Monday, June 4, 2012

Kingdom of Cambodia Part II

(Sedang mengakses internet di lobi Hotel Fairyland sebelum bergerak ke Pondok Annur)

Kadang-kadang, mungkin saya perlu biarkan gambar yang berbicara.  Terlalu banyak cerita sehingga saya tidak tahu hendak mula dari mana.  Tapi gambar-gambar yang saya letakkan dalam entri kali ini, dikreditkan kepada Encik Hisham, insan yang bertungkus lumus menguruskan perjalanan kami ke Kemboja.

Gambar di bawah merupakan agenda utama ziarah ke Kemboja, melawat tapak pondok Ustaz Mokhtar Senik, Ketua Dewan Ulama Pas Pahang yang dilantik baru-baru ini.  Semasa ustaz sedang bermesyuarat di dalam surau, inilah agenda sampingan kami.  Meraikan kanak-kanak di sini.

Sebelum itu, perjalanan 3 jam dari Phnom Penh ke Kampot dihiasi oleh kawasan sawah padi yang gersang kerana saliran air belum dinaiktaraf.  Malaysia sudah lama menikmati 3 kali hasil tanaman padi setahun, tetapi di sana masih 2 kali setahun bergantung kepada musim hujan.  Apa yang saya perasan, setiap rumah memiliki tempayan besar untuk menahan air hujan di tepi-tepi rumah.  Mungkin sistem perpaipan pun belum dibuat.  

Jadi, ini merupakan agenda hari kedua.  Sebenarnya agenda semalam lebih romantis dan sentimental, tetapi gambar-gambar yang diambil ada bersama-sama kak Hajar, senior saya sewaktu di Irshad.  Mungkin saya akan berkongsi di sini jika memperoleh gambar tersebut.  Saya berpeluang menyusuri Sungai Mekong pada waktu malam menaiki kapal (river cruising), suasananya...Subhanallah... Berpeluang juga melihat komuniti Muslim yang tinggal dalam bot menggantikan rumah.  Naik ke darat apabila hendak bersolat jemaah.  Tanpa surau, tanpa lampu.  Solat jemaah atas tanah lapang berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit.  Islam merupakan minoriti di sini, jadi beginilah nasibnya.  Namun, masih tak menghalang mereka untuk menunaikan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Siapa sangka jauh di dalam kebun gajus, ada komuniti Muslim Kemboja dan pondok agama.


 (K.Hajar in action)



(Ustaz Mokhtar sedang bermesyuarat dengan masyarakat kampung mengenai perkembangan pondok)

 (Bersama Kak Siti Hajar, zaujah Ustaz Mokhtar memberi goodies kat kanak-kanak)


(Encik Hisham dan salah seorang pewakaf tanah)

Apabila manusia tidak tahu nilai dunia, maka mereka tidak akan terkejar-kejar dunia tetapi mengejar akhirat.   Dan sesungguhnya nilai akhirat itu lebih besar.  Tanah yang mereka miliki kalau dijual membolehkan mereka membina rumah batu bagi menggantikan rumah papan mereka, tetapi mereka mewakafkan tanah tersebut tanpa meminta sesen pun.  Mereka hanya mahukan ilmu agama.


(Bawah) Keunikan bandar Phnom Penh.




Saya ni bukanlah sapa-sapa pun, tetapi kehadiran saya diraikan seperti sebahagian daripada mereka.  Tiba-tiba mendapat gelaran Hajah Ummi dari Ustaz Tahir, mudah-mudahan menjadi hajah... berada bersama-sama komuniti Muslim Kemboja, memang sepatah bahasa Kemboja pun saya tak tahu, tapi saya dengan Kak Hajar determine nak belajar.  Sebab malu nak belajar depan-depan orang ramai, dengan menggunakan bahasa isyarat, saya mengajak Mak Cik Kalthum ke rumahnya.  Dia agak faham bahasa Malaysia, jadi dia malu-malu nak bawa saya ke rumahnya.  Sepatah dia cakap "miskin", "malu"... Saya buat isyarat tak apa (selepas itu dalam bahasa Kemboja "autaihh")..

Sebelum sampai ke rumahnya, dia bawa saya melihat mak cik-mak cik tengah berewang memasak makanan untuk kami.  Terkejut mak cik-mak cik tengok saya datang ke dapur mereka (dapur mereka berada di luar). Semasa menyalami salah seorang dari mereka, saya dipeluk erat olehnya.  Ambil bau orang Malaysia kot...:)  Saya cakap kat Mak Cik Kalthum "nak tolong", tapi dilarang oleh mak cik (namanya agak susah nak sebut).  Dia menunjukkan ke kerusi dan kata "ngkoi", menyuruh saya duduk.  Sambil saya duduk, dia mengajar menyebut nama-nama sayur dalam bahasa Kemboja.  Kebetulan saya membawa buku kecil, jadi saya merekodkan sebahagian daripada perkataan-perkataan sepanjang berada di sana.  Gelak mak cik-mak cik di situ mendengar saya menyebut dalam bahasa Kemboja.  Peduliklah...asalkan saya belajar...

Disebabkan saya dilarang untuk tolong, jadi Mak Cik Kalthum membawa saya ke rumahnya.  Memang dhoif rumahnya.  Mungkin saya akan tunjukkan jika mendapat gambar dari Kak Hajar.  Saya sempat bersolat jemaah dengan Kak Hajar dan Mak Cik Kalthum dalam rumahnya.  Hanya ada dua ruang, ruang tamu dan dapur.  Tiada elektrik dan tiada tandas.  Tandasnya di sungai dan hutan.  Di situlah dia bersama 6 orang anaknya tidur.  Panasnya hanya Tuhan yang tahu.  Tapi saya kagum sebab dia boleh faham bahasa Malaysia berbanding rakan-rakannya,  dia boleh mengaji dan seorang yang taat dalam agama.  Semua mak cik-mak cik di situ memakai stokin, kemiskinan bukan alasan untuk menutup aurat dengan sempurna.  Siap yang berpurdah lagi.  Telekungnya lebih bersih dari telekung di surau-surau kita.  Ada buaian dan pelantar di luar rumahnya, jadi saya duduk di buaian dengan angin sepoi-sepoi sambil belajar beberapa perkataan dengannya.  Saya sempat mengorek sejarah hidupnya.  Dia telah tinggal di tanah tersebut selama 10 tahun.  Suaminya masih ada dan pernah dihukum oleh rejim Pol Pot, sebelah tangannya dipotong.  

Kanak-kanak di situ mahu tapi malu.  Tapi bila dah diusik, baru mereka seronok.  Mereka pula yang ajar saya dan Kak Hajar bahasa Kemboja.  Tergelak-gelak mereka bila dengar saya sebut.  Lagi satu perkara pelik yang mereka buat ialah membelek-belek tangan saya.  Sambil pegang mereka membanding-banding dengan tangan mereka.  Mulanya saya pelik, tapi rupa-rupanya mereka pelik dengan kulit kami.  Mereka menyebut "sor" yang bermaksud putih sambil membandingkan dengan tangan mereka.  Allah... tergelak saya.  Sepanjang berjalan, memang ada seorang kanak-kanak ni memegang tangan saya tak lepas.  Tapi saya tahu, saya tak putih pun, ini kuning langsat, tapi tak tahu macam mana nak terang dalam bahasa Kemboja~ Kami dijamu dengan makanan Kemboja, ayam kampung golek, ikan goreng, sayur suhun dan ayam masak kurma (sangkaan sayalah berdasarkan warna kuah tu..)... dan masakannya banyak berasaskan daun pudina.

Semasa nak meninggalkan kampung tersebut, bergenang air mata mak cik-mak cik terutama Mak Cik Kalthum.  

Saya dapat simpulkan kehidupan di Kemboja adalah kehidupan rakyat Malaysia sebelum merdeka.  Mereka ketinggalan daripada kita 50 tahun ke belakang.  Tetapi akhlak mereka mungkin lebih baik dari kita.  Kadar toleransinya tinggi (bukti daripada gaya pemanduan).  Lagi satu yang saya perasan, lelaki-lelaki di sana semua tak ada yang buncit.  Mereka berada di tahap masih memenuhi keperluan asas, jadi gaya pemakanan pun sihat.  Mereka lebih banyak makan sayur dan sup.  Semasa saya dihidangkan dengan bihun sup, hidangan sampingan adalah daun-daun ulam (daun pudina, dll)... mungkin kehidupan masa krisis macam itu.  Cukuplah tu setakat ni, sekadar perkongsian untuk membuka minda akan betapa harus bersyukurnya kita terutama saya akan nikmat kehidupan yang Allah kurniakan dan menyedarkan kita akan insan yang lebih memerlukan...

No comments: