Sebagai satu selingan di tengah
kekalutan kempen pilihan raya, saya berkongsi satu pengalaman gerak kerja
bersama dua kelompok manusia iaitu muslimat dan pemuda. Cerita ni bukan nak membuka aib siapa-siapa,
tetapi satu isu yang saya lihat agak melucukan dan seringkali jadi bahan ketawa
saya dan sahabat sehinggalah ianya terbukti benar.
Perkara ni saya sedari semasa
saya diberi taklimat mengenai pergerakan kempen yang perlu dilalui oleh
muslimat. Kiranya ini sesi muhasabah
mungkin. Di akhir kalam para muslimat
yang saya kagumi, diselitkan satu amaran atau bahasa lembutnya peringatan
kepada kami wanita-wanita yang masih bujang ni oleh seseorang yang mungkin
sebaya atau lebih tua dari ibu saya.
Peringatan tersebut ditujukan
khusus kepada kami, wanita bujang ini agar menjaga tingkah laku dan tidak
terlalu melayan pak cik-pak cik atau pemuda-pemuda yang sudah berkahwin.
Dibentangkan kes bagi menyokong kerisauan yang mereka rasa. Semua mata-mata muslimat yang sudah berkahwin
tertumpu kepada kami yang bujang-bujang ni.
Saya rasa lucu isu merampas suami dibangkitkan dan kerisauan yang
ditunjukkan tapi saya pendamkan sahaja.
Mungkin ada benarnya. Tiada yang
lucu kalau wanita mula bercakap tentang suaminya.
Dua hari bergerak kerja dengan
pemuda saya nampak kebenaran kerisauan yang ditunjukkan. Kasihan isteri mereka. Baru dua hari bergerak
kerja, sudah sibuk bertanyakan pendapat kami tentang poligami. Entah apa yang ada dalam otak mereka. Selama 23 tahun hidup dengan abah saya, tak
pernah sekali pun dibangkitkan atau disebut isu poligami. Kalau disebut pun sebab saya yang bertanyakan
pendapatnya atau mak sengaja mengusiknya.
Ini baru dua hari. Kalau
menggunakan alasan orang jemaah memang macam ni, abah saya pun jemaah juga, pak
ngah saya pun jemaah, in fact
keluarga sebelah abah semua jemaah, tetapi isu poligami tak pernah bermain di
bibir mereka. Tak tahulah kalau sesama
mereka ada dibincangkan, tetapi tak pernah saya dengar hatta dalam bergurau pun
mereka membangkitkan isu ni semasa berkumpul di majlis keramaian. Pernah seingat saya ada satu kejadian yang
membuatkan saya terfikir, poligami tak pernah pun ada dalam budaya keluarga
saya. Ada seorang sepupu abah datang
dari jauh berjumpa dengan pak ngah saya.
Pak ngah saya merupakan lelaki sulung daripada anak sulung tok nek saya,
jadi saudara-mara hormat kepadanya dan sering meminta nasihat dan pandangan dia
dalam macam-macam hal sama ada berkaitan keagamaan atau kekeluargaan. Kebetulan isterinya pun ada bersama, sedang
sarat mengandung. Semasa sepupu abah
pergi ke rumah pak ngah, isterinya datang ke rumah kami. Berbual-bual dengan mak. Apa yang saya lihat kemudiannya, menimbulkan
tanda tanya. Isterinya menangis
teresak-esak semasa meluahkan sesuatu kepada mak saya. Saya hanya mampu memandang dari jauh dan
tidak mendengar butir perbualan. Tidak
lama kemudian, selepas mereka pulang, abah pun balik dari rumah pak ngah. Abah ceritakan kepada mak apa yang
berlaku. Rupa-rupanya sepupu abah nak
berkahwin satu lagi. Dengan seorang
janda muda. Katanya bagi mengelakkan
fitnah sebab dia selalu berurusan dengan janda tersebut. Tapi isterinya tak mengizinkan dengan alasan
keluarga yang ada sekarang pun tak tertanggung, inikan pula nak berkeluarga
baru. Jadi dia meminta pendapat pak ngah
saya. Abah bagitahu, pak ngah nasihatkan
dia supaya tak teruskan hasratnya.
Disuruh cari cara lain bagi mengelakkan selalu berurusan dengan janda
tersebut, atau jangan berurusan langsung.
Rumusan abah saya, “Isteri tengah mengandung, anak 5 orang kat rumah
kecil-kecil lagi dengan gaji pun tak besar mana nak kahwin lain. Nak bagi makan
apa?” Di situ saya dapat tahu, poligami
ni boleh dielakkan dan abah saya antara lelaki yang tak gian pun nak
berpoligami. Bersyukur sebab sepupu abah
mendapatkan nasihat daripada golongan yang tidak melihat poligami ini sebagai
penyelesaian utama masalah orang lelaki ni.
Sekali bersama, selamanya setia.
Jadi saya teramat pelik dengan lelaki-lelaki
yang umur perkahwinan baru beberapa tahun sibuk bercakap isu nak kahwin lain. Lagi geram apabila yang belum berkahwin sibuk
bercakap isu ni. Konon nak lihat
pemikiran wanita berkaitan isu ni.
Seronok mengusik orang perempuan dengan isu ni. Teruk betul pemikiran. Bagi orang perempuan, perkara ini bukan boleh
dibawa melawak. Kasihan mereka yang
dapat suami macam ni. Jadi apabila saya
diajukan pertanyaan sebegini, dalam otak saya terfikir..”Suami sapa lah ni?
Teringin nak tengok isteri dia.”
Teringat kes yang diberitahu oleh
muslimat kepada saya. Sebab itulah mereka
meletakkan perintah berkurung kepada muslimat supaya bergerak kerja hanya
sehingga waktu maghrib. Kebetulan
semalam kami terlepas sehingga malam kerana bergerak dari tempat yang jauh. Itu pun mereka dah mereng tanya soalan-soalan
yang rasa macam nak bagi makan kasut.
Selalunya lelaki orang yang terlebih berani tanya soalan pelik-pelik
sebegini. Kalau yang bujang tu diam dan
serius bekerja. Jadinya, isu yang
awalnya terasa lucu apabila dibangkitkan oleh muslimat terasa serius apabila
terlihat sikap-sikap sebegini. “Mula-mula
yang lelaki tu persist, kemudian
perempuan yang akan tentukan sama ada benda ni nak jadi atau tak.” Nauzubillah…
Kalau muslimat yang tua lihat
pemuda bujang teringin nak dibuat menantu, lihat muslimat bujang pula terancam
takut suaminya buat jadi isteri muda. Sudahlah
putih-putih, gebu-gebu katanya~Haila… lawak pun ada serius pun ada mak cik- mak
cik ni. Bagi saya, bersabarlah hati
dengan kerenah dua kelompok ni… 2 minggu sahaja lagi. Masa saya untuk calon
wakil rakyat sahaja sekarang ni, bukan calon suami.
No comments:
Post a Comment