Wednesday, October 3, 2012

Hujan di luar rumah


Beberapa minggu ni matahari sangat terik dan cuaca panas.  Nak keluar pun tak sanggup.  Prefer to be inside of the house all the time.  Keluar sahaja rasa macam kena heat-stroke.  Saya rindu kat hujan.  Utara dan Pantai Timur sekarang sudah musim hujan hujung-hujung tahun ni.  Kedah dah banjir.  Bestlah kanak-kanak di sana.  Mereka tak faham apa-apa pun.  Orang tua-tua sahaja yang susah hati bila banjir-banjir ni.

Dahulu kalau rumah sudah naik air, kami sekeluarga akan lari ke rumah Tok Jauh di Bukit Mertajam.  Itu yang bestnya.  Dapat balik rumah Tok Jauh sebelah mak.  Rumah Tok Dekat sebelah ayah di kampung seberang pun akan dinaiki air lebih awal daripada kami.  Tok Jauh duduk di kawasan tanah tinggi.  Tanah tinggi selalunya tak dinaiki air.  Kawasan bendang memang kawasan tanah rendah, jadi air mudah naik.  Tapi setelah banjir buruk pada tahun 2004, kerajaan telah memperbaiki sistem saliran dan perparitan.  Sungai Kulim di kampung diperdalamkan dan diperlebarkan.  Jadi, sehingga sekarang, banjir sudah tidak berlaku di kawasan kami.

Pernah sewaktu banjir, kami adik beradiklah yang sibuk mandi banjir dengan sepupu-sepupu.  Sudah tidak menghiraukan cakap mak;

“Mandilah banjir, air tu dah bercampur dengan air tahi pun nak mandi, tak geli ka?”

Untuk tak bagi mak risau, kami mandi di kawasan bendang di bawah pohon stoi tempat pengebumian Tompok dan anak-anak.  Naiklah rakit buatan daripada papan bulat yang merupakan tempat wayar elektrik digulung.  Sedang asyik bermain dan menumpangkan seramai mungkin penumpang, tiba-tiba datang penumpang yang tidak diundang.  Seekor ular air datang menaiki rakit buatan untuk menumpang barangkali.  Kasihan ular tersebut, kami semua tak sudi nak tumpangkan dia.  Jadi instead of ular tersebut yang dihalau, kami yang pakat lari tak cukup tanah dalam air daripada ular tersebut.  Pakat menjerit balik rumah sebab ada ular naik rakit.  Mak apalagi, tak bagi dah kami main-main air.  Air selalunya naik ke dalam rumah tak lebih dari paras betis.  Kalau rumah-rumah di kawasan Lebuh Banting yang masuk ke hujung kampung, air boleh menjangkau sehingga ke tingkap rumah. 

Selalunya hanya jalan kampung yang selamat dari dinaiki air sebab tinggi.  Jadi kereta akan diparkir di atas jalan siap-siap.  Pernah beberapa hari saya perlu memakai baju sekolah yang sudah diseterika dan kasut yang disiapkan di dalam kereta abah sebelum pergi ke sekolah.  Itu lah mak.  Banjir tetap tidak menjadi penghalang untuk anak-anak pergi sekolah.  Wajib pergi.  Kadang-kadang saya kesunyian di sekolah sebab geng-geng semua tak datang dengan alasan banjir.  Seronoklah mereka dapat main air puas-puas.  Kawan-kawan kampung saya semua pandai berenang sebab selalu mandi ban.  Saya sahaja yang tak pandai berenang sebab mak tak bagi mandi ban.  Nahas nanti.  Sekarang baru terkedek-kedek nak belajar berenang.  Abah ajar berenang di laut, tapi bila dah sampai laut tak mahu berenang sebab lebih suka naik pelampung…melalut pula~

Dahulu saya memiliki kepercayaan bahawa sekolah satu-satunya tempat yang tidak akan dinaiki air.  Walaupun kampung-kampung bersebelahan dinaiki air, sekolah tidak pernah naik air.  Malah sekolah jadi tempat tumpangan waktu banjir teruk melanda.  Tapi sewaktu di Irshad perkara tersebut tak berlaku.  Kelas saya dinaiki air bermula dari Surau Al-Ansori sehinggalah ke barisan makmal Blok A, Blok B dan Blok C.  Memang kami mengharungi air ke kelas tanpa membuka kasut dan stokin.  Kain pun tak berani nak angkat sebab ada pelajar lelaki yang lalu lalang.  Ada dalam kalangan pelajar perempuan yang berani menyelak kain sehingga ke paras yang tidak wajar memang akan disound oleh sahabat-sahabat saya.  Itu pun masih ada yang berani datang berselipar sahaja dengan alasan air.  Sampai sahaja di kelas, pakat duduk di belakang sebab jemur stokin dan kasut di bawah kipas angin yang berputar laju.  Pelajar lelaki selalunya tidak akan datang ke belakang.  Itulah untungnya sekolah agama, pelajar-pelajar lelaki dilatih untuk duduk di hadapan, bukan di belakang macam yang berlaku di universiti sekarang.  Macam mana nak fokus? Kesian...

Untuk mengubat rindu kepada hujan, tiap-tiap hari saya buka youtube dan mendengar sounds of rain and thunder.  Rasa macam hujan di luar rumah.  Terlupa mengenai cuaca panas di luar.  Tenang dan membantu saya untuk buat kerja sampai kadang-kadang terlena tanpa sedar.

No comments: