5.13 a.m.
Stesen Kereta api Bukit Mertajam
Stesen Kereta api Bukit Mertajam
Dalam hidup ini, kita selalu berhadapan dengan situasi di mana kita memperjudikan masa dengan keputusan-keputusan yang dibuat dalam hidup. Kadang-kadang kita dapat walaupun sudah saat-saat akhir dan kadang-kadang kita melepas. Itulah yang dinamakan takdir atau rezeki.
Saya sebutkan perkara ini berikutan tabiat saya tidak suka membeli tiket kereta api awal-awal. Hari Ahad saya bercadang nak balik, tapi disebabkan saya takkan balik selagi tak selesai Bab 2 tesis, jadi saya tertunda untuk pulang keesokannya. Hari Isnin, saya cek jadual tiket kereta api online dan waktu berlepas adalah pada jam 2.56 p.m. Jadi, saya perlu selesaikan semua urusan sebelum pulang ke Penang. Selesai hantar tesis ke dalam box pensyarah, jam dah 1.20 p.m. Sebenarnya waktu-waktu ni boleh dikatakan waktu panik sebab sekurang-kurangnya dari KTM UKM ke KL Sentral lebih kurang 45 minit jika tidak ada masalah dengan komuter. Tiba ke komuter, komuter dijangka tiba pada jam 2.07 p.m. Pada waktu-waktu ni, memang saya akan lebih banyak berdialog dengan Allah kerana kepada siapa kita nak sandarkan harapan sewaktu harapan tersebut sangat tipis untuk digapai kalau bukan kepada Allah? Tiada yang mustahil kepada Allah. Nasib baik komuter tiba pada masanya dan tidak ada masalah sepanjang perjalanan. 5 minit lagi sebelum jam 2.56 p.m., komuter tiba di platform KL Sentral. Apa lagi, saya percepatkan langkah dan yakin saya akan sempat membeli tiket. Tiba di tingkat 2, saya mendengar pengumuman
“… yang dijangka tiba pada jam 2.56 petang telah dijadualkan semula. Tren ini akan berlepas pada jam 8.30 malam….”
…..
Sebaik-baik perancang ialah Allah. Sudah ditakdirkan saya balik jam 8 malam, jadi walau berusaha macam mana pun, saya tetap takkan dapat balik jam 2.56 petang kalau sempat beli tiket pun. At least, saya tidak kecewa kalau tak sempat dan saya telah berusaha. Ada waktunya tiket sudah dibeli, tapi terlepas tren walaupun sudah berada di KL Sentral.
Banyak kali juga la peristiwa yang melibatkan kereta api ini yang membuatkan saya bermuhasabah mengenai masa, keputusan/usaha dan takdir/rezeki. Semuanya ini berkait.
Apa yang saya perhatikan, manusia kadang-kadang punya harapan. Besar harapan mereka. Dan mereka juga punya masa. Banyak masa mereka. Cuma mereka kurang usaha. Kecil usaha mereka. Banyak kali terdengar luahan seperti;
“Masa tak sesuai lagi….”
“Bukan masanya….”
“Bukan masanya….”
“Lambat lagi…”
“Awal sangat…”
“Awal sangat…”
How can you be so sure when you don’t even try? You don’t even ask? You don’t even start?
Mereka perjudikan masa dengan hanya berharap. Senang cakap, pepatah Melayu ada menyebut;
Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.
Kalau sudah membina harapan, patutnya disusuli dengan usaha berbekalkan masa yang ada. The moment you start dreaming, you have to start planning and acting. Yang tahu masanya sesuai atau tidak hanyalah Allah. Bukankah Allah pemilik masa? Bukankah hanya Allah yang tahu bila masanya kiamat? Masanya kita mati? Masanya kita hidup? Singkatnya masa kita hidup di dunia? Berapa lama ahli kahfi tidur dalam gua? It wasn’t us to consider the time, but it was us to have a dream and go for it.
“Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”
“Kalau takut tak dapat, jangan pernah berharap”
Seriously, apabila kita berhajatkan sesuatu dan mula menyusun perancangan ke arah itu, Allah akan automatik bentangkan masa-masa tersebut tanpa kita pinta. Ayat ‘jangan pernah berhenti mengharap’ itu betul, tapi kena susuli dengan tindakan. Usaha itu milik kita, masa itu milik Allah. Jadi selepas berusaha, pulangkan kepada Allah. Kalau kita selalu ingat perkara ini, semestinya kita takkan pernah berhenti berusaha.
Entri kali ini saya tujukan buat mereka yang mempunyai harapan tetapi hanya menunggu masa yang sesuai. Allah sahaja yang tahu masa mana yang sesuai, jadi punya harapan, mulakan tindakan dan serahkan kepada Allah untuk tentukan.
~Mengilham harapan_merancang tindakan_mencipta masa depan~