Jika mengira dari permulaan
kelemahan Khilafah Uthmaniyah iaitu pada 1889 sebelum jatuh sepenuhnya pada
1924 sehingga sekarang 2012, telah 123 tahun jarak yang umat Islam selepas itu
tempuh dan berada dalam ‘zaman kegelapan’ atau ‘zaman pencarian arah’. Kerajaan Uthmaniyah iaitu kerajaan Islam yang
terakhir terpaksa menandatangani pelbagai perjanjian dengan negara-negara
kafir. Wilayah-wilayah Islam dibahagi-bahagikan
kepada negara-negara kafir ini seperti membahagikan sebiji kek.
Tiada lagi peperangan yang
disertai oleh kerajaan Islam sama ada dalam Perang Dunia Pertama mahupun Perang
Dunia Kedua. Tiada lagi satu kuasa superpower atau khilafah yang melindungi
wilayah-wilayah Islam. Lebih malang
lagi, 500 juta umat Islam menjadi minoriti di negara-negara kafir tersebut. Terbiar tidak dibela. Nasib seorang wanita Islam yang jika diaibkan
mampu mengundang satu bala tentera yang kepalanya berada di satu kota dan
ekornya berada di kota asal hanya menjadi mitos buat generasi sekarang.
Selama 123 tahun berada dalam
zaman kemunduran tanpa pembelaan, produk-produk umat Islam yang dilahirkan juga
bagai hampas kelapa. Tiada
santannya. Hilang gahnya.
Bukankah ilmu dalam Islam itu
bersifat turun temurun dan diwarisi?
Apakah tidak ada yang mewarisinya dan mengikutnya? Apabila diajukan pada yang ahli, jawapannya;
Ilmu-ilmu kerohanian sahaja yang tidak pernah putus, memang diwarisi, namun
untuk dilaksanakan dalam keadaan kekuasaan bukan di tangan orang-orang yang
beriman adalah sesuatu yang mustahil.
Kita harus sedar hakikat sebenar bahawa umat Islam kekurangan cendekiawan,
sarjana dan para intelek.
Bagai tidak ada titik pertemuan
antara khazanah teknologi dengan kerohanian.
Tidak ada yang mampu menjalinkannya dengan baik. Tak sanggup untuk membenarkan sedikit sangat
ilmuwan Islam yang menguasai kepakaran teknologi dan pada masa yang sama
seorang ulama seperti mana Ibnu Sina, Al-Razi, Ibnu Khaldun dan lain-lain.
Bukan tidak ada usaha ke arah
tersebut, namun seperti akur kepada kenyataan bahawa produk umat Islam pada
zaman kemunduran hanyalah kemunduran juga.
Kita terputus dengan zaman kegemilangan Islam selama 123 tahun, satu
tempoh yang cukup lama untuk memandulkan pemikiran umat Islam. Mengongkong mindanya. Seperti tiada jalan keluar.
Dan saya juga sebahagian produk
zaman kemunduran Islam. Itu realiti yang
harus saya telan. Memikir dari skop yang
kecil, memang saya tipu kalau saya kata saya sedang menjalani kehidupan Islam
yang sebenar. Apabila difikir-fikirkan
kembali, memang hukum-hukum zaman kontemporari lebih longgar dan sesuai dengan
kehendak zaman. Islam itu
fleksibel. Tapi Islam menjadi fleksibel
apabila umat Islam tidak mampu menjalankan hukum asal. Sebab kita hilang kuasa. Kita lemah.
Dhaif. Macam harimau tua yang
hilang taring. Kalau gigit pun, hanya
rasa geli. Kita sendiri yang tak mampu
nak bawa Islam ke tempatnya yang sebenar.
Tak mampu nak tinggikan nama Allah.
Berapa kali Nabi kita
dihina? Berapa kali kita membalas? Kalau setakat share di Facebook yang
Yahudi juga buatkan, hmm… tak perlu kita nak rasa baik. Hidup kita bergelumang dengan jalan kehidupan
mereka yang kafir. Kita dengar muzik
alunan merdu suara wanita, kita menonton filem atau drama yang mana pelakonnya
tidak menutup aurat dan berbuat maksiat, kita makan makanan yang mereka makan,
kita berpakaian seperti mana mereka pakai, kita berhibur seperti mana mereka
berhibur, tapi dalam masa yang sama kita berada dalam gerakan Islam dan mengaku
nak bawa Islam dan mengecam perbuatan-perbuatan yang melanggar suruhan
Allah. Inilah kita. Produk zaman kemunduran.
Tak apa, tak perlu nak rasa bersalah atau
berdosa. Tak perlu selepas ini nak ubah
kehidupan 180 darjah. Terus nak tinggal Facebook, muzik-muzik yang melalaikan,
filem-filem maksiat walaupun mengikut ‘syariat’. Atau, tak perlu lepas ni nak cari hukum-hukum
yang memperlihatkan kita sedang menjalani kehidupan Islam yang sebenar. Nak cari hukum Facebook dibolehkan selagi tidak melanggar syariat, dengar muzik
dibolehkan selagi tidak lalai, makan makanan yang bercop halal walaupun
kandungannya meragukan tak apa, KFC dibolehkan sebab dah dimiliknegarakan, Nestle dibolehkan
sebab tak ada produk lain, percampuran lelaki dan perempuan dibolehkan selagi
tidak melanggar syariat. Tak perlu pun
semua itu, sebabnya kita kena faham, kita ni umat Islam produk zaman
kemunduran Islam. Kita tak ada kuasa bahkan
kekuatan pun untuk berubah, apatah lagi mengubah. Kita tunggu sahaja Allah menggantikan kita
dengan umat yang lain. Umat yang mampu menyatukan ilmu-ilmu intelek dengan kerohanian sekaligus mendepani kafir laknatullah. Umat yang mampu menjalani kehidupan Islam yang sebenar. Saya pun seperti
awak-awak semua, menunggu sebab rasa tak mampu.
Sebab saya sudah jauh ketinggalan dari kehidupan Islam yang sebenar.
Apa yang saya dan kalian mampu
sekarang ini adalah berbuat kebajikan walaupun sebesar biji sawi. Memiliki iman walaupun sebesar biji
sawi. Maafkan saya, coretan saya tidak
langsung ada unsur-unsur menyindir dan jauh sekali mengangkat diri. Sebab saya tahu, saya pun produk zaman
kemunduran Islam…Wallahualam.
No comments:
Post a Comment