Sunday, April 1, 2012

Pendidik sepanjang hayat

Dulu masa zaman sekolah rendah, waktu cikgu Shahidan sedang mengajar di depan, saya menjungkit-jungkit kerusi sambil memberikan perhatian kepada apa yang diajar.  Namun, malang tidak berbau, apabila saya menjungkit kerusi ke sebelah kiri untuk mengusik rakan di sebelah, saya terjatuh sekali dengan kerusi.  Mesti kita semua biasa dengan situasi sebegini kan?

Satu kelas berpaling ke arah saya, lantas saya cepat-cepat berdiri untuk mengcover keadaan.  Air muka saya serius jer.  Tapi, Cikgu Shahidan dengan slumbernya bertanya;

"Dapat?"

Saya pelik dengan soalan tersebut, dahi saya berkerut cuba memproses soalan tersebut.  Sekali lagi beliau bertanya;

"Dapat tak?"
"Dapat apa cikgu?"  Saya terus bertanya kembali.
"Dapat tak tangkap kogha (kura-kura) kat bawah meja?" 

Bila kawan-kawan dapat tangkap jer maksud cikgu, apa lagi, satu kelas gelak.  Saya?  Serius malu.  Merah padam muka.  Kawan baik saya di sebelah tak berani nak gelak.  Baru saya faham, cikgu sindir saya nak tangkap kura-kura sampai terjatuh kerusi.  Macam manalah beliau boleh terfikir nak kenakan saya.  Malu ada, geram pun ada.  Cikgu Shahidan ni ayat-ayat dia yang sinis sentiasa berjaya mengubah tabiat pelajar di dalam kelas.  Selepas tu, memang saya dah tak berani nak jungkit-jungkit kerusi dah.  Saya teringat sebab malam ni saya buat balik sebab nak usik sahabat di sebelah dan terjatuh.  Bila diingat-ingat kembali, memang pecah gelak, tapi pada waktu tersebut muka saya memang serius habis.  Memang jaga air muka.  Ada kawan saya yang suka gigit kuku sewaktu cikgu sedang mengajar kena sindir;

"Kenyang?"
Mesti kita akan tertanya-tanya, apa yang kenyang? Pastu bila kita blurr sesaat, beliau menyambung;
"Kalau tak kenyang gigit kuku jari, gigit kuku kaki plak."  
Memang lepas tu, kawan saya dah tak buat dah.

Setiap kali sebelum kelas bermula, beliau mesti minta kami berdiri dan tanya, siapa solat subuh pagi ni duduk, kemudian solat isyak.  Kagumnya, kami tak berani nak menipu.  Walaupun malu, tetap kami mengaku.  Sebelum habis kelas beliau akan mengajar kami zikir-zikir dan asmaul husna sampai loceng bunyi.  

Mungkin itulah beza pendidik dan pengajar.  Apabila niat seorang cikgu itu untuk mendidik, apa yang disampaikan akan sampai ke hati pelajar dan membentuk akhlak pelajar.

Selepas saya meninggalkan sekolah rendah, kadang-kadang bila ikut abah pergi ceramah PAS, terjumpa dengan cikgu dan beliau masih kenal saya.  Mungkin itu juga beza pendidik yang berfikrah dengan yang tidak.  Niat begitu tulus untuk mendidik anak bangsa mengenal Islam dan berakhlak dengannya.  Terima kasih cikgu. Walaupun Hari Guru lambat lagi, tapi kan penghargaan patut diberi hari-hari.

p/s: Tabiat boleh diubah, menegur dari hati akan sampai ke hati.

~susah sungguh nak fokus dengan esei...


No comments: