Monday, September 23, 2013

Hakikat dunia II

Saya ambil masa sebelum tidur malam ni untuk merefleks semula peristiwa yang saya tempuh hari ini. Semasa ianya masih berbekas di hati. Akhir-akhir ini, saya selalu mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti dakwah yang dijalankan oleh Majlis Dakwah GAMIS. Bermula dengan Simunjan pada bulan Ogos, hari ini pada bulan September di Gombak dan insyaAllah akan ke Cameron Highland pada bulan Oktober pula. Dan di tempat-tempat lain pada bulan-bulan seterusnya jika ada rezeki. 

Kadang-kadang, pertemuan kita dengan orang yang kurang bernasib baik berbanding kita lebih mudah menyentuh hati kita dan memberikan keinsafan betapa beruntungnya diri kita berbanding mereka. 

Roshidan. Seorang pemuda berusia 28 tahun tetapi memiliki pemikiran seperti kanak-kanak berusia 8 tahun. Dia datang duduk di kerusi berhadapan dengan saya semasa saya sedang bersihkan meja makan di dapur.  Disebabkan dia kelihatan seperti kanak-kanak berbanding seorang dewasa, saya mula berbasa-basi, tanya nama kemudian umur. 

’28 tahun. Tapi belum kahwin lagi. Tak nak kahwin.’

Saya tergelak dengan jawapan dia dan semakin tertarik nak tahu kisah hidup dia.  Dia pun macam suka bercerita. Sambil membelek-belek keychain yang tergantung di leher, dia bercerita seperti kanak-kanak sambil melirikkan senyuman yang lambat. 

Dia anak yatim piatu. Ayah dia meninggal dahulu sebelum mak dia 5 tahun lepas. Waktu dia cakap dia selalu teringatkan mak dia, dada saya sebak. Dia cakap dia selalu kopek kelapa dengan arwah mak dia semasa hidup. Sepintas lalu, nampak seakan-akan air mata dia bergenang sebelum dia alih cerita yang dia menghidap masalah buah pinggang. Buah pinggang dia hanya ada satu sekarang ni. Satu lagi sudah dibuang dan dia kena makan ubat selalu.

Saya akan bertambah sedih kalau dia sebatang kara. Tapi kurang apabila dia masih memiliki kakak dan abang yang masing-masing bekerja dan berkeluarga. Dia anak bongsu. Mereka masih mengambil berat kebajikan dia. Datang melawat dan beri duit serta beli ubat. Cuma kehidupan di situ kurang serba serbi. Kadang-kadang hari-hari makan sardin sahaja. 3 kali sehari makan. Sebak dengar.

Saya tanya, belajar apa di sini? Dia bagitahu belajar Al-Quran dan sembahyang. Saya cakap sembahyang tinggal tak?

‘Kadang-kadang penuh, kadang-kadang tinggal.’

‘Kenapa tinggal? Mana boleh tinggal.’ Dia hanya senyum sumbing sebelum berkata.

‘Kena sembahyang baru boleh doa kat mak. Baru boleh jumpa mak dan ayah dalam kubur nanti. Kalau tak sembahyang tak boleh jumpa.’

Hati bagai disayat dengar jawapan dia. ‘Kalau macam tu janganlah tinggal solat, kena sembahyang penuh.’
Apabila ditanya belajar sampai mana? Dia jawab darjah enam.

‘Kenapa tak sambung?’

‘Tak nak. Abang Shidan kena buli masa sekolah menengah dengan budak Cina. Dia tak mau hisap rokok, diorang belasah dia. Shidan takut nanti kena buli. Tak mau pergi sekolah.’

Saya boleh bayang keadaan tersebut. Dunia ni memang penuh dengan kesedihan. Orang yang dilihat lemah seringkali diambil kesempatan dan dilayan dengan buruk. Yang kelihatan tidak seperti manusia normal yang lain sentiasa diketawakan. Bahasa kasarnya dianjing-anjingkan. Saya memang benci sikap suka menganjing atau mengajuk cakap orang walaupun niat nak bergurau. Menyakitkan hati. Dia cakap nanti lepas kakak dia pencen, dia akan  jaga kakak dia. Kami berbual beberapa perkara lagi sebelum saya minta diri.

Daripada cerita-cerita dia, saya fikir dia kesunyian dan dahagakan perhatian. Perhatian yang saya bagi tu hanya menghilangkan kesunyian tersebut buat seketika cuma. Waktu saya sedang bersalam dengan peserta lain, dia panggil. ‘Akak dah nak balik?’ (Dia panggil saya kakak walaupun dia lebih tua banyak tahun).

‘Nanti datang la lagi.’ Memang ada nada pengharapan di situ. Selepas bergambar, dia panggil saya sekali lagi dan lambai. Sahabat mengusik cakap dia sukakan saya. Saya hanya mampu memberi telinga mendengar kisah hidup dia, bukan wang dan kasih sayang. Saya miskin, dia pun miskin. Tetapi keadaan saya lebih baik dari dia. Jadi jika dia gembira dengan perhatian yang saya bagi walaupun sekejap cuma, biarlah. Moga jadi kenangan indah buat dia. Dunia ni sudah cukup sedih untuk  kita melukakan hati orang yang lebih banyak kesedihannya berbanding kita.


Apa yang saya dapat simpulkan, dengan mendengar sebenarnya kita dapat gembirakan ramai manusia yang kekurangan perhatian. Jadilah pendengar yang baik. Wallahualam.

Saturday, September 14, 2013

Hakikat dunia

Hidup ini penuh dengan kesedihan…

Dulu masa sekolah rendah, ada sebuah keluarga tinggal betul-betul bersebelahan Masjid Jamek, Padang Menora. Rumah papan tu tersorok diapit oleh rumah batu bomoh patah dengan rumah batu Penghulu kampung. Kalau saya pergi ambil tandatangan Penghulu, saya berpeluang melihat rumah tersebut. Tapi tak berani nak dekati. Penghulu ada dua orang anak lelaki yang saya selalu nampak. Abangnya bisu manakala adiknya normal. Usia abangnya mungkin sebaya saya. Kalau dia nampak saya, kadang dia senyum, kadang dia melarikan diri.

Rumah papan di sebelah masjid tu dihuni oleh sepasang suami isteri yang memiliki 3 orang anak. Seorang anak lelaki dan dua perempuan. Anak sulungnya yang lelaki terencat akal. Begitu juga adiknya yang kedua. Kawan saya yang bagitahu. Ada yang cakap adiknya yang bongsu terencat juga, ada yang kata normal. Tapi mereka tetap ke sekolah dan belajar seperti mana murid-murid lain belajar. Saya selalu jumpa mereka semasa sekolah Arab waktu petang. Abangnya tua beberapa tahun dari saya. Nazri dan Nazirah. Mereka berdua selalu jadi mangsa buli. Selalu diketawakan. Tapi mereka hanya ketawa balik. Macam tak ada apa-apa.

Pernah satu masa, waktu saya naik ke kelas, kebetulan Nazirah berada di koridor. Waktu tu hujan. Ada beberapa orang pelajar lelaki sedang ketawakan dia. Saya hampiri mereka. Saya ingat saya marah mereka sebab ketawa dan ganggu dia. Salah seorang dari mereka kemudian bagitahu dia makan tahi kelawar. Ada pula yang bagitahu kawan mereka yang suruh dan dia ikut. Memang di koridor tersebut ada tahi kelawar menitik jatuh dari bumbung apabila hujan. Saya lagi bertambah marah sebab mereka tak halang dan hanya ketawakan dia. Saya tarik dia pergi. Pergelangan tangan dia kecil sahaja, macam pegang tulang. Saya dah tak ingat apa yang berlaku seterusnya. Dia hanya ketawa sedangkan saya hampir nak menangis lihat keadaan dia…

Kemudian saya dah tak jumpa mereka. Saya berhenti sekolah Arab semasa darjah 5 untuk beri tumpuan kepada UPSR dan mereka pula jarang-jarang datang sekolah kebangsaan. Kadang-kadang saya terjumpa mak atau ayah mereka mengayuh basikal. Air muka mak dia lembut dan mudah tersenyum. Tapi air muka ayah dia serius. Berwajah cengkung. Berita terakhir saya dengar mengenai mereka, Nazirah sudah meninggal sebab masalah jantung. Saya tak tahu apa terjadi kepada abangnya.

Dari kecil melihat kesedihan sebegini, saya jadi sensitif tengok orang kena buli. Kadang-kadang saya marah orang yang dibuli tu, kenapa biarkan diri dibuli? Kenapa tak pertahankan diri? Rasa macam nak lindung mereka walaupun mereka tak harap pun…nak mereka rasa yang ada orang peduli…tahu ada orang tak suka pun apa yang orang lain buat kat mereka… 

Dibandingkan dengan mereka, seharusnya saya berhenti mengeluh...