Showing posts with label info. Show all posts
Showing posts with label info. Show all posts

Tuesday, June 4, 2013

Kedaulatan dan Kekeluargaan

Pulang ke Pulau Pinang sebentar, saya mengambil kesempatan menziarahi makam tok nenek di Makam Diraja Kampung Kota. Kebetulan lalu di situ untuk buat urusan pertukaran sekolah adik, mak cakap di dalam Kampung Kota itulah ada makam tok nenek yang disebut-sebut oleh mak saudara. Jadi, saya masuk ke kampung tersebut dengan niat nak mencari. Tak susah kerana penduduk kampung sangat arif dengan tempat tersebut. Makam tersebut telah diasingkan dengan kawasan kubur penduduk setempat.

Kawasan makam dipagari dengan baik. Semasa melangkah masuk, saya rasa macam masuk ke kawasan bersejarah sahaja. Tidak ada rasa keterikatan darah atau sebagainya. Sebab urusan nak menyambung silaturahim ni urusan orang tua-tua, jadi kami yang muda ni hanya menadah telinga. Lagipun mungkin sebab saya tak berjumpa dengan kerabat keluarga semasa mereka turun ke kenduri sepupu saya. Tapi abah ada berikan kad Persatuan Kerabat Diraja Kedah yang bertemakan Kedaulatan dan Kekeluargaan kepada saya. Kad tersebut diberikan kepada abah oleh pegawai khas YTM, YDP Persatuan Kerabat Diraja Kedah, Abdul Rahim Hashim. Tapi kad tersebut sudah terkena air dan tulisan Kedaulatan dan Kekeluargaan dah kembang dan tidak dapat dibaca. Jadi, saya nukilkan di sini supaya andai kad tersebut dah hilang, maklumatnya masih di sini. Kalau bukan mereka sendiri yang turun mencari, kemungkinan keluarga Abdul Rahim tidak akan mengetahui salasilah keturunan dan hanya sekadar cakap-cakap angin. 

Dulu masa tingkatan Satu, saya memang kena buat folio berkaitan salasilah keluarga. Jadi saya sempat temuramah tok saya sebab tok wan saya sudah jatuh sakit masa itu dan tidak mampu bertutur dengan baik. Masa tok saya bagitau susur galur tersebut, saya hanya menyalin tanpa berfikir pun signifikan nama Megat tersebut. Hanya nak cepat selesai tanpa berfikir. Kalau folio tersebut dikembalikan, mungkin saya boleh simpan rekod keluarga, tetapi sekolah simpan dan mungkin dibuang. Kadang-kadang saya suka masuk ke bilik-bilik lama di atas rumah tok untuk selongkar barang-barang lama. Duduk sorang-sorang berjam-jam di atas sambil kelebek (belek) kotak-kotak dan almari lama. Kalau ada buku yang menarik saya akan baca di atas bilik tersebut atau bawa balik rumah. Ada gambar-gambar lama yang saya akan ambil dan tanyakan mak siapa di dalam gambar. Sepatutnya saya tanya abah sebab keluarga abah, tetapi sebab mak sahaja yang suka melayan jadi saya anggap mak tahu semua benda. Kadang-kadang tok saya ceritakan macam-macam cerita yang sebenarnya menarik tetapi disebabkan saya ni kurang rapat dengan tok dan tok wan sebelah abah, jadi saya tak berani nak tanya lebih atau merespon. Saya hanya bertanya semata-mata untuk menghabiskan folio tersebut. 

Tambahan pula, masa kecil-kecil saya ada memori tok yang garang. Kalau tidur di rumah tok, mesti kena bagi amaran, kalau kencing atas tikar kena rotan dengan penyapu lidi tok. Walaupun setakat ni tak ada mangsa lagi, tetapi tetap rasa takut. Lagi satu, mak kepada tok yang dipanggil tok nek juga garang. Orang perempuan keluarga belah abah ni semua garang-garang~ contoh yang tak baik untuk perempuan-perempuan macam saya yang tengah membesar masa tu...:P kadang-kadang kanak-kanak ni mesti ada semangat ingin tahu. Jadi kalau datang rumah tok, mesti nak tengok tok nek yang duduk di satu bilik di sebelah dapur. Tapi setiap kali pergi menjenguk ke situ yang saya ingat hanyalah garangnya tok nek. Memang wajib salam satu perkara, tetapi nak duduk lama-lama memang tak boleh. Mak cakap mungkin sebab dia sakit, jadi tak ada mood nak layan cicit. Tambah pula kami ni bising nak main.

Tapi tok nek ni mak kepada tok, jadi tak ada kaitan dengan keluarga sebelah tok wan yang jadi kajian kes salasilah keluarga. Yang saya tahu tentang tok nek sebelah tok ni, dia pernah kahwin dengan 8 orang lelaki... dan tok ni anak sulung daripada lelaki pertama, jadi tak susah nak ingat.

Garangnya dia sampai sewaktu dia meninggal, saya selaku cicit tak berani mendekati jenazah dia. Saya hanya duduk di belakang dan mendengar cerita dari adik beradik yang lain. Macam-macam versi saya dengar, ada yang kata lidah tok nek terjelir dan ada satu lubang besar di kakinya yang ada ulat @ nampak tulang sebab kencing manis. Wallahualam... tapi saya memang tak ada memori pergi cium jenazah dia atau melihat mereka mandikan dia. Lagipun memang saya ni pakar dalam bab-bab melarikan diri dari majlis keramaian. Sebab tulah saya banyak masa untuk berada di atas loteng rumah tok untuk belek-belek artifak, gambar atau buku-buku.

Kadang-kadang jumpa gambar tok wan masa muda-muda. Memang hensem sangat. Saya cakap kat mak, rupa tok wan masa muda hensem. Mak pun buka cerita yang rupa-rupanya tok wan ni memang jadi kegilaan  orang perempuan. Pernah satu ketika, tok wan berhasrat nak kahwin lagi satu dan cakap kat tok. Tok terus lari dari rumah dan tinggalkan anak-anak yang 9 orang balik ke Gerik, Perak bagi tok wan jaga. Sebulan tok lari. Tapi tok wan tak pujuk, last-last tok balik sendiri sebab kesian kat anak-anak di rumah. Walaupun tok wan tak pujuk, tapi  sejak hari tu tok wan tak pernah bangkitkan isu nak kahwin lagi satu sampai dia meninggal. Isu tu terbiar macam tu sahaja. Kalau Tok Wan Abu sebelah mak, dia memang tak sempat nak fikir kahwin lain sebab sibuk dok cari harta. Lagi satu sebab Tok Melah pandai jaga dia. Memang ujian perasaan kalau dapat suami hensem ni... 

Sekadar selingan, kalau di rumah Tok Wan Abu, lagi banyak buku-buku lama tersusun dalam almari kaca di atas rumah. Ada juga terjumpa diari lama mak. Saya hanya sempat membaca beberapa muka surat sebelum dirampas oleh mak apabila saya tunjukkan. Tak tahu dah kat mana mak letak. Rugi pula bagitahu. Pernah juga saya jumpa parang panjang yang sudah berkarat di atas almari rumah tok wan dengan pedang samurai. Tak tahu apa fungsi senjata tersebut. Tetapi masa di rumah Tok Wan Rahim, tak jumpa pula keris kecil yang dikaitkan dengan asal-usul keturunan tersebut. Yerlah, dah disorokkan di atas alang rumah. Manalah nak jumpa. Tapi masa kecoh-kecoh keris tersebut hilang, ada saya lihat sepupu saya yang sudah dewasa memegang satu buku kecil yang tulisannya tak dapat difahami oleh saya.  

Berbalik ke makam tok nenek. Makam diraja ni boleh didapati gambarnya di merata website. Taip sahaja Makam Diraja Kampung Kota. Konon nak dipulihara semasa 2011, akhirnya terbiar macam tu sahaja sekarang. Rumput pun dah panjang. Ada dengar-dengar nak dikumpul semua sedara mara yang berkaitan di situ tetapi belum ada masa yang sesuai. Saya ingat kalau ada rezeki dan masa, saya nak tahu dengan lebih lanjut berkaitan makam ni daripada mak saudara saya dan juga penjaga makam jika ada. (http://www.wartakedah.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1407%3Amakam-diraja-kedah-di-pulau-pinang-akan-dipelihara&catid=36%3Aberita&Itemid=67&lang=ms)

Thursday, January 3, 2013

Kuliah Malam



Baik. Secepat mungkin. Niat balik dari kuliah malam nak tulis entri, tapi luang masa mendengar talk daripada Ustaz Zaharudin Abdul Rahman (UZAR) berkaitan hubungan lelaki dan perempuan. Terlihat di FB gambar sepupu berdua dengan seorang lelaki pada malam tahun baru, sedih hati dan risau. Sedangkan dia baru sahaja datang ke KL untuk sambung belajar. Moga Allah memberi hidayah dan memeliharanya.

Satu lagi hadiah tahun baru daripada Allah s.w.t. Sebelum ni pada tahun 2012, saya membeli dan selalu merujuk karya Dr.Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif, Tsunami Politik. Baru tahu beliau merupakan bekas pensyarah dan ketua program di Jabatan Sains Politik. Seronok apabila dapat tahu beliau berada dalam bahagian strategi PAS Pusat. Teringin nak dengar kuliah daripadanya dan melihat tuan badan.

Malam ni dimakbulkan Allah s.w.t. Walaupun semasa pergi ke Masjid Hasanah dengan anggapan ada Usrah Nisa’, rupa-rupanya ada pembentangan kertas kerja daripada beliau bertajuk Negara Berkebajikan.

Keseluruhan pembentangan beliau sangat memuaskan hati saya sebab ahli sains politik memiliki kelebihan apabila bercakap mengenai politik. Mereka ada gaya, mutu, keunggulan tersendiri apabila memberi syarahan. Saya rasa macam masuk kuliah kembali…

Penerangan beliau lebih saya fahami walaupun sudah banyak syarahan mengenai Negara Berkebajikan yang saya dengar. Itupun dia masih mencari-cari bagaimana cara nak memudahkan bahasa yang digunakan agar sampai kepada masyarakat sama ada kelas menengah atau bawahan.

Mungkin kerana dalam penerangan beliau, beliau sering menggunakan istilah-istilah akademik yang merujuk kepada konsep-konsep yang saya pelajari, jadi saya rasa sangat dekat di hati. Saya tak pasti dengan orang lain yang mungkin cuba menangkap istilah-istilah sains politik yang digunakan. Tapi saya suka cara penyampaian beliau yang akademik.

Secara umumnya, negara berkebajikan ialah a nation of care and opportunity yang menitikberatkkan maqasid syariah.

Satu lagi yang saya suka sebab beliau mensynchronizekan agama dengan negara, sesuatu yang pemimpin UMNO cuba sekularkan.

Apabila beliau menyebut negara kita merupakan administrative-bureaucracy-state dan menerangkan konsepnya, saya terus faham bagaimana keadaan tersebut sebab pernah dengar dalam kuliah Pentadbiran Awam yang diajar oleh Dr.Kartini. Teori berkaitan birokrasi ini dibawakan oleh Max Weber. Tetapi mempolitikkan pentadbiran awam adalah sesuatu yang berlaku di negara kita sekarang di mana, sektor awam menjaga kepentingan parti yang memegang kerajaan sedangkan sepatutnya mereka menjaga kebajikan masyarakat.

Sebab itulah berlaku pemberian subsidi mengira kroni. Kalau yang tidak menyokong parti pemerintah, mereka akan dinafikan hak seperti mana yang berlaku di Kelantan. Seharusnya pendapatan negara diagihkan secara sama rata oleh pihak yang berwajib dan jangan dipolitikkan.

Dalam kertas kerja yang diberi juga telah meletakkan cadangan reformasi yang akan dibuat sekiranya PAS melaksanakan negara berkebajikan sama ada dalam sektor ekonomi, politik, sosial dan pentadbiran.

Apabila dipersoalkan mengenai dakwaan PAS terpaksa mengikut kemahuan DAP dan menukar Negara Islam kepada Negara Berkebajikan, beliau menjelaskan PAS mengambil pendekatan kemanusiaan. Bermaksud boleh bekerjasama dengan mereka yang tidak menentang Islam secara terang-terangan. Dakwaan berkaitan DAP cuba memecahbelahkan negara dan menubuhkan kerajaan cina adalah tidak berasas dan perlu dibuktikan. Dr. cakap, inilah peranan SB yang sebenar, cuba pergi selidik dan buktikan, barulah kita akan percaya. Menurut beliau, kalau dilihat kepada taburan yang telah pun dikaji, memang kaum Cina tidak akan dapat memerintah Malaysia pun. Jadi jangan menipu rakyat. Tetapi konsep tahaluf tidak dihurai lebih lanjut kerana ianya konsep yang berasingan dengan konsep negara berkebajikan.

Barulah terasa macam ilmu sains politik itu telah dipraktikkan. Tahniah DR!


Hujung minggu ini turut diadakan "Forum PRU-13: Masa Depan Ekonomi Negara: Negara Bankrap 2015? Negara Berkebajikan sebagai Solusi". Mesti pergi, insyaAllah. Perlu memahami betul-betul gagasan yang dibawa PAS supaya mudah-mudahan dapat berkempen nanti, insyaAllah.

Sekadar selingan sebelum menutup mata, berusahalah menjadi insan yang sentiasa membuatkan insan lain merasa selamat dengannya dalam apa keadaan pun dan selama mana pun. Renung, renung dan selamat beramal. Selamatkan Malaysia.

Sunday, September 23, 2012

Fobia





Fobia merupakan satu kecelaruan (kawan saya cakap berdasarkan pembelajaran dia) yang ada pada seseorang.  Kita tidak boleh membiarkan individu berhadapan dengan fobianya sendirian kerana tindak balas mereka boleh jadi membahayakan keselamatan mereka dan juga orang sekeliling.  Jadi jangan ambil ringan jika ada kawan-kawan kita katakan dia takut sesuatu atau ada niat untuk mengusiknya.  Boleh jadi tahap ketakutan yang dialami ialah fobia.  Ada pelbagai istilah yang berbeza bagi fobia kepada perkara tertentu seperti;

Katsaridaphobia- fobia kepada lipas

Kadang-kadang kita malas nak layan orang yang takut kepada lipas ni.  Saya tak takut tapi tak juga berani.  Tapi kalau nampak lipas tu saya taklah terus pengsan atau menangis.  Pernah saya berhadapan dengan keadaan di mana semasa kami sedang memandu ke tempat praktikal, kawan saya di belakang memberitahu ada lipas kecil di bahu saya.  Suara dia kedengaran terketar-ketar.  Saya minta dia tepiskan tetapi dia terlalu takut.  Suaranya yang ketakutan menganggu konsentrasi rakan saya yang sedang memandu.  Akhirnya kawan saya menepis lipas dari bahu saya ke arah kawan saya yang ketakutan dengan niat nak hilangkan dari pandangan dia.  Kawan saya yang berada di belakang menjerit kemarahan dalam ketakutan.  Pada mulanya saya ingin ketawa, tetapi melalui cermin sisi kereta saya lihat rakan saya sudah menangis tersedu-sedu di belakang sambil melihat keluar tingkap.  Terdiam saya.  Tak pernah saya nampak orang takut sehingga menangis teruk macam tu.

Kali kedua semasa saya sedang memandu tiba-tiba lipas kecil tersebut sudah berada di atas cermin mata saya.  Panik, saya melemparkan cermin mata saya kepada kawan di sisi.  Hilang kawalan kenderaan sebentar.  Nasib baik kereta tidak banyak pada masa itu.  Ingatkan lipas tu dah lari, tapi dia masih berada di sisi tudung saya.  Ditakdirkan saya yang memandu, cuba kalau saya pun fobia? Sebab itulah fobia ini bukan sesuatu yang boleh dibuat bahan usikan.

Baru-baru ini, saya dibiarkan bersendirian berhadapan dengan fobia saya.  Saya fobia kepada penyengat/tebuan atau spheksophobia.  Saya selalu merasakan binatang tersebut akan menyerang saya jika saya cuba membunuhnya.  Mungkin disebabkan pengalaman dikejar dan disengat temingat semasa kecil.  Satu malam, binatang tersebut menjadi tetamu tidak diundang ke dalam bilik saya.  Merasa terancam, saya meminta tolong kakak untuk menghalau binatang tersebut.  Selalunya kakaklah yang akan membuang binatang-binatang yang menjadi tetamu tidak diundang.  Walaupun saya tahu dia pun takut juga, tetapi mungkin inilah sifat kakak.  Sentiasa berusaha melindungi adiknya.  Setelah berusaha menghalau, tiba-tiba binatang tersebut hilang.  Saya menganggap ia sudah pergi tetapi tidur saya tidak tenang pada malam itu.  Esok paginya sewaktu sedang menyapu bilik saya nampak tebuan tersebut berada di tingkap bilik.  Disebabkan terlalu takut tebuan tersebut akan menyerang saya dahulu dan niat memberanikan diri melawan fobia, saya memukul tebuan tersebut sekuat-kuat hati.  Bukan tebuan yang mati, tapi berderai tingkap bilik saya.  Terkejut seisi rumah terutamanya mak saya yang berada dalam bilik menjahit.  Tapi perkara pertama yang terlintas dalam otak saya bukan “Alamak tingkap pecah,” tetapi “Alamak tebuan tu tak mati lagi,”

Saya berlari keluar dan saya bersedia untuk dimarah.  Tetapi apabila mak mendapati saya pecahkan cermin sebab cuba membunuh tebuan, mak hanya cakap, “Kenapa tak panggil mak atau abah?” Terima kasih ya Allah kerana kurniakan mak yang sebegini memahami…  mengabaikan cermin tingkap yang pecah, mak mencari-cari tebuan tersebut jika masih ada di balik tirai.  Dipesan lagi agar berhati-hati takut terpijak kaca cermin sedangkan dirinya sendiri berkaki ayam.

Kadang-kadang saya tak tahu kenapa mak saya sayangkan saya sangat?  Boleh tak macam tu.  Kalau ada ulat sampah di plastik sampah dan saya menjerit ketakutan, mak akan tergesa-gesa datang dan membuang sampah tersebut sedangkan saya masih boleh lakukan.  Cuma perlukan sedikit kekuatan dan masa untuk hilangkan ketakutan dan kegelian.  Naluri ibu itu mendahului ilmu-ilmu psikologi dunia.  Sehingga saya terfikir tak ada mak sebaik mak saya di dunia ni.  Mak mana yang sanggup sedut hingus anaknya sendiri semasa kecil?  Saya yang melihat pun nak termuntah, tapi mak kata yang masa saya kecil pun mak buat macam tu.  Patutlah saya tidak pernah melihat adik-adik saya hingus meleleh membasahi mulut dan baju macam anak-anak orang lain. Oh my…kembang tekak.. Mak mana sanggup membersihkan hutan dan menuang minyak gas bagi mematikan semut api semata-mata nak bagi anak-anaknya bermain dengan selamat dan tidak digigit semut api.

Kesimpulannya, jangan ambil ringan jika orang sekeliling kita takut kepada sesuatu.  Kemungkinan tahap ketakutan tersebut sudah berada di tahap fobia yang memungkinkan tindakan di luar kawalan dan membahayakan diri dan orang sekeliling.

Thursday, April 14, 2011

Nota buat Umy

Salam Umy,

Nak beli buku o9? Bagus2...sebenarnya org teringin nak beli buku Love in a Headscarf dulu lagi.  Love at first sight. Baca sinopsis dalam Islamicity.  Tapi time tu memang x reti nak beli o9. Pastu, orang jumpa buku ni plak. Terbaca dalam The Star;


Memang nekad, jadi cuba-cuba isi online form tu. Langkah pertama, mestilah kena ada kredit kad.:) Mana nak dapat kredit kad? Either da credit card is yours, your mum or your dad. Orang guna kredit kad abah. Tapi kena inform dulu sebab ada dua maklumat kena ambil, first, no kredit kad (bukan no pin yer), then tarikh luput kredit kad plus nama pemegang kad tu. Tu jer pun:P

Pastu isi jer semua yang diperlukan:
Add to shopping chart

Proceed to checkout

sign in/sign up

masukkan shipping adress, billing info, choose a shipping speed
place your order

Bla...bla...tapi, yang The Twin tu orang beli dari Australia. Rasanya yang Amazon.com ni Amerika. Yang dari Australia tu memang org pi tuntut kat pejabat pos UKM. Tak sampai kat alamat kolej. Terbaru orang orderP dari Amazon.com. Hmm...buku Kaedah Penyelidikan. pending. Kena selalu email diorang minta update kalau belum sampai dari tarikh yg ditetapkan.  InsyaAllah. Sampai.

~Selamat Mencuba:)~
P/s: Kalau berjaya, nak pinjam yer...