Monday, August 1, 2011

Bab-bab Kehidupan

Menyelak helaian-helaian buku mencetuskan ilham bahawa kehidupan itu seperti bab-bab dalam buku. 
Uniknya kehidupan yang ditulis dalam kitab di Luh Mahfuz ialah watak-watak yang dimuatkan ramai dalam satu masa.
Setiap bab ditonjolkan watak-watak yang berbeza dan menghiasi kehidupan watak utama.
Kadang-kadang watak-watak yang dihighlightkan dalam bab pertama mungkin tidak akan dihighlightkan dalam bab seterusnya...
Ada watak yang dimatikan...ada watak yang dahulunya hanya watak sampingan akhirnya menjadi watak penting dalam kehidupan watak utama.

Kadang-kadang setelah bertahun-tahun watak yang berada dalam bab pertama ditinggalkan, watak itu akan muncul kembali satu hari nanti.  
Tapi itulah...ada watak yang kita ingin erase dalam cerita kehidupan kita tapi tak mampu dan ada watak yang kita tak mahu pun berada dalam cerita kita...
Sebabnya penulis cerita ini bukanlah kita sendiri, bahkan Allah juga yang menulisnya...
Sebabnya manalah tahu watak tersebut akan berguna di pengakhiran cerita dalam kehidupan kita... Wallahualam

Watak lama kembali menjelma...bukan tak nak bagi peluang...harap tak ada salah faham.
Proses menulis artikel tergendala sebentar...

Thursday, July 28, 2011

Nostalgia Ramadhan

21 tahun hidup, 21 kali Ramadhan dah datang dan pergi. Kalau nak review balik apa yang telah dilalui Ramadhan lepas-lepas;

1 tahun-kecil lagi...tak ingat apa-apa

6 tahun- bertatih untuk berpuasa.  Saya puasa, kawan-kawan lain tak puasa.  Waktu rehat di PASTI, saya ingat ada kawan offer buah anggur. Saya makan pastu ada kawan tegur,
"Hang cakap hang posa, kenapa makan?" Saya baru teringat saya puasa.  Kiranya waktu bertatih tu kadang-kadang ingat, kadang-kadang lupa.

7 tahun- abah buat tawaran kalau dapat puasa penuh satu hari dapat seringgit.  Cara macam ni berjaya sebab sejak dari situ puasa setiap tahun mesti penuh sebab nak bersaing dengan adik-beradik yang lain siapa yang dapat kumpul duit paling banyak.  Budak kecil pun tahu nilai sekeping kertas bernama duit. Tambahan pula waktu tu abah buatkan setiap sorang daripada kami tabung buluh untuk simpan duit.  Hiasan tabung dibuat secara sendirian berhad.  Jadi masing-masing bertanding tabung siapa paling berat.

10 tahun- makan sebiji epal di tepi perigi sampai habis baru teringat sedang berpuasa waktu buang sisa epal ke dalam perigi.  Masih ingat-ingat lupa.

13 tahun- baru belajar erti Ramadhan yang sebenar.  Hari-hari sebelum Ramadhan dan waktu Ramadhan diisi dengan tazkirah mengenai Ramadhan. 5 tahun di Irshad, setiap kali tiba bulan Ramadhan, hari-hari akan dipenuhi dengan rutin-rutin harian seperti sahur, sebelum kelas bermula setiap kumpulan wajib habiskan satu juzuk Quran, tazkirah Asar, buka puasa beramai-ramai, terawih berjemaah di surau, kuliah Maghrib, moreh.  Segala-galanya telah disusun oleh ustaz dan ustazah.

17 tahun- cuba mengupgrade amalan dalam bulan Ramadhan dengan kawan-kawan.  Tak ada rasa takut waktu berjalan sorang-sorang ke surau pukul 4-5 pagi untuk qiam.  Langit Ramadhan sentiasa cerah.

19 tahun- sentiasa rindu suasana menyambut Ramadhan dengan sahabat-sahabat di asrama. Dulu terawih dengan sahabat-sahabat, sekarang ni terawih dengan mak cik- mak cik di kampung.  Dulu terawih 8 rakaat sahaja, di kampung kadang-kadang 20 rakaat.  Dulu kuliah terawih hari-hari, di kampung selang sehari sahaja.  Dulu terawih tak ada gangguan, sekarang sentiasa terganggu dengan suara kanak-kanak bermain di luar surau dan suara anak-anak kecil menangis.  Ada satu hari, hujan lebat sangat.  Waktu tengah khusyuk solat, tiba-tiba guruh berdentum.  Lampu dalam surau terpadam tiba-tiba.  Habis kecoh dengan suara kanak-kanak yang berada di saff belakang lari bertempiaran menyelamatkan diri. Tapi yang bestnya dapat qiam hari-hari sebab temankan mak masak pagi-pagi.  Kadang-kadang kalau mak tak sibuk jahit baju, bawa mak ke surau naik motor.  Sambil-sambil naik motor lalu tepi sawah, sempat menikmati indahnya langit Ramadhan.  Bulan Ramadhan kali ini memang best sebab setelah 5 tahun di asrama, akhirnya balik ke pangkuan mak selama setahun setengah.  Masak sahur dengan mak, teman mak jahit baju malam-malam sambil sembang-sembang kenangan lama, pergi terawih dengan mak, pergi bazar Ramadhan dengan mak.

21 tahun- 2 kali melalui bulan Ramadhan di UKM, setiap tahun menjanjikan pengalaman yang berbeza.  Waktu di Kolej Burhanudin, setiap hari berbuka puasa dan berterawih di masjid UKM.  Tadarus dijalankan oleh Myisiukm setiap petang atau malam. Cuma yang kurangnya pengisian seperti kuliah di masjid UKM. Kali kedua Ramadhan iaitu tahun lepas menjanjikan sebaliknya.  Kuliah seperti biasa, dan waktu tersebut memang sibuk dengan assignment. Ok, dat was an excuse.  Memang saya hilang fokus pada Ramadhan lepas.  Rasanya saya gagal.  Kalau setiap kali keluar dari institusi Ramadhan ada 'pngs'nya, pngs paling teruk dan kemungkinan failed adalah tahun lepas. Ini merupakan pengajaran buat saya.  Kalau ditakdirkan saya mati sebelum Ramadhan tahun ni datang, saya akan mati dalam keadaan menyesal.  Isk...isk. Sempat ke tak ni? Ada lagi less than 3 hari.  Huhu...takut... Sedangkan peluang untuk berpuasa sepenuhnya di rumah merupakan peluang yang saya nanti-nantikan sangat.  Sangat-sangat.  Sebulan di rumah dan bersama mak dan keluarga...

Kadang-kadang ujian perasaan itu adalah ujian yang paling besar untuk dihadapi.  Sayang sangat kat mak pun ujian juga.  Mak yang garang merupakan mak yang paling kita sayang dan kita kenang.  Aish...sikit-sikit mak, sikit-sikit mak.  Mak dah telefon minta balik untuk tolong waktu kenduri sambut bulan Ramadhan, tapi tetap tak dapat balik.  Adakah Allah sedang menguji mak saya?  Sampai tahap manakah dia dapat bersabar anaknya berjauhan terlalu lama.  Mesti timbul dibenaknya sangkaan-sangkaan adakah salah dia anak tak nak balik rumah sedangkan sebelum ni setiap dua minggu mesti balik.  Mungkin ini ujian buat saya dan setiap bentuk ujian berbeza antara saya dan sahabat-sahabat. 

Moga-moga langkah kita memasuki bulan Ramadhan kali ini tidak silap dan tidak dimulai dengan sesuatu yang buruk.  Nauzubillah.  Ingatlah belum tentu Ramadhan kali ini akan dapat kita temui pada masa akan datang.  Wallahualam...

Thursday, July 14, 2011

Hujan pagi

Jumaat, 8.43 a.m.

Time-time hujan ni teringat plak kat mak di kampung.  Mak cakap hujan-hujan sedap tidur.  Pendapat saya, hujan-hujan sedap kalau buat kerja atau membaca sambil melihat dan menghayati titisan-titisan hujan di luar tingkap bilik.  Selalunya selepas hujan mesti burung akan berkicau.  Itu perkara yang tak boleh dilepaskan.  Burung bersyukur, manusia pun perlu bersyukur, bukan berdengkur.  Terngiang-ngiang perbualan telefon dengan mak baru-baru ni, sehari selepas Bersih. 

"Mak telefon ke semalam? Ayu dah tidur waktu tu. Ada apa mak?"
"Mak risau Ayu kena gas pemedih mata.  Nanti Ayu tak boleh lihat, dahla orang ramai waktu tu.  Kena tak? Jadi camna?"
"Mestilah kena mak.  Semua orang pun kena.  Pedih gak, tapi taklah sampai tak boleh lihat."
"Lega mak dengar..."

dan perbualan pun berterusan...

Sebenarnya saya tak pernah beritahu mak pun yang saya akan turun ke Bersih.  Tak pernah sebut pun.  Tapi seorang ibu ni boleh membaca dan menjangka tindakan anaknya.  Jangan ingat dia jauh di kampung, dia tak dapat mengupdate status anaknya.  Walaupun dia tak ada komputer dan internet di rumah, jauh sekali mengetahui cara nak berFB, Twitter dan sebagainya, Allah kurniakan teknologi yang lebih canggih dari itu kepada seorang ibu mengalahkan agen Mossad.  Mungkin sebab itulah dia minta adik saya pun turun juga.  Tiba-tiba jer adik saya yang tak pernah ambil tahu pun tentang politik beritahu nak join.  Saya ingatkan dia dah jadi SB.  Rupanya SB mak saya.  Sedikit sebanyak dia tahu saya tak keseorangan dan ada orang yang dia boleh percaya bersama saya.  Hmm...mak...mak.  Firasat saya, semua ibu pun ada teknologi canggih sebegini, tapi kadang-kadang disebabkan sikap anak-anak yang tak mahu memberi peluang kepada ibunya mencampuri urusan hidupnya dengan alasan sudah besar menyebabkan ibu tersebut tidak dapat berperanan sebaiknya.

Seorang ibu dapat merasai keresahan hati anaknya.  Selama 9 bulan kita berada dalam rahim ibu, dia sudah arif akan gerak laku kita.  Dia dapat membaca hati kita walaupun kita jauh di matanya.  Inikan pula Allah yang kasihnya 70 kali ganda dari kasih ibu.  Kalau kita merasai kasih yang dilimpahkan oleh seorang ibu, kita mungkin dapat membayangkan besarnya kasih Allah.  Tapi seperti yang saya katakan tadi, kita sendiri tidak memberi peluang kepada Allah untuk membimbing kita dengan membuat setiap keputusan dalam hidup tanpa bermunajat mohon petunjuk daripada Allah.  Apabila hasil yang didapati mengecewakan dan sebaliknya, kita menyalahkan Allah dan merasakan Allah tidak kasih kepada kita.  Astaghfirullah...

Mungkin hari ini, Jumaat, sama-samalah kita bermuhasabah diri sejauh mana kita berbakti kepada ibu bapa kita dan menghambakan diri kepada Allah dengan sebenar-benar penghambaan.  Mungkin dah boleh membuat persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan.  Dan rancang ibadah-ibadah yang akan ditingkatkan selain mengambil masa sebulan di rumah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.  Entahkan Ramadhan akan datang kita masih dapat bertemu di dunia ini lagi atau tidak, jadi rebutlah kesempatan yang ada dalam Ramadhan yang terdekat ini. Wallahualam...


(selalu mandi hujan waktu kecil-kecil)

Hujan pun dah berhenti...rahmat Allah tertebar  ke seluruh alam...Alhamdulillah..:)

~Lain yang dirancang, lain yang dibuat~


Sunday, July 10, 2011

No longer a silent protester


Setelah lama tak update blog, perkara pertama yang ingin saya nyatakan ialah:

"Saya memang benci dengan sikap Perdana Menteri, Najib Razak"

Perangai dia sama dengan bapak dia dulu.  Apa yang dia buat sekarang, sama jer dengan apa yang bapak dia buat dulu. Bapak borek anak rintik.  Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.  Cikgu dia dulu mesti kencing berdiri sebab dia kini kencing berlari. Kedua;

"Saya memang berdendam dengan sikap pihak yang kononnya pegawai "keselamatan""

Saya boleh bayangkan perasaan perasan HEBAT diorang ketika menangani peserta demonstrasi BERSIH.  Menyarung baju uniform biru tu membuatkan diorang rasa HEBAT sangat sampai diorang layan rakyat yang sebenarnya sama atau mungkin lebih tinggi darjat dari diorang macam BINATANG.  Baju uniform tu menjadikan diorang hilang sifat perikemanusiaan.  Sistem latihan kepolisan di negara melahirkan pegawai keselamatan yang hilang rasa perikemanusiaan dan berhati binatang dan TAK BERTIMBANG RASA langsung.  No wonder, sebab kebanyakan polis ni terdiri daripada orang yang cetek pemikiran (belajar tak habis), bermasalah waktu zaman sekolah, perokok, tak solat, kesetiaan membuta tuli, panas baran dan lain-lain lagi.  Tak percaya, cuba berkawan dengan polis atau anak polis. Nak jumpa yang baik tu bagai mencari permata dalam lautan kaca. Sapa yang banyak korup kalau bukan puak-puak ni?

Buat pertama kalinya post saya penuh berunsur emosi.  Saya memang sangat....sangat....sangat...KECEWA dengan sistem yang diamalkan di MALAYSIA ni. Apa yang lebih mengecewakan ialah; 

"sikap peserta demonstrasi yang tak serius langsung ketika berdemo"

Boleh bergelak ketawa.  Tau tak apa yang jadi apabila kita tak serius?  Kita jadi kurang peka dengan orang-orang di sekeliling.  Hilang rasa bertanggungjawab.  Hilang fokus.  Main taram (langgar) jer apa yang ada depan mata.  Anggap macam benda ni main-main.  Kalau berperang sambil bergelak ketawa, bayangkan, apa akan jadi?  

Bagus sangat....pemimpin minda kelas ketiga, pihak keselamatan minda kelas ketiga, rakyat pun minda kelas ketiga.

Hati bagai disiat-siat apabila melangkah masuk ke KLCC melihat orang seronok bershopping sementara di luar people were fighting in bloodshed.  Like there's nothing happen.  Like we were living in a very peaceful country and people out there were some bunch of ungrateful animal fighting for food.  Apakah ke"bangang"an yang sedang melanda negara ni?  Dengar jawapan Zainuddin Maiyidin buat saya rasa macam nak sepak-sepak jer muka dia.  Either he was blind or deaf, the truth is his answer seems like a total idiot.

Perasaan saya memang bercampur-baur sejak semalam.  Saya tertanya-tanya apa yang saya sedihkan sangat?  Adakah saya sedih dengan sikap diri sendiri yang tak pandai jaga diri dan sahabat hingga melakukan tindakan bodoh, atau sedih dengan sikap orang-orang sekeliling yang kurang serius, atau sedih dengan sikap pihak "keselamatan" yang memang tertera sangat kebodohan mereka bersikap melulu hingga hilang pertimbangan akal dan bertindak macam hero tapi hakikatnya hanyalah seperti anjing yang tak ada sifat kemanusiaan atau sikap lidah bercabang pemimpin yang konon akan benarkan perhimpunan jika dibuat di stadium tapi akhirnya halang orang ke stadium atau sikap Agong yang tak dapat nak pastikan pemimpin tersebut mengotakan kata-kata mereka atau apa?

Apabila saya cuba bertenang dan mengkoreksi kembali apa yang telah berlaku selepas solat dan melalui pembacaan,  saya tahu, perasaan tersebut bukanlah sedih, tapi lebih kepada kekecewaan.  Sistem yang dibuat oleh manusia memang mengecewakan. 

"Barat menggalakkan negara Dunia Ketiga supaya mengamalkan demokrasi selagi mereka melihat dengan demokrasi itu golongan menentang Islam mencapai kemenangan, tetapi bila mereka melihat golongan Islam mencapai kemenangan melalui demokrasi, maka demokrasi mulai ditutup satu demi satu."

Penyata Rasmi Parlimen, Dewan Rakyat, Parlimen Kelapan, Penggal Ketiga, 4 Mei 1993, hlm. 163.


Sapa yang tutup demokrasi tu? Tak lain tak bukan, pemimpin yang korup kat atas sana.  Selaku pelajar sains politik, satu kerugian kalau tidak merasa sendiri dan buat observation yang lebih teliti mengenai perjalanan demokrasi dalam negara.  Sad to say, the theory seems too good to be true.  Bilakah tiba masanya kesedaran akan timbul dalam diri setiap yang bergelar Muslim bahawa sistem Islam yang terbaik?  Pemimpin yang mengamalkan Islam sepenuhnya yang terbaik? Kepada saya dan kepada pembaca semualah tanggungjawab hendak sebarkan kesedaran ini.  Sudah-sudahlah dengan demokrasi.  Lets end it here, now and forever.  

Dalam sistem politik Islam terdapat prinsip-prinsip demokrasi dengan jelas.  Tiada keraguan. Menjadi tanggungjawab setiap manusia umumnya dan Muslim khususnya untuk mengambil tahu sistem politik Islam sebelum membuat perbandingan dengan sistem demokrasi acuan Barat dan tidak merasa ragu-ragu akan perlaksanaan sistem ini.  Jika dalam diri anda ada perasaan ragu dan tidak yakin akan perlaksaan sistem politik Islam, itu tandanya anda tidak tahu langsung mengenai sistem politik Islam.  Minda kita dah terlalu lama dikotori dengan semangat sistem demokrasi acuan Barat dan bukan demokrasi yang sebenarnya.

Ada sahabat yang tanya saya;

"Kalau kita nak ganti Perdana Menteri sekarang, siapa yang layak?"

Samalah macam soalan;

"Kalau nak jatuhkan Mahathir, sapa yang layak ganti dia?"

Last-last, dah dua orang yang ganti dia, Pak Lah dan Najib yang sememangnya tak layak pun.  Boleh pun.  Kadang-kadang mind setting dan hegemoni yang ditabur oleh pihak pemerintah menyebabkan rakyat ni jadi jumud.  Kata pihak pembangkang jumud, sebenarnya mereka yang menjumudkan rakyat.

Saya rasa statement saya memang akan menjauhkan saya dari pihak-pihak yang kurang faham, tak nak faham dan buat-buat tak faham. Tapi, once and for all, saya tak peduli.  I've had enough. 


Buhsan apabila cuba memahami orang yang tak nak faham~







Friday, June 17, 2011

Sifat negatif wanita menurut Prof HAMKA

Setelah beberapa hari tak sempat nak duduk dan baca buku, saya rasa otak macam makin tumpul.  Sangat takut.  Kalau 3 hari kita tak membaca buku, nanti otak lembab. Tak pasti dari mana saya dapat quotation ni.  Jadi nak menguji sama ada memori ni masih bagus atau tak, saya cuba-cuba ingat isi-isi buku-buku yang telah saya baca selama ni.  Setakat ni buku yang paling kritikal yang pernah saya baca ialah buku Sejarah Tamadun Islam karangan Prof Hamka.  

Sebelum tu, sebagai selingan, sejak dua menjak ni asyik menulis artikel menyebabkan jari-jemari ni jadi kekok nak menulis secara santai.  Rasa macam tak kena plak.  Mungkin jiwa dah bertukar.  Dulu selalu berfikir benda-benda mudah dan yang berada di sekeliling, sekarang sebab selalu kena fikir benda-benda besar, rasa macam dah bertukar jadi individu lain.  Tapi saya kena akui, kalau dah dilahirkan sebagai perempuan, sedikit sebanyak tak boleh lari dari nak cerita benda-benda kecil, jiwa-jiwa.  Nak sangat, tapi saya tahu ada yang menilai penulisan saya, jadi kebebasan untuk mencoret-coret sesuatu yang sentimental dan dekat dengan jiwa agak terbatas.  Bukankah ini menyekat kebebasan berfikir? Sebab itulah blog dah jarang update, setiap kali nak menulis mesti terfikir pandangan manusia yang membaca.  Kadang-kadang rasa rimas pun ada.  (Owh, tidak. Saya dah mula bercakap mengenai perasaan) Sedangkan menceritakan perkara-perkara yang berada di sekeliling kita itulah mendekatkan manusia dengan kita.  Cerita-cerita yang dekat di hati, menyentuh perasaan dan menjadi pengajaran.  Bahasa yang digunakan mudah difahami, mudah dihayati dan mudah diikuti.  Kalau ikutkan Prof. Muhaya, beliau memang berpendapat kalau kita nak menyampaikan sesuatu tak perlulah bergantung kepada pandangan manusia.  Asalkan apa yang kita cuba sampaikan dapat disampaikan dengan cara yang kita suka dan selesa.

Berbalik kepada buku Sejarah Tamadun Islam, saya ambil keputusan untuk membaca buku ni sebab cuti selepas STPM selama 3 bulan sangat panjang.  Sambil-sambil bekerja, malamnya saya isi dengan membaca buku ni.  Sebenarnya saya tahu, apabila sebut sahaja buku sejarah, mesti semua orang akan mengeluh.  Bosannya.  Jemunya.  Tips untuk tidur dulu-dulu waktu sekolah menengah adalah dengan membaca buku sejarah.  Buka sahaja buku, terus terlelap.  Tapi saya bukan dalam kategori tersebut.  Saya buka buku Fizik baru tidur.  Tak perlu buka buku pun, dengar cikgu bercakap pun dah mampu mendodoikan saya.  Sebab tulah saya bukan murid kegemaran cikgu. Tak kisahlah.

Tak perlulah saya ceritakan kenapa saya suka sejarah, I juz happen to love it.  Buku tu merupakan buku cikgu sejarah saya.  Dia memang sayang sangat buku tu.  Nak bagi pinjam pun separuh hati jer.  Cetakan pertama daripada Prof Hamka.  Kulit buku dah lusuh dan kertas berwarna kuning dengan tulisan yang kecil-kecil.  Kalau buku rujukan yang warna-warni pun tak mampu nak sentuh, inikan pula buku ancient macam tu.  Tapi memang menarik buku tu.  Nama pun sejarah. Buku pun kena berbentuk ancient la kan.  Dalam masa 3 bulan saya buat marathon membaca buku Sejarah Tamadun Islam tersebut.  Sakit otak juga nak fokus.  Setiap baris ayat adalah fakta.  Kalau tak fokus sikit, memang tak faham kronologi.  Dari zaman Nabi Muhammad s.a.w sehinggalah kepada khilafah islamiyah runtuh di Turki.  Patutlah saya dapat jawab soalan ustaz Ridhuan Md Noor berkenaan tahun keruntuhan Khilafah Islamiyah.  Tiba-tiba Allah bagi ilham sebab pernah ada dalam kotak memori.

Tapi saya kira perkara yang paling saya  ingat adalah mengenai sifat wanita yang dinukilkan dalam sejarah.  Even Prof Hamka mengulas mengenai kejadian tersebut.  Sesuatu yang pelik saya kira sebab dalam buku sejarah kita maklum kenyataan adalah bersifat fakta semata-mata.  Tapi beliau selitkan sedikit ulasan mengenai sifat wanita.  Secara roughly said, kisah tersebut adalah mengenai seorang sultan yang berkahwin dengan seorang hamba wanita.  Setelah menjadi permaisuri, hamba wanita ni rindu nak bermain dengan lumpur seperti mana dulu-dulu.  Disebabkan teramat sayangkan permaisurinya, sultan ni minta orang sediakan satu lumpur khas yang dicampur dengan pewangi yang harum supaya permaisuri ni bermain dengan lumpur yang tak busuk.  Tapi pada satu hari, sultan tersebut telah membuatkan permaisuri tersebut murka.  Dalam keadaan marah tersebut, permaisuri tu melontarkan kata-kata seperti, "Lelaki tak guna! Tak pernah ada satu pun kebaikan yang engkau lakukan untukku selama aku hidup denganmu!" Lebih kurang begitulah ayatnya.  Sedangkan kita pun tahu, dahulunya dia merupakan seorang hamba kemudian dibebaskan dan diangkat menjadi wanita mulia oleh suaminya.  Kemudian ditunaikan setiap keinginannya walaupun kita kira tidak logik seorang permaisuri bermain lumpur.  Dan Prof Hamka mengulas, lebih kurang begini...'dan begitulah sifatnya seorang wanita, apabila dikuasai oleh kemarahan dan kebencian, walaupun kesalahan suami itu kecil sahaja dia akan melupakan kesemua jasa baik yang  dilakukan oleh suaminya kepadanya'...jadi beliau telah memberi ulasan tentang sifat wanita berdasarkan fakta sejarah tersebut dan membuatkan saya terfikir pandangan tokoh besar ini. 

Hmm...kasihan kat insan bernama suami.  Siswi-siswi kat luar sana, cuba lihat balik diri sendiri.  Err...tak pasti apa soalan saya nak lontarkan.  Tapi apa yang saya pernah buat (walaupun tak berkahwin lagi), ada ketika-ketika isteri-isteri ni datang meluahkan kekecewaan mereka terhadap suami mereka kepada saya, selepas mereka dah luahkan segala keburukan suami mereka, saya tanyakan pada mereka, "Tak pernahkah ada satu pun kebaikan dalam diri suami anda?" (ni bahasa skema sebab nak mudah faham) Selalunya mereka akan terdiam sebentar dan kemudian memberi respon dengan menceritakan kebaikan suami-suami mereka.  Lepas tu ok lah balik perasaan mereka.  Hmm...sebenarnya mereka ni sayang tapi apabila marah menguasai diri, pertimbangan mudah hilang.  Jadi kena ada orang di sisi untuk merasionalkan mereka.  Masalahnya sekarang, ramai yang suka melihat keruntuhan rumahtangga orang berbanding melihat mereka bahagia.  Terfikir juga saya, mungkin orang di sekeliling mereka sudah berkahwin, jadi dipengaruhi oleh pengalaman peribadi menyebabkan mereka bias dalam memberikan nasihat.  Disebabkan saya belum berkahwin dan tak terbeban dengan kerenah lelaki 24 jam jadi saya kasihan dengan situasi suami mereka.  Jadi mungkin di sinilah peranan mereka-mereka yang bujang (siswi kebanyakannya) untuk membantu golongan-golongan isteri secara tidak langsung.  Sebab itulah hak untuk menceraikan itu berada di tangan suami.  Kalau di tangan isteri, saya kira mesti akan cerai-rujuk lebih dari 100 kali.

Kesimpulannya, orang perempuan kena banyak membaca supaya pertimbangan akal seimbang dengan emosi.   Walaupun diri ini kadang-kadang teremosi, tapi biar sesuai dengan keadaan (nasihat buat diri).  Saya selalu berminat nak tahu kehidupan berumahtangga sebab saya kira kehidupan berumahtangga sangatlah sukar berdasarkan pengalaman-pengalaman wanita-wanita di sekeliling saya.  Sebenarnya terlalu banyak tahu pun susah juga sebab akan menimbulkan fobia.  Apa-apa pun, semua manusia akan menuju ke hadapan dan tidak pernah ada seorang pun yang akan berpatah balik ke belakang, jadi sediakanlah bekalan secukupnya.

p/s: saya kira saya sudah layak menulis mengenai perkara ini dari sudut pandangan peribadi berdasarkan ulasan Prof Hamka.  Tak perlulah nak menyempitkan pemikiran yang merdeka dan menjadi katak di bawah tempurung sehingga malu nak berbicara perkara sebegini sedangkan kita juga akan melaluinya. Lagipun benda ni jer yang saya ingat daripada 900++ halaman yang saya baca.  Wallahualam...

Monday, June 6, 2011

Terima kasih ya Allah...

Alhamdulillah...
Dah dapat lesen...:)
Bukan lesen kereta atau motor...
Tapi lesen kepercayaan mak ayah untuk menapak ke hadapan..

Terima kasih Ya Allah...
Kerana memberi hadiah setelah musibah yang menimpa...
Walaupun tak boleh dikatakan musibah sebab selalunya kesulitan akan beriring dengan kemudahan...
Bila terlantar sakit, banyak masa untuk berfikir dan merancang...
Allah bagi kerehatan pula...

Betullah, Allah nak bagi sesuatu yang lebih baik
Hilang dendam kat anjing
Terlupa parut di tangan
Terlupa sakit di kaki
Apabila dapat hasil daripada usaha semester...

Tapi  masih...
Perjalanan masih jauh...
Dulu waktu keputusan merosot, seorang akak menasihatkan;
"Allah nak rehatkan awak dari perasaan riak dan takabbur,"
Saya rasa sangat betul, jadi usaha pun dilipatgandakan sebab rasa rendah diri sangat

Akhirnya, terima kasih Allah...
terima kasih kepada yang mendoakan...

Walaupun benda ni nampak kecil, tapi angka ni mampu mempengaruhi kepercayaan mak ayah
untuk melangkah ke hadapan...
Mengurangkan kemarahan sebab jatuhkan motor orang
Mengurangkan kemarahan sebab tak reti jaga diri sampai calar-balar
Menambahkan keyakinan untuk selalu minta duit kat mak abah (biasiswa tak cukup)
Menambahkan seri di muka mak abah. Bukankah menggembirakan mak ayah itu satu ibadah yang besar di sisi Allah...Allah...seronok sangat...terima kasih...
Tu jer yang penting pun..
Apabila mak abah semakin mempercayai, redha mereka mengiringi, doa mereka sentiasa dikirim...
Moga langkah dipermudahi...

Mak abah, Ayu balik ambil nafas baru di kampung...
Yatta!!

Buat sahabat yang result ditahan, sabar yer...Allah nak bagi yang terbaik tu...supaya kegembiraan semakin berlipatganda dan rasa syukur lebih terasa...:) Sayang kamu semua...

Thursday, June 2, 2011

Sahabat sejati itu...

( rindu ais kacang SAHABAT...)

Sahabat yang sejati itu...
apabila kita melihatnya kita sentiasa ingatkan Allah
apabila bercakap dengannya, dia ingatkan kita kepada Allah
apabila kita rindukannya, rindu kerana Allah
apabila kita nak jumpanya, nak jumpa kerana Allah
Sebab apabila bersamanya kita akan dibawa mengingati Allah
Setiap kali bicara yang dituturkan, tidak pernah melupakan kalimah Allah
Pertemuan, perpisahan kerana Allah

Di hadapannya kita merasa tenang dan selamat
Di belakangnya, maruah kita selamat bersamanya
Dia mengajar kita bagaimana seharusnya bersahabat kerana Allah
Kita sanggup bersusah payah deminya sebab
kita tahu dia selalu bersusah payah demi kita
Kita tak malu menunjukkan kekurangan kita di hadapannya sebab
kita tahu dia tak pernah bersahabat dengan kita kerana kelebihan kita
Kita rela ketepikan ego dan emosi kita 
kerana dia  
sentiasa berbuat perkara yang sama

Andai dalam berjuang menegakkan yang haq dan menghapuskan yang batil
 kita memiliki sahabat sebegini
Alangkah berbaloinya setiap pengorbanan yang dibuat
Sebab kita tahu,
apa yang kita dan dia lakukan,
semuanya kerana Allah...

Untuk mendapat sahabat sejati, masing-masing harus berusaha memberi...
Semoga Allah membalas kebaikannya kerana sentiasa sabar bersama saya...
Cemburu apabila ada yang merinduinya lebih dari saya...

~bittaufiqwannajah~