Saya ambil masa sebelum tidur malam ni untuk merefleks semula
peristiwa yang saya tempuh hari ini. Semasa ianya masih berbekas di hati.
Akhir-akhir ini, saya selalu mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti
dakwah yang dijalankan oleh Majlis Dakwah GAMIS. Bermula dengan Simunjan pada
bulan Ogos, hari ini pada bulan September di Gombak dan insyaAllah akan ke
Cameron Highland pada bulan Oktober pula. Dan di tempat-tempat lain pada
bulan-bulan seterusnya jika ada rezeki.
Kadang-kadang, pertemuan kita dengan orang yang kurang bernasib baik berbanding kita lebih mudah menyentuh hati kita dan memberikan keinsafan betapa beruntungnya diri kita berbanding mereka.
Roshidan. Seorang pemuda berusia 28 tahun tetapi memiliki
pemikiran seperti kanak-kanak berusia 8 tahun. Dia datang duduk di kerusi
berhadapan dengan saya semasa saya sedang bersihkan meja makan di dapur. Disebabkan dia kelihatan seperti kanak-kanak berbanding seorang dewasa, saya
mula berbasa-basi, tanya nama kemudian umur.
’28 tahun. Tapi belum kahwin lagi. Tak nak kahwin.’
Saya tergelak dengan jawapan dia dan semakin tertarik nak tahu kisah hidup dia. Dia pun macam suka
bercerita. Sambil membelek-belek keychain yang tergantung di leher, dia bercerita seperti kanak-kanak sambil melirikkan senyuman yang lambat.
Dia anak yatim piatu. Ayah dia meninggal dahulu sebelum mak
dia 5 tahun lepas. Waktu dia cakap dia selalu teringatkan mak dia, dada saya
sebak. Dia cakap dia selalu kopek kelapa dengan arwah mak dia semasa hidup.
Sepintas lalu, nampak seakan-akan air mata dia bergenang sebelum dia alih
cerita yang dia menghidap masalah buah pinggang. Buah pinggang dia hanya ada
satu sekarang ni. Satu lagi sudah dibuang dan dia kena makan ubat selalu.
Saya akan bertambah sedih kalau dia sebatang kara. Tapi
kurang apabila dia masih memiliki kakak dan abang yang masing-masing bekerja
dan berkeluarga. Dia anak bongsu. Mereka masih mengambil berat kebajikan dia.
Datang melawat dan beri duit serta beli ubat. Cuma kehidupan di situ kurang serba
serbi. Kadang-kadang hari-hari makan sardin sahaja. 3 kali sehari makan. Sebak dengar.
Saya tanya, belajar apa di sini? Dia bagitahu belajar
Al-Quran dan sembahyang. Saya cakap sembahyang tinggal tak?
‘Kadang-kadang penuh, kadang-kadang tinggal.’
‘Kenapa tinggal? Mana boleh tinggal.’ Dia hanya senyum
sumbing sebelum berkata.
‘Kena sembahyang baru boleh doa kat mak. Baru boleh jumpa mak
dan ayah dalam kubur nanti. Kalau tak sembahyang tak boleh jumpa.’
Hati bagai disayat dengar jawapan dia. ‘Kalau macam tu
janganlah tinggal solat, kena sembahyang penuh.’
Apabila ditanya belajar sampai mana? Dia jawab darjah enam.
‘Kenapa tak sambung?’
‘Tak nak. Abang Shidan kena buli masa sekolah menengah dengan
budak Cina. Dia tak mau hisap rokok, diorang belasah dia. Shidan takut nanti
kena buli. Tak mau pergi sekolah.’
Saya boleh bayang keadaan tersebut. Dunia ni memang penuh
dengan kesedihan. Orang yang dilihat lemah seringkali diambil kesempatan dan
dilayan dengan buruk. Yang kelihatan tidak seperti manusia normal yang lain
sentiasa diketawakan. Bahasa kasarnya dianjing-anjingkan. Saya memang benci
sikap suka menganjing atau mengajuk cakap orang walaupun niat nak bergurau.
Menyakitkan hati. Dia cakap nanti lepas kakak dia pencen, dia akan jaga kakak dia. Kami berbual beberapa perkara
lagi sebelum saya minta diri.
Daripada cerita-cerita dia, saya fikir dia kesunyian dan dahagakan perhatian. Perhatian yang saya bagi tu hanya menghilangkan kesunyian tersebut buat
seketika cuma. Waktu saya sedang bersalam dengan peserta lain, dia panggil.
‘Akak dah nak balik?’ (Dia panggil saya kakak walaupun dia lebih tua banyak
tahun).
‘Nanti datang la lagi.’ Memang ada nada pengharapan di situ.
Selepas bergambar, dia panggil saya sekali lagi dan lambai. Sahabat mengusik
cakap dia sukakan saya. Saya hanya mampu memberi telinga mendengar kisah hidup
dia, bukan wang dan kasih sayang. Saya miskin, dia pun miskin. Tetapi keadaan
saya lebih baik dari dia. Jadi jika dia gembira dengan perhatian yang saya bagi
walaupun sekejap cuma, biarlah. Moga jadi kenangan indah buat dia. Dunia ni sudah cukup sedih untuk kita melukakan hati orang yang lebih banyak
kesedihannya berbanding kita.
Apa yang saya dapat simpulkan, dengan mendengar sebenarnya kita dapat
gembirakan ramai manusia yang kekurangan perhatian. Jadilah pendengar yang
baik. Wallahualam.
2 comments:
thumbs up!! Being a good listener is muchhhhh better than nothing =) Being a good listener pun is such a therapy tauu kpd mereka yg memerlukan
dan terapi untuk ayu juga...kadang2 melalui mendengar kita lebih menghargai kehidupan yang kita ada sekarang. Bukan saja ubat hati untuk pencerita, tetapi juga pendengar. Suka dengar orang bercerita kisah hidup mereka... boleh jadikan pengajaran dan panduan dlm hidup..
Post a Comment