Tuesday, March 6, 2012

Akhir sebuah Penantian

Alhamdulillah summa alhamdulillah...

Hanya Allah yang tahu kelelahan sebuah penantian.  Tak kisah bagaimana pun jawapannya, kepastian itu membunuh segala kerisauan yang bersarang di dada.  Sekurang-kurangnya ia mengelak dari terbinanya sebuah harapan yang palsu.  Selalunya benda yang kita mudah dapat dan tak perlu berusaha jarang kita hargai bila ia datang depan mata tanpa dipinta.  Reaksi dan tindak balas kita selalunya tidak diiringi dengan kesungguhan dan keseriusan.  Jarang kita syukuri.  Mungkin balasannya, perkara yang kita sangat-sangat nantikan dan harapkan tidak mudah kita peroleh.

Itu yang saya rasa sejak beberapa minggu kebelakangan ini.  Sebuah jawapan yang sangat-sangat saya tunggu tak kunjung tiba.  Setelah tawaran pertama yang datang saya tidak ambil serius, saya dibalas dengan sebuah penantian yang sangat melelahkan.  Mak di kampung turut merasa risau, berharap saya tak sedih selalu.  Saya tak sedih, tapi saya penat menunggu.  Mungkin doa dan pergantungan saya kepada Allah masih tidak cukup.

Tapi, jam 1.30 pagi tadi, penantian saya berbayar.  Sepotong email berisi jawapan sudah cukup menghilangkan keletihan dan kepenatan seharian bergerak ke sana ke mari menguruskan agenda jemaah.  Allah sungguh Maha Pemberi Nikmat.  Mata dan otak yang letih sebentar tadi bagai tak terasa. Isk..isk..Alhamdulillah.  Sempat sujud syukur sebentar.  Kemudian terus telefon mak, nak beritahu.  Supaya keletihan dan kerisauan mak pun akan hilang.  Tapi, memang dah agak, mak tidur pada waktu sebegini.

Perkara ini mungkin sebahagian melihatnya sebagai kecil, tetapi bagi saya, apa-apa sahaja urusan mengenai ijazah saya jika dipermudahkan, merupakan satu nikmat yang besar.     Harapan saya, agar saya dapat memberi fokus kepada agenda jemaah lain dan tidak mahu dirisaukan sangat dengan ijazah saya yang merupakan kelemahan saya.  Diterima untuk menjalankan Latihan Industri di Perbadanan Putrajaya merupakan sesuatu yang saya impikan sejak dari mula.  Bermakna, segala-galanya masih seperti yang saya rancang.  Dan semestinya dalam perancangan Allah jua.  Ia merupakan antara langkah kecil yang akan menghasilkan satu perjalanan yang masih jauh ke destinasi.  Alhamdulillah summa alhamdulillah.  Bagaimana perasaan mereka yang ditolak?  Allah, semoga Allah melapangkan rezeki mereka di tempat lain.  Tapi, sekurang-kurangnya, kepastian sama ada diterima atau tidak itu lebih melapangkan dada berbanding sebuah penantian yang tidak pasti sampai bila.    

1 comment:

Unknown said...

Alhamdulillah.... sy tumpang gembira... moga dipermudahkan segalanya..:)

_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me