Setelah lama tidak berbicara...akhirnya saya nak ceritakan pengalaman peribadi ke BERSIH 3.0 kali ini. Saya tak pasti bagaimana pengalaman mereka yang lain, tapi masing-masing punya pengalaman peribadi yang sememangnya akan diingati dalam lipatan sejarah hidup. Pengalaman kali ini memang menarik dan setiap yang terjadi menjadi bukti bahawa Allah s.w.t sentiasa menjaga hamba-Nya dan menolongnya melalui jalan-jalan yang tidak disangka-sangka. Sungguh, TIDAK disangka-sangka.
Kali ini perjalanan saya berbeza sedikit. Setelah tidak menjadi PIC bagi kumpulan mahasiswa, saya bergerak dengan sahabat, Ilyza. Dari petang saya bergerak dengannya dan selesaikan urusan-urusan orang dewasa (cewah), macam kongsi gelap pun ada. Akhirnya setelah selesaikan tugasan di checkpoint terakhir, kami bergerak untuk berehat di rumah Ilyza. Seharian tidak makan, saya buat macam rumah sendiri memasak di rumahnya tengah-tengah malam.
Selepas solat Subuh, saya duduk di birai katil dan terdetik di hati. Apa persediaan yang telah saya buat? Saya rasa BERSIH 3.0 kali ini saya kurang bersedia. Tidak seperti BERSIH yang lepas. Kali ini saya bermula dengan zero sedangkan beberapa jam lagi kami akan bergerak. Mungkin sebab tidak bersama kumpulan mahasiswa. Tambah pula, ini pengalaman pertama Ilyza, jadi sayalah yang seharusnya lebih bersedia. Tiba-tiba saya dapat mesej list barang yang perlu dibawa. Pucuk dicita, ulam mendatang...
Dipendekkan cerita, kami bertolak dalam jam 10.30 pagi. Bermula dengan Bismillah, kami mula bergerak menaiki kereta Ilyza. Seperti yang dijangkakan, setiap laluan ke Dataran Merdeka ditutup. Jadi, kami harus memarkir kereta di mana-mana dan berjalan. Di kiri kanan jalan kelihatan kumpulan-kumpulan manusia memakai baju kuning sedang bergerak menuju ke tempat yang sama.
Kami mengikut sekumpulan uncle berbangsa Cina yang juga menuju ke Sogo supaya berkumpulan dan tidak berdua-duaan sahaja. Tambahan pula, kami ni wanita. Tiba di hadapan bangunan Sogo, kelihatan barisan panjang polis yang menghalang laluan ke DBKL. Tidak kelihatan wajah-wajah yang kami kenali, jadi kami cuba mencari jalan untuk bersama-sama kumpulan mahasiswa yang berada di DBKL. Satu-satunya laluan yang tidak ditutup ialah laluan LRT. Walaupun terpaksa berjalan jauh, kami berjaya bersama mahasiswa dan wajah-wajah yang dikenali berjemaah Zohor di atas jalan. Satu pengalaman yang menarik.
Disebabkan cuaca panas, kami mengambil keputusan berada di bawah jambatan yang lebih teduh. Tak sangka tempat ini bermula segalanya. Bagai terhidu-hidu bau gas pemedih mata bercampur dengan garam dan air. Rempuhan pertama beribu-ribu manusia. Disebabkan saya belajar dari pengalaman lepas agar tidak panik yang menyebabkan kita hidu terlalu banyak gas dan menyebabkan kita hilang arah, saya cuba untuk menahan nafas. Namun, belum sempat saya bergerak meninggalkan tempat tersebut dengan Ilyza, rempuhan manusia bagai air yang mengalir. Tak dapat ditahan-tahan. Nasib baik saya berada di belakang pokok. Akibat rempuhan manusia yang panik, saya terjatuh ke belakang. Semasa saya cuba bangkit, ada seorang wanita yang berbadan besar nyaris-nyaris menindih saya. Saya menahannya dengan sebelah tangan, dan sebelah tangan lagi cuba menolak diri untuk bangun bagi mengelak ditindih. Di kiri kanan, saya dengar jeritan lelaki, "Woi, ada perempuan!" Saya hargai mereka tak cuba angkat saya tapi mengawal manusia yang berlari ke arah kami. Sebab saya tak nak alasan darurat menyebabkan senang-senang sahaja mereka nak pegang. Saya tak menjerit, malah tak bersuara sebab saya sedang mengawal pernafasan. Masa itu, gas mula memenuhi kawasan. Dan saya tahu kami kena bergerak cepat. Ilyza menjerit-jerit nama saya dan cuba membantu saya bangun. Pada masa itulah, saya terpaksa melepaskan kasut yang ditindih oleh manusia-manusia yang panik. Saya tahu Ilyza dah terhidu malah tertelan banyak gas pemedih mata. Tambah pula, ini pengalaman pertamanya.
Secepat mungkin saya menarik dia dan dengan fikiran yang masih waras tetapi paru-paru yang terdesak memerlukan udara ke lorong yang selamat. Pergerakan rasa macam perlahan dan jauh. Air dari kolam berdekatan pokok sudah melimpah-limpah ke jalan. Saya yakin ramai yang terjun ke dalam kolam. Tapi kita perlukan udara lebih dari air.
Dari lorong tersebut kami bergerak mengikut kaki ke tempat yang lebih selamat dan tidak dihadiri gas. Di kiri kanan lorong, ada beberapa orang yang tercedera dan pengsan. Kami juga berselisih dengan Wan Azizah yang diiringi oleh anaknya dan seorang lelaki. Saya memang berstokin sahaja dan seluar sudah six inches deep with mud akibat terjatuh.
Tiba-tiba sekumpulan lelaki dalam 4 orang berpakaian serba hitam dan berkaca mata hitam datang menghampiri saya dan Ilyza. Muka masing-masing macam mafia dengan badan yang besar dan tinggi. Saya agak cuak waktu itu. Salah seorang daripada mereka menegur,
"Mana kasut?"
"Hilang," Saya menjawab ringkas.
Mereka gelak. Kemudian seorang yang lebih kecil dan memakai wayar seperti wayar telefon di belakang telinganya di antara mereka menyambung.
"Mari ikut kami,"
"Ke mana?" Ilyza membalas.
"Pejabat Agung PAS, kami bodyguard Tok Guru."
Saya ragu-ragu. "Bukan SB?" Mereka gelak. Kemudian, lelaki yang kecil mengeluarkan dompetnya dan menunjukkan kad keahlian PAS kepada saya. "OK?" Saya hanya melihat.
Disebabkan Ilyza yakin, saya pun ikut di belakang mereka. Dua di hadapan, dua di belakang antara kami berdua. Saya bertanya lagi, "Mana Tok Guru?"
"Kami dah bawa Tok Guru balik berehat pukul 2 tadi."
Selepas itu kami lebih banyak mendiamkan diri dan mengikut mereka. Mereka membawa kami melalui jalan-jalan shortcut. Saya cuak, tapi seperti tidak ada pilihan sebab dah terpisah dari sahabat-sahabat yang lain. Perhatian yang mereka berikan membuatkan saya cuak. Apabila saya yang hanya berstokin berjalan di jalan tar, salah seorang akan menyuruh berjalan di atas kaki lima. Takut terluka segala bagai. Err, tak perlu kot. Ada pula yang mencari-cari kedai kasut.
Semasa tiba di satu restoran Mamak, mereka singgah di kedai tersebut yang sudah dipenuhi oleh beberapa ahli PAS. Saya ingatkan kami dah boleh bergerak sendiri. Tiba-tiba mereka suruh masuk ke dalam kedai. Siap suruh order air lagi. Tiba-tiba, seorang daripada mereka meletakkan sepasang kasut di sebelah saya.
"Nah, pakai kasut ni dulu sementara nak beli kasut baru."
"Mana dapat ni?"
"Mana dapat ni?"
" Minta kat mamak kat belakang." Rupa-rupanya dia pergi cari kasut kat belakang kedai mamak.
Saya serba-salah, tapi malas nak bertikai, saya sarungkan kasut sementara tersebut. Besar sedikit dan macam seram, tapi lebih baik dari tidak mempunyai kasut. Saya simpan kasut tersebut dalam almari sebagai kenang-kenangan BERSIH 3.0.
Kemudian disuruh makan pula.
"Err, kitorang tak makan kat kedai mamak," Saya dah tak tahu nak bagi alasan apa selain itu.
"Ooo, tak pa, darurat...." Jawab salah seorang dari mereka.
Selepas itu, sepanjang berjalan kaki itu, hanya seorang pengawal yang celoteh nak ajak berbual. Nasib baik ada Ilyza yang merespon juga. Siap minta FB nak add. Bila saya cakap saya tak ada FB, dia renung saya lama-lama dan sepatah perkataan keluar dari mulutnya, "Temberang!" Dalam hati saya masa tu, " Dia cakap aku temberang??? Ingat aku ada hati nak melawak time-time ni?" Tapi disebabkan dia tak kenal saya, tambahan pula dia yang carikan kasut, jadi saya maafkan dia. Saya bukanlah tak nak respon, tetapi otak saya terlalu occupied memikirkan keadaan pada waktu tersebut dan sahabat-sahabat yang lain. Lagipun, suasana sebegini tidak sesuai untuk nak sembang-sembang benda-benda kecil. Err, kita bukan tengah makan angin kan?
Selepas tiba di Pejabat Agung PAS, kami berpisah dari kumpulan pengawal tersebut selepas berterima kasih. Memang satu pertolongan yang tidak disangka-sangka daripada Allah s.w.t. Memang kami dah sesat jauh sewaktu lari menyelamatkan diri. Tambahan pula, ada polis yang membuat tangkapan pada waktu tersebut. Mungkin disebabkan kita sudah betulkan niat sewaktu bertolak, jadi Allah lindungi kita. Apabila kita menunaikan hak Allah, maka Allah akan menunaikan hak kita pula. Mungkin berkat doa orang-orang tersayang. Terima kasih buat 4 orang pengawal yang tidak dikenali tersebut. Mungkin kalau nak kenal, kalau nampak yang berdiri di sebelah pimpinan-pimpinan PAS, merekalah salah seorangnya yang ada.
Adik saya yang mendengar cerita seperti menyesal sebab tidak dapat turun dan menjaga saya. Mak cakap, BERSIH 4.0 nak turun dan rasa...Err...tak perlu kot mak. Saya masih perlukan mak. Restu mak dah cukup. Allah akan jaga. Teringat waktu PRU-12, saya dan mak diescort tanpa sengaja oleh polis trafik sewaktu pergi melihat-lihat keadaan pilihan raya di Penanti. Dua di hadapan, dan dua di belakang dan kami satu-satunya kenderaan di atas jalan pada masa itu. Allah...Allah...Walaupun hanya rakyat marhaen, tapi Allah sentiasa menggembirakan hamba-hamba-Nya melalui pelbagai cara. Allahuakbar!
Jadi, bagi sesiapa yang tidak melihat keadaan sewaktu di BERSIH 3.0, tolong jangan judge lebih-lebih kalau setakat bergantung kat media. Jangan cakap banyak, turun dulu, baru tahu.
No comments:
Post a Comment