Wednesday, October 9, 2013

Selekeh Itu Pilihan


Baru nak seronok dia dah masuk gua balik. Jadi, bersabarlah sementara tunggu dia keluar.

Saya jarang sangat tegur atau nak komen pemakaian orang di hadapan tuan badan. Hakikatnya, saya tak peduli apa orang pakai. Selagi mana kainnya tidak terkoyak tanpa disedari atau menampakkan aib, tidak ada sebab untuk saya komen tentang pakaian yang dipakai. Tapi apabila saya tak kisah, tidak bermaksud orang lain tidak kisah dengan pemakaian saya. Ada sahaja yang menjadi pemerhati dan sedar perubahan penampilan saya. Bukan sekadar sedar, malah ringan mulut nak menegur.

Kadang-kadang ia menyinggung perasaan saya. Bukanlah maksudnya saya sedih, cuma saya macam nak cakap, selagi ianya menutup aurat, cuba buat tak nampak apa  yang saya pakai hari ni. Bagilah peluang saya jadi selekeh kejap.

Hari-hari saya dah jaga imej, satu hari saya nak selekeh itu bermaksud saya memang nak selekeh. Itu pilihan. Cuba timbang rasa sikit. Kalau seseorang itu selekeh selalu setiap kali berpakaian, memang menjadi keperluan kepada kita untuk menegurnya agar mengubah cara berpenampilan. Tetapi kalau hari-hari memang seseorang itu sentiasa kemas dan pada satu masa dia selekeh, itu tandanya memang dia pilih nak selekeh atas sebab-sebab tertentu. Bukan dia tidak tahu sedangkan memang dia seorang yang menjaga imej. Sebab itulah kita tak boleh nak tegur ikut rasa kerana kita tak tahu keadaan dia. Saya berfikir sedemikian.

Kalau saya pakai jubah tidak berseterika, seluar panjang terjulur keluar, tudung macam mak cik- itu tandanya memang saya nak pakailah. Dan saya sedar itu selekeh.

Dalam hidup ni, kita perlu faham prinsip peluang dan ruang. Manusia bukan robot. Mereka sentiasa menginginkan peluang dan ruang untuk mencuba sesuatu. Bagilah peluang dan ruang berikut sesuai dengan limitasi yang diletakkan dalam agama. Tidak perlu terlalu konservatif dan ortodoks dengan fahaman masyarakat atau norma sosial.

Sebagai contoh, kalau sesama wanita auratnya hanyalah dari pusat sehingga ke lutut, maka berilah kebebasan untuk dia memakai apa sahaja jika berada bersama wanita. Kenapa perlu dihalang dengan alasan tak sopan, malu, tak pernah dibuat orang dsb? Halangan hanya akan membawa kepada pemberontakan. Beri peluang dan ruang selagi mana ianya tidak melanggar batas syariat.

Dulu masa kecil-kecil, saya tak suka basuh periuk yang besar di sinki. Saya hanya akan basuh pinggan dan benda-benda kecil. Mak tak pernah paksa. Dia suruh tinggalkan yang besar biar dia yang buat. Itu merupakan ruang yang diberi sehinggalah saya bersedia membasuh semuanya tanpa disuruh. Dulu saya tak suka besiang ikan sebab busuk. Mak tak pernah tegur atau marah kata anak derhaka atau tak dengar kata atau apa sahaja. Dia bagi ruang sehingga satu masa saya yang buat semua dari besiang sehingga memasak. Sebabnya kalau saya tak buat yang ini, tidak bermaksud saya tak buat yang itu. Jadi dia bagi ruang. Saya pakai tudung sejak dari PASTI umur enam tahun. Masa Darjah Satu, ada satu hari mak bagi peluang saya tak pakai tudung satu hari ke sekolah. Balik dari sekolah Pak Ngah marah sebab tak pakai tudung. Sedangkan budak Darjah Satu bukannya baligh lagi. Orang dewasa tahu perkara ni. Lagipun, saya sendiri yang rasa pelik dan lebih selesa bertudung.

Bagi dia ruang untuk gagal sekali sekala, bagi dia peluang untuk berusaha lagi. Semua orang perlukan ruang dan peluang dalam hidup ni. Agar dia dapat memilih yang terbaik kemudiannya.

Apabila manusia diberi ruang dan peluang, mereka dengan sendirinya akan rela hati melakukan apa sahaja permintaan sebagai penghargaan atas timbang rasa yang seseorang bagi kepada mereka.

Jadi, saya perlukan ruang untuk selekeh juga sekali-sekala, sebab dengan itulah saya sentiasa bersemangat untuk kekal anggun berseri~ Alahh… selalunya pemakaian saya bergantung kepada urusan saya. Biasalah tu…wallahualam. Cubalah fahami diri ini



No comments: