukup 10 malam memboikot nasi sebab tak nak badan rasa berat nak beribadat. Tapi kalau dah sampai nak gastrik, tak jadi nak boikot sebulan. Sahabat serumah dah pakat bising suruh makan sikit. Jadi, malam ke 12 ni saya jamah la dua tiga sudu. Dah kurang sakit di perut. Sendiri cari pasal. Takut juga nanti jadi gastrik (tak tahu macam mana rasa), mau pengsan...sia-sia tak boleh berpuasa pula. Bila dah makan nasi, tiba-tiba bernafsu pula nak bercerita di blog~~ susah-susah.

Kalau dah keturunan tulang rangka besar, tak makan macam mana pun, masih nampak besar. Tak jadi macam zombie pun. Geram juga. Saya fikir saja nak bereksperimen dengan badan sendiri. Orang cakap nasi lah penyebab kegemukan. Ini bukan masalah nak kurus sebab nak cantik, tetapi nak kurus supaya badan rasa selesa. Rasa ringan saja. Tak perlu tunggu orang tegur kita ni gemuk, tapi kita sendiri sedar keperluan memiliki bentuk tubuh yang menambahkan keyakinan dan keselesaan diri. Jadi terpulang kepada individu masing-masing sama ada nak berpuas hati dengan badan sedia ada atau ubah gaya pemakanan. Tak perlu beli Herbalife untuk kurus, cukup sekadar pandai menjaga pemakanan. 

Sebenarnya kalau berada di kampung barulah saya boleh kurus. Kalau ada di Bangi, kitaran biologi tak stabil sebab tak boleh nak praktik apa yang dibuat di rumah. Terbalik pula bagi sesetengah orang. Diet yang seimbang ialah makan nasi sekali sehari pada waktu tengah hari, ambil sarapan dan jangan tinggal, minum air mineral banyak-banyak dan tidur awal. Itulah rahsianya. Tapi tak boleh nak buat kat sini sebab tidur selalu lewat, sarapan selalu skip sebab gabung dengan makan tengah hari dan kena makan malam sebab orang rumah selalu masak lewat. Macam mana nak kurus. Jadi, bulan puasa inilah peluang terbaik untuk buat perubahan drastik dan inilah kesannya. Modus operandi kurang berjaya sebab hampir kepada mudarat.

***
Pulang dari tarawih di surau belakang rumah, kelihatan kanak-kanak bermain mercun. Kali terakhir saya main mercun adalah masa sekolah rendah. Menjadi rutin abah untuk spend dalam rm50-rm100 untuk beli pelbagai jenis mercun dari kawannya. Sebab anak lelaki ada tiga. Jadi, adik-adik tidak perlu seludup pergi beli mercun sangat walaupun ada yang buat begitu. Dan selalunya selagi belum raya, abah akan bagi sikit-sikit sahaja untuk dimainkan. Itupun main sekali dengan abah selepas berbuka puasa atau selepas tarawih. Selalunya dipantau. Abah selalu buat kejutan malam raya dengan mengeluarkan mercun-mercun yang dibeli dari kawannya. Memang teruja habis adik-adik saya. Dan agenda tu sentiasa dinanti-nanti sehinggalah semua dah besar dan abah dah bersara. Saya? Hmm... tak ada perasaan. Saya dah bersara dari main mercun selepas dari sekolah rendah. Dah tak main dan tak hingin pun tengok diorang main. Dah puas main masa kecil-kecil.

(mercun lada ni akan diasing-asingkan satu-satu sebagai senjata)

Masa kecil-kecil kami adik-beradik akan bermain dengan sepupu di kawasan sawah padi. Musim raya selalunya bersamaan dengan musim padi dituai. Rezeki Allah s.w.t bagi dalam bulan Ramadhan kepada pesawah. Boleh buat belanja masa Hari Raya. Jadi selepas padi dituai, tinggallah jerami menimbun dalam petak bendang/sawah. Itulah tempat kami berperang aka main mercun. Selalunya mercun yang digunakan ialah mercun lada. Masing-masing ada geng dan pemetik api beserta mercun lada. 

(jerami yang terhasil selepas padi dituai-belum dibakar)

Kawasan sawah padi akan jadi medan peperangan. Jerami tersebut akan disusun-susun untuk buat kubu sebelum perang. Kemudian semasa perang berlangsung, mercun akan dicucuh dan dibaling kepada musuh. Nasiblah kalau kena. Kena baling cepat sebab sumbu dia pendek. Entah macam mana saya pun boleh jadi mafia. Memang terjerit-jerit melarikan diri dan memberi arahan sambil menyorok di sebalik jerami sebab takut kena mercun. Lagi best dari main paintball. Dan itulah kali terakhir saya main mercun. 

Tapi masa sekolah rendah memang saya selalu berlagak mafia. Tambah-tambah pula bila ada geng yang nak mengikut. Mafia-mafia saya pun saya tak berkawan dengan orang lelaki. Tak pelik sebab mafia mana berkawan dengan bukan gengnya. Bagi saya lelaki adalah makhluk asing yang tidak boleh didekati sebab nanti menyakitkan hati. Tengok pun dah berbulu rasanya. Kitorang jadi tukang gelak setiap kali dengar cerita orang lelaki bergaduh berebutkan orang perempuan. Sedangkan mereka kawan baik. Pathetic bila sanggup korbankan persahabatan sebab orang perempuan. Macam drama. Lagi drama apabila ada orang yang sukakan kita dan dengan serius menyatakan hasrat. Siap bagi hantaran. Saya gelak guling-guling atas lantai sekolah apabila ada kawan bagitahu. Bagi saya orang lelaki yang mudah beritahu dia suka kat orang perempuan adalah tak macho langsung. Dan begitu juga sebaliknya. Dan pandangan saya itu terbukti apabila individu-individu sebegini sentiasa bercinta dan putus cinta dengan orang yang berbeza apabila sudah dewasa. Dia sudah menjadi janda cinta sebelum masanya sebab sibuk bercinta masa kecil. 

Hidup ni penuh dengan agenda yang lebih menarik untuk diisi sesuai dengan umur daripada buang masa berlagak matang sebelum masanya. Mafia-mafia kawan saya pun, sekarang ni apabila sudah sampai masanya, dah berkahwin dan beranak-pinak. Sayalah mafia yang sejati sebab tak kahwin-kahwin sampai sekarang. (inilah masalahnya apabila sudah matang-tak ada tajuk lain yang nak disentuh~) Kadang-kadang saya terlupa yang saya ialah mafia sebab dah kurang lontaran kritikal. Kalau dulu saya mungkin tak peduli, sekarang ni dah kena jaga sensitiviti pihak tertentu. Rasa mencengkam sikit otak ni sebab tak boleh nak jadi kejam terutama terhadap makhluk asing. Mungkin juga sebab sahabat-sahabat semafia saya semua sudah dan bakal diculik *makhluk asing, jadi saya sudah kurang kemafiaan sebab apalah ertinya **mafia tanpa geng...Selamat mengejar keampunan dari Allah s.w.t.

--kadang-kadang rindu zaman mafia-mafia dulu--

*makhluk asing ini tidak ada kaitan dengan definisi makhluk asing mengikut wiki, ET, dalam TV dll.

**mafia ini tidak ada kaitan sama ada hidup atau mati dengan mana-mana mafia yang ada dalam wikipedia dll.


Wednesday, June 19, 2013

Alam Kembara Bahagian 2

Sambungan…

Relau

Saya sangkakan pengalaman di Pantai Kerachut itulah yang paling mencabar. Rupa-rupanya semasa di Tingkatan 2, saya pergi ke Kursus Kepimpinan Asrama yang lebih mencabar. Kalau dahulu, Kursus Kepimpinan dijalankan di kawasan-kawasan pelancongan dan percutian, tetapi kali ini saff kepimpinan pada tahun tersebut dikenakan kursus ala-ala komando. Dalam saff kepimpinan tersebut, hanya saya dan sahabat baik, Sakinah yang menjadi ajk termuda. Yang lain-lain adalah senior Tingkatan Empat yang akan memegang kepimpinan sehingga Tingkatan Lima nanti. Saya Timb Biro Sukan dan Sakinah Timb Biro Pendidikan (dah tak ingat plak betul ke tak). Selalunya dua jawatan tersebut sahaja yang dibuka kepada pelajar Tingkatan 2 yang akan naik Tingkatan 3. Ini pendedahan awal sebelum saya pegang Biro Disiplin dan Sakinah Biro Dakwah semasa Tingkatan 5.

Masa kitorang pergi, Utara tengah musim hujan. Termasuklah kawasan hutan Relau. Tempat ala-ala kem. Dan pelatih kami memakai seluar komando sepanjang program 5 hari 4 malam tersebut. Tidur di dalam khemah dan tandas serta tempat mandi di hujung dunia. Inilah gambaran awal tamrin yang akan saya hadapi rupanya. Dan seperti biasa, apabila masuk saya memang ingat dah tak nak terlibat dengan benda-benda macam ni apabila keluar nanti. Pada malam hujan tu, khemah kami dimasuki oleh air. Tidur dalam air jawabnya.

Hujan tak menghalang kami daripada beraktiviti ala-ala tentera. Penat ya ampun. Hutan di Relau tu penuh dengan PACAT! Keadaan tu bagaikan worst nightmare. Musim-musim hujan ni memang lagi banyakla binatang ni membiak. Banyaknya pacat ni sehingga tak sempat nak geli kerana ia berada di sekeliling dan tak dapat dielakkan. Huu.. Ada satu tahap tu semasa sedang merentas hutan sebagai salah satu aktiviti lasak, nak tunjuk betapa dahsyatnya serangan pacat. Pekerja kem yang bawa kami meredah hutan tersebut memakai safety boot paras lutut. Entah macam mana, waktu dia berhenti, dia buka kasut tersebut sebab dia rasa macam pacat masuk. Sekali dia keluarkan kaki dia~ ….rasa nak pengsan, darah berlumuran di kaki! Lemah lutut tengok. Lepas tu dia tunggangkan kasut but dia, meleleh darah keluar dari kasut tu. Oh tidak~…

Semasa tunggu dia buang pacat dan pakai balik kasut, kami hanya bergerak setempat. Dan itu adalah disaster. Sebab pacat tu boleh naik anytime, jadi cara nak elakkan adalah kena bergerak cepat. Tetapi waktu itulah senior-senior amik kesempatan cek kaki masing-masing dan pacat was everywhere.. Semasa berada di puncak bukit dan berhenti rehat, saya buka kasut dan dapati pacat berada di atas stokin. Dah la sakit dia gigit! Geram betul… dengan geli geleman saya tarik dan buang. Macam mana dia boleh tembus kasut sukan saya. Tapi yang paling kesian dan menjadi mangsa si pacat ni adalah senior-senior yang tidak boleh solat. Darah kotor adalah tarikan utama si pacat ni. Saya bersyukur yang amat pada waktu tu saya boleh solat. Jadi selain pacat yang masuk ke dalam stokin, saya tak kena gigit sampai berdarah pun. Tapi senior-senior saya yang tak bersih, pacat memang naik sehingga ke leher dia dan merata-rata lagi. Kadang seorang tu kena sampai 3-5 ekor dan lebih. Seram… Senior lelaki pun kena teruk sebab diorang ni pun darah kotor banyak gak dan tak pernah dibersihkan. Kecuali kalau ada yang berbekam. Tapi saya tengok habis semua kena attack. Kami diberikan masa untuk bersihkan diri dari pacat semasa berehat di sebatang sungai yang laju airnya. Ada yang kena gigit sampai pacat tu membesar macam lintah. Disuruhnya saya yang buang, memang tak lah. Tapi sebab dah terjerit-jerit, saya buangkan juga menggunakan batu sungai sebelum ditenyeh sehingga mampos..

Walaupun tragis keadaan kami, itu tak menghalang komando tersebut dari memberi arahan yang pelik-pelik. Semasa berada di dalam hutan, ada 3 arahan yang berbeza dan kami kena bertindak dengan respon yang berbeza. Antaranya adalah meniarap sambil merangkak di atas tanah. Memang tragis. Semasa meniarap, sudah semestinya perkara yang perlu diredah adalah semak samun yang dipenuhi oleh pacat. Sekali dah sama level dengan pacat. Memang selamatlah nak ikut arahan ni. Sekali jer buat betul-betul, dah nampak pacat depan batang hidung, memang pastu eksyen jer lebih. Kejam punya komando. Itu tak termasuk meniarap dan merangkak dalam alur sungai~ Tapi macam yang saya cakap, kalau asing lelaki dan perempuan, apa pun saya tak kisah. Dan memang tak kisah pun. Lelaki di hadapan dan kitorang perempuan jauh di belakang mengikut arahan komando yang berada di hadapan memberi arahan kepada lelaki. Suara dia yang kuat sudah cukup untuk kita ikut arahan dia. Tak perlu ada urusetia perempuan pun latihan tu lebih tragis berbanding ada urusetia perempuan tetapi tak boleh diharap. Dibiarkan aktiviti memalukan campur atau diperlihatkan di hadapan lelaki.

Selain daripada aktiviti masuk hutan yang tragis tersebut, ada juga aktiviti seperti rappelling, obstacle course, berkayak, flying fox, dan midnight walking. Midnight walking ni sahaja aktiviti berkumpulan. Oh btw, kami tak perlu membuang masa dengan aktiviti motto, visi, sorakan dan sebagainya sebab Relau terlalu luas untuk diexplore. Kami dibekalkan dengan sebatang lilin dan 3 batang mancis dan peta. Kemudian dilepaskan pada jam 1 pagi dan jalan dengan kumpulan. Memang sedap juga jalan-jalan hidup udara malam. 2 lelaki di depan dan 2 lelaki di belakang, kami di tengah-tengah. Sekali melintas sebuah kubur. Tapi saya tak perasan. Dah lepas, baru ada senior lelaki ni bagitahu. Nasib baik…

Memang perkhemahan ni paling mencabar tetapi kepenatan yang dirasai membuatkan saya puas. Saya suka senior-senior saya yang memang berkepimpinan dan bertanggungjawab. Kem yang khusus untuk pemimpin dan kem yang bercampur amat berbeza pendekatannya. Cara layanan berbeza walaupun aktiviti yang disediakan adalah sama. Dan saya lihat komando tersebut tidak pun membuat aktiviti menjatuhkan maruah di hadapan berbeza jantina sebab dia tahu ada cara lain yang lebih baik untuk merendahkan ego seorang pemimpin. Melalui arahan-arahan yang diberikan, ketepatan masa, dsb. Kalau tak silap saya senior lelaki kena denda terjun kolam sebelum Subuh. Tak pasti atas kesalahan apa. Tapi siangnya, kami semua kena denda terjun kolam paras dada sebab lewat.

Dan saya ingat itulah yang paling mencabar sebelum saya jumpa yang lagi mencabar di universiti…


Bersambung…

Sunday, April 1, 2012

Pendidik sepanjang hayat

Dulu masa zaman sekolah rendah, waktu cikgu Shahidan sedang mengajar di depan, saya menjungkit-jungkit kerusi sambil memberikan perhatian kepada apa yang diajar.  Namun, malang tidak berbau, apabila saya menjungkit kerusi ke sebelah kiri untuk mengusik rakan di sebelah, saya terjatuh sekali dengan kerusi.  Mesti kita semua biasa dengan situasi sebegini kan?

Satu kelas berpaling ke arah saya, lantas saya cepat-cepat berdiri untuk mengcover keadaan.  Air muka saya serius jer.  Tapi, Cikgu Shahidan dengan slumbernya bertanya;

"Dapat?"

Saya pelik dengan soalan tersebut, dahi saya berkerut cuba memproses soalan tersebut.  Sekali lagi beliau bertanya;

"Dapat tak?"
"Dapat apa cikgu?"  Saya terus bertanya kembali.
"Dapat tak tangkap kogha (kura-kura) kat bawah meja?" 

Bila kawan-kawan dapat tangkap jer maksud cikgu, apa lagi, satu kelas gelak.  Saya?  Serius malu.  Merah padam muka.  Kawan baik saya di sebelah tak berani nak gelak.  Baru saya faham, cikgu sindir saya nak tangkap kura-kura sampai terjatuh kerusi.  Macam manalah beliau boleh terfikir nak kenakan saya.  Malu ada, geram pun ada.  Cikgu Shahidan ni ayat-ayat dia yang sinis sentiasa berjaya mengubah tabiat pelajar di dalam kelas.  Selepas tu, memang saya dah tak berani nak jungkit-jungkit kerusi dah.  Saya teringat sebab malam ni saya buat balik sebab nak usik sahabat di sebelah dan terjatuh.  Bila diingat-ingat kembali, memang pecah gelak, tapi pada waktu tersebut muka saya memang serius habis.  Memang jaga air muka.  Ada kawan saya yang suka gigit kuku sewaktu cikgu sedang mengajar kena sindir;

"Kenyang?"
Mesti kita akan tertanya-tanya, apa yang kenyang? Pastu bila kita blurr sesaat, beliau menyambung;
"Kalau tak kenyang gigit kuku jari, gigit kuku kaki plak."  
Memang lepas tu, kawan saya dah tak buat dah.

Setiap kali sebelum kelas bermula, beliau mesti minta kami berdiri dan tanya, siapa solat subuh pagi ni duduk, kemudian solat isyak.  Kagumnya, kami tak berani nak menipu.  Walaupun malu, tetap kami mengaku.  Sebelum habis kelas beliau akan mengajar kami zikir-zikir dan asmaul husna sampai loceng bunyi.  

Mungkin itulah beza pendidik dan pengajar.  Apabila niat seorang cikgu itu untuk mendidik, apa yang disampaikan akan sampai ke hati pelajar dan membentuk akhlak pelajar.

Selepas saya meninggalkan sekolah rendah, kadang-kadang bila ikut abah pergi ceramah PAS, terjumpa dengan cikgu dan beliau masih kenal saya.  Mungkin itu juga beza pendidik yang berfikrah dengan yang tidak.  Niat begitu tulus untuk mendidik anak bangsa mengenal Islam dan berakhlak dengannya.  Terima kasih cikgu. Walaupun Hari Guru lambat lagi, tapi kan penghargaan patut diberi hari-hari.

p/s: Tabiat boleh diubah, menegur dari hati akan sampai ke hati.

~susah sungguh nak fokus dengan esei...


Wednesday, March 21, 2012

Ukhuwah kita di bawah pohon sena




 Saya baru tahu pokok ni namanya pokok sena.  Patutlah tempat tersebut dinamakan Pokok Sena, sempena nama pokok ini.  5 tahun duduk di Irshad, tak pernah tahu nama pokok ini. Saya sedang mengimbau kembali nostalgia lama di SMKA Al-Irshad sebab semalam keputusan SPM keluar.  Dalam cuba mengorek memori silam, kenangan tentang pokok ini yang menjentik-jentik hati.  Kalau di Irshad, pokok ni ada di dua tempat, satu di padang dan satu di laluan masuk ke kawasan asrama.  Itu kalau di Irshad.  Kalau di seluruh kawasan Pokok Sena, memang bersepah pokok ini.

Ada satu ketika tersebut, musim bunga datang ke Pokok Sena.  Entah boleh ke tak panggil musim bunga.  Selalunya kalau di Malaysia, bunga berkembang pada musim panas.  Tapi pokok sena ni berbunga juga walaupun minggu-minggu tersebut hujan.  Atau sememangnya Pulau Pinang sentiasa basah.  Tak kisahlah, tapi ada satu minggu antara minggu-minggu di Irshad, pokok ini berbunga secara agresif macam dalam gambar  di atas. Sudahlah berbunga lebat, angin pula selalu kencang sebab bawa awan hujan, maka keadaan jadi seperti di bawah.  



Tapi, sebelum jadi seperti di atas, bunga-bunga tersebut sentiasa berguguran macam musim luruh di negara bermusim.  Suasana dia macam Autumn In My Heart cerita Korea.  Tak pernah tengok cerita tu pun, tapi dah sahabat-sahabat cakap macam tu, jadi saya quote kembali.  Kalau balik dari kelas dan menyusur kaki lima, kalau tak ada muslimin, kami beramai-ramai akan berjalan di bawah pokok tersebut untuk ke dewan makan. Pokok tersebut bersebelahan dengan kaki lima atau laluan masuk ke asrama putera (aspura).  Waktu tersebut sudah jadi senior (Tingkatan Lima), jadi agak berani untuk jalan ke situ beramai-ramai dengan kawan-kawan.  Lebih kurang macam kawasan larangan.  Itupun apabila muslimin tidak ada.  Selalunya hari Jumaat sewaktu mereka pergi solat Jumaat. Hari Jumaat diconsider sebagai blissful day untuk aspuri atau muslimat.  Tempoh antara solat Jumaat itulah saya akan ambil peluang dengan sahabat untuk bermain badminton di dalam dewan yang bersebelahan dengan laluan pejalan kaki aspura.  Kalau tidak, aspura mesti akan bermain di situ.  Sama ada main ping pong atau badminton.  Seronok main dalam dewan sebab baru ada feel apabila dengar bunyi smash bulu tangkis dan geseran kasut yang bergema.  Waktu tersebut akan digunakan sebaiknya dan tidak dibuangkan dengan tidur di bilik.  Lepas habis jer kelas, terus pergi makan, kemudian rehat sekejap di surau atau bilik rehat.  Dengar bunyi bas bergerak pergi membawa bersama muslimin ke masjid, kami terus berlari ke dewan.  Tak sempat nak tukar baju, terus main dengan uniform sekolah sebab tangan dah rindu nak smash  bulu tangkis setelah menanti dari hari Isnin.  Rindu tersebut lebih kuat berbanding panggilan katil untuk tidur selepas makan tengah hari.  Ada beberapa orang sahaja sahabat yang bermujahadah untuk bermain.  Yang lain memilih untuk syahid. Selain itu, banyak sebab hari Jumaat merupakan hari yang paling bahagia, antaranya kelas habis awal, dapat main badminton, dan lain-lain.  Tapi yang paling bahagia adalah apabila kawasan sekolah bebas dari lelaki.  Rasa lapang sahaja hati.  Boleh jalan-jalan bawah pokok sena, suasana jadi sunyi dan tenang, lepak di bawah payung di luar kawasan surau, lepak dalam kelas sambil sembang kuat-kuat, baring-baring dalam surau bincang tentang masa depan, pergi beli ais krim di rumah warden tanpa perlu pakai stokin.  Tapi, apabila dengar sahaja bunyi bas memasuki kawasan sekolah, bertempiaran lari menyelamatkan diri dan keadaan kembali menjadi syadid seperti biasa.  Namun, terima kasih ya Allah atas kesempatan yang diberikan walaupun sekejap untuk lepas bebas.  Barulah masa yang ada digunakan sebaiknya. 

Kembali kepada cerita pokok sena, tidak dapat menikmati sepenuhnya musim luruh di kawasan asrama, kami bersepakat pergi ke padang.  Ada satu lagi pokok sena dan suasananya…Subhanallah.  Masing-masing mengambil peluang berbaring dan menikmati guguran bunga-bunga sena ke bumi sambil berbual mesra.  Sempat lagi merakamkan gambar kenangan, tapi tak pasti ada pada siapa gambar tersebut.  Bahagianya…sudahlah keadaan berangin dan sejuk, menikmati pula musim luruh yang jarang-jarang terjadi di Irshad.  Biarlah keadaan sekarang tidak seperti dulu, tapi saya diberi peluang menikmati sepenuhnya ukhuwah dan mahabbah yang lahir daripada hubungan yang terjalin selama 5 tahun dan kekal sehingga sekarang.  Moga kalian sentiasa di bawah lembayung rahmat-Nya

Tribute untuk sahabat ex-ABC dan bukan ABC.  -àSakinah Sobri, Munirah Rosali, Hidayah Yahaya, Alia Mansor, Hidayah Nasir, Wahida Saidin, Nasihah Ahmad Kamal, Fatihah Abdul Rahman (satu-satunya budak berulang), Ayuni Rahayu, Nadzirah Yusof dan Izni Afandi

Azizah Mohamed Najib & Norliza Yahya (di tengah2) :P

Bukan ABC-à Haszirah Hasan, Farhan Alia, Ashikin Zakaria, Salwa Syazwani, Syazleen Razak, Latifah, Fatimah Shamsudin, Fatimah Yuzlan, dll.

Monday, October 3, 2011

Dunia tak berubah...


Makin banyak tugasan, makin saya rajin update blog.  Ada kelegaan di situ.  Mungkin juga untuk memberitahu diri bahawa saya taklah sesibuk mana pun.  Dahulu waktu di asrama, walau sesibuk mana pun, sempat lagi berusrah dan berziarah. Sibuknya dengan kerja sekolah sehingga saya mengabadikan perkataan ‘ghejakolah’ di email saya. Tapi sibuk mana pun, pondok pengawal keselamatan pun sempat saya ziarah.  Bersembang dan berbual mesra dengan pasangan suami isteri yang menjadi pengawal keselamatan serasa tak membuang masa pun.  Sekarang nak pergi ke bilik kawan lama pun mengira-ngira sama ada akan membuang masa atau tak.

Betullah seperti apa yang dikatakan oleh seorang adik ni, dunia tak berubah pun, tapi manusia yang berubah.  Saya sebenarnya suka melepak dan bersembang.  Waktu di tingkatan 5 kalau tension kerja banyak, saya akan lari sebentar ke pondok pengawal bersembang dengan pasangan pengawal keselamatan di situ.  Kebetulan mereka tak mempunyai anak, jadi mereka banyak menghabiskan masa di pondok tersebut seperti rumah sendiri.  Ada tv, ada dapur.  Kadang-kadang saya makan di situ.  Kan budak-budak asrama sentiasa kelaparan.  Dekat asrama seperti yang dimaklumi kalau waktu prep memang tak boleh nak balik ke asrama menonton tv.  Kebetulan pula cerita yang menarik selalunya ada waktu malam.  Jadi, saya berbaik-baik dengan mak cik guard.  Hasilnya, saya dapat menonton cerita kegemaran pada waktu malam.  Itu pun curi-curi takut kena tangkap dengan warden yang meronda kawasan.  Pak cik dan mak cik pun bersekongkol sekali.  Tak ingat apa cerita yang saya suka sangat sehingga sanggup ponteng prep dan melepak (baca menziarahi) pondok pengawal.  Selalunya saya akan pergi dengan dormmate.  Aisyah.  Sekarang ni dia sedang menuntut jurusan perubatan di Jordan. 

Hmm…bila diingat-ingatkan kembali, sebahagian besar sahabat baik saya semuanya mengambil jurusan perubatan.  Walaupun kami berkongsi cita-cita yang sama, akhirnya saya seorang sahaja yang terdampar di bidang sains politik.  Sahabat baik waktu sekolah rendah menjadi penolong pegawai perubatan, sahabat baik sekolah menengah seorang berada di Mesir mengambil perubatan, seorang di USIM mengambil pergigian, seorang di UK mengambil farmasi (peminat setia Spongebob) dan yang ini Aisyah pun berada di Jordan mengambil perubatan.  Sebenarnya ada jer peluang untuk saya menyambung ke bidang perubatan sewaktu dapat matrik dahulu tapi saya tolak.  Memang kena marah habis-habisan dengan cikgu.  Selepas STPM, ada peluang menyambung ke bidang perundangan, saya tak ambil peluang tersebut walaupun keputusan mengizinkan.  Waktu tu abah pula kena marah dengan peguam kerana tak paksa saya ambil bidang perundangan.  Sehingga ada seorang pak cik di kampung mengatakan bodoh kalau saya tak ambil peluang tersebut. 

Apabila difikir-fikirkan balik, memanglah manusia hanya mampu merancang, sedangkan Allah yang sebaik-baik perancang.  Kadang-kadang ilham itu datang tanpa dipinta.  Mungkin Allah nak memberi peluang saya berbakti kepada manusia sekeliling.  Mungkin andai saya mengambil bidang yang kritikal, saya sudah tak mampu mengangkat kepala dan mengambil peduli hal manusia di sekeliling.  Pernah waktu kecil-kecil mak memarahi saya sewaktu nak melintas jalan ke kedai;

“Ayu ni selfishla!”

Sebabnya saya tak bagi adik ikut saya dan mak ke kedai di seberang.

Terkejut saya waktu tu bukan sebab kena marah tapi sebab dengar mak saya speaking.  Dalam hati saya;

“Waa…pandainya mak aku cakap Inggeris,”

Tapi saya tak luahkan kekaguman tersebut sebab dalam situasi kena marah, takkan nak seronok plak.  Jadi saya hanya mendiamkan diri dan ingat perkara tersebut sehingga kini.  Hakikatnya memang mak saya pandai berbahasa Inggeris sebabnya dialah yang mengajar saya sewaktu kecil untuk menonton kartun-kartun Sesame street, The Lion King dan lain-lain, membelikan buku-buku bahasa Inggeris, kaset-kaset lagu Inggeris, tapi dia tak pernah bertutur pun dengan kami. 

Kesimpulannya, disebabkan Allah sayanglah Allah memberikan benda yang kita perlukan dan bukan yang kita inginkan.  Walaupun saya teringin sangat nak jadi doktor dan nak kahwin dengan doktor, sehingga mengabadikan ‘mrdoc’ di email saya, saya tetap tak tahu apa yang terbaik buat saya.  Kasih sayang Allahlah yang membawa saya ke bumi UKM dan memberi pelbagai cubaan dan dugaan.  Setiap yang berlaku ada hikmahnya.  Jadi, walau apapun yang terjadi, berusahalah sebaik mungkin dalam hidup kita.  Allah knows best~

p/s: cuba untuk membezakan antara pentingkan diri sendiri dan menjaga kepentingan diri~

Thursday, July 28, 2011

Nostalgia Ramadhan

21 tahun hidup, 21 kali Ramadhan dah datang dan pergi. Kalau nak review balik apa yang telah dilalui Ramadhan lepas-lepas;

1 tahun-kecil lagi...tak ingat apa-apa

6 tahun- bertatih untuk berpuasa.  Saya puasa, kawan-kawan lain tak puasa.  Waktu rehat di PASTI, saya ingat ada kawan offer buah anggur. Saya makan pastu ada kawan tegur,
"Hang cakap hang posa, kenapa makan?" Saya baru teringat saya puasa.  Kiranya waktu bertatih tu kadang-kadang ingat, kadang-kadang lupa.

7 tahun- abah buat tawaran kalau dapat puasa penuh satu hari dapat seringgit.  Cara macam ni berjaya sebab sejak dari situ puasa setiap tahun mesti penuh sebab nak bersaing dengan adik-beradik yang lain siapa yang dapat kumpul duit paling banyak.  Budak kecil pun tahu nilai sekeping kertas bernama duit. Tambahan pula waktu tu abah buatkan setiap sorang daripada kami tabung buluh untuk simpan duit.  Hiasan tabung dibuat secara sendirian berhad.  Jadi masing-masing bertanding tabung siapa paling berat.

10 tahun- makan sebiji epal di tepi perigi sampai habis baru teringat sedang berpuasa waktu buang sisa epal ke dalam perigi.  Masih ingat-ingat lupa.

13 tahun- baru belajar erti Ramadhan yang sebenar.  Hari-hari sebelum Ramadhan dan waktu Ramadhan diisi dengan tazkirah mengenai Ramadhan. 5 tahun di Irshad, setiap kali tiba bulan Ramadhan, hari-hari akan dipenuhi dengan rutin-rutin harian seperti sahur, sebelum kelas bermula setiap kumpulan wajib habiskan satu juzuk Quran, tazkirah Asar, buka puasa beramai-ramai, terawih berjemaah di surau, kuliah Maghrib, moreh.  Segala-galanya telah disusun oleh ustaz dan ustazah.

17 tahun- cuba mengupgrade amalan dalam bulan Ramadhan dengan kawan-kawan.  Tak ada rasa takut waktu berjalan sorang-sorang ke surau pukul 4-5 pagi untuk qiam.  Langit Ramadhan sentiasa cerah.

19 tahun- sentiasa rindu suasana menyambut Ramadhan dengan sahabat-sahabat di asrama. Dulu terawih dengan sahabat-sahabat, sekarang ni terawih dengan mak cik- mak cik di kampung.  Dulu terawih 8 rakaat sahaja, di kampung kadang-kadang 20 rakaat.  Dulu kuliah terawih hari-hari, di kampung selang sehari sahaja.  Dulu terawih tak ada gangguan, sekarang sentiasa terganggu dengan suara kanak-kanak bermain di luar surau dan suara anak-anak kecil menangis.  Ada satu hari, hujan lebat sangat.  Waktu tengah khusyuk solat, tiba-tiba guruh berdentum.  Lampu dalam surau terpadam tiba-tiba.  Habis kecoh dengan suara kanak-kanak yang berada di saff belakang lari bertempiaran menyelamatkan diri. Tapi yang bestnya dapat qiam hari-hari sebab temankan mak masak pagi-pagi.  Kadang-kadang kalau mak tak sibuk jahit baju, bawa mak ke surau naik motor.  Sambil-sambil naik motor lalu tepi sawah, sempat menikmati indahnya langit Ramadhan.  Bulan Ramadhan kali ini memang best sebab setelah 5 tahun di asrama, akhirnya balik ke pangkuan mak selama setahun setengah.  Masak sahur dengan mak, teman mak jahit baju malam-malam sambil sembang-sembang kenangan lama, pergi terawih dengan mak, pergi bazar Ramadhan dengan mak.

21 tahun- 2 kali melalui bulan Ramadhan di UKM, setiap tahun menjanjikan pengalaman yang berbeza.  Waktu di Kolej Burhanudin, setiap hari berbuka puasa dan berterawih di masjid UKM.  Tadarus dijalankan oleh Myisiukm setiap petang atau malam. Cuma yang kurangnya pengisian seperti kuliah di masjid UKM. Kali kedua Ramadhan iaitu tahun lepas menjanjikan sebaliknya.  Kuliah seperti biasa, dan waktu tersebut memang sibuk dengan assignment. Ok, dat was an excuse.  Memang saya hilang fokus pada Ramadhan lepas.  Rasanya saya gagal.  Kalau setiap kali keluar dari institusi Ramadhan ada 'pngs'nya, pngs paling teruk dan kemungkinan failed adalah tahun lepas. Ini merupakan pengajaran buat saya.  Kalau ditakdirkan saya mati sebelum Ramadhan tahun ni datang, saya akan mati dalam keadaan menyesal.  Isk...isk. Sempat ke tak ni? Ada lagi less than 3 hari.  Huhu...takut... Sedangkan peluang untuk berpuasa sepenuhnya di rumah merupakan peluang yang saya nanti-nantikan sangat.  Sangat-sangat.  Sebulan di rumah dan bersama mak dan keluarga...

Kadang-kadang ujian perasaan itu adalah ujian yang paling besar untuk dihadapi.  Sayang sangat kat mak pun ujian juga.  Mak yang garang merupakan mak yang paling kita sayang dan kita kenang.  Aish...sikit-sikit mak, sikit-sikit mak.  Mak dah telefon minta balik untuk tolong waktu kenduri sambut bulan Ramadhan, tapi tetap tak dapat balik.  Adakah Allah sedang menguji mak saya?  Sampai tahap manakah dia dapat bersabar anaknya berjauhan terlalu lama.  Mesti timbul dibenaknya sangkaan-sangkaan adakah salah dia anak tak nak balik rumah sedangkan sebelum ni setiap dua minggu mesti balik.  Mungkin ini ujian buat saya dan setiap bentuk ujian berbeza antara saya dan sahabat-sahabat. 

Moga-moga langkah kita memasuki bulan Ramadhan kali ini tidak silap dan tidak dimulai dengan sesuatu yang buruk.  Nauzubillah.  Ingatlah belum tentu Ramadhan kali ini akan dapat kita temui pada masa akan datang.  Wallahualam...

Thursday, May 19, 2011

Mengimbau Nostalgia


(tukar jadi kampung girl)

Bukan semua orang ada kekuatan untuk berjaga selepas Subuh.  Tapi kekuatan itu boleh dibina.  Semua tu dikawal oleh minda.  Oleh itu, sementara menunggu matahari terbit, terimbau nostalgia sewaktu darjah 4 apabila terhidu bau masakan dari rumah jiran.

Di pekan kecil tempat saya bersekolah dahulu, ada satu warung cucur udang.  Pak cik yang berniaga di warung tu sangat baik.  Setiap kali waktu rehat sekolah Arab (kini dikenali sebagai KAFA), saya dan kawan-kawan mesti pergi lepak kedai pak cik tu.  Penampilan pak cik tu macam ustaz.  Dengan ketayap putih dan janggut sejemput memang sejuk jer mata memandang.  Even dia hanya peniaga warung tapi pakaiannya kemeja lengan panjang putih dengan seluar slack hitam.  Ntah-ntah dia seorang ustaz pencen.  Wallahualam.  Specialnya warung pak cik ni disebabkan cucur udangnya sangat sedap.  Saiz cucur udang sebesar tapak tangan orang lelaki dewasa. Lepas tu ada udang di tengah-tengah.  Lagi istimewa apabila kita boleh pula buat permintaan nak udang berapa.  Satu keping 30 sen jer.

Menjadi pengunjung setia memang menguntungkan.  Kadang-kadang dapat sirap percuma.  Kadang-kadang dapat kuah kacang extra.  Selalu kalau datang ke warung mesti saya akan ambil kesempatan untuk melihat pak cik menggoreng cucur udang.  Laju jer kerja dia buat.  Orang dah mahirlah katakan.  Maher Zain pun tak mahir macam pak cik tu.  Pak cik tu selalu dibantu oleh isterinya. 

Tabiat sewaktu saya dan geng berkunjung ke warung atau kedai makan ialah kami akan selalu masuk ke bahagian dapur sebab nak tahu proses pembuatan masakan mereka yang sedap.  Kanak-kanakkan memiliki tahap curiosity yang sangat tinggi. Kalau singgah kedai laksa seorang atuk ni, kami mesti pergi ke bahagian dapur.  Rahsia kuahnya sedap sebab dia masak kuah dalam buyung.  Sebab tu wangi.  Kalau nak teh ais yang lemak manis mesti singgah Restoran Bawal.  Mesti berdiri sebelah abang yang buat teh ais sebab nak belajar buat teh aisnya yang lemak manis.  Memang setakat ni saya belum pernah rasa lagi teh ais yang lemak manis macam restoran tu buat.  Tapi, saya tahu rahsianya :P

Waktu naik darjah 5, saya lihat warung selalu tutup.  Saya tertanya-tanya.  Selidik punya selidik, ada sahabat yang mengatakan pak cik ni sakit.  Waktu pulang dari sekolah Arab melalui jalan kampung, ada sahabat yang tunjuk rumah pak cik tersebut.  Baru saya tahu, rumah sederhana besar tepi jalan tu rumah pak cik tu.  Oleh itu, setiap kali saya melintasi rumah pak cik, saya selalu berharap dapat melihat dia.  Nak tahu kondisi sama ada dia betul-betul sakit atau tak.  Tapi tak pernah berpeluang sebab saya malu.  Dia mesti tak ingat saya.

Sejak hari itu, memang tidak ada lagi cucur udang buatan pak cik tersebut.  Dan sejak hari itu saya sudah mula berhenti makan udang. Setiap kali ada udang dalam cucur udang saya akan buang. Even udang besar pun saya tak sentuh sampai sekarang.  Saya sendiri tak pasti saya berhenti makan udang adakah disebabkan oleh pak cik tersebut atau kerana sudah jemu sebab selalu makan cucur udang pak cik tu?  Its weird how a person can give an impact in your live.   Sewaktu saya berhenti  sekolah Arab sebab nak tumpukan perhatian pada UPSR, saya lihat rumah sederhana besar tersebut menjadi sunyi.  Halaman depan rumah dah tak terjaga.  Belakang rumah dah jadi hutan.  Tidak ada sebarang kenderaan di hadapan rumah.  Ke mana pak cik tersebut pergi?  Hidupkah?  Matikah?  Berpindahkah?  Bagi saya sewaktu kecil, berpindah adalah satu perkara yang pelik pernah dilakukan manusia.  Saya selalu tertanya-tanya kawan saya yang selalu berpindah-randah, bestkah berpindah?  Mereka cakap best. Tapi pada pandangan saya berpindah adalah sesuatu yang sangat menyedihkan sebab kita akan meninggalkan banyak nostalgia yang indah di kawasan tersebut.  Saya tak pernah tahu pun perpindahan kadang-kadang perlu dilakukan atas tuntutan-tuntutan semasa.

Apabila kita dah besar dan menjadi dewasa, pelbagai persoalan mengenai tindakan orang dewasa yang pelik-pelik pada pandangan kita sewaktu kecil terjawab.  Oleh itu, jadilah orang dewasa yang sejahtera jasmani dan rohaninya.  Moga menjadi inspirasi buat mereka yang masih kecil dan meninggalkan kesan yang baik kepada mereka.   Its good to know that you can make an impact on somebody’s live.

Sangat menyedihkan persekitaran sekarang tidak mengizinkan kanak-kanak untuk explore dunia masyarakat sekeliling.  Pelbagai bahaya menanti.  Sangat bahagia menjadi kanak-kanak dahulu.  Dunia pada penglihatan saya sangat luas.  Sangat-sangat adventure.  Adakah generasi akan datang dapat merasainya? Generasi kita yang akan corakkan.  So, please do not hesistate.  Create the wind of change.

~Vote for a better world to your kids~