Thursday, October 3, 2013

Rumahku Syurgaku


Kenapa saya suka rumah saya? Sebab…

Situasi di Bangi, sentiasa menggelupur kepanasan. Serius panas dia menggigit kulit walaupun pukul 5 petang. Rasa macam bila-bila masa sahaja boleh kena strok panas.

***

Pergi Langkawi pun sama. Panas menghitamkan. Tapi, Alhamdulillah hanya sehari panasnya. Hari kedua dan ketiga, hujan juga di beberapa tempat. Satu hari dah boleh pusing pulau. Merempit dengan motor sekali sekala memang menyeronokkan. Masih mahir memegang handle motor rupanya. Pengalaman pulang naik bot musim-musim hujan ni memang tak dapat dilupakan. Dalam banyak-banyak kenangan manis yang dicipta, kenangan pahit juga yang merosakkan memori. Sewaktu keluar dari kereta sahabat, ayahnya berpesan;

‘Laut tengah beralun, jaga-jaga nanti muntah.’

Saya ingat saya takkan melalui perkara tersebut dan mengambil ringan pesanan pak cik. Lagipun, selama ni belum pernah muntah hijau lagi waktu atas bot. Sudahlah kehujanan semasa pulang dari Makam Mahsuri, memang tak sempat nak buat apa-apa terus balik.

Bot pulang tidak sama dengan bot saya datang. Keadaan di dalamnya lebih sesak. Dapat pula tempat duduk di tengah-tengah dan tersepit, saya memang berada dalam keadaan yang tak selesa dengan pakaian agak lembap.

Waktu bot membelah lautan, saya cuba untuk tidur seawal mungkin seperti mana waktu saya datang. Cubaan saya gagal sebab ada seorang akak di sebelah saya begitu ramah untuk menceritakan setiap inci kehidupan dia kepada saya. Saya tak minta pun. Saya hanya menegur dia untuk tahu nombor tempat duduk dia. Sekali dia buka mulut cerita tujuan dia di Langkawi dan seterusnya.

Bagaimana dia merupakan isteri kedua, baru setahun berkahwin, perasaan takut tak disayangi satu hari nanti, suami orang tu suka sangat dekat dia, hantaran RM 18 000, berjumpa masa dia kerja di Langkawi dan berkawan biasa semasa masing-masing masih bujang (menjadikan semakin kuat perasaan tak suka saya kepada sikap suka berkawan berlainan jantina walaupun kononnya KAWAN BIASA!- inilah punca masalah di kemudian hari...kenapa orang tak faham yang antara lelaki dan wanita tidak ada istilah berkawan kecuali urusan penting? Memang la..),  kemudian dia berkahwin dulu dan lelaki tu frust sewaktu pulang belajar dari England dan dapati dia dah kahwin, kemudian lelaki tu  pun berkahwin. Kemudian akak tu bercerai dengan suami pertama dia dan lelaki  yang sudah berkahwin tadi nak ambil dia jadi isteri. Alasannya, isteri dia tak pandai layan dia. Macam mana seorang manusia boleh ceritakan kisah peribadi dia kepada orang asing dalam masa tak sampai 1 minit kenal? Akak tahu tak akak dah menyebabkan saya semakin takut dan tak suka kat lelaki?~(maaf, iklan sebentar.)

Keadaan bot pada masa itu ibarat roller coaster dipukul alun. Bezanya roller coaster ni sampai dekat 2 jam. Sekejap bot naik tinggi dan tiba-tiba menjunam tajam macam nak masuk ke dalam laut sebelum naik kembali. Kiri kanan teroleng-oleng. Dengan bau wangian akak tu yang menusuk hidung, saya dah kepeningan. Ditambah pula suara dia bercerita yang masuk ke kepala, isi dalam perut saya tiba-tiba beralun juga.

Saya pandang pak cik sebelah. Dari tingkap bot kelihatan air laut beralun ganas paras tingkap. Semakin pening. Jangan tengok.

‘Pak cik, saya rasa macam nak muntah.’

‘Hmm...’ Jawab pak cik tu. Tu je? Hmm?

‘Saya tak suka muntah, nanti sakit..’

‘Hahaha.’ Saya tak buat lawak la pak cik. Muka saya kelat. Pak cik  ni tak bersimpati langsung. Memang la…

‘Dah 3,4 hari laut beralun macam ni.’

Tu jelah respon dia yang paling panjang. Satu pun tak bersangkut keadaan saya. Kot-kot la nak bagi tips sebab sebolehnya saya tak nak muntah. Nanti sakit. Saya cuba guna tips yang saya tengok dalam drama Korea. Penipu. Tak hilang pun. Memang akhirnya saya terpaksa muntah juga. Kali terakhir muntah masa keracunan Tahun 2, saya muntah kembali. Saya muntah sampai saya rasa macam perut saya nak keluar dari mulut. Badan dah mengerekot dah. Terdetik, macam ni perasaan nyawa nak keluar dari badan. Nak bernyawa pun tak lepas. Menangis la juga setitis dua. Akak kat sebelah tu tolong tepuk-tepukkan belakang, bagi minyak cap kapak dan mentos. Saya selalu rasa saya akan sihat jadi tak pernah bekalkan apa-apa ubat pun kalau pi mana-mana. Perasan kuat. Saya ingat saya boleh kawal diri dari jatuh sakit, tapi gagal.

Geram juga dengan keadaan yang sempit, akak yang banyak bercakap, bau minyak wangi dia (tapi juga berterima kasih sebab bantu). Semua tu menyumbang kepada simptom pertama nak muntah. Kalau naik roller coaster, walaupun pening, tetapi keadaan yang teruja, bebas nak ketawa keseronokan masa turun naik menyebabkan kita tak rasa nak muntah berbanding keadaan duduk statik sebegini. Betullah laughter is the best medicine. Masa kita ketawa, ia sebenarnya membantu penghasilan antibodi. Kita enjoy the riding.

Macam waktu naik roller coaster di Times Square, memang sakan ketawa. Turun pening terhuyung hayang beli jus oren lepas tu sambung naik tomahawk, lepas tu sambung lagi dan lagi dan lagi semua yang ada di situ. Saya bukannya apa, jatuh imej bila muntah ni~such an embarrassing sight to behold…

Budak-budak tak ada yang muntah sebab diorang menjerit seronok waktu bot teroleng-oleng. Masa pening-pening tu saya rasa macam nak keluar dari kabin tu dan lari atas dek tengok laut. Baru tak rasa nak muntah macam pergi Pulau Jerejak hari tu. Bolehlah ketawa puas-puas. Tapi nanti kang tak pasal-pasal terpelanting dalam laut. Dah la tak pandai berenang. Ini duduk dalam tempat sempit dengan orang ramai. Pengaliran udara tak baik. Memang perasaan saya sangat tak best dan akhirnya saya tersandar tidur juga sebab badan dah lembek.

Pesanan ringkas dari penaja, jangan pergi pulau waktu musim tengkujuh atau hujan.

Peliknya, lepas turun dari bot terus hilang perasaan nak muntah.

(masa sihat bolehlah nak poyo)

***
Kembali kepada topik asal. Saya mengambil masa lama bertapa di rumah sebab di sini musim hujan…. BAHAGIAnya! Bermula selepas Subuh, hujan turun dengan lebat sampai pukul 11 lebih. Berhenti sekejap kemudian lepas Zohor sambung pula sampai Asar. Berhenti sekejap, sambung pula lepas Maghrib sampai tengah malam. Berhenti dan kemudian sambung pula selepas Subuh. Begitulah selama beberapa hari sehinggalah hari saya terpaksa berangkat pulang. Langit mendung selalu. Tangan dan kaki sentiasa sejuk sampai terasa ke tulang. Kadang-kadang saya pandang langit dan terfikir bila-bila masa sahaja salji boleh turun~

Musim hujan tandanya musim menyemai padi di utara tanah air. Di belakang rumah kedengaran bunyi traktor membajak sawah sebab bendang dah penuh air jadi tanah lembut. Malam-malam katak dendangkan lagu serangkap dua buat peneman lena. Patutlah saya suka sangat berada di kampung. Aroma hujan dari bendang sungguh mengasyikkan…

Di Bangi, malam-malam sunyi sepi dari suara binatang selain dari bunyi tikus berlari atas siling.

Sekadar selingan...

Cerita pasai musim padi ni, teringat kakak angkat saya pernah beritahu ciri-ciri lelaki idaman dia ialah lelaki kampung. Kulit sawo matang dibakar matahari, kerja bendang, tangan kasar…haha. Patutlah sampai sekarang belum berpunya. Mungkin belum berjumpa ciri-ciri yang diimpikan. Nak jumpa macam mana, dia duduk di KL. Lagipun, tengok orang yang kerja bendang semua orang tua-tua. Tak ada pun orang muda macam dalam drama tu. Alasan dia lelaki macam tu pandai berdikari, bertanggungjawab dan gagah. Lucu. Kalau saya, saya tambah lagi satu kualiti- rajin membaca. Bukan apa, kalau tak nanti bosan bila bersembang dengan dia asyik cerita tentang bendang sahaja~ katak bawah tempurung is a big no, no.

Tapi baru-baru ni saya pernah terbaca dalam akhbar seorang lelaki melawan 5 orang perompak yang masuk ke rumahnya. Walaupun mereka bersenjata, dia lawan juga sebab nak melindungi mak dan adik perempuannya yang kena kepung dengan perompak. Selepas perompak tu lari baru dia sedar tangan dia kena tetak sampai nampak tulang dan beberapa tempat lain lagi. Dia beritahu dia hanya ingat mak dan adik perempuan dia sahaja masa tu dan tak fikir diri sendiri. Lelaki tu kerja kampung. Terkesan saya baca. Dan seorang lagi senior pernah beritahu tak kisah kalau dapat lelaki kampung tak habis sekolah pun asalkan dia tahu tanggungjawab dia daripada lelaki yang berpelajaran tetapi main-main dengan hati perempuan. Kalaupun saya tidak bercita-cita seperti mereka, tetapi saya tahu perasaan yang dicari~ ketenangan dan dilindungi. Ini yang saya rasa semasa di kampung.

Apa diharap padi seberang,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Apa diharap kasihnya orang,
Dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.

Rindu dekat kampung macam rindu dekat kekasih… tinggal sekejap dah rasa rindu…


No comments: