I am taking my time off from the thesis.
Pernah tak kita hadapi perasaan
terpisah dengan seseorang tetapi kita tak tahu bila kita akan bertemu?
Saya merasai perasaan terpisah
dengan keluarga tersebut tetapi saya tahu saya akan bertemu dengan mereka juga jika
Allah memanjangkan nyawa saya. Saya
merasa perasaan meninggalkan tanah air, tetapi saya tahu saya akan pulang juga
selepas tiga hari, insyaAllah. Jadi
perasaan saya aman. Saya boleh beritahu
mak, “Mak, Ayu balik 7/6 nanti, insyaAllah”.
Tetapi bagaimana jika kita
terpisah tetapi kita memang tak boleh langsung menetapkan bila kita akan
bertemu? Tidak boleh langsung
menggambarkan pertemuan itu. Namun,
secebis kata-kata dari seorang ustaz semasa hendak berpisah di lapangan terbang
mengubat hati:
“ Kita berpisah sekarang,
insyaAllah kalau bukan di dunia, kita akan bertemu di syurga kelak.” Sambil mengangkat tangan sebagai salam
perpisahan.
Allah…Hati saya terus diruntun
sebak pada waktu itu juga apabila mendengar kalimat akhir ustaz. Tiga hari bermusafir bersama ustaz, sosok
tubuh itu telah menyebabkan saya melalui bermacam perasaan yang tidak dapat digambarkan
melalui kata-kata. Nama Allah dan ayat
Quran sentiasa bermain di bibir ustaz membuktikan kekuatan hubungannya dengan
Allah.
Mungkin ayat tersebut juga
menjadi mentera penguat hati beliau sewaktu terpisah dengan keluarganya semasa
peperangan. Selama 18 tahun beliau hidup
dengan perasaan terpisah dari ibu bapa dan saudara-mara tanpa mengetahui apakah
pertemuan tersebut akan kunjung tiba.
Ustaz terpisah dari keluarga semasa tahun 1973, pada waktu gelap pekat malam
sewaktu mereka beramai-ramai bersama
penduduk kampung lari menyelamatkan diri.
Daripada 7 adik-beradik ustaz, Allah memilih ustaz untuk diberikan ujian
besar tersebut. Dalam gelap pekat tersebut,
ustaz telah terpisah dari keluarga dan mengikut sesiapa sahaja yang berada
berdekatannya. Saya dapat bayangkan
keadaan tersebut melalui pengalaman dua kali mengikut demonstrasi BERSIH. Dalam keadaan kecoh dan orang ramai yang
bersesakan lari menyelamatkan diri, kita hanya memikirkan diri sendiri dan
tidak mampu memikirkan orang lain.
Tetapi seperti yang saya sebutkan, kita masih tahu akan pertemuan di
penghujung hari BERSIH tersebut, dan perasaan kita akan aman.
Namun, ia memerlukan iman yang
tinggi dan kekuatan perasaan untuk melalui keadaan yang mana kita sudah tidak mampu
mengungkap istilah pertemuan di dunia.
Dan bagi seorang yang berumur 14 tahun, ia ujian yang berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul.
Ustaz mengikut pelarian yang melarikan diri sehingga ke Thailand dan
mereka berada di Thailand selama 3 bulan sebelum meneruskan pelarian sehingga
ke Malaysia dan menetap di Kelantan.
Beliau menuntut ilmu di Pondok Pasir Tumbuh selama beberapa tahun
sebelum akhirnya berkahwin dan tinggal di Kota Tinggi, Johor.
Namun, harapan kepada sebuah
pertemuan sentiasa ada dalam diri ustaz membuktikan kuatnya perasaan yang perlu
ada untuk menghadapi hidup.
Pada tahun 1991, setelah 18 tahun
terpisah tanpa berhubung, ustaz kembali ke Kemboja dengan berbekalkan secebis
harapan untuk mencari keluarga beliau dan bersatu kembali dengan mereka. Alhamdulillah, kuasa Allah tiada siapa yang
tahu. Ustaz dipertemukan kembali dengan ibu
bapanya serta saudara-mara yang lain.
Saya tak dapat menggambarkan detik-detik pertemuan tersebut bersama-sama
perasaan yang disimpan. 3 hari
meninggalkan bumi Malaysia sahaja terasa seperti 3 tahun. Memijak sahaja bumi Malaysia, bergenang air
mata sebab rindu yang amat sangat kepada insan-insan yang saya tinggalkan
(teruk sangat…macam mana nak pergi belajar luar negara ni?)~
Siapa sangka Allah memberi peluang bagi sebuah
lagi pertemuan selepas perpisahan sebelum perpisahan terakhir yang kekal? Sekarang kedua-dua orang tua ustaz sudah
tiada, namun Allah memberi kesempatan buat ustaz untuk berbakti kepada orang
tuanya, insan yang telah berjasa.
Mendengar cerita dari ustaz
mengenai peristiwa yang dilalui oleh ayahnya selama terpisah tersebut
menambahkan lagi runtunan perasaan. Dua
kali ayah ustaz berhadapan dengan maut semasa era kekejaman rejim. Kali pertama atas kesalahan bersolat. Ayah ustaz telah ditangkap dan menghadapi
hukuman ditolak masuk ke dalam lubang.
Lubang tersebut digali khas untuk menolak masuk pesalah beramai-ramai
dan dibiarkan mati di dalamnya. Namun,
ayah ustaz dibebaskan atas dasar kasihan askar yang bertugas. Kali kedua ditangkap kerana ditemui surah
yasiin dalam buku ayahnya. Hukuman yang
sama dikenakan namun dilepaskan juga atas dasar kasihan semasa hendak jatuhkan
hukuman. Allahuakbar…siapa yang
menguasai hati manusia kalau bukan Allah?
Sesungguhnya nasib hamba yang taat kepada Khaliq tidak akan disia-siakan..
T_T… Lalu nikmat Tuhanmu yang manakah
yang engkau dustakan?
Teringat kata mak, kalau kita ada
harapan terhadap sesuatu, Allah akan memanjangkan umur kita sehinggalah harapan
tersebut tercapai. Jadi, jangan pernah berhenti
berharap. Harapan ayah ustaz begitu
besar untuk bertemu dengan anaknya yang ketiga sehingga Allah memanjangkan
umurnya dan sempat bertemu ustaz sebelum pergi mengadap Allah dan berpisah buat
selamanya.
Cukuplah sekadar cerita ini
memberi pengajaran kepada kita bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Maha
Mengabulkan doa hamba-Nya walau bagaimana pun keadaan kita.
Berikut merupakan antara seribu
satu pengajaran yang saya peroleh selama 3 hari berada di Kemboja. Setiap kali ada masa senggang saya mengambil
peluang bertanyakan pengalaman hidup ustaz sehingga saya mampu merekodkannya di
sini. Akhir sekali, semasa hendak
berpisah, saya mendapat mentera yang menguatkan semangat ustaz untuk menghadapi
perpisahan tersebut:
“ Kita berpisah sekarang,
insyaAllah kalau bukan di dunia, kita akan bertemu di syurga kelak.”
Saya akan rekodkan lagi
pengajaran-pengajaran yang saya temui dalam ziarah saya ke Kemboja. Moga Allah memanjangkan umur saya untuk saya
menggapai harapan dan impian yang telah saya bina…Wallahualam.
1 comment:
subhanallah..
Post a Comment