Showing posts with label cerita hati. Show all posts
Showing posts with label cerita hati. Show all posts

Wednesday, October 9, 2013

Selekeh Itu Pilihan


Baru nak seronok dia dah masuk gua balik. Jadi, bersabarlah sementara tunggu dia keluar.

Saya jarang sangat tegur atau nak komen pemakaian orang di hadapan tuan badan. Hakikatnya, saya tak peduli apa orang pakai. Selagi mana kainnya tidak terkoyak tanpa disedari atau menampakkan aib, tidak ada sebab untuk saya komen tentang pakaian yang dipakai. Tapi apabila saya tak kisah, tidak bermaksud orang lain tidak kisah dengan pemakaian saya. Ada sahaja yang menjadi pemerhati dan sedar perubahan penampilan saya. Bukan sekadar sedar, malah ringan mulut nak menegur.

Kadang-kadang ia menyinggung perasaan saya. Bukanlah maksudnya saya sedih, cuma saya macam nak cakap, selagi ianya menutup aurat, cuba buat tak nampak apa  yang saya pakai hari ni. Bagilah peluang saya jadi selekeh kejap.

Hari-hari saya dah jaga imej, satu hari saya nak selekeh itu bermaksud saya memang nak selekeh. Itu pilihan. Cuba timbang rasa sikit. Kalau seseorang itu selekeh selalu setiap kali berpakaian, memang menjadi keperluan kepada kita untuk menegurnya agar mengubah cara berpenampilan. Tetapi kalau hari-hari memang seseorang itu sentiasa kemas dan pada satu masa dia selekeh, itu tandanya memang dia pilih nak selekeh atas sebab-sebab tertentu. Bukan dia tidak tahu sedangkan memang dia seorang yang menjaga imej. Sebab itulah kita tak boleh nak tegur ikut rasa kerana kita tak tahu keadaan dia. Saya berfikir sedemikian.

Kalau saya pakai jubah tidak berseterika, seluar panjang terjulur keluar, tudung macam mak cik- itu tandanya memang saya nak pakailah. Dan saya sedar itu selekeh.

Dalam hidup ni, kita perlu faham prinsip peluang dan ruang. Manusia bukan robot. Mereka sentiasa menginginkan peluang dan ruang untuk mencuba sesuatu. Bagilah peluang dan ruang berikut sesuai dengan limitasi yang diletakkan dalam agama. Tidak perlu terlalu konservatif dan ortodoks dengan fahaman masyarakat atau norma sosial.

Sebagai contoh, kalau sesama wanita auratnya hanyalah dari pusat sehingga ke lutut, maka berilah kebebasan untuk dia memakai apa sahaja jika berada bersama wanita. Kenapa perlu dihalang dengan alasan tak sopan, malu, tak pernah dibuat orang dsb? Halangan hanya akan membawa kepada pemberontakan. Beri peluang dan ruang selagi mana ianya tidak melanggar batas syariat.

Dulu masa kecil-kecil, saya tak suka basuh periuk yang besar di sinki. Saya hanya akan basuh pinggan dan benda-benda kecil. Mak tak pernah paksa. Dia suruh tinggalkan yang besar biar dia yang buat. Itu merupakan ruang yang diberi sehinggalah saya bersedia membasuh semuanya tanpa disuruh. Dulu saya tak suka besiang ikan sebab busuk. Mak tak pernah tegur atau marah kata anak derhaka atau tak dengar kata atau apa sahaja. Dia bagi ruang sehingga satu masa saya yang buat semua dari besiang sehingga memasak. Sebabnya kalau saya tak buat yang ini, tidak bermaksud saya tak buat yang itu. Jadi dia bagi ruang. Saya pakai tudung sejak dari PASTI umur enam tahun. Masa Darjah Satu, ada satu hari mak bagi peluang saya tak pakai tudung satu hari ke sekolah. Balik dari sekolah Pak Ngah marah sebab tak pakai tudung. Sedangkan budak Darjah Satu bukannya baligh lagi. Orang dewasa tahu perkara ni. Lagipun, saya sendiri yang rasa pelik dan lebih selesa bertudung.

Bagi dia ruang untuk gagal sekali sekala, bagi dia peluang untuk berusaha lagi. Semua orang perlukan ruang dan peluang dalam hidup ni. Agar dia dapat memilih yang terbaik kemudiannya.

Apabila manusia diberi ruang dan peluang, mereka dengan sendirinya akan rela hati melakukan apa sahaja permintaan sebagai penghargaan atas timbang rasa yang seseorang bagi kepada mereka.

Jadi, saya perlukan ruang untuk selekeh juga sekali-sekala, sebab dengan itulah saya sentiasa bersemangat untuk kekal anggun berseri~ Alahh… selalunya pemakaian saya bergantung kepada urusan saya. Biasalah tu…wallahualam. Cubalah fahami diri ini



Saturday, September 14, 2013

Hakikat dunia

Hidup ini penuh dengan kesedihan…

Dulu masa sekolah rendah, ada sebuah keluarga tinggal betul-betul bersebelahan Masjid Jamek, Padang Menora. Rumah papan tu tersorok diapit oleh rumah batu bomoh patah dengan rumah batu Penghulu kampung. Kalau saya pergi ambil tandatangan Penghulu, saya berpeluang melihat rumah tersebut. Tapi tak berani nak dekati. Penghulu ada dua orang anak lelaki yang saya selalu nampak. Abangnya bisu manakala adiknya normal. Usia abangnya mungkin sebaya saya. Kalau dia nampak saya, kadang dia senyum, kadang dia melarikan diri.

Rumah papan di sebelah masjid tu dihuni oleh sepasang suami isteri yang memiliki 3 orang anak. Seorang anak lelaki dan dua perempuan. Anak sulungnya yang lelaki terencat akal. Begitu juga adiknya yang kedua. Kawan saya yang bagitahu. Ada yang cakap adiknya yang bongsu terencat juga, ada yang kata normal. Tapi mereka tetap ke sekolah dan belajar seperti mana murid-murid lain belajar. Saya selalu jumpa mereka semasa sekolah Arab waktu petang. Abangnya tua beberapa tahun dari saya. Nazri dan Nazirah. Mereka berdua selalu jadi mangsa buli. Selalu diketawakan. Tapi mereka hanya ketawa balik. Macam tak ada apa-apa.

Pernah satu masa, waktu saya naik ke kelas, kebetulan Nazirah berada di koridor. Waktu tu hujan. Ada beberapa orang pelajar lelaki sedang ketawakan dia. Saya hampiri mereka. Saya ingat saya marah mereka sebab ketawa dan ganggu dia. Salah seorang dari mereka kemudian bagitahu dia makan tahi kelawar. Ada pula yang bagitahu kawan mereka yang suruh dan dia ikut. Memang di koridor tersebut ada tahi kelawar menitik jatuh dari bumbung apabila hujan. Saya lagi bertambah marah sebab mereka tak halang dan hanya ketawakan dia. Saya tarik dia pergi. Pergelangan tangan dia kecil sahaja, macam pegang tulang. Saya dah tak ingat apa yang berlaku seterusnya. Dia hanya ketawa sedangkan saya hampir nak menangis lihat keadaan dia…

Kemudian saya dah tak jumpa mereka. Saya berhenti sekolah Arab semasa darjah 5 untuk beri tumpuan kepada UPSR dan mereka pula jarang-jarang datang sekolah kebangsaan. Kadang-kadang saya terjumpa mak atau ayah mereka mengayuh basikal. Air muka mak dia lembut dan mudah tersenyum. Tapi air muka ayah dia serius. Berwajah cengkung. Berita terakhir saya dengar mengenai mereka, Nazirah sudah meninggal sebab masalah jantung. Saya tak tahu apa terjadi kepada abangnya.

Dari kecil melihat kesedihan sebegini, saya jadi sensitif tengok orang kena buli. Kadang-kadang saya marah orang yang dibuli tu, kenapa biarkan diri dibuli? Kenapa tak pertahankan diri? Rasa macam nak lindung mereka walaupun mereka tak harap pun…nak mereka rasa yang ada orang peduli…tahu ada orang tak suka pun apa yang orang lain buat kat mereka… 

Dibandingkan dengan mereka, seharusnya saya berhenti mengeluh...

Sunday, June 23, 2013

Kebersamaan

Pagi tadi selepas Subuh, sahabat saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari seorang sahabat. Rupa-rupanya kakak sahabat tersebut yang telefon membawa berita sedih. Sahabat tersebut telah keguguran pagi itu dan sekarang sedang berada di hospital. Tujuan kakak dia telefon adalah ingin mendapatkan nombor telefon suami sahabat. Hendak dijadikan cerita, suaminya tidak dapat dihubungi. Mesti sedih apabila berlaku perkara tidak diingini tanpa suami di sisi.

Saya pernah dengar orang-orang tua di kampung bersembang, kalau isteri keguguran, suami yang paling teruk dimarahi. Alasannya tidak pandai menjaga isteri. Sudah ketentuan dan ujian Allah s.w.t buat pasangan, kita seharusnya redha dan tabah. Dan entri ini bukanlah untuk mencari salah sesiapa sebab saya jauh dari situasi mereka tetapi apabila berlaku perkara sebegini saya ingin mengetengahkan sikap orang-orang tua yang pernah saya lihat. Dis is how the typical society see the situation. Bagi orang-orang tua, mereka ada pemikiran dan sikap tersendiri terhadap perkara sebegini. Sewaktu kenduri anak bongsu Mak Lang, saya dapat tahu menantu perempuan Mak Lang baru-baru ini keguguran. Saya lihat Mak Lang bersungguh-sungguh menyesali sikap anak lelakinya.

"Dah tahu bini tengah mengandung, biar bini tu makan benda pedas-pedas." Dan disokong oleh mak cik-mak cik yang turut berada di dapur pada masa itu.

Dijadikan cerita isteri sepupu saya suka sangat makan pedas sehingga cabai melaka (cili padi) boleh dimakan begitu saja. Saya tak pasti dia tidak tahu sama ada dia mengandung atau tidak tetapi selepas dia makan makanan pedas, tiba-tiba dia mengalami turun darah/gugur. Tapi kandungan tersebut masih awal. Jadi Mak Lang ni punyalah marah kat anak lelakinya dan sehingga pada masa saya mendengar cerita Mak Lang, dia masih marah dengan sikap anak lelakinya yang dikatakan cuai. Tetapi sekarang mereka sedang menantikan kelahiran baru. Kalau fikir logik, kecuaian tersebut seharusnya salah diri sendiri sebab diri sendiri tahu keadaan badan. Rupa-rupanya orang tua tidak berfikir sebegitu dan mungkin ada benarnya. Psikologi isteri semasa hamil memang sangat bergantung sepenuhnya kepada sikap suami sepanjang tempoh kehamilan tersebut. Tambah-tambah kandungan pertama. Bagi mereka, suami seharusnya lebih tahu dan lebih sensitif berbanding si isteri yang mungkin keadaan psikologinya berbeza dari biasa dan kadang-kadang terlalu mengikut hati dan emosi. Beratnya tanggungjawab seorang pemimpin dalam memastikan kebajikan insan yang diamanahkan dilaksanakan dengan baik.

Melalui cerita sahabat, ada seorang rakan sekelasnya yang mengalami keguguran sebanyak 4 kali dan kelahiran 4 kali. Apabila diselidiki, rupa-rupanya si suami seorang yang panas baran dan tidak berlemah lembut dengan si isteri. Keadaan ini menyebabkan si isteri berada dalam tekanan sepanjang waktu kehamilan sehingga tidak lalu makan dan hanya bergantung kepada jus oren. Satu tindakan yang silap kerana jus oren adalah tajam. Kesannya dia keguguran kerana kandungan tidak kuat dan emosinya juga tidak stabil. Hanya pasangan yang pentingkan diri sendiri melihat mengandung ini masalah isterinya sendiri dan hanya boleh diselesaikan oleh si isteri. Nauzubillah...

Ada juga sahabat yang keguguran anak pertama, suaminya dikenakan perintah berkurung oleh ibu bapanya kerana melihat pentingnya suami di sisi untuk memberi sokongan moral dan bantuan bagi mengharungi saat-saat sukar ini. Orang-orang tua memang bertimbang rasa kerana memikirkan isteri atau menantu adalah amanah ibu bapanya kepada si suami dan keluarga mentua yang perlu dijaga. Apabila berlaku perkara sebegini, apa pandangan dan perasaan ibu bapanya? Anak aku tidak dijaga dengan elokkah? Baru saya faham perasaan mak yang belum serius nak melepaskan kakak. Dia lebih risau anaknya tidak dijaga dengan baik berbanding belum berkahwin. Selalu diulang-ulang;

 'Mak takut anak mak orang buat tak tahuan. Duduk dengan mak abah, bolehlah mak abah jaga, sampai kat tangan orang, dibuatnya lebih kurang, ishh...tak boleh nak fikir.' 

Kadang-kadang si suami mungkin sudah berusaha sehabis baik, tetapi mentua dan mak ayah melihat masih terdapat kelompangan di mana-mana yang akan dicari dan dijadikan modal bagi menyedarkan si suami bahawa dia belum cukup berusaha menjaga isterinya.

Mengambil nasihat Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man;

Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, manusia lazimnya suka menghabiskan banyak waktu untuk mencari siapa yang patut dipersalahkan – samada di tempat kerja, dalam hubungan keluarga, suami isteri mahupun persahabatan – sehinggakan kita terlupa pentingnya silaturahim antara manusia perlu dipellihara.

Sekali lagi, entri ini bukanlah berniat melihat salah manusia, cuma sekadar peristiwa tersebut mencetus penulisan entri sebegini berdasarkan penilaian manusia sekeliling. Kerana at the end of the day, Allah s.w.t lebih berhak menentukan segalanya... semoga mereka tabah. wallahualam. 

Membina kehidupan dengan seseorang yang hidup dalam dunia yang berbeza dengan kita memang merupakan satu ujian yang mungkin menjadi kunci keredhaan atau kemurkaan Allah s.w.t kepada kita. Jika kegembiraan mampu dikongsi, apakah apabila dalam kesedihan masing-masing membawa diri? I'll stick by your side until you are willing to talk dis out (ni solusi terbaik diharapkan oleh setiap wanita yang at certain times dia memang kurang waras- masa pregnancy, PMS dll).

Pendapat saya, hanya si suami layak membuat keputusan berkaitan isterinya tanpa dipengaruhi oleh padangan orang sekitarnya hatta ibu bapa, sahabat-sahabat, saudara-mara atau ustaz-ustaz. Logik jika sakit perlu mencari doktor, jika ada masalah perhubungan dalam keluarga, kaunselor lebih berautoriti kerana memiliki kepakaran khusus mengenai psikologi suami isteri. Jika tidak mampu berjumpa kaunselor, cukup sekadar suami tersebut berfikir sendiri dan seharusnya mengharap petunjuk Allah s.w.t. Bukan orang sekeliling yang dikhuatiri melihat dari sudut pandangan diri dan pengalaman peribadi dan lebih malang perasaan sendiri dan semestinya tidak mengetahui langsung peribadi isteri orang lain yang berbeza perangainya. Moga pasangan suami isteri yang diuji mampu kuat menghadapi ujian dalam rumahtangga.

p/s: Wanita ni kompleks perangainya. Hanya si suami yang tahu. Jadi sudah tentu tidak logik jika keputusan si suami terhadap isteri perlu ditentukan oleh orang luar yang tidak tahu perangai isterinya. It's so not fair. Lebih baik duduk tepi tasik dan fikir jalan penyelesaian daripada bersembang dengan orang sekeliling yang tidak ada kepentingan atau kerugian. Hmm... bagitahu awal-awal supaya boleh bersedia pada masa hadapan.
(thus, always wait until our heart's ok before we make any decision)

Sunday, June 16, 2013

Alam Kembara Bahagian I

1.39 a.m.

Malam ni saya mengembara ke Amazon sebentar. Seronok sebenarnya jungle trekking  ni. Ada sahabat saya cakap dia tak suka masuk-masuk hutan sebab nanti akan menyebabkan berpeluh. Saya tak pasti la saya suka ke tak, tambah-tambah jenis cerewet bab-bab tandas dan tempat tinggal, tapi itulah perkara yang saya tak dapat elak daripada lakukan. Dari kecil sampai besar. Kadang-kadang selalu berpesan kepada diri supaya serik, tetapi kemudian terlibat lagi. I guess it just couldn’t be helped. Semangat nak cabar diri dan keluar dari zon selesa itu tidak dapat ditolak sampai sekarang. Bila terlibat, rasa serik, bila keluar nak masuk balik. Mungkin terinspirasi dengan gambar abah yang jadi pengakap masa sekolah menengah.

Sekolah rendah

Ketika di sekolah rendah, saya masuk Tunas Puteri. Saya tak suka Puteri Islam sebab nampak sayoq kena pakai baju kurung. Bila naik sekolah menengah saya masuk KRS dan kemudian Bomba sebab tak nak aktif. Puteri Islam di Irshad aktif sangat sehingga masuk kawad ke peringkat kebangsaan. Habis hitam muka sahabat-sahabat masa tu. Tapi saya pun hitam juga gara-gara bola jaring. Itulah yang membuatkan saya insaf sehingga ke hari ni. Nak hitam senang, nak cerah balik punyalah susah. Naik Tingkatan 6 baru saya masuk Puteri Islam. Sebabnya bila duduk di sekolah biasa, Puteri Islam tak aktif berbanding persatuan beruniform lain. Punyalah saya nak lari dari terlibat dengan aktiviti lasak.

Seawal sekolah rendah Darjah 3 saya pernah terlibat dengan perkhemahan 3 hari 2 malam di sekolah. Tidur atas meja dalam kelas. Mandi di tandas sekolah. Malam pertama tak pasti saya menangis ke tak, tapi saya bersembang dan tak nak tidur sampai kena warning. Saya memang tak gemar aktiviti berkumpulan dulu hingga kini. Tapi melalui metod sebegini kita belajar erti kerjasama dan setiakawan. Apabila kita berkumpulan, kita kena tanggung kesusahan yang kawan kita buat, dan benda inilah yang saya tak suka. Ia melambatkan pergerakan. Dan itulah benda yang semua manusia cuba paksakan dan tanamkan dalam jiwa saya. Tak pasti pula keberhasilan usaha tersebut. Aktiviti ala-ala ragging juga, sebab dikelola oleh orang dewasa yang belia-belia dari mana ntah. Inilah pendedahan pertama.

Yang pastinya saya ni tak cemerlang tetapi tak corot. Banyak perkara yang saya tak mampu nak puaskan hati pihak urusetia. Waktu aktiviti berkumpulan ala-ala explorace, kumpulan kami agak terkebelakang berbanding kumpulan-kumpulan lain. Suruh belajar dalam kelas saya tak ada masalah, suruh buat praktikal saya selalu rasa kecewa dengan diri. Benda-benda yang saya tak suka dalam perkhemahan sehingga sekarang adalah kena buat logo, nama kumpulan, motto, visi, misi, trademark, cheers, bendera, dan akhir sekali persembahan kebudayaan pada malamnya. Semua ini aktiviti yang perlu dilakukan secara berkumpulan. Stress! Lagi stress bila benda inilah yang berlaku over and over again sepanjang jalan menuju kedewasaan ini kecuali satu perkhemahan yang memang saya suka stailnya. Lagi lagi stress apabila saya juga yang kena bagi idea dan menggerakkan kumpulan. Saya suka kalau saya tak terlibat dalam proses pembuatan keputusan dan jadi orang paling pasif dalam kumpulan (sometimes I hope I can do that). Tapi itu tak berlaku sehinggalah saya berjumpa dengan lelaki lelaki yang bertanggungjawab melalui TQ di universiti. Lama juga sementara nak tunggu tempoh tersebut.

Saya dipaksa untuk berfikir bagi survival kumpulan sejak dari kecil and it depressed me. Ada satu masa saya begitu bosan dengan orang yang tak nak memberi idea sehingga semasa Kursus Kepimpinan Sekolah Rendah Peringkat Negeri bagi melantik Ketua dan Penolong Pengawas Sekolah, kumpulan saya hanya buat pantun. Naik pentas, seorang baca satu dua pantun, then habis. Padan muka. Kumpulan Ketua Pengawas saya pada masa itu pula buat nasyid Keluarga Bahagia. Ok la dia berbanding saya.

Berbalik ke perkhemahan sekolah rendah, aktiviti yang sama dilakukan sampai sekarang ialah obstacle course, Operasi Burung Hantu dan mengambil tandatangan orang-orang tertentu. Waktu tutup mata dan berjalan mengharungi bawah meja dan bangku, kaki saya terluka dan berdarah sebab termasuk dalam longkang, tetapi saya diamkan saja.

Pantai Kerachut

Saya tak suka diprogramkan dan sentiasa menanti bila saya boleh programkan orang pula. Pantai Kerachut merupakan ujian saya semasa di Tingkatan 2. Terletak di belakang Pulau Pinang, dari tempat turun/jeti, kami perlu meredah hutan selama 2 jam untuk sampai ke belakang pulau. Ini saya suka sebab bukan aktiviti berkumpulan, jadi saya boleh berjalan di hadapan sekali dengan cepat. Tapi kadang-kadang kena tunggu orang yang lambat dan penat jadi perjalanan memakan masa yang lama.

Perkhemahan ini saya ingat pada masa itu adalah yang paling mencabar. Aktiviti kumpulannya agak lasak dan berbeza. Tidur dalam khemah dalam hutan, tandas di bawah tanpa lampu yang perlu dikongsi dengan lelaki. Ada hikmahnya sikap selalu nak awal ni. Sebabnya macam yang saya sebut sebelum ini, saya tak suka persaingan atau perebutan. Tapi apabila timbul persaingan, saya memang akan memberi saingan yang terbaik sekali. Sikap ni sentiasa menyelamatkan saya sehingga sekarang apabila tiba waktu kendiri. Tak perlu berebut dan beratur sebab selalu jadi antara terawal yang makan, bangun dan berkumpul. Dah tak peduli yang lain.

Antara aktiviti berkumpulan yang seronok adalah setiap kumpulan perlu mencari seekor katak di kawasan sungai berdekatan pada waktu tengah malam. Bercemperalah kami mencari. Kumpulan saya dapat menangkap katak terbesar sekali. Memang betul-betul besarlah sehingga saya fikir ini katak terbesar yang saya pernah tengok seumur hidup secara langsung. Dan memang betul pun. Kaki belakang dia sahaja sudah menyamai 2/3 jari saya. Jadi setiap kumpulan diminta untuk pegang katak ni. Cara pegangnya adalah dengan menggenggam kuat-kuat kaki belakangnya. Apabila tiba giliran saya, saya memang jujur geli gila dan tak nak, tapi diorang paksa juga. Pegang sahaja kaki katak tu, terus saya baling katak tu sebab geli sangat dengan kulit yang dirasai. Seram!! Tambah pula katak tu bergerak…Memang saya dah kecewakan kumpulan saya yang baru nak bangga dengan hasil tangkapan.

Waktu perkhemahan tersebut bersesuaian dengan waktu penyu naik ke pantai untuk bertelur. Tapi disebabkan ada sekumpulan pelancong berbangsa Cina yang berparti di tepi pantai pada malamnya sehingga ke pagi dengan botol arak, maka kami tak dapat tengok penyu. Habis rosak tandas-tandas dikerjakan pelancong tersebut. Teruk punya perangai! Kami tidak ada pilihan lain selain menggunakan tandas tersebut. Bagus juga ianya gelap, tetapi was was kondisi kebersihan diri. Dah la dalam tu juga nak diambil wuduknya. Pada masa-masa kritikal begitu, saya terfikir bertuahnya jadi lelaki. Bangun lambat pun dapat buat urusan dengan cepat. Kami tidak ada pilihan lain selain tidak mandi agar masa boleh dijimatkan.

Lagi satu kalau saya pergi program, benda yang saya tak suka dan tak boleh bertolak ansur adalah kalau urusetia ni buta adab dan agama. Lagi geram apabila tahu batasan tapi tak jaga. Saya memang protes! Meletakkan semua perkara ini di sebelah dengan alasan ini latihan/modul. Saya tetap tak setuju! Bagi saya, nak buat modul apa pun konon nak menjatuhkan ego haruslah dibuat berasingan. Penjatuhan maruah adalah tidak dapat diterima sama sekali. Kesalahan Mahathir dalam menjatuhkan DSAI adalah kerana beliau menyerang maruah DSAI. Berbanding dengan TPM beliau sebelum ini yang tidak pun menentang walaupun dijatuhkan, DSAI menentang kerana serangan tersebut dibuat ke atas maruah, bukan kreadibiliti kepimpinan.

Jadi semasa jungle trekking berkumpulan di dalam hutan, semasa hendak melintas sebatang sungai yang agak dalam, urusetia tidak membenarkan kami melintas menggunakan titi. Tetapi mereka mengarahkan kami untuk melintas menggunakan tali yang direntangkan. Bagi perempuan mereka boleh melintas menggunakan batang pokok dengan syarat dalam kedudukan berenang. Apa yang saya lihat amat memalukan. Sambil kami melintas urusetia melihat sambil ketawakan peserta yang berada dalam keadaan pelbagai. Saya tak rasa itu melawakkan dan saya tak benarkan rakan-rakan saya berenang. Tetapi mereka ni lebih takutkan urusetia berbanding memalukan diri sendiri. Apabila tiba giliran saya, saya duduk di atas batang pokok tersebut dan mengengsot perlahan-lahan ke seberang. Tindakan saya diprotes oleh seorang urusetia lelaki. Dia beri arahan supaya saya berada dalam posisi berenang. Saya cakap ‘tak nak’. Dia ingat saya melawak. Geram betul. Kemudian ada beberapa rakan saya yang ikut cara sebegitu dan urusetia pun malas nak campur. Bolehlah dicakapkan saya lebih rela mati berbanding menjatuhkan maruah sendiri di hadapan orang lelaki. Kalau di hadapan perempuan semua, saya tak kisah pun nak tungging terbalik. Tak suruh pun saya sendiri yang akan buat.

Semasa di kursus lain, kami perlu menaiki flying fox. Saya tak suka kami terpaksa memasukkan baju ke dalam seluar sebelum dipasang tali keselamatan. Keadaannya sungguh memalukan. Saya protes dan disuruh turun oleh pegawai yang menjaga aktiviti tersebut. Saya tak kisah pun, jadi saya turun. Tapi entah macam mana, seingat saya, saya berjaya juga buat flying fox. Sama ada pegawai tersebut diganti oleh yang lain atau saya ubah teknik memakai tali itu. Tapi dia tak paksa dan faham apabila dia dapat tahu saya dari Irshad.

Tapi saya pelik dengan satu perkara. Kenapa tidak ada lelaki yang mempertahankan maruah wanita apabila wanita terpaksa berada dalam keadaan yang pelik-pelik di program? Dibiarkan beraksi hingga terbuka aurat mereka. Mereka hanya diam membisu. Adakah mereka menganggap itu tidak apa? Adakah kerana wanita-wanita tersebut bukan adik, kakak atau isterinya? Adakah ia dianggap poyo kalau mereka bangun dan mempertahankan maruah wanita?Atau sebenarnya mereka memang suka tengok? Saya tak suka sikap lelaki sebegini. Kalau pun tidak mampu bangun mempertahankan, janganlah dipandang dan dilihat. Tahu pun nak isteri yang solehah, menjaga diri dan memelihara maruah. Tapi biarkan wanita lain dalam keadaan sehingga terjatuh maruahnya tak apa. Teruk punya perangai! Adakah lelaki-lelaki sebegini yang diharapkan untuk membela maruah wanita? Saya perhati sahaja perangai lelaki-lelaki sebegini. Ada satu ayat ganas orang Utara selalu guna untuk lelaki-lelaki sebegini, tetapi orang tua-tua sahaja selalu sebut, jadi saya diamkan sahaja. Tapi saya pernah terjumpa kisah Ustaz Hasrizal di BTN di mana beliau sangat menjaga maruah muslimat dalam kumpulannya. Terharu saya dan kagum dengan sikap tegas beliau!

Jadi disebabkan dari dulu saya melihat sikap lelaki sebegini, saya tidak ada pilihan lain selain memprotes apabila merasakan aktiviti tersebut merendah-rendahkan maruah seseorang. Biarlah orang marah atau maki. Ingat orang suka-suka macam korang. Persetankan dengan modul atau sekadar latihan! Inilah hikmah pengalaman dari kecil...

(manalah t-shirt merah hitam ni hilang...)

Ops, bersambung kerana tiba-tiba beremosi…

Tuesday, May 21, 2013

Rasa yang dicari


People are not interested to know about yourself. They just couldn’t care less. 5 minit pun sudah mencukupi untuk membuatkan orang di sekitar anda bosan mendengar perkembangan diri anda. Cuma politeness yang membezakan sama ada orang keep on listening and nodding, menguap, ubah topik atau diam tetapi mata tengok ke lain. Dalam hati mereka, ‘asyik dengar cerita ko jer, aku pun nak cerita pasai aku gak.’ Ini bukan persepsi atau judgement, ini adalah fakta psikologi. Dalam buku How to Win Friends and Influence People ada disebut fakta ini di awal cerita. Manusia merupakan makhluk yang pentingkan diri. In fact, memang kita kena dahului diri kita kalau dalam konsep Islam untuk perkara ibadah. Kalau ada satu sahaja telekung dan sudah masuk waktu solat, kita wajib solat dahulu dan tetamu kita dikemudiankan. Tetapi, dalam bab ini kita boleh pula dahulukan saudara kita~. Kalau dalam soal kahwin pun, kalau ada seorang calon yang kita redha dengan akhlaknya dan ibadahnya, kita wajib dahulukan diri kita walaupun ada kawan kita yang suka kat dia juga sebab kahwin ini ibadah (ni kutip dari filem Ketika Cinta Bertasbih).

Semua manusia di dunia ini kalau boleh nak orang dengar cerita dia saja. Dia tak nak dengar pun kisah orang. Tetapi lain bagi orang yang berniat mencari pengaruh atau bersahabat dengan seramai mungkin orang atas kepentingan tertentu. Mereka harus belajar mendengar. Oleh itu, dalam buku tersebut, perkara pertama yang anda perlu lakukan untuk memenangi orang di sekeliling anda dan mencipta pengaruh adalah dengan menjadi pendengar yang baik. Bukannya bercakap tentang kehebatan diri sendiri apabila mula mengenali seseorang. Persoalannya, sampai bila kita hendak jadi pendengar sahaja? Bukankah kita juga perlu didengari. Bagaimana kalau orang yang kita selalu pinjamkan telinga untuk dengar celoteh dia tidak pernah sekali pun nak menjadi pendengar kita?

Perlu diketahui, bukan semua orang boleh menjadi pendengar yang baik. Kalau semua orang boleh menjadi pendengar yang baik, tidak timbul nasihat be a good listener in order to be listened atau buku-buku mengajar cara menjadi pendengar yang baik. To be listened ini pula bukanlah perkara yang sama seperti mana yang kita lakukan. Sebagai contoh, kita mendengar masalah peribadi rakan. Sebagai balasan, kita mengharap dia pun akan berbuat perkara yang sama kemudiannya iaitu mendengar masalah peribadi kita. Konsep sebegini tidak terpakai dalam nasihat be a good listener in order to be listened. Kadang-kadang kita perlu menjadi pendengar sepanjang masa selama berkawan dengan seseorang sebelum mereka belajar mendengar. Ada yang kita sahaja menjadi pendengar sedangkan dia tak pernah mendengar. Oleh itu, tips ini hanya terpakai kepada mereka yang mempunyai kepentingan tertentu untuk sesuatu masa. Senang cakap, apabila kita selalu mendengar masalah seseorang, satu masa mereka akan senang menyetujui apa sahaja idea kita. Satu masa…dan untuk sesuatu perkara. Bukanlah seperti mana yang kita lakukan kepada mereka, mendengar apa sahaja cerita tentang mereka.

Oleh itu, ada satu konsep asas yang perlu ada bagi menguatkan seseorang yang hendak menjadi pendengar yang baik. Sense of belonging. Sense of belonging ini berada di tahap ketiga piramid Teori Keperluan Maslow sebelum mencapai self-esteem, iaitu orang yang yakin untuk mendengar kerana keperluan dia untuk didengari sudah dipenuhi. Oleh siapa? Adakah oleh kawan atau orang sekeliling yang dia belajar menjadi pendengar yang baik? Sudah tentu tidak. Bukan calang-calang orang yang boleh mendengar dan didengar. Ini hanya diperoleh jika individu tersebut sudah memiliki orang yang memenuhi keinginannya di tangga kedua. Dan orang tersebut mestilah seseorang yang membuatnya rasa love or self-belonging.

Contohnya, disebabkan mak kita di rumah seorang yang sentiasa mendengar masalah kita sama ada kecil atau besar, kita membesar menjadi seorang yang sihat dan positif jiwanya. Jadi dengan jiwa yang sihat dan positif tersebut, kita tidak ada masalah untuk menjadi pendengar yang baik walaupun orang tidak mahu mendengar cerita peribadi kita. Kerana kita merasa sudah cukup emak kita di rumah. Atau yang paling tinggi bagi seorang Islam ialah jika jiwa kita sudah merasa disayangi oleh Allah s.w.t dan kita yakin Allah s.w.t adalah Maha Mendengar, kita tidak ada masalah untuk tidak berkongsi masalah kita dengan manusia kecuali jika atas keperluan tertentu.

Dari mana nak cari love or self-belonging? Semestinya melalui Allah s.w.t., mak ayah, adik beradik, suami, isteri dan yang terakhir baru sahabat. To create self-belonging, relationship should be a win-win situation or there are give and take. Orang yang tidak didengari, tidak boleh mendengar.

***

Pukul 12.30 a.m. tadi, saya baru pulang dari satu mesyuarat di ibu kota. Dalam mesyuarat tersebut, pengerusi majlis berminat nak dengar analisis pasca-pru 13 dari saya. Saya pun bentangkan secara ringkas walaupun saya tahu orang-orang di dalam mesyuarat tersebut lebih senior dari saya dan lebih berpengalaman. Saya pun tak sangka begitu besar impak orang yang ada latar belakang pendidikan politik ni. Sedangkan entah apa-apa yang saya ucapkan. Rasa kerdil. Tapi bukan itu persoalannya. Persoalannya, adakah ini to be listened di tahap self-esteem atau self-belonging? Ini tahap self-esteem.

Saya didengari kerana pencapaian saya atau saya dihormati oleh orang lain. Rujuk dalam gambar. Bukan kerana mereka sayang saya. dan bukan ini yang saya nak sangat. Bila-bila masa saya boleh dapat.




Jadi, siapa yang sayang saya? Itulah yang saya nak tahu. Selain daripada Allah s.w.t yang Maha Penyayang, mak abah saya yang jauh…siapa lagi? Mereka dan saya itu perlulah developed self-belongingness atau love. Oleh itu, tadi saya gatal-gatal mulut tanya seorang sahabat serumah sebelum pergi ke mesyuarat.

‘Sejauh mana kepentingan saya kepada awak?’

Dia gelak.

‘Kenapa tanya soalan macam tu?’

‘Jawab je la.’

‘Kalau Ayu, Ayu jawab apa?’

Ditanya saya pula.

‘Tak pa, fikir dulu. Nanti aku balik mesyuarat, aku nak dengar jawapan.’

Sekali dia sudah tidur masa saya pulang dari mesyuarat. Tak pasal-pasal sahabat lain yang kena provok. Dan saya belum jumpa jawapan yang baik.

Kita boleh jumpa sahabat baik. Tak perlu cari. Waktu berkawan-kawan masa sekolah menengah atau di universiti, masa tu lah kita kenal perangai dia. Kalau perangai dia tak serasi dengan kita selepas 2, 3 hari bersama di mana tidak wujud self-belongingness, kita boleh tinggalkan dia dan berkawan pula dengan orang lain sehinggalah kita boleh bersama dengan seorang sahabat yang memang sehati dan sejiwa. Tapi kalau sahabat sehidup semati memang kena cari betul-betul. Kena jelas kepentingan bersama supaya hubungan tersebut kukuh dan bukan sekadar eksperimen. 

Kenapa saya tiba-tiba terfikir tentang perkara ni?


***

Hari ni last treatment gigi saya dekat Dr.Mun. Lebih setahun saya membuat rawatan dengan Dr.Mun. Ulang alik dari UKM ke bangunan MPAJ sehingga dia pun sudah di tahun akhir dan saya mengambil sarjana.

Waktu dalam perjalanan ke sana, saya membuat pertukaran LRT ke Ampang di Chan Sow Lin. Semasa masuk dan duduk di tempat duduk kosong, ada sepasang suami isteri Cina turut memasuki koc yang sama. Kelihatan sudah terlalu tua pasangan ni. Si isteri agak bongkok dan si suami bertongkat. Jalan pun perlahan. Sewaktu si isteri duduk di tempat duduk bertentangan dengan saya, dia menepuk-nepuk tempat duduk kosong di sebelahnya sebagai isyarat kepada si suami. Mak saya pernah tunjuk isyarat sebegitu juga waktu dia cakap ‘Lai, chi peng’ yang membawa maksud ‘mari, duduk sini.’ Saya kira kalau dia Hokkien, dia pun akan cakap ayat serupa. Si isteri bukan sekadar menunjukkan isyarat, bahkan menghulurkan tangan kepada si suami yang menyambut sebelum duduk di sebelah isteri. Saya perasan tangan si suami terketar-ketar sebelum memegang besi di sebelah tempat duduk. Mungkin Parkinson.

Tiba-tiba saya rasa sebak sehingga ke hidung. Bukan sebab sedih, tapi terharu. Cepat-cepat saya alihkan mata ke buku yang dibaca-Kumpulan Fokus Subky Latif Isu 1977. Saya terfikir, ketuaan mereka tidak menjadi penghalang pun untuk mereka pergi ke mana sahaja berdua. Tidak malu pun dengan kedhaifan diri pasangan. Bila dah ok, saya curi-curi pandang kedua pasangan ni. Saya lihat si isteri tidak berhenti berborak perlahan dengan si suami sambil bibir sentiasa senyum. Saya lihat dia yang lebih banyak bercakap dan sekali-sekala sahaja direspon oleh si suami bila ditanya. Saya terharu kembali. 

Itulah self-belonging yang mewujudkan pendengar dan didengar yang terbaik tanpa dipaksa. Sesuatu yang jarang saya lihat kepada arwah tok dan tok wan saya sama ada sebelah mak atau abah. Saya boleh katakan tidak pernah melihat mereka duduk berdua dan berborak-borak perlahan bersama. Kalau tok wan saya bercakap, tok lebih banyak mendiamkan diri di sudut lain ruang tamu. Saya boleh menangis kalau lihat tok dan tok wan saya duduk bersama sambil berpegangan tangan dan berbual. Selain dari waktu tidur, saya tidak pernah lihat mereka duduk berdekatan antara satu sama lain. Bukan tak sayang, tetapi mungkin itu cara mereka. Mungkin mereka sudah memutuskan peranan masing-masing sepanjang hidup bersama- tok saya lebih suka jadi pendengar setia kepada tok wan saya.

Itulah self-belonging. Awak dan saya kepunyaan bersama sehingga awak adalah saya dan saya adalah awak dan kita memahami keperluan masing-masing. Rasa kepunyaan yang menguatkan jiwa. Saya melihat mereka berdua sebagai jasad yang terpisah sedangkan mereka berdua sudah menjadi satu. They complete each other. Ia satu pemandangan yang sangat indah dan menyentuh hati. Buat seketika, saya merasa seronok jika itu adalah saya…sebelum saya masuk kembali ke dunia Subky Latif.

So, keep on praying and looking.

(bersanding di usia tua lebih membahagiakan berbanding di usia muda)

Thursday, March 28, 2013

Hadiah


Saya suka hadiah.  Sebab? Sebab hadiah merupakan satu pemberian seseorang kepada kita tanpa dipinta.  Tidak kisahlah walau hadiahnya hanya sekeping kad atau sekuntum bunga yang dipetik di tepi jalan.  Sejak saya mengenal erti hadiah atau pemberian tanpa dipinta, saya simpankan semuanya dalam almari belajar saya.  Dari sekolah rendah sahaja, pelbagai pemberian yang saya simpankan.  Dari sepucuk surat, keychain, sehinggalah kepada hadiah-hadiah yang mahal pada masa itu.  Penuh almari dengan koleksi.  Tambahan pula, kanak-kanak selalu seronok meraikan sahabat baik.  Masing-masing akan ingat tarikh lahir dan beri hadiah.  Kalau dia beri, kita akan beri kembali pada hari lahirnya.

Naik sekolah menengah, hadiah tidak sebanyak sekolah rendah kerana nak beli hadiah kena consider harga.  Malu pula kalau beli barang murah.  Jadi, kadang-kadang hanya memberi kad.  Tapi, selalunya sahabat-sahabat sekolah menengah lebih mementingkan nilai-nilai sentimental kepada benda-benda yang bukan hadiah pun, tetapi pemberian secara tidak sengaja.  Kadang-kadang bungkusan coklat pemberian kawan pun disimpan.  Penuh laci dengan bungkusan coklat Van Houten.  Waktu ada kakak angkat, ada sahaja kad-kad ucapan dan kata-kata semangat yang diselitkan di bawah plastik meja dalam kelas.  Seronok.  Waktu Apple Day saya dapat buah epal pemberian oleh adik-adik yang sengaja tidak diberitahu nama kononnya secret admirer.  Saya selitkan daun epal tersebut dalam diari. 

(hadiah daripada pelajar-pelajar KAFA)

Semakin dewasa, nilai hadiah semakin tinggi.  Bukan sebarang orang kita akan beri hadiah.  Kalau dahulu, kawan sepermainan pun kita beri hadiah, apabila dewasa, hanya orang yang betul-betul kita hargai dan menghargai kita yang kita akan berikan hadiah dan peroleh hadiah daripadanya.  Hadiah-hadiah yang diberikan terasa sayang untuk dibuka, jadi saya simpankan dalam almari baru yang disediakan mak sebab dah semakin banyak harta karun dalam bilik.  Memang penuh dengan pemberian dan hadiah yang saya susunkan atas rak dan almari. 

Semasa pergi ke Kem Smart Solat di Nilai baru-baru ni, selain mendapat saguhati daripada pihak pengurusan di sana, seorang daripada ibu peserta menghadiahkan saya kain sari dari India sebagai penghargaan kerana menjaga anaknya.  Terharu saya kerana ia merupakan hadiah peribadi daripadanya. 

(hadiah dari Kem Smart Solat)

Itu hadiah daripada manusia.  Bagaimana dengan hadiah daripada Tuhan?  Memang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.  Ada satu-satu masa apa yang saya pinta hanyalah sesuatu yang biasa dan kecil.  Tetapi Allah s.w.t telah anugerahkan sesuatu yang lebih istimewa.  Sangat berbeza mendapat apa yang dipinta dengan mendapat apa yang dihadiahkan.  Selalunya kita malu untuk meminta sesuatu yang kepada kita tidak selayaknya untuk diminta walaupun kalau kita dapat memanglah kita akan gembira tak terkata.  Itulah yang terjadi apabila Allah s.w.t mengurniakan hadiah yang tidak disangka.  Macam kita minta sekuntum bunga mawar, tetapi seseorang hadiahkan satu taman kepada kita.  Mak cik-mak cik di tempat kem memarahi saya kerana tidak memberitahu mereka bahawasanya saya berpuasa.  Kalau tak mereka sediakan makanan khusus untuk saya.  Itulah saya, tak berani nak berlebihan dalam meminta, takut dikecewakan.  Tetapi dengan Allah s.w.t “Berdoa kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan bagimu”-(al-mukmin:60).  Kadang-kadang apa yang dipinta di mulut tidak sama di hati.  Dan Allah s.w.t Maha Mengetahui.  Ada sesetengah perkara yang tidak saya pinta di mulut tetapi di hati dan Allah s.w.t berikan.  Tetap saya masih menganggapnya sebagai hadiah kerana ia sesuatu yang saya tak pinta secara terus-terang tetapi Allah s.w.t tahu saya nak.  Kadang-kadang kita manusia pun boleh tahu apa yang dikehendaki sahabat walaupun dia tak pinta secara terus-terang.  Bahkan Allah s.w.t Maha Teliti urusannya.  Terima kasih ya Allah… Setelah bersyukur maka bersabarlah… (jadikan kami kuat bukan sahaja dengan kata-kata malah tindakan kami..). Jadi mintalah sebanyak-banyaknya daripada Tuhan-mu kerana Dia memiliki kurniaan seluas langit dan bumi.

Saturday, March 23, 2013

Ikutkan hati...

Keputusan tidak boleh diambil sewaktu kita sedang marah atau sedih... sebab nanti hasilnya akan kita kesali. Jadi orang-orang tua selalu nasihatkan, kalau marah, tidur. Everything will get better in the morning.

Tapi, kadang-kadang darah orang muda ni membuatkan saya teringin nak buat keputusan waktu saya sedang geram dan sedih ni. Bagai tak boleh ditunggu-tunggu sebab saya tahu nanti saya akan sejuk balik dan kembali melupakan sampai perkara tersebut berlaku lagi. It does not make any sense.  Hati ni kadang-kadang kita tak boleh nak kawal. Perasaan tersebut menerjah dengan tiba-tiba. Tiba-tiba saya rasa geram dan sedih dengan apa yang saya baca. Bukan salah sesiapa, tetapi kelemahan diri sendiri yang terbesar.

Kita tak boleh benci individu tetapi kita boleh benci sikap. Tetapi saya rasa macam nak hukum individu sekali apabila saya rasa marah... Rendah betul akhlak..

Kenapa dalam banyak-banyak kelemahan yang kita boleh terima terhadap sesiapa pun, ada satu kelemahan yang memang kita tak boleh nak hadapi?

Sahabat cakap, itulah yang ALLAH s.w.t nak uji... mana mungkin mengaku beriman andai tidak betah diuji? 
Mungkin Allah s.w.t nak tunjuk sebagai tanda mengingatkan... Ampuni aku ya Allah. Setiap kali pun begini...

Wednesday, February 15, 2012

Masih ada yang sayang

10:59 p.m.

Baru selesai mendengar luahan perasaan dari rakan-rakan.  Entah kenapa malam ni rajin pula yang menegur di FB untuk meminta pandangan dan nasihat dari insan kerdil ni.  Rasa bersalah sebab tak dapat membantu sebaik mungkin.  Sekadar mampu mendoakan semoga urusan mereka dipermudahkan.

Kalau mak ada di hadapan saya, kemungkinan dia akan menutup mata dan telinga saya.  Sebabnya dia selalu cakap saya terlalu banyak berfikir masalah orang lain sampai hilang fokus kepada masalah saya sendiri.  Antara beberapa masalah yang diadukan oleh sahabat pada masa yang sama:

Kes 1: Sahabat saya S hancur hatinya kerana ibunya nak rujuk kembali dengan ayah tiri yang pada pandangannya sangat bermasalah.  Pada masa yang sama, dia perlu menghabiskan pengajian yang telah ditangguh dan bekerja untuk menampung pelajaran.

Kes 2: Sahabat saya A keliru sama ada nak teruskan dengan bidang master yang sedang diambilnya atau tidak memandangkan dia tidak berminat dengan bidang itu dan kurang memahami asas subjek tersebut.  Nak kerja pula sukar nak dapat kerana persaingan sengit.

Kes 3: Sahabat saya F mendapat keputusan yang rendah dan memerlukan kata-kata semangat bagi menghadapi semester hadapan.

Saya hanya mampu memberi nasihat dan pandangan sebaik mungkin.  Nak counter tiga-tiga masalah pada masa yang sama memanglah kurang berkesan.  Tapi sekadar meraikan luahan masalah tersebut kerana orang perempuan selalunya meluahkan masalah bukanlah untuk mendapatkan penyelesaian tetapi untuk hilangkan beban yang menyesakkan dada.  Namun, saya cuba juga berikan beberapa penyelesaian yang dianggap dapat mengurangkan beban tersebut.  Mudah-mudahan.

Mendengar masalah hidup orang lain, secara tak langsung mendidik jiwa saya untuk belajar bersyukur dengan apa yang ada dan tidak terlalu memikirkan apa yang telah luput dari diri.  Bukan mudah.  Kita selalu merasakan kitalah manusia paling bermasalah di dunia sedangkan kalau kita bukakan mata dan melihat kiri dan kanan, masalah kita hanyalah seperti sisa-sisa makanan di celah gigi.  Tapi Allah telah berfirman, "Tidak aku bebankan jiwa seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"...Jadi setiap yang berlaku ada hikmahnya.  Malu dengan sahabat-sahabat yang sangat tabah mengharungi dugaan sedangkan saya masalah kecil pun sudah mampu merosakkan mood.  Contoh, baca novel yang tergantung ceritanya pun boleh buat saya marah.  Alahai, malunya saya.

Apa-apa pun, walau macam mana berat masalah yang kita hadapi, ketahuilah masih ada yang sayang (ni pesan mak).  Allah Maha Penyayang kan?

Tuesday, January 10, 2012

Satu hari yang bingung

Semua ni bermula dalam dewan exam dan membawa ke petang.  Orang cakap stress hanya untuk orang yang tidak berusaha.  Mungkinlah saya orangnya.  Sewaktu mula nak menjawab soalan, tidak semena-mena rasa mengantuk datang. (alah...normal la tu) Sehingga ke akhir waktu menjawab saya masih menulis dan memerah idea (alah...normal la tu).  Sehingga diberi amaran dua kali saya masih menulis (alah...normal la tu).  Sehingga datang pegawai exam ke hadapan meja saya, saya masih menulis (alah...normal la tu).  Sehingga saya diberi pandangan yang tajam dari pegawai-pegawai exam baru saya bergerak meninggalkan dewan (masih normalkah?...normal la kot).  

Singgah di masjid, ternampak Muein.  Senior sains politik.  Pastinya K.Adau ada bersama.  Saya bergegas masuk ke dalam masjid. Masuk ke dalam masjid ternampak susuk tubuh yang sangat dikenali berada di saf solat.  Tanpa pedulikan orang sekeliling, saya memanggilnya dan terus menapak laju lantas memeluknya.  Sewaktu berada dalam pelukan tersebut, rasa sebak meruntun jiwa menyebabkan saya menangis di bahunya.  Baru saya sedar betapa saya rindu kepadanya.  Sudahlah baru lepas exam yang sangat tragis, jumpa pula senior, bagaikan telah berjanji untuk berjumpa.  Tergamam dia.  Saya memang tak suka jadi senior, sangat ,sangat tak suka.  K.Adaulah orang pertama yang saya jumpa dan membawa saya mengenal ISIUKM, GM dan memberi bantuan saya dari sudut bahan kuliah.  Saya masih perlukan dia.

Sewaktu keluar dari masjid, cuaca masih panas. Autumn in my heart.

Ok, habis cerita jiwa-jiwa.  Maaf andai ruang blog ni sudah jadi seperti diari pula.

***
Petang menjanjikan sesuatu yang berbeza.  Bawa Sakinah mencari pos laju, sesat barat sampai nyaris-nyaris masuk ke lebuh raya.  Sepanjang jalan ketawa dengan kerenah masing-masing.  Singgah belanja Sakinah MFC sempena hari lahir dia.  Sewaktu sampai di rumah, belum hilang lagi letih tawaf satu Bangi;

"Kinah, jom pi Danau?"
"Jom."

Selepas Asar, bergerak ke Danau.  Sewaktu berenang, kelihatan pelangi petang di langit.  Subhanallah...sudah lama tak lihat pelangi.  Awan mendung mula berarak datang dan menumpahkan titis-titis air.  Dari titisan yang halus, titisan hujan semakin kasar dan lebat sehingga terpaksa keluar dari kolam.  Berlindung sebentar di bawah pokok kelapa menanti hujan berhenti.  Third round, kemudian bersiap-siap hendak pulang sebelum hujan kembali lebat dan tanda-tanda berhenti tidak kelihatan.  Bergerak pulang dalam hujan yang lebat.    Titisan hujan menampar-nampar wajah sehingga sukar mengangkat kepala.  Tetapi, hati rasa bahagia.  Akhirnya, bumi Bangi basah juga.  Tersenyum dalam lencun hujan membasahi.

Sekarang cuaca sudah bertukar.  Hujan turun.

Seperti mana cuaca, begitu juga perasaan.  Paginya sedih, petangnya gembira.  Tak dapat diramal.  Saya pun bingung dengan apa yang saya rasa, tetapi Al-Quran ada jawapannya;

"Dan sesungguhnya Dialah(Allah) yang menjadikan orang tertawa dan menangis"
(Surah An-Najm: 43)


Saya ada terjumpa sebaris kata nasihat sewaktu menjenguk isi kandungan buku yang dibaca penumpang sebelah di dalam kereta api sewaktu dia tidak ada di tempat duduk.  

"Terimalah segala perasaan yang dirasa seadanya.  Tidak perlu mengelaskan perasaan tersebut sama ada selesa, tidak selesa atau neutral.  Accept it as it is."


Kalau kita sedih, "ok, saya sedih. Begini rasanya sedih." "Ok, sekarang saya sedang geram, begini rasanya.  Awak (geram) boleh pergi sekarang." Begini kita akan mampu menghadapi hari-hari yang mendatang dan bebas dari perasaan kecewa dan ingin membalas perbuatan orang jika tidak seperti apa yang diharapkan.  Motto tahun ini

~Feel the freedom~

~Sedang cuba