Sunday, April 28, 2013

Ini kalilah!


Seminggu berkempen. Ops, tolak hari ni sebab beri peluang orang lain pula naik Hilux PAS. Antara rangkuman yang boleh dibuat ialah pengalaman berteori dengan berpraktikal sangat berbeza. Dan berpraktikal adalah yang terbaik. Malangnya, kempen pilihan raya pada malam hari sememangnya lebih meriah berbanding di siang hari. Dengan ceramahnya, melawat bilik gerakan, menyusuri pasar malam, kedai makan dan kuliah-kuliah di masjid, memang sangat berbeza dengan siang hari.  Dan selalunya yang memperoleh kemeriahan berpilihan raya secara maksimum ini tidak lain dan tidak bukan kaum lelaki. Mereka merupakan golongan yang paling bahagia kiranya saya lihat semasa pilihan raya sedang berlangsung. Bertugas, bermesyuarat, memasang bendera, menjaga bendera sehingga ke pagi. Pendek kata, hidup malam-malam kempen pilihan raya ni. Sebab itu Abby Abadi cakap rasa macam hari raya kemeriahan pilihan raya ni. Jadi tidak pelik jika statement wanita kurang suka bercakap atau melibatkan diri dengan politik dikeluarkan.  Kadang-kadang bukan tidak suka, tetapi keterbatasan untuk terlibat menyebabkan wanita kurang mencampuri urusan politik. Kecualilah kalau si suami jenis yang mengusung isteri ke mana sahaja aktiviti politik ada. Atau ayah mengusung keluarganya atau ibu bapa membenarkan anak-anak gadisnya keluar pada malam hari untuk bekerja di bilik gerakan atau mendengar ceramah. Selain dari itu, orang perempuan hanya mampu berkempen di dalam FB, blog atau sanak-saudara. Mendengar ceramah melalui FB dsb. Nak pasang bendera nanti kang ada yang kena ganggu pula.

Kalau di Pulau Pinang, semasa masih di sekolah menengah, tunggu abah bawa ke ceramah baru tahu tentang politik. Seringkali juga abah balik lewat malam sebab berkumpul di bilik gerakan atau memasang bendera. Dapat dengar sahaja cerita abah. Tetapi, situasi ni berbeza di Selangor. Mungkin kerana ibu bapa jauh di kampung, orang perempuan mudah keluar ke tempat-tempat ceramah secara berkumpulan dengan rakan-rakan kampus. Namun, masih atas risiko sendiri dan harus berjaga-jaga. Jadi, orang perempuan kurang yang turun ke padang pada malam harinya. Hmm… dari satu sudut, bagus juga. Nanti kalau orang perempuan sama naik dengan orang lelaki, timbul isu lain pula.  Walau bagaimanapun, dalam kes saya, saya rasa macam nak letak ketepi perbezaan jantina untuk sementara waktu. Banyak perkara yang saya nak lihat dan lalui sendiri pengalamannya. Jadi, melalui penglibatan diri dalam team calon, saya boleh observe dari dekat proses partisipasi politik masyarakat Malaysia. Semua ni sebab cemburu dengan orang lelaki yang boleh merempit ke sana ke mari pada malam kempen pilihan raya. Pada mulanya kempen yang diikuti hanya sehingga Maghrib akhirnya membawa sehingga ke lewat malam bersama seorang sahabat dan rakan perempuan yang lain dari team media. Memang berbeza saya lihat kemeriahan berkempen pada waktu siang dan malam. Keselamatan juga bukan atas risiko sendiri kerana ada yang memberi jaminan untuk mengawasi.

Beruntung kiranya diberi peluang sebegini. Dengan Hilux PAS, kami membelah malam menelusuri ceruk Bangi untuk menemani calon berkempen. Peranan kami adalah mendekati pengundi wanita sebab calon lebih memberi tumpuan kepada pengundi lelaki. Tetapi, kadang-kadang seronok sangat mengedar manifesto, terlupa diri sebentar. Jadi, adalah pengiring calon yang turut berperanan mengawasi kami. Ingatkan tak berfungsi mereka ni, rupa-rupanya serius juga apabila masanya. Antaranya, ada satu waktu calon sedang  berceramah lewat malam di Sungai Tangkas, akibat sudah mengantuk, kami berhasrat untuk pulang awal. Sekali kena marah dengan Pengarah Kempen sebab memikirkan kawasan tersebut merupakan kawasan hitam bagi parti-parti yang bertanding. Saya protes pada mulanya kerana cetek pengalaman. Seringkali saya merasakan tidak mungkin akan berlaku perkara yang pelik-pelik. Pilihan raya jer pun, kenapa perlu sampai gaduh-gaduh? Sekali dia cakap;

“Korang perasan tak kitorang pakai outfit macam mana malam ni? Korang rasa buat apa kitorang pakai macam ni?”

Saya menjenguk ke luar tingkap dan melihat sekeliling. Saya tak peduli pun diorang pakai apa. Saya pakai baju kurung macam biasa. Nisa’ kebanyakan kalau turun mesti berseluar. Saya tak gemar berseluar panjang di luar, jadi saya pakai apa yang saya rasa nak pakai. Keselamatan nombor 2. Agak naif sebenarnya, sebab itu saya dan sahabat dipanggil mak datin. Jadi, kami tunggu dalam kereta sehingga calon habis berucap sebelum pulang ke markaz. Memang sebahagian besar orang yang mendengar ceramah terdiri daripada lelaki dan hanya 10% wanita yang kelihatan. Jadi, perlu membiasakan diri dengan pengawasan dan keselamatan. Kebanyakan masa, kami hanya akan berada di dalam Hilux jika calon membuat lawatan ke bilik gerakan kerana rata-rata orang lelaki yang menunggu di situ dan memeriahkan suasana bilik gerakan. Cuma di Taman Kajang Putra kami turun untuk melihat hiasan yang dibuat oleh bilik gerakan tersebut. Memang macam nak raya.

Bilik gerakan di Bangi Lama pula dimeriahkan dengan penyokong India yang agak ramai sehingga menyebabkan saya sendiri merasa takut dengan sokongan yang ditunjukkan. Jadi, kami hanya menikus di dalam Hilux dan memerhati calon bergambar dan bersalam dengan mereka. Hanya semasa berada di kawasan perumahan mereka, kami turun bagi mengedarkan manifesto dan mendengar ucapan sebentar dari calon DAP. Itupun saya duduk rapat dengan auntie-auntie  2, 3 orang yang turut keluar mendengar kempen. Takut ada yang histeria pula nanti.

Di Taman Damai Mewah, Kajang, penyokong Cina memenuhi hadapan trailer DAP. Lebih kurang 3000 – 4000 yang hadir di ceramah yang menghimpunkan kesemua calon DUN bagi Parlimen Serdang. Waktu seronok melalui lautan manusia berbangsa Cina untuk mengedar manifesto, salah seorang pengiring calon muncul secara tiba-tiba dari arah yang tak disangka-sangka untuk membawa keluar dari lautan manusia. Entah bila dia ikut pun tak tahu sedangkan dia iring calon sebentar tadi.

“Nanti kena tinggal macam mana?” Kali ni saya patuh dan mengikut dia keluar dari lautan manusia sambil memanggil rakan yang lain. Kadang-kadang kita tak selesa diawasi, tetapi mereka lebih tahu tugas mereka. Jadi kebanyakan masa, mereka akan sentiasa ada di sisi. Bagus juga kerana ada satu-satu waktu mereka boleh jadi penyelamat keadaan. Semasa di Seksyen 1, ada seorang mak cik yang datang komplen mengenai jalan yang berlubang kepada saya. Belum sempat saya menjawab, in fact saya tak tahu pun nak jawab macam mana, pengiring calon yang jawabkan. Tetapi mak cik tersebut masih tak berpuas hati dan membebel sehingga membuat komplen di Bilik Gerakan Seksyen 1. Dia yang kena attack, bukan saya. Jadi, saya selamat. Bukanlah saya nak menyelamatkan diri sendiri, tetapi dia yang nak bertanggungjawab. Sebab itulah dia jawab.

Itu antara pengalaman saya selaku orang perempuan yang berpeluang terlibat secara langsung dengan kempen calon lelaki. Kalau calon perempuan saya dengar lain halnya. Seharusnya ada juga pengiring lelaki yang mengiringi mereka ke ceramah-ceramah atau kempen seperti mana Nurul Izzah. Ini ada yang saya dengar calon sendiri yang memandu ke tempat-tempat kempen. Kadang-kadang diherdik dan diusik semasa berkempen. Saya dipermudahkan mungkin kerana masih hijau dalam politik tanah air dan bukan sapa-sapa. Tambahan pula, kawasan Bangi bagi saya rata-rata penduduk berfikiran terbuka dan berilmu. Jadi tidak ada provokasi murahan dari mana-mana pihak. Kami dijaga dengan baik setakat ini dan sentiasa diawasi semasa mengedarkan manifesto sehingga tak sempat nak diusik oleh orang awam. Seronok pula ada bodyguard walaupun awalnya kurang selesa~ at least, berpeluang juga terlibat secara langsung dengan kempen calon sampai malam tanpa rasa insecure. Walaupun letih, Bangi perlu dipertahankan sebagai bandar ilmu dan ini pengalaman baru yang berguna bagi saya sebelum pergi lebih jauh. Memikir-mikir bagaimana cabaran sebagai pemerhati pula nanti berseorangan di parlimen dan berkecuali. Indahnya hidup berjemaah~


No comments: