Fobia merupakan satu kecelaruan (kawan saya cakap berdasarkan
pembelajaran dia) yang ada pada seseorang.
Kita tidak boleh membiarkan individu berhadapan dengan fobianya
sendirian kerana tindak balas mereka boleh jadi membahayakan keselamatan mereka
dan juga orang sekeliling. Jadi jangan
ambil ringan jika ada kawan-kawan kita katakan dia takut sesuatu atau ada niat
untuk mengusiknya. Boleh jadi tahap
ketakutan yang dialami ialah fobia. Ada
pelbagai istilah yang berbeza bagi fobia kepada perkara tertentu seperti;
Katsaridaphobia- fobia kepada lipas
Kadang-kadang kita malas nak layan orang yang takut kepada
lipas ni. Saya tak takut tapi tak juga
berani. Tapi kalau nampak lipas tu saya
taklah terus pengsan atau menangis.
Pernah saya berhadapan dengan keadaan di mana semasa kami sedang memandu
ke tempat praktikal, kawan saya di belakang memberitahu ada lipas kecil di bahu
saya. Suara dia kedengaran
terketar-ketar. Saya minta dia tepiskan
tetapi dia terlalu takut. Suaranya yang
ketakutan menganggu konsentrasi rakan saya yang sedang memandu. Akhirnya kawan saya menepis lipas dari bahu
saya ke arah kawan saya yang ketakutan dengan niat nak hilangkan dari pandangan
dia. Kawan saya yang berada di belakang
menjerit kemarahan dalam ketakutan. Pada
mulanya saya ingin ketawa, tetapi melalui cermin sisi kereta saya lihat rakan
saya sudah menangis tersedu-sedu di belakang sambil melihat keluar tingkap. Terdiam saya.
Tak pernah saya nampak orang takut sehingga menangis teruk macam tu.
Kali kedua semasa saya sedang memandu tiba-tiba lipas kecil
tersebut sudah berada di atas cermin mata saya.
Panik, saya melemparkan cermin mata saya kepada kawan di sisi. Hilang kawalan kenderaan sebentar. Nasib baik kereta tidak banyak pada masa
itu. Ingatkan lipas tu dah lari, tapi
dia masih berada di sisi tudung saya.
Ditakdirkan saya yang memandu, cuba kalau saya pun fobia? Sebab itulah
fobia ini bukan sesuatu yang boleh dibuat bahan usikan.
Baru-baru ini, saya dibiarkan bersendirian berhadapan dengan
fobia saya. Saya fobia kepada penyengat/tebuan
atau spheksophobia. Saya selalu merasakan binatang tersebut akan
menyerang saya jika saya cuba membunuhnya. Mungkin disebabkan pengalaman dikejar dan disengat temingat semasa kecil. Satu malam, binatang tersebut menjadi tetamu tidak diundang ke dalam
bilik saya. Merasa terancam, saya
meminta tolong kakak untuk menghalau binatang tersebut. Selalunya kakaklah yang akan membuang
binatang-binatang yang menjadi tetamu tidak diundang. Walaupun saya tahu dia pun takut juga, tetapi
mungkin inilah sifat kakak. Sentiasa
berusaha melindungi adiknya. Setelah
berusaha menghalau, tiba-tiba binatang tersebut hilang. Saya menganggap ia sudah pergi tetapi tidur
saya tidak tenang pada malam itu. Esok
paginya sewaktu sedang menyapu bilik saya nampak tebuan tersebut berada di
tingkap bilik. Disebabkan terlalu takut
tebuan tersebut akan menyerang saya dahulu dan niat memberanikan diri melawan
fobia, saya memukul tebuan tersebut sekuat-kuat hati. Bukan tebuan yang mati, tapi berderai tingkap
bilik saya. Terkejut seisi rumah
terutamanya mak saya yang berada dalam bilik menjahit. Tapi perkara pertama yang terlintas dalam
otak saya bukan “Alamak tingkap pecah,” tetapi “Alamak tebuan tu tak mati lagi,”
Saya berlari keluar dan saya bersedia untuk dimarah. Tetapi apabila mak mendapati saya pecahkan
cermin sebab cuba membunuh tebuan, mak hanya cakap, “Kenapa tak panggil mak
atau abah?” Terima kasih ya Allah kerana kurniakan mak yang sebegini memahami… mengabaikan cermin tingkap yang pecah, mak
mencari-cari tebuan tersebut jika masih ada di balik tirai. Dipesan lagi agar berhati-hati takut terpijak
kaca cermin sedangkan dirinya sendiri berkaki ayam.
Kadang-kadang saya tak tahu kenapa mak saya sayangkan saya
sangat? Boleh tak macam tu. Kalau ada ulat sampah di plastik sampah dan
saya menjerit ketakutan, mak akan tergesa-gesa datang dan membuang sampah
tersebut sedangkan saya masih boleh lakukan.
Cuma perlukan sedikit kekuatan dan masa untuk hilangkan ketakutan dan
kegelian. Naluri ibu itu mendahului
ilmu-ilmu psikologi dunia. Sehingga saya
terfikir tak ada mak sebaik mak saya di dunia ni. Mak mana yang sanggup sedut hingus anaknya
sendiri semasa kecil? Saya yang melihat
pun nak termuntah, tapi mak kata yang masa saya kecil pun mak buat macam
tu. Patutlah saya tidak pernah melihat
adik-adik saya hingus meleleh membasahi mulut dan baju macam anak-anak orang
lain. Oh my…kembang tekak.. Mak mana
sanggup membersihkan hutan dan menuang minyak gas bagi mematikan semut api
semata-mata nak bagi anak-anaknya bermain dengan selamat dan tidak digigit
semut api.
Kesimpulannya, jangan ambil ringan jika orang
sekeliling kita takut kepada sesuatu.
Kemungkinan tahap ketakutan tersebut sudah berada di tahap fobia yang
memungkinkan tindakan di luar kawalan dan membahayakan diri dan orang sekeliling.
No comments:
Post a Comment