Saya suka hadiah.
Sebab? Sebab hadiah merupakan satu pemberian seseorang kepada kita tanpa
dipinta. Tidak kisahlah walau hadiahnya
hanya sekeping kad atau sekuntum bunga yang dipetik di tepi jalan. Sejak saya mengenal erti hadiah atau
pemberian tanpa dipinta, saya simpankan semuanya dalam almari belajar
saya. Dari sekolah rendah sahaja,
pelbagai pemberian yang saya simpankan.
Dari sepucuk surat, keychain,
sehinggalah kepada hadiah-hadiah yang mahal pada masa itu. Penuh almari dengan koleksi. Tambahan pula, kanak-kanak selalu seronok
meraikan sahabat baik. Masing-masing
akan ingat tarikh lahir dan beri hadiah.
Kalau dia beri, kita akan beri kembali pada hari lahirnya.
Naik sekolah menengah, hadiah tidak sebanyak sekolah rendah
kerana nak beli hadiah kena consider
harga. Malu pula kalau beli barang
murah. Jadi, kadang-kadang hanya memberi
kad. Tapi, selalunya sahabat-sahabat
sekolah menengah lebih mementingkan nilai-nilai sentimental kepada benda-benda
yang bukan hadiah pun, tetapi pemberian secara tidak sengaja. Kadang-kadang bungkusan coklat pemberian
kawan pun disimpan. Penuh laci dengan
bungkusan coklat Van Houten. Waktu ada
kakak angkat, ada sahaja kad-kad ucapan dan kata-kata semangat yang diselitkan
di bawah plastik meja dalam kelas. Seronok. Waktu Apple Day saya dapat buah epal
pemberian oleh adik-adik yang sengaja tidak diberitahu nama kononnya secret admirer. Saya selitkan daun epal tersebut dalam diari.
(hadiah daripada pelajar-pelajar KAFA)
Semakin dewasa, nilai hadiah semakin tinggi. Bukan sebarang orang kita akan beri
hadiah. Kalau dahulu, kawan sepermainan
pun kita beri hadiah, apabila dewasa, hanya orang yang betul-betul kita hargai
dan menghargai kita yang kita akan berikan hadiah dan peroleh hadiah
daripadanya. Hadiah-hadiah yang
diberikan terasa sayang untuk dibuka, jadi saya simpankan dalam almari baru
yang disediakan mak sebab dah semakin banyak harta karun dalam bilik. Memang penuh dengan pemberian dan hadiah yang
saya susunkan atas rak dan almari.
Semasa pergi ke Kem Smart Solat di Nilai baru-baru ni, selain
mendapat saguhati daripada pihak pengurusan di sana, seorang daripada ibu
peserta menghadiahkan saya kain sari dari India sebagai penghargaan kerana
menjaga anaknya. Terharu saya kerana ia
merupakan hadiah peribadi daripadanya.
(hadiah dari Kem Smart Solat)
Itu hadiah daripada manusia.
Bagaimana dengan hadiah daripada Tuhan?
Memang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Ada satu-satu masa apa yang saya pinta
hanyalah sesuatu yang biasa dan kecil.
Tetapi Allah s.w.t telah anugerahkan sesuatu yang lebih istimewa. Sangat berbeza mendapat apa yang dipinta
dengan mendapat apa yang dihadiahkan.
Selalunya kita malu untuk meminta sesuatu yang kepada kita tidak
selayaknya untuk diminta walaupun kalau kita dapat memanglah kita akan gembira
tak terkata. Itulah yang terjadi apabila
Allah s.w.t mengurniakan hadiah yang tidak disangka. Macam kita minta sekuntum bunga mawar, tetapi
seseorang hadiahkan satu taman kepada kita.
Mak cik-mak cik di tempat kem memarahi saya kerana tidak memberitahu
mereka bahawasanya saya berpuasa. Kalau
tak mereka sediakan makanan khusus untuk saya.
Itulah saya, tak berani nak berlebihan dalam meminta, takut
dikecewakan. Tetapi dengan Allah s.w.t “Berdoa
kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan bagimu”-(al-mukmin:60). Kadang-kadang apa yang dipinta di mulut tidak
sama di hati. Dan Allah s.w.t Maha
Mengetahui. Ada sesetengah perkara yang
tidak saya pinta di mulut tetapi di hati dan Allah s.w.t berikan. Tetap saya masih menganggapnya sebagai hadiah
kerana ia sesuatu yang saya tak pinta secara terus-terang tetapi Allah s.w.t
tahu saya nak. Kadang-kadang kita
manusia pun boleh tahu apa yang dikehendaki sahabat walaupun dia tak pinta
secara terus-terang. Bahkan Allah s.w.t
Maha Teliti urusannya. Terima kasih ya
Allah… Setelah bersyukur maka bersabarlah… (jadikan kami kuat bukan sahaja
dengan kata-kata malah tindakan kami..). Jadi mintalah sebanyak-banyaknya daripada Tuhan-mu kerana Dia memiliki kurniaan seluas langit dan bumi.
No comments:
Post a Comment