Showing posts with label book review. Show all posts
Showing posts with label book review. Show all posts

Thursday, November 7, 2013

Kenangan Semalam

Saya fikir saya seorang yang suka membina dan kemudian hidup dalam kenangan. Pulang ke kampung baru-baru ni, saya menyusuri beberapa tempat kenangan saya dan sahabat sekitar Irshad. Banyak perubahan yang berlaku.

Restoran Sahabat Selamanya sudah tidak ada di situ. Terkejut dan....sedih. Macam kehilangan sesuatu. Saya baru bercadang nak menikmati ais kacangnya setelah sekian lama. Restoran tersebut digantikan dengan restoran lain. Sekaligus terpadamlah niat nak bawa 'pak we' jalan-jalan makan ais kacang paling best di Penang satu hari nanti. Angan-angan pun dah menjadi kenangan.

Saya singgah menjenguk ke Kedai Nasi Goreng Ayam Pak Cik Lan. Masih ada di situ. Simpang Tiga Keling. Sementara menanti pesanan nasi goreng ayam yang legend tersebut disiapkan, saya memerhati sekeliling. Kedut dan kendur di wajah Pak Cik Lan dan isterinya sudah kelihatan. 7 tahun kemudian baru menapak kembali ke sini... Tempat saya dan sahabat selalu melepak setiap kali ada kelas tambahan di sekolah atau sekali sekala nak merasa makanan luar dari makanan asrama. Tempat berkongsi rahsia-rahsia hati dengan sahabat. Kalau Harry Potter dan sahabat melepak di Hogsmeade, kitorang melepak di Simpang Tiga Keling kalau keluar dari Irshad. Kenangan ini juga bakal terhapus ditelan masa bersama tuanya Pak Cik Lan dan isteri. Mereka tak punya anak. Dan anak-anak orang Melayu jarang mewarisi legasi orang tua-tua mereka. Tidak seperti bangsa Cina. Akhirnya saya mencapai satu kesimpulan sambil memandang langit;

'Wahhh...Sunyinya.' 

Satu-satu tapak kenangan ditelan masa dan perubahan- Stesen Kereta api Bukit Mertajam, Restoran Sahabat, rumah tok, dan entah apa lagi.

Kenangan tersebut ditarik bersama hilangnya jejak-jejak mereka.

Balik ke rumah, saya membelek-belek buku di rak. Sunyi-sunyi begini, kawan baik selalunya buku. Bila kita perlukan, dia selalu ada. Kalau kita tak perlu, dia setia di situ. Nama pun buku~ HAMKA bersama karya beliau ISLAM: Revolusi Ideologi dan Keadilan Sosial. 

Perasaan saya bagai tersalur bersama dengan perasaan HAMKA apabila beliau turut menjejaki kembali sejarah revolusi manusia mencari pegangan. Saya tak pernah kecewa baca karya beliau. Cara beliau menjalin cerita walaupun ianya sejarah, tebal, masih mampu membuatkan saya tenggelam dalam setiap helaian mukasurat. Ini karya kedua beliau yang saya baca selepas Sejarah Umat Islam.

Saya seronok membaca atau mendengar bicara sesiapa sahaja yang memiliki sudut pandang yang bukan kebiasaan. Sebab saya pun cuba melihat dunia ini dari sudut pandang yang berbeza. Selalunya ia memungkinkan saya disalahfahami. Tetapi penulisan buku-buku hebat sentiasa mendorong ke arah kebebasan berfikir. Alangkah indahnya andai saya mampu keluar dari kepompong minda sedia ada dan berfikiran besar. Macam kata-kata A.Fuadi 'peluklah impian erat-erat'.

Terus menapak dan kutiplah hikmah sepanjang jalan.

Friday, August 2, 2013

Subky Latiff

Marathon menghabiskan bacaan semua karya Subky Latiff:


-Malaysia ke Arah Pemikiran Islam
-Dilema Pemuda UMNO
-Siapa Ganti Asri?

Sebenarnya ia lebih kepada 'ketagihan' (kalau kita boleh guna perkataan ini) membaca penulisan beliau. Ada beberapa lagi buku beliau yang disimpan di Perpustakaan Tun Sri Lanang tetapi ini sahaja yang sempat dipinjam buat masa sekarang. Beliau memang penulis yang memiliki gaya tersendiri. Ramalan-ramalan atau bacaan-bacaan politik beliau kebanyakannya tepat dengan apa yang berlaku kemudiannya. Kiranya beliau sangat bijak membaca suasana dan kemudian menjalinkannya dalam penulisan. Setakat ini memoir individu yang saya baca selain beliau, Ahmad Mustapha Hassan, Membina dan Meruntuh Malaysia, penulisan beliau paling baik dan best dibaca. Cara pengolahan beliau santai tetapi bernas. Itulah komen peribadi saya.

Bagi saya, politik Malaysia sangat membosankan dan biasa-biasa sahaja kalau dibaca melalui buku-buku penulis lain, tetapi melalui penulisan beliau, politik Malaysia jadi menarik untuk diambil tahu. 

Saya mendoakan kesihatan dan panjang umur beliau agar saya diberi peluang dan kesempatan bertemu dengannya satu hari nanti. Semalam dah sampai termimpi-mimpi saya jumpa dengan beliau dan berbual-bual sebab baca buku sampai blackout. Moga menjadi kenyataan.


Tuesday, June 25, 2013

Healing potion


Book is like a healing potion. Certain books motivate us, some inspire and others guide us. 

Most of the time, it reminds us of what we have lost behind.

It speaks right from the heart of the author. How they see, think and describe their surroundings.

Sometimes, they even speak for us. Answering our questions, take away our doubt and strengthen our feeling. 

If books can do better, why do we even need Facebook? (but through FB I have found this book)~~

Maybe just for a short while, I also need to reset my heart.

I love the gifts so much that I am afraid I have forgotten to love the Giver.

I need to love the Giver in order for the gifts to last longer in my hands, 

not in my heart.

May Allah bless the author for reminding me about what true love means.



Wednesday, April 4, 2012

Bersama mengulat

AMARAN: Entri kali ini terlalu panjang kerana penulis cuba mengurangkan ketepuan akibat terlalu lama membaca~

Kalau Faisal Tehrani rehat dari menulis dengan menulis, saya pula rehat dari membaca dengan menulis.  Kadang-kadang ada sahabat yang merungut, 

" Tak perlu la tulis berat-berat dalam blog, aku boleh baca kalau topik berat-berat kat tempat lain, aku buka blog kawan-kawan sebab nak baca secara santai macam tengah bersembang."  Jadi saya ikutkan jer lah permintaan pembaca.  Moga ada manfaat walaupun santai-santai.

Bila sebut tentang membaca ni, orang boring kalau shopping buku dengan saya sebabnya saya selalu sarankan buku-buku yang pada pendapat diorang berat dan tidak dapat dihadam.  Tapi itulah trend semasa saya. Saya tak pasti trend semasa genre pembacaan yang diminati penduduk Malaysia sekarang, tetapi trend pembacaan saya sangat dipengaruhi oleh sahabat yang selalu kongsikan buku yang mereka baca kepada saya.  

Tak pasti sama ada ini kebetulan atau tidak, trend ini ada perkembangan dari sudut kematangan isi kandungan seiring dengan usia saya.  Kiranya saya macam bertuah sebab Allah kirimkan sahabat-sahabat yang sentiasa membawa saya seiring dengan perkembangan dan tidak ketinggalan ke belakang.  Alhamdulillah.  Jadi carilah sahabat-sahabat yang boleh mendekatkan anda dengan kebenaran.

Di bawah ni saya saja-saja nak listkan trend pembacaan saya yang mungkin ada persamaan dengan pembaca.  Ada sesetengah orang, trend pembacaan dia sama sahaja, dulu, kini dan selamanya.  Contoh, novel cinta.  Sahabat sekolah rendah saya, Hajar memiliki beratus koleksi novel cinta dan setiap kali shopping buku dengan dia, novel cinta memang takkan lepas dari tangan.  Tambahan pula novel cinta memang sentiasa terupdate di pasaran.  Cadanglah buku apa pun, novel cinta juga yang dipilihnya.  Kalau pergi melawatnya di rumah, novel cinta bersusun atas meja.  Bacanya tidak sebab sibuk bekerja.  Tapi setiap kali saya balik cuti mesti ajak shopping buku.  Pengaruh ke atas kehidupan dan cara berfikir? Sangat besar kesannya.  Antaranya dia sanggup belajar buat puding karamel gara-gara terlalu menghayati kisah dalam novel Adam Hawa.  Sebelum saya rasa puding tu, dia akan story  scene dalam novel dengan dialognya sekaligus.  Kalau tak percaya, cuba buka novel tu.  Saya pun tak pernah baca sebenarnya sebab cukup sekadar mendengar dia bercerita berulang-ulang kali.  Ciri-ciri suami yang dia nak?  Namanya Adam supaya dia boleh panggil Am....alahai Hajar.  Nama awak Hajar, carilah yang namanya Ibrahim, kan cocok.  Err...melalut plak.  Tapi, ada bagusnya juga kan?  Sebab itulah saya risau kalau-kalau orang perempuan terlalu minat cerita Korea sebab dalamnya hanya diajar masak megi jer~

Itu trend yang tak dapat diubah, ada lagi, komik Gempakstarz.  Cuti semester saya pergi melawat sahabat, Fatihah.  Pergi tangan kosong, balik dengan kotak berisi penuh komik untuk dibaca.  Itulah untungnya ada sahabat-sahabat yang suka membaca, boleh pinjam...(^_^)V Walaupun saya tak sanggup nak buang duit untuk beli bahan bacaan macam tu, saya sanggup baca asalkan ada tulisan dan faham.  7 hari baca sekejap sahaja saya habiskan, sebab itulah sangat rugi untuk membeli sebuah komik ber-RM7 dan habis dibaca dalam sejam.

Trend saya pula dipengaruhi oleh sahabat-sahabat yang paling kerap menyogok buku:

Tingkatan 2-3- novel-novel cinta. 
Err...di sinilah pertama kali saya dah disogokkan dengan kisah cinta picisan. Amboi...Sahabat saya, Syamimi ni macam Hajar.  Memang waktu ni berlaku fenomena dalam kalangan pelajar tentang novel-novel cinta.  Berlaku sistem barter yang setiap hari.  Saya sempat terpengaruh dengan novel Kau Yang Satu, Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian, Tiada Lagi Mimpi (trilogi Sharifah Abu Salem).  Di sini saya mula perasan, kalau saya baca novel cinta jer mesti saya akan stress.  Mungkin sebab tak kena dengan jiwa.  Cewah...  Tapi, sahabat saya Syamimi ni memang sabar.  Kalau pun saya tak sanggup nak baca novel, dia sanggup ceritakan jalan cerita novel-novel yang lain kepada saya dalam kelas setiap hari Jumaat sampai saya tertidur.  Pelik tak pelik, niat sahabat saya ni bercerita dan dia tak kisah pun kalau saya sampai tertidur.  Jadi, saya jadikan perkara ini rutin setiap hari Jumaat (waktu ni saya belum berani main badminton sebab takut senior nampak).  Kami berdua dalam kelas, angin sepoi-sepoi bahasa, dia bercerita novel cinta yang baru dibaca, saya mendengar dan......tertidur.  Kadang-kadang saya menyampuk konon macam nak bagi reaksi yang saya dengar apa yang diceritakan tapi lain pula nama watak yang saya sebut.  Jadi, saya tak berani nak respon takut melukakan pula hati dia.  Tapi dia tak marah.  Waktu saya bangun, dia masih setia di sebelah.  Oh Tuhan, malaikatkah ini... dan begitulah seterusnya.   

Tingkatan 4-5- novel-novel Islamik
Jiwa waktu Tingkatan 4 & 5 ni macam sejuk sahaja sebab dah jadi senior, pengawas, Badar, Naqibah.  Bukanlah maksudkan diri sendiri, tapi sahabat-sahabat sekeliling.  Kalau dulu pelajar asrama kurang ngam dengan pelajar berulang, naik menengah atas sudah boleh berkongsi-kongsi pendapat dan minat.  Waktu inilah saya mula kenal dengan karya-karya Faisal Tehrani dan Zaid Akhtar.  Novel Advencer Si Peniup Ney, Detektif Indigo, 1515, Rona Bosphorus, Sesegar Nailofar bertukar-tukar tangan antara kami.  Bertambah bersemangat untuk belajar dan berbakti kepada agama dan bangsa dan sekolah terutamanya.  Kebetulan adik saya pula menghadiahkan novel Kombat karya Faisal Tehrani.  Dia cakap tak tahu Kak Yu minat ke tak, tapi Allah kan selalu kabulkan hajat hamba-Nya melalui jalan yang tidak disangka-sangka.

Lepas tingkatan 5- novel-novel cinta Islamik
Sebenarnya saya berasa selamat saya mula membaca novel sebegini selepas sekolah menengah.  Hati saya lebih terjaga.  Ni antara tempoh-tempoh sebelum dapat tawaran ke matrik.  Jadi, saya kadang-kadang melawat sahabat untuk berusrah.  Waktu di rumah Umairah, terjumpa novel-novel ni sebelum menjadi fenomena.  Jadi at least saya bukan baca disebabkan fenomena tetapi sebab sahabat yang cadangkan.  Antaranya Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2, Tautan Hati (Fatimah Syarha).  Ada sahabat saya, selepas saya beri dia baca novel Tautan Hati, terus dia putus cinta dengan kekasihnya.  Alhamdulillah. 

Tingkatan 6 bawah- 6 atas- motivasi-motivasi hidup
 Kehidupan lebih mencabar disebabkan subjek-subjek yang baru, suasana sekolah harian yang asing, rakan-rakan yang asing, cabaran yang baru jadi Allah utuskan seorang guru praktikal (saya terlupa nama dia…hu).  Kami selalu bertukar-tukar buku dan buku yang paling saya ingat ialah Life is an Open Secret karya Zabrina.  Waktu ni juga sahabat baik yang berada di Mesir, Sakinah Sobri hadiahkan -How to be the happiest women in the world karya Aidh Al-Qarni.
 
universiti- ilmiah-
Beratkan? Tapi sahabat-sahabat sekeliling yang mencorakkan trend pembacaan saya.  Pada masa yang sama, bersesuaian dengan kursus saya Sains Politik.  Antara karya-karya yang disogokkan- Cry For Freedom, Tarbiyah Siyasiyah, Act Like a Lady Think Like A Man,  dan sebenarnya, apabila berada di universiti, budaya bertukar-tukar minat membaca ini kurang diamalkan.  Mungkin kerana perpustakaan dah besar, internet banyak bahan atau malas… pelik pula trend di sini.  Saya fikir saya pula yang lebih banyak pinjamkan bahan bacaan kat rakan sekuliah, itupun untuk tujuan tugasan.  Hmm…ke mana hilangnya budaya berkongsi membaca dan berkongsi pendapat?

Kredit untuk sahabat yang selalu berkongsi minat- Azizah Najib. Septimus Heap (Magyk, Flyte, Darke, dll)- ini memang trend sepanjang zaman. 



Sunday, March 4, 2012

Tesis


Saya suka ekonomi.Eh, saya suka ekonomi politik.  Latihan ilmiah atau tesis (gah sikit) untuk ijazah saya berkaitan dengan ekonomi politik.  Konon-kononnya nak membuat sesuatu yang baru dan belum diterokai oleh senior-senior, akhirnya akibat kekangan masa, saya terpaksa mengalah.  Pensyarah nasihat, kalau nak buat sesuatu yang baru dan belum diteroka, buat waktu PhD.  Masa sangat banyak untuk membaca dan mengkaji.  I bare that in mind.  Saya berangan-angan nak membuktikan peperangan merupakan sumber ekonomi terbesar Amerika Syarikat sewaktu Perang Dunia Kedua.  Bagaimana peperangan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat.  Ini bertitik tolak daripada ucapan Bush kepada PM Argentina secara peribadi bahawa untuk tingkatkan ekonomi, tidak lain adalah melalui peperangan.  Masalah yang dihadapi, sorotan kajian sangat sedikit sumbernya.  Teori yang akan saya gunakan ialah teori imperialisme.  Tapi macam buntu pula nak kaitkan dengan ekonomi.  Sudahnya, saya mengkaji Kedudukan Amerika Syarikat sebagai Kuasa Ekonomi Kapitalis Dunia selepas Perang Dingin.  Tajuk tersebut diperoleh setelah diharmonikan oleh penyelia saya, Puan Mahfuzah.  Alhamdulillah, dapat penyelia perempuan dan sangat baik sehingga saya sangat mengada-ngada dan bersantai-santai.  Akibatnya, baru nak terkejar-kejar apabila naik semester.  Benarlah, bekerja dalam tekanan kadang-kadang dapat mengeluarkan potensi diri kita yang sebenar.  Tapi, kalau boleh elakkanlah.

Istilah-istilah ekonomi sangat menarik sebenarnya.  Tetapi, ekonomi politik tidaklah melibatkan pembinaan model-model ekonomi dalam tesis seperti mana sahabat saya, Fatma.  Mesti saya akan lebih pening kalau perlu buat model tersebut.  Tapi saya amat kagum dengan sahabat saya ni sebab otak dia sangat laju dan mesra dengan nombor-nombor.  Saya tak mesra formula dan nombor.  Selalunya akan tercicir salah satu.  Mungkin itulah sebab utama saya meninggalkan dunia sains walaupun ditawarkan ke matrik untuk menyambung sains hayat.  Biologi boleh lagi, kimia? Matematik?  Owh, termuntah dibuatnya.  Once lost, lost altogether. 

Teori yang akan saya gunakan ialah Teori Hegemoni.  Sebelum Amerika jatuh, sekurang-kurangnya saya berpeluang mengkaji tinggalan tamadun ini, if we could call it civilization.  Lagipun saya terpengaruh dengan teori Marx yang mengatakan sejarah manusia dicorakkan oleh kebendaan.  Konsep historical materialism.  Ekonomi sangat memberi pengaruh besar dalam sejarah manusia. Selain punca terbesar peperangan ialah agama, ekonomi adalah punca selepasnya.

Ini juga bertitik tolak dengan seorang pensyarah di jabatan saya, Dr. Leo Agustino.  Arwah pensyarahnya dahulu memanggilnya rujukan bergerak kerana dia mewarisi ilmu pensyarahnya dengan sangat baik.  Seperti mana gelaran yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w kepada Saidina Ali.  Saya berpandangan, jiwa rakyat Indonesia ini sangat lain dengan rakyat Malaysia.  Dan apabila rakyat Malaysia yang pergi menuntut ilmu di sana, gaya mereka turut berubah.  Walaupun mereka berstatus pensyarah, namun jiwa pendidik subur dalam diri mereka.  Tutur bicaranya lembut dan penuh hikmah.  Selain En. Jamaie yang berjiwa pendidik kerana menuntut di universiti Indonesia, Dr. Leo Agustino juga begitu.  Gaya pendidikan di Indonesia itu lain dari Malaysia.  Sewaktu Dr. Leo menerangkan mengenai pengaplikasian teori, kebanyakan rakan-rakan saya barulah faham walaupun sudah menuntut selama 2 tahun di UKM.  Rasa macam baru mendapat pencerahan.  Penerangan beliau yang lemah-lembut dan berhikmah, membuat saya pada waktu tersebut rasa…terharu? Kagum?  Rakan  saya lagi hebat, rasa macam nak menangis.  Sebab dia buntu dengan tesis, setelah berjumpa dengan Dr.Leo barulah dia seperti melihat jalan yang lapang.  Walaupun beliau bukan penyelia kawan saya, dia membantu satu-satu sehinggalah rakan saya faham.  Di mana kita nak menemui pensyarah yang berjiwa pendidik sebegini?  Ajarannya adalah untuk memahamkan, bukan semata-mata menyampaikan ilmu yang difahaminya.

 Kajian PhDnya yang bakal diterbitkan memberi sumbangan besar dalam bidang ilmu.  Beliau telah dengan beraninya mencabar karya agung Huntington, The Clash of Civilization yang menjadi panduan dasar di Amerika Syarikat sehingga memandu AS untuk memerangi Islam dan menghalang kebangkitan tamadun Islam.  Menurut Dato’ Agus, karyanya ini bakal menganugerahkan beliau dengan gelaran tertinggi dalam bidang sarjana.  Mungkin Prof. Emeritus?  Saya dah tak sabar-sabar nak dapatkan karya beliau.  Walau apa pun anugerah yang diterima, seorang yang berjiwa pendidik dan sederhana akan sentiasa menjadi pendidik.  Sangat sabar.

1.51 a.m.
Tak boleh baca lebih sikit...mulalah nak menulis dalam blog...~ aish, ayu ni...

Tuesday, February 14, 2012

Tergantung

10.00 a.m.

Selesai baca novel Inggeris Ashes karya Ilsa J.Brick.  Komen: Frust.

Inilah risiko apabila membeli dalam keadaan kelam-kabut.  Tidak ada masa untuk membelek dengan teliti jalan cerita.  Perkara yang paling saya tidak puas hati apabila membaca ialah apabila pengakhiran jalan cerita berada dalam keadaan tergantung.  Cukup untuk merosakkan mood.  Selama dalam pembacaan, ada dua buah novel yang berjaya untuk merosakkan mood saya setelah mood tersebut dibina dengan baik sepanjang jalan cerita.  Setelah novel Dekat Disayang, Jauh Dikenang karya sasterawan Khadijah Hashim, saya memang teramat berhati-hati dalam memilih novel yang hendak dibaca.  Novel cinta Melayu memang bukan kegemaran sebab sentiasa sahaja mengundang ketidakpuashatian sepanjang pembacaan.  Kenapa perempuan ni baik sangat? Kenapa semua watak utama mesti cantik sahaja? Kenapa lelaki ni poyo sangat? Kenapa? dan Kenapa?... Akhir sekali, jawapannya, berhenti baca novel cinta.  Jadi sewaktu di Tingkatan Lima, saya sudah tidak membaca karya Alaf 21, Kaki Novel, dan seterusnya.  Untuk selamatkan perasaan dan akal, selama itu saya lebih menumpukan kepada buku-buku bergenre motivasi, ilmiah, politik, agama dan novel Inggeris.  Lebih selamat dari mengalami heart-wrenching situation sebab hanya bermain dengan fakta dan kajian.

Novel Dekat Disayang, Jauh Dikenang tersebut berakhir dengan Normala terbang ke UK tanpa memilih mana-mana lelaki yang menyukainya, Zali atau Zahar.  Waktu tu memang frust baca novel tu sampai menangis-nangis la juga keadaannya.  Biasalah, budak tak matang.  Saya memang nasihatkan penulis supaya menghabiskan sesuatu cerita.  Bukanlah happy ending sangat yang kita nak tahu, cuma biarlah persoalan utama yang dibina sedari awal pembacaan oleh pembaca terjawab di akhirnya.  Siapa akhirnya yang dipilih Normala?  Macam nak pecah dada apabila melihat tidak ada lagi mukasurat seterusnya selepas berakhir dengan Normala berada dalam kapal terbang.  Bagi saya ia penting kerana cerita watak-watak tersebut  hanya dimainkan dalam sebuah buku dan ia seharusnya berakhir di dalam buku tersebut.  No matter how  heart-wrenching the plot.


Begitulah keadaannya dengan novel Ashes,  cerita berakhir dengan Alex mengetahui akhirnya bahawa pemerintahan Rule bukan memerangi golongan Changed (yang bertukar menjadi kanibal selepas berlaku peristiwa electromagnetic pulse (EMP)) tetapi memberi makan mereka dengan penduduk-penduduk Rule yang dihalau keluar.  Dalam situasi akhir itu, Alex berhadapan dengan timbunan mayat manusia dalam pelbagai keadaan yang mengerikan selepas dia 'dibebaskan' dari Rule.  Sewaktu sedang terkejut tersebut, datang 5 orang kanibal di hadapannya dan di situlah dia tahu kebenarannya.  And it ENDS here!  Tersentap saya.  Selak belakang, acknowledgments.  Kembali ke muka hadapan in case saya terlepas pandang epilog, prolog.  Lihat pula kulit buku depan belakang mana tahu saya terlepas pandang perkataan-perkataan seperti novel ini ada siri, sekuel, atau trilogi.  Tak ada!   Berkali-kali saya kata dalam hati, terimalah kenyataannya Ayu, this novel ends here. Ok, fine.  We can assume that she had been killed too.  But couldn't you at least, TELL ME.  But what about Tom? Ellie? Chris?  Did Chris go and save Alex? Did Alex survive as she had a rifle, a knife and God knows what weapon that she had brought?  What about the dog, Mina?  About the EMP, how long does it take before it get back to normal? Isn't things going to change or it remains like that?  Is the author trying to tell me the story is about doomsday and the situation will be like this?  People are killing each other in other to survive. 

Kejam, kejam, kejam.  Setelah mood saya dibina dengan baik dengan segala perasaan suspen, seram, dan pelbagai lagi emosi, akhir sekali saya ditinggalkan terkapai-kapai untuk memikirkan sendiri apa yang boleh terjadi kepada Alex.  Serasa saya tidak akan menjawab persoalan tersebut tetapi akan membaling novel ini ke kepala penulis tersebut.  Maaf, agak emosi.  Tapi begitulah terjadi kalau tidak berhati-hati dalam memilih bahan bacaan.  Baiknya, saya beli dengan baucar jadi saya boleh bertolak-ansur juga dengan wang yang telah dibazirkan untuk membaca novel yang, we could say it......tergantung????

Tuesday, December 27, 2011

Merawat Penat

Apabila jari-jemari sudah letih menari atas papan-papan kekunci
Apabila otak sudah letih berfikir
Apabila semangat mulai surut
Apabila masa semakin laju meninggalkan 
Apabila kesabaran teruji


Buku Ranah Tiga Warna dicapai
Mencari bait-bait kata pembakar semangat
Moga dapat merawat otak yang penat, hati yang berat, semangat yang surut...


"Jarak antara kesungguhan dan kejayaan hanya dapat diisi dengan sabar. Sabar yang aktif, sabar yang gigih, sabar yang tidak pernah menyerah, sabar yang penuh dari pangkal sampai hujung yang paling hujung.  Sabar yang dapat membuatkan sesuatu yang tidak mungkin menjadi mungkin, bahkan seakan-akan itu sebuah keajaiban dan keberuntungan.  Padahal keberuntungan adalah hasil kerja keras, doa dan sabar yang berlebih-lebih.  Bagaimana tinggi pun impian, ia tetap wajib dibela habis-habisan walaupun hidup sudah digelung duka nestapa."  (halaman 490-491)



4.14 PM
Selesai baca Ranah Tiga Warna-A.Fuadi

Sunday, November 13, 2011

Negeri 5 Menara

2.46 a.m.
MS

Alhamdulillah...Selesai membaca novel "Negeri 5 Menara" karya A.Fuadi.  Sebuah novel inspirasi daripada kisah nyata.

Setelah marathon selama 2 hari berturut-turut, tak tergambar perasaan selepas selesai membaca.

-Latar tempat di Pondok Madani (PM), Jawa yang ketat dengan disiplin
-Watak 6 orang sahabat- Alif Fikri, Said, Atang, Baso, Raja dan Dulmajid
-Berbekalkan mentera man jadda wa jada, keikhlasan, tekad yang bulat, usaha dan tawakal kepada Allah mereka mengharungi kehidupan di PM demi sebuah ilmu

Sebahagian ayat yang menggoncang jiwa;

"Dahulu kami tidak takut bermimpi, walau sejujurnya juga
tidak tahu bagaimana merealisasikannya.  Tetapi lihatlah hari ini.
Sesudah kami mengerahkan segala ikhtiar dan menggenapkan dengan doa,
Tuhan mengirim benua impian ke pelukan masing-masing. Kun fayakun, maka
awalnya awan impian, kini hidup yang nyata.

Jadi jangan pernah remehkan impian, walau setinggi apa pun.  Tuhan sungguh Maha Mendengar.

Man jadda wajada,  siapa yang bersungguh-sungguh akan berjaya."



Pasang niat. Bulat tekad. Usaha sungguh-sungguh. Doa. Tawakal.

Terima kasih ya Allah kerana mengirimkan k.Hajar. Terima kasih k.Hajar kerana menyarankan pula novel ini.  Terima kasih penulis novel kerana menulis sesuatu yang memberi inspirasi sebegini.  

K.Hajar cakap boleh tampar dia jika lepas baca novel ini tidak terkesan dengan isinya.  Dia memang berani sebab dia tahu saya pun akan tersihir dengan novel ini.  Saya malah akan memeluknya erat-erat dan mengucapkan terima kasih.

p/s: sambung buat tugasan~

Tuesday, September 13, 2011

Super-typical person



Dalam kehidupan kita, pasti selalu kita bertemu pelbagai kategori manusia.  Setiap daripada kita mempunyai kelas masing-masing.  Walau apa pun kategori manusia, mengikut Hierarchy of Needs Maslow, selepas daripada mendapat keperluan asas seperti makanan, agama, tempat tinggal, manusia memerlukan perlindungan dan seterusnya tingkat yang telah digariskan.  Namun, apa yang saya ingin sentuh dalam post kali ini ialah tingkat yang ketiga keperluan manusia iaitu belongingness and love needs (rasa dipunyai dan dikasihi) sebelum beranjak ke tingkat esteem needs dan tingkat terakhir iaitu  self-actualization.

Di mana pun manusia berada, rasa dipunyai dan dikasihilah yang mampu membuatkan manusia tersebut survive dalam sesebuah kelompok kumpulan atau masyarakat.  Manusia tidak akan mampu bertahan berada dalam kumpulan di mana dia dipulaukan dan tidak dipedulikan.  He will not survive a day.

Jika mengikut model yang dibuat oleh Hartley (2010), manusia boleh diplotkan dalam sebuah graf bell-curve (lekuk loceng) yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sub-tipikal, tipikal dan super-tipikal.  Kita selalu dengar ayat seperti ‘Dat was so typical’, ‘I am not a typical person’, ‘perkara ini terlalu tipikal untuk dibincangkan’.  Sedap jer kita sebut, kita tahu tak apa itu tipikal?  Briefly, tipikal ni merupakan sesuatu yang common atau normal.  Contoh; berkahwin satu itu merupakan sesuatu yang tipikal.  Maknanya 99% manusia dalam dunia ni berkahwin satu.  Maka, secara automatik kelompok yang tidak berkahwin akan berada dalam kelompok sebelah kiri lekuk loceng iaitu sub-tipikal iaitu perkara yang manusia anggap sebagai  uncommon dan pathetic.  Kenapa pathetic (menyedihkan)? Sebab manusia menganggap mereka yang tidak berkahwin sebagai gagal dalam kehidupan.  Kalau kelompok super-tipikal, semestinya mereka yang berkahwin lebih dari 1,2,3 dan 4.  Super-tipikal ni kiranya pencapaian yang sukar untuk dilakukan oleh lain dan kelompok yang mencapai tahap ini adalah sedikit.

Kedudukan seseorang dalam lekuk ini berbeza mengikut tempat mereka berada dan populasi yang dibandingkan.  Saya ada seorang rakan sewaktu di Tingkatan Enam yang cantik dan digilai ramai lelaki.  Dari konteks rupa paras, mungkin dia digolongkan dalam kelompok super-tipikal di sekolah tersebut sebab tak ramai yang cantik.  Namun, jika dibandingkan dia dengan Miss Universe, dia mungkin berada di bahagian sub-tipikal.  Oleh itu, kita mungkin boleh plotkan diri sendiri mengikut kelompok yang hendak dibandingkan.  Sebagai contoh,  dalam persatuan kita merupakan salah seorang pimpinan.  Jadi, dalam persatuan tersebut kita merupakan kelompok super-tipikal kerana selalunya pimpinan sedikit daripada ahli.  Ahli yang aktif mungkin berada dalam kelompok tipikal dan ahli yang kurang aktif atau tidak terlibat dalam gerak kerja dan hanya mendaftar berada dalam kelompok sub-tipikal.  Dengan sendirinya kita boleh ukur pencapaian diri dalam kehidupan ini.

Plot dalam lekuk ini tidak statik kerana manusia itu fleksibel.  Setiap daripada kita bersaing untuk menjadi kelompok super-tipikal sama ada sengaja atau tidak sengaja.  Semuanya hasil daripada proses untuk mencapai rasa dipunyai (belongingness) tadi.  Manusia akan mencari kelompok yang mempunyai mutual understanding sepertinya.  Kelompok di mana dia boleh menjadi diri sendiri dan mempunyai kebersamaan.  Apa sahaja yang dilakukan dalam kelompok tersebut, mereka yang hendak merasa dipunyai akan berusaha menjadi sebaik mungkin seperti mana orang-orang yang telah mencapai tahap super-tipikal.  Hal ini demikian kerana, mereka yang berada di tahap super-tipikal merupakan contoh individu yang telah berjaya mencapai tahap keempat Hierarchy of Needs iaitu Self-esteem.  Sebab itulah kadang-kadang kita lihat seorang yang bertudung labuh tidak mampu mempertahankan penampilannya apabila dia silap masuk kelompok kumpulan.  Dengan menukar fesyennya, barulah dia capable to create a sense of belonging dengan rakan-rakannya yang tidak bertudung.  Sebab itulah timbul ayat ‘lebih Barat dari Barat’.  Sebab itulah environment sangat mempengaruhi perfomance seseorang.

Lagi satu, seseorang yang super-tipikal dalam sesuatu kelompok atau kategori mungkin menjadi sub-tipikal jika kita bandingkan dia dalam kelompok yang lain.  Seperti rakan yang saya katakan cantik tadi dan berada dalam kelompok super-tipikal di sekolah, dia merupakan seorang yang sub-tipikal dalam keluarganya.  Dia mempunyai 13 adik beradik.  Sewaktu berkunjung ke rumahnya, saya lihat hubungannya dengan ibunya tidaklah semesra dia dengan rakan-rakannya.  Adik dan ibunya boleh mengutuknya di hadapan saya sewaktu dia tidak ada di dapur.  Saya agak terkejut dan hanya mampu mendiamkan diri.  Hilang terus selera nak makan.  Mereka tidak peduli langsung saya yang berada di situ dan mendengar perbualan mereka.  Dan itulah kali pertama dan terakhir saya pergi ke rumahnya.  Sikap kurang mesra ibunya terhadapnya terkena dekat saya juga selaku rakannya.  (Pengajaran: Lain kali berkawan dengan anak mak, senang, mak yang sayang anaknya akan sayang kawan anaknya juga)  Apabila dikaji, rupa-rupanya sewaktu dia kecil dia tidak dijaga oleh keluarganya tetapi neneknya kerana tidak cukup bulan sewaktu lahir.  Selain itu, dia juga antara anak yang bermasalah dalam keluarga.  Besar jugalah masalah yang dibuat apabila seorang perempuan ini cantik dan melayan setiap peminatnya.  Tetapi saya kagum dengan semangatnya untuk berubah.  Dia hanya perlu persekitaran yang membantu.  Malangnya, cara yang dipilih adalah salah.  Anggapan bahawa perhubungan antara berlainan jantina atas niat dakwah dibolehkan adalah silap kerana syaitan itu begitu licik memperdayakan anak Adam.    

Seorang pensyarah perempuan saya merupakan seorang yang super-tipikal dalam bidang kerjaya dan akademiknya.  Beliau mendapat ijazah pada umur yang muda iaitu 21 tahun dalam bidang Chemistry, kemudian memperoleh master dalam bidang Perniagaan dan akhirnya mendapat PhD pada usia 31 tahun dalam bidang Public Policy dan mendapat gelaran Prof Madya Dr sekarang.  Dia menghabiskan tempoh 14 tahun untuk mencapai tiga tingkat tertinggi dalam pendidikan tersebut dalam pelbagai bidang yang  agak kritikal.  Sekarang menjadi pengarah bagi 5 region di IKON. Sesuatu yang memang dikagumi.  Walau bagaimanapun, dia tidak berkahwin sehingga sekarang.  Jadi, bagi masyarakat Malaysia, dia berada dalam kelompok sub-tipikal dari sudut social-lifenya. But still for her, life is wonderful.  Don’t you think so too?    

Apabila kita telah selesai memplotkan diri sendiri, kita boleh membuat penilaian dan aim to improve ourselves.  Dengan ini kita akan bergerak ke arah tingkat seterusnya iaitu Self-esteem.  Mereka yang mencapai self-esteem yang tinggi dalam kelompok-kelompok yang dimasuki akan berusaha pula untuk mencapai self-actualization yang memang jarang dimiliki oleh manusia.  Selalunya ahli politik merupakan mereka yang menduduki kelompok self-actualization ni.  Sebab itulah mereka dikatakan bernafsu besar seperti mana kata Ustaz Nik Abduh.  Hanya orang yang bernafsu besar mampu mencapai tingkat paling atas dalam Hierarchy of Needs.  Tengok sahaja Muammar Ghadafi.  44 tahun memerintah tak nak turun-turun sampai rakyat memberontak dan mati beribu orang baru dia nak turun.  Tu pun kena halau dulu.  Apabila jadi sebegini, Muammar Ghadafi secara tak langsung telah jatuh ke hierarki kedua iaitu Safety Needs.  Satu kejatuhan yang memalukan.  Beliau memerlukan masa untuk mencapai kembali tahap Belongingness, Self-esteem dan Self-actualization.  Satu perjalanan yang jauh kerana rakyat dah tak nak kat dia.  Bermakna rasa dipunyai dalam kalangan rakyat sendiri sudah tidak dimiliki olehnya.  Sebab itulah puak-puak UMNO sekarang sedang berusaha untuk membunuh karekter pemimpin lawan bagi memusnahkan perasaan Self-Actualization mereka dan kalau boleh Self-esteem mereka sehingga mereka tidak mampu bangkit dan melawan.  Serangan peribadi merupakan cara yang paling licik digunakan.

Sebagai rumusan, manusia tidak akan pernah puas selagi mana tidak mencapai tahap tertinggi keperluan dalam hidup kerana nafsu yang ada mendorongnya untuk berbuat demikian.  Tapi ada sahaja saya lihat rakan-rakan saya yang berada dalam kelompok tipikal dan dia tidak kisah dengan statusnya.  In fact, dia tak tahu pun dia berada dalam kelompok tersebut.  Sebagai contoh, dia ada 5 adik-beradik and lead a normal life, bekerja di kilang dan mendapat gaji setiap bulan (at least kaya dari saya yang dibiaya), everything tentang dia biasa-biasa sahaja.  Kiranya kalau orang tanya, “Macam mana kehidupan awak sekarang?”, “Biasa-biasa sahaja,”  Dia mungkin akan berkahwin dengan lelaki yang biasa-biasa juga sebab dia pun biasa-biasa, mendapat anak, membesarkan anak-anak seperti mana dia dibesarkan, tua dan dijaga oleh anak-anak, her lives will revolve around her small world.  Berbeza dengan saya yang teringin nak pergi oversea, bercita-cita besar dan macam-macam lagi.  Sometimes when I get exhausted pursuing my dream, I wish I will lead a normal lives accordingly like her. Tapi saya tahu, umat Islam kena jadi super-tipikal.  We have to compete in order to perform.  Sesungguhnya dunia sementara dan dunia ini diwarisi oleh hamba-hamba Allah yang bersyukur.  Jadi, nak buktikan kita bersyukur, kita kena gunakan sebaiknya segala anugerah yang Allah beri.  We are born to be super typical.  Macam mana nak jadi super-tipikal?  Senang sahaja.  Dalam setiap kelompok yang kita berada, kita cuba suaikan diri sehingga merasa dipunyai dan dapat adapt dengan suasana dan kelompok tersebut.  Kemudian kita differentiate atau mengikut mereka yang super-tipikal dalam kelompok tersebut. Contoh,  jika dalam kuliah, kita kena berada dalam kelompok  orang yang paling cemerlang, kalau dalam persatuan, we should at least be able to sit on the higher post in order to be super-typical, dalam kolej jadi orang yang paling aktif, di tempat kerja, jadi orang yang paling disayangi bos dengan cara yang betul dan pegang pangkat yang tertinggi jika berada dalam kerajaan seperti JUSA atau PTD.  Dalam bidang pendidikan, capai tahap paling tinggi, PhD, dalam keluarga, jadi anak yang paling baik terhadap kedua ibu bapanya dan sebagainya dan sebagai umat Islam, jadi umat Nabi Muhammad s.a.w yang paling dekat dengan sunnahnya.  The choice is in your hands.  Wallahualam~

Rujukan: Hartley, G & Karinch, M.  2010.  Get People to do What You Want.  Advantage Quest Publication.

Friday, June 17, 2011

Sifat negatif wanita menurut Prof HAMKA

Setelah beberapa hari tak sempat nak duduk dan baca buku, saya rasa otak macam makin tumpul.  Sangat takut.  Kalau 3 hari kita tak membaca buku, nanti otak lembab. Tak pasti dari mana saya dapat quotation ni.  Jadi nak menguji sama ada memori ni masih bagus atau tak, saya cuba-cuba ingat isi-isi buku-buku yang telah saya baca selama ni.  Setakat ni buku yang paling kritikal yang pernah saya baca ialah buku Sejarah Tamadun Islam karangan Prof Hamka.  

Sebelum tu, sebagai selingan, sejak dua menjak ni asyik menulis artikel menyebabkan jari-jemari ni jadi kekok nak menulis secara santai.  Rasa macam tak kena plak.  Mungkin jiwa dah bertukar.  Dulu selalu berfikir benda-benda mudah dan yang berada di sekeliling, sekarang sebab selalu kena fikir benda-benda besar, rasa macam dah bertukar jadi individu lain.  Tapi saya kena akui, kalau dah dilahirkan sebagai perempuan, sedikit sebanyak tak boleh lari dari nak cerita benda-benda kecil, jiwa-jiwa.  Nak sangat, tapi saya tahu ada yang menilai penulisan saya, jadi kebebasan untuk mencoret-coret sesuatu yang sentimental dan dekat dengan jiwa agak terbatas.  Bukankah ini menyekat kebebasan berfikir? Sebab itulah blog dah jarang update, setiap kali nak menulis mesti terfikir pandangan manusia yang membaca.  Kadang-kadang rasa rimas pun ada.  (Owh, tidak. Saya dah mula bercakap mengenai perasaan) Sedangkan menceritakan perkara-perkara yang berada di sekeliling kita itulah mendekatkan manusia dengan kita.  Cerita-cerita yang dekat di hati, menyentuh perasaan dan menjadi pengajaran.  Bahasa yang digunakan mudah difahami, mudah dihayati dan mudah diikuti.  Kalau ikutkan Prof. Muhaya, beliau memang berpendapat kalau kita nak menyampaikan sesuatu tak perlulah bergantung kepada pandangan manusia.  Asalkan apa yang kita cuba sampaikan dapat disampaikan dengan cara yang kita suka dan selesa.

Berbalik kepada buku Sejarah Tamadun Islam, saya ambil keputusan untuk membaca buku ni sebab cuti selepas STPM selama 3 bulan sangat panjang.  Sambil-sambil bekerja, malamnya saya isi dengan membaca buku ni.  Sebenarnya saya tahu, apabila sebut sahaja buku sejarah, mesti semua orang akan mengeluh.  Bosannya.  Jemunya.  Tips untuk tidur dulu-dulu waktu sekolah menengah adalah dengan membaca buku sejarah.  Buka sahaja buku, terus terlelap.  Tapi saya bukan dalam kategori tersebut.  Saya buka buku Fizik baru tidur.  Tak perlu buka buku pun, dengar cikgu bercakap pun dah mampu mendodoikan saya.  Sebab tulah saya bukan murid kegemaran cikgu. Tak kisahlah.

Tak perlulah saya ceritakan kenapa saya suka sejarah, I juz happen to love it.  Buku tu merupakan buku cikgu sejarah saya.  Dia memang sayang sangat buku tu.  Nak bagi pinjam pun separuh hati jer.  Cetakan pertama daripada Prof Hamka.  Kulit buku dah lusuh dan kertas berwarna kuning dengan tulisan yang kecil-kecil.  Kalau buku rujukan yang warna-warni pun tak mampu nak sentuh, inikan pula buku ancient macam tu.  Tapi memang menarik buku tu.  Nama pun sejarah. Buku pun kena berbentuk ancient la kan.  Dalam masa 3 bulan saya buat marathon membaca buku Sejarah Tamadun Islam tersebut.  Sakit otak juga nak fokus.  Setiap baris ayat adalah fakta.  Kalau tak fokus sikit, memang tak faham kronologi.  Dari zaman Nabi Muhammad s.a.w sehinggalah kepada khilafah islamiyah runtuh di Turki.  Patutlah saya dapat jawab soalan ustaz Ridhuan Md Noor berkenaan tahun keruntuhan Khilafah Islamiyah.  Tiba-tiba Allah bagi ilham sebab pernah ada dalam kotak memori.

Tapi saya kira perkara yang paling saya  ingat adalah mengenai sifat wanita yang dinukilkan dalam sejarah.  Even Prof Hamka mengulas mengenai kejadian tersebut.  Sesuatu yang pelik saya kira sebab dalam buku sejarah kita maklum kenyataan adalah bersifat fakta semata-mata.  Tapi beliau selitkan sedikit ulasan mengenai sifat wanita.  Secara roughly said, kisah tersebut adalah mengenai seorang sultan yang berkahwin dengan seorang hamba wanita.  Setelah menjadi permaisuri, hamba wanita ni rindu nak bermain dengan lumpur seperti mana dulu-dulu.  Disebabkan teramat sayangkan permaisurinya, sultan ni minta orang sediakan satu lumpur khas yang dicampur dengan pewangi yang harum supaya permaisuri ni bermain dengan lumpur yang tak busuk.  Tapi pada satu hari, sultan tersebut telah membuatkan permaisuri tersebut murka.  Dalam keadaan marah tersebut, permaisuri tu melontarkan kata-kata seperti, "Lelaki tak guna! Tak pernah ada satu pun kebaikan yang engkau lakukan untukku selama aku hidup denganmu!" Lebih kurang begitulah ayatnya.  Sedangkan kita pun tahu, dahulunya dia merupakan seorang hamba kemudian dibebaskan dan diangkat menjadi wanita mulia oleh suaminya.  Kemudian ditunaikan setiap keinginannya walaupun kita kira tidak logik seorang permaisuri bermain lumpur.  Dan Prof Hamka mengulas, lebih kurang begini...'dan begitulah sifatnya seorang wanita, apabila dikuasai oleh kemarahan dan kebencian, walaupun kesalahan suami itu kecil sahaja dia akan melupakan kesemua jasa baik yang  dilakukan oleh suaminya kepadanya'...jadi beliau telah memberi ulasan tentang sifat wanita berdasarkan fakta sejarah tersebut dan membuatkan saya terfikir pandangan tokoh besar ini. 

Hmm...kasihan kat insan bernama suami.  Siswi-siswi kat luar sana, cuba lihat balik diri sendiri.  Err...tak pasti apa soalan saya nak lontarkan.  Tapi apa yang saya pernah buat (walaupun tak berkahwin lagi), ada ketika-ketika isteri-isteri ni datang meluahkan kekecewaan mereka terhadap suami mereka kepada saya, selepas mereka dah luahkan segala keburukan suami mereka, saya tanyakan pada mereka, "Tak pernahkah ada satu pun kebaikan dalam diri suami anda?" (ni bahasa skema sebab nak mudah faham) Selalunya mereka akan terdiam sebentar dan kemudian memberi respon dengan menceritakan kebaikan suami-suami mereka.  Lepas tu ok lah balik perasaan mereka.  Hmm...sebenarnya mereka ni sayang tapi apabila marah menguasai diri, pertimbangan mudah hilang.  Jadi kena ada orang di sisi untuk merasionalkan mereka.  Masalahnya sekarang, ramai yang suka melihat keruntuhan rumahtangga orang berbanding melihat mereka bahagia.  Terfikir juga saya, mungkin orang di sekeliling mereka sudah berkahwin, jadi dipengaruhi oleh pengalaman peribadi menyebabkan mereka bias dalam memberikan nasihat.  Disebabkan saya belum berkahwin dan tak terbeban dengan kerenah lelaki 24 jam jadi saya kasihan dengan situasi suami mereka.  Jadi mungkin di sinilah peranan mereka-mereka yang bujang (siswi kebanyakannya) untuk membantu golongan-golongan isteri secara tidak langsung.  Sebab itulah hak untuk menceraikan itu berada di tangan suami.  Kalau di tangan isteri, saya kira mesti akan cerai-rujuk lebih dari 100 kali.

Kesimpulannya, orang perempuan kena banyak membaca supaya pertimbangan akal seimbang dengan emosi.   Walaupun diri ini kadang-kadang teremosi, tapi biar sesuai dengan keadaan (nasihat buat diri).  Saya selalu berminat nak tahu kehidupan berumahtangga sebab saya kira kehidupan berumahtangga sangatlah sukar berdasarkan pengalaman-pengalaman wanita-wanita di sekeliling saya.  Sebenarnya terlalu banyak tahu pun susah juga sebab akan menimbulkan fobia.  Apa-apa pun, semua manusia akan menuju ke hadapan dan tidak pernah ada seorang pun yang akan berpatah balik ke belakang, jadi sediakanlah bekalan secukupnya.

p/s: saya kira saya sudah layak menulis mengenai perkara ini dari sudut pandangan peribadi berdasarkan ulasan Prof Hamka.  Tak perlulah nak menyempitkan pemikiran yang merdeka dan menjadi katak di bawah tempurung sehingga malu nak berbicara perkara sebegini sedangkan kita juga akan melaluinya. Lagipun benda ni jer yang saya ingat daripada 900++ halaman yang saya baca.  Wallahualam...

Friday, May 13, 2011

Kuliah mengenai kehidupan





“ Belajar cara hendak mati, dan kamu akan belajar bagaimana hendak hidup”

Siapa akan tahu bila kita akan mati? Siapa yang dapat memberi jaminan bahawa dia sudah bersedia menghadapi kematian?  Bagaimana cara terbaik untuk menghadapinya?
Buku Tuesdays with Morrie merupakan satu catatan seorang bekas pelajar tentang perjalanan bekas pensyarahnya Proffesor Morrie Schwartz dalam menghadapi kematian.  Instead of menceritakan ketakutan menghadapi kematian, Morrie memberi kuliah mengenai kehidupan kepada Mitch.  Berikut merupakan kisah benar seorang penghidap penyakit amyotrophic lateral sclerosis (ASL). Penyakit yang sama dihidapi ahli saintis Stephen Hawking.

Kadang-kadang dalam kehidupan ini, kita tak tahu adakah perkara yang kita sibuk kejar itu merupakan perkara yang amat penting atau tak kepada kita? Duit, kedudukan, pekerjaan. Bagi mereka yang akan menghadapi kematian, Morrie melihat perkara yang menjadi prioriti bagi seorang yang semakin hampir meninggalkan dunia ini.  Walaupun dia bukanlah seorang yang beragama Islam tapi sebagai manusia, memang kita tak boleh lari dari fitrah.
 
Kita maklum budaya Barat kurang menitikberatkan kasih sayang.  Perkara ini yang ditekankan oleh Morrie.  Ada banyak falsafah yang diletakkan dalam cerita ini.  Dia selalu menceritakan kita tidak harus lari dari perasaan tetapi menghadapinya, rasainya.  Rasa sedih, terluka, kecewa, rindu.  Dia begitu optimis dalam menghadapi kematian.  Seluruh masa yang dia ada diperuntukkan untuk berkongsi dengan insan yang memerlukan bantuan dan nasihatnya.  Fenomena yang selalu terjadi apabila seseorang mengetahui bahawa dia akan mati tidak lama lagi ialah mereka akan bermuram durja dan sudah tidak bersemangat untuk menghadapi kehidupan ini.  Berlainan dengan Morrie, beliau berkongsi perasaannya dan optimismenya dengan seluruh dunia terutamanya dengan Mitch.  Baginya kematian adalah sesuatu perkara yang sunnatullah.  Ada hidup, ada kematian.

Mitch diminta untuk membuat tesis mengenai kehidupan. Antara tajuk-tajuk pada setiap bahagian ialah Kami Berbicara Mengenai Dunia, Perasaan Mengasihi Diri Sendiri, Penyesalan, Kematian, Keluarga, Perasaan, Takut Akan Tua, Duit, Cinta Yang Berkekalan, Perkahwinan, Budaya, Kemaafan, Hari yang Sempurna dan Salam Perpisahan.  Kuliah yang diadakan setiap hari Selasa.

Ada beberapa quotation yang saya suka seperti;
“ Tidak kira di mana kamu tinggal, kekurangan utama manusia adalah ‘rabun dekat’. Kita tidak melihat kemampuan diri sendiri, menjangkau seberapa jauh yang boleh bagi mencapai apa yang mampu kita lakukan.”
“Manusia akan berkeras apabila mereka terancam, dan keadaan itu dicipta oleh budaya kita selama ini. Sama juga dengan apa yang ekonomi lakukan kepada kita.  Sehinggakan orang yang mempunyai pekerjaan tetap dalam ekonomi kita selalu berasa terancam, kerana mereka bimbang akan kehilangan pekerjaannya. Lalu apabila kamu terancam, kamu akan mencari jalan keluar bagi menyelamatkan diri kamu.  Kamu mula menjadikan duit sebagai Tuhan. Ini adalah sebahagian daripada budaya. Saya tak suka perkara sebegini.”

Tapi saya kurang setuju satu benda.  Dia seorang intelek, duit dah banyak, jadi bolehlah dia mengatakan duit itu tidak penting. Selama dia berada atas katil, ada jururawat yang bergilir jaga dia.  Itu pesimistiknya pandangan saya.  Tapi memang betul pun pandangannya, kita perlu melihat ujian yang Allah beri secara optimis.  Tapi manusia apabila kurang ilmu terutamanya ilmu agama akan sentiasa menyesali setiap yang perkara buruk yang terjadi kepada dirinya.  Kadang-kadang saya pelik melihat orang yang boleh optimis even dalam keadaan yang sangat teruk.  Mereka memang berpegang teguh dengan ayat ‘la yukallifullahunafsan illa wus’aha”.  Anggaplah saya ini macam Mitch Albom, bekas pelajar Morrie yang memang sangat memerlukan bimbingan seorang guru.

Morrie turut melihat peri pentingnya kerohanian itu atau dengan kata lain agama.
“Saya sendiri tidak tahu apa erti sebenarnya ‘kemajuan kerohanian’.  Tetapi saya tahu kita kekurangan dalam hal itu. Kita terlalu terlibat dengan hal-hal kebendaan, dan ia tidak sedikit pun memberi kepuasan kepada kita. Hubungan kasih sayang sesama kita, alam sekeliling kita, kita tidak pernah mengendahkannya.” 

Teringat saya seorang tokoh falsafah Islam, Iqbal Mahsi yang merupakan pengasas tertubuhnya Pakistan.  Beliau sewaktu hendak mati juga sangat tenang menghadapinya.  Dalam nafas-nafas terakhir beliau mampu menceritakan perasaannya dan apa yang difikirkannya sewaktu roh hendak berpisah dari jasad.  Kematian seperti satu saat-saat yang dinantikan di mana roh akan bebas dari kurungan jasad.  Hanya melalui kematian kita mampu bertemu dengan Pencipta.  Kita tahu itu, tapi kenapa kita masih lalai?  Kerana kita tidak tahu persediaan bagaimanakah yang harus kita ambil.

Morrie melihat cara nak menghadapi kematian adalah dengan memisahkan diri sedikit demi sedikit dengan perkara-perkara keduniaan.  Kita perlu kurang memberikan perhatian kepada perkara-perkara yang tidak penting. Contohnya bermula dengan makanan.  Makan hanya sekadarnya.  Tinggalkan tabiat makan yang keterlaluan, 24 jam fikir nak makan.  Kemudian kurangkan bersembang perkara-perkara yang lagha yang tidak ada kaitan dengan pembangunan rohani atau pembinaan kasih sayang.  Bergossip tentang orang lain bukanlah cara untuk mengeratkan silaturrahim.

Dalam buku ini, Morrie melihat mengikuti perbicaraan O.J Simpson sebagai sesuatu yang membuang masa dan tidak penting.  Saya setuju dan di sini saya nak tegaskan lebih baik kita tak payah ikuti perbicaraan Anwar Ibrahim.  Lebih baik tumpukan kepada isu kebajikan. Harga gula naik, harga minyak, kemiskinan. Jangan menari dengan gendang yang dipalu BN.

Orang yang sentiasa mengingati mati akan memberi sepenuh perhatian kepada orang di sekelilingnya di samping ibadatnya kepada Allah.  “Berikan kebaikan kepada keluarga besar umat manusia.  Berikan kebaikan kepada masyarakat. Bentuk satu komuniti kecil yang terdiri daripada orang-orang yang kamu sayang dan mereka yang sayangkan kamu.”  Kita kadang-kadang lebih banyak menerima kasih sayang tetapi kurang memberi kasih sayang kepada orang di sekeliling kita.

Nak lebih faham, bacalah buku ni. Profesor Morrie meninggal pada 4 November setelah hari Selasa ke-14 Mitch bertemu dengannya untuk mempelajari kuliah mengenai kehidupan.

Buat MPP, gunalah peluang sebaiknya untuk berbuat kebajikan kepada mahasiswa kampus.  Kalian memang orang terpilih.  Bukan semua orang boleh peduli mengenai kebajikan orang lain.  Saya ni macam Mr.Darcy dalam cerita Pride & Prejudice;

I don’t have the talent of conversing easily with people I have never met before.”  -Mr.Darcy

Apatah lagi nak mengambil tahu mengenai masalah orang lain dan memberi perhatian.  Tapi saya menyokong anda.

p/s: Kalau orang bukan Islam bersedia menghadapi kematian, kita yang Muslim ini apatah lagi...wallahualam.