Thursday, June 27, 2013

Tips mengarang untuk semua jenis peperiksaan bertulis

Disebabkan ada permintaan, jadi di sini saya letakkan tips membuat karangan skema yang terbaik untuk digunakan di semua peringkat peperiksaan yang ada di Malaysia ini waima SPM, STPM, MUET mahupun peperiksaan bertulis PTD. Tips ini diberikan oleh guru saya semasa di Tingkatan Enam, Cikgu Rozita. Beliau merupakan pemeriksa kertas Bahasa Malaysia STPM. Tips ini boleh digunakan juga untuk membuat karangan Bahasa Inggeris terutamanya MUET. Eksperimen ini saya buatkan dekat adik saya juga yang selalu dapat gred C dan D dalam Bahasa Malaysia sepanjang peperiksaan semasa di Tingkatan 5. Jadi, sebelum dia ambil peperiksaan Bahasa Malaysia, saya minta dia hafal tips ni dan Alhamdulillah dia berjaya mendapat A. Guru Bahasa Melayu dia menitiskan air mata terharu dan terkejut kerana tak sangka dia dapat A. Tapi subjek lain saya tak sempat bantu sebab dia duduk di asrama sepanjang peperiksaan. Apa sahaja yang kita buat dalam hidup, kalau ada strategi, insyaAllah kita akan berjaya dengan mudah.

Saya guna tips ni di Tingkatan Enam, dan sememangnya rakan-rakan lain pun guna tips ni. Kemudian saya gunakan untuk peperiksaan PTD. Ramai orang mengadu tidak cukup masa untuk menulis dua karangan dalam masa sejam. Tambahan pula tiba-tiba daripada menulis karangan Bahasa Malaysia hendak ditukar kepada Bahasa Inggeris. Tapi apabila kita guna tips ni, kita tidak ada masalah untuk mengarang kerana susunan perenggan telah diberikan dengan lengkap dan tersusun. Cuma perlu masukkan isi dan kembangkan sahaja. Susunan ini sesuai untuk semua jenis tajuk karangan yang ada dalam dunia ni. Berilah apa sahaja tajuk, insyaAllah kita tak ada masalah untuk mengarang. Tips ini juga memudahkan keseimbangan penulisan kita. Maksudnya, tidak berlaku seperti isi pertama huraian sampai satu mukasurat, tetapi isi kedua suku mukasurat sahaja. Hal ini demikian kerana, markah selalunya telah disediakan secara tetap bagi setiap perenggan. Kiranya tak kira tulis panjang mana pun, setiap perenggan telah diperuntukkan markah tertentu. Sebab itulah perlu ada keseimbangan. Setiap peperiksaan menulis pun begini walau apa peringkat pun.

Tapi ni tips untuk mengarang bagi peperiksaan, kalau penulisan ilmiah tu… saya pula berharap ada orang yang boleh bagi tips kat saya supaya apa sahaja penulisan ilmiah boleh saya karang dengan baik.

Jadi bolehlah kalau ada sesiapa yang nak mengambil peperiksaan bertulis PTD atau apa-apa sahaja peperiksaan bertulis untuk guna tips ni. Atau adik-adik yang nak ambil peperiksaan SPM dan STPM. Kemungkinan markah penulisan ini dapat menampung markah soalan penyelesaian masalah/kira-kira yang sememangnya selalu takkan sempat habiskan.

Pendahuluan:

Secara umumnya, ……(isu yang dipilih)……….boleh didefinisikan sebagai…(definisi menurut kefahaman kita)………….. Namun, seringkali terlihat di dada-dada akhbar/terdengar di media/berita mengenai ……..(isu). Berita ini digembar-gemburkan sehingga timbul perasaan…….(nyatakan perasaan masyarakat/pihak tertentu). Isu ini turut disebut/disentuh oleh ……. (berikan tokoh yang dikenali) di dalam ……..(sama ada televisyen/berita/ apa-apa sahaja majlis yang umum-walaupun kita tak tahu ada ke tidak ada, tapi pastikan kita sebut secara umum kecuali jika yakin). Beliau menyebut…… Oleh itu, ………….(punca/faktor/langkah/kesan)…perlu dikenalpasti bagi ….(harapan).

Ok, ini pendahuluan. Satu perenggan sebaik-baiknya hanya 100 perkataan sahaja supaya dapat jaga keseimbangan karangan. Di bawah saya buatkan contoh pendahuluan:

Secara umumnya, pilihan raya merupakan satu proses pemilihan pemimpin yang melibatkan rakyat yang sudah layak untuk mengundi di semua negara yang mengamalkan sistem demokrasi di dunia ini. Namun, seringkali terlihat di dada-dada akhbar  berita mengenai kepincangan yang berlaku dalam sistem pilihan raya sesebuah negara termasuklah Malaysia. Berita ini sering digembar-gemburkan sehingga timbul perasaan kecewa rakyat akan ketelusan perjalanan pilihan raya yang dijalankan. Isu ini turut disentuh oleh Profesor Dato’ Dr Mohd Agus Yusoff, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia di dalam laman muka buku beliau di mana Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia disarankan agar telus dalam melaksanakan pilihan raya di Malaysia bagi menghormati prinsip demokrasi yang digunapakai di dalam negara. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil bagi memperbaiki perjalanan sistem pilihan raya di Malaysia.

Buat macam ini sahaja sudah boleh mendapat markah penuh secara percuma untuk perenggan pendahuluan.

Perenggan Isi

Bergerak ke perenggan perkembangan isi lebih mudah dan ringkas tetapi memelihara keseimbangan perenggan:

Antara langkah/faktor/kesan…..(isu) ialah ………..(isi). ………(Beri huraian isi dalam dua/3 ayat). Sebagai contoh,…….(perlu nyatakan contoh agar lebih kukuh isi. Juga 2/3 ayat). Oleh itu, …(penegasan isi)… dilihat sebagai langkah/faktor/punca bagi …(isu).

Sikit jer kan? Tapi ini sudah cukup untuk buat satu perenggan isi. Di sini, pengetahuan am dan sejauh mana pembacaan kita akan boleh dinilai berdasarkan perkembangan isi. Contoh perenggan isi:

Antara langkah yang perlu diambil bagi memperbaiki perjalanan pilihan raya di Malaysia adalah dengan melantik pemerhati pilihan raya. Pemerhati boleh dilantik sama ada dari kakitangan SPRM atau badan bukan kerajaan (NGO). Tugas pemerhati ini adalah memerhatikan perjalanan pilihan raya bermula dari pembubaran parlimen, tempoh berkempen, penamaan calon, hari mengundi awal, hari pembuangan undi sebenar sehinggalah pengiraan undi. Pemerhati bertindak bagi menilai sama ada pilihan raya tersebut berjalan mengikut garis sebenar atau tidak. Jika terdapat kepincangan, pemerhati akan merekodkan di dalam laporan yang akan dihantar kepada SPRM kemudiannya. Dengan wujudnya pemerhati bebas ataupun dilantik ini, kemungkinan untuk berlaku penipuan adalah kecil kerana pergerakan pegawai SPR atau ejen parti akan diperhatikan dari masa ke masa. Jika pun berlaku penipuan, dokumentasi yang dilakukan boleh menjadi bukti apabila petisyen dihantar ke mahkamah semasa tempoh bantahan dikemukakan. Antara contoh pemerhati dari NGO ialah Merdeka Center, IDEAS, dan Majlis Belia Malaysia. Oleh itu, langkah melantik pemerhati ini dilihat dapat memperbaiki perjalanan pilihan raya di Malaysia agar lebih telus dan bebas.

Haa…inilah pengembangan idea yang tersusun yang akan kita buat sepertimana dalam perenggan-perenggan seterusnya. Jangan terlebih goreng pula, takut tak cukup masa untuk perenggan seterusnya. Pemeriksa selalunya nak lihat kesinambungan isi dan kelancaran penjelasan supaya dia dapat baca dengan selesa. Isi+Huraian+Contoh.

Penutup

Berikut telah disenaraikan…(punca/langkah/kesan)… (Letak harapan kita)…(Letak harapan/ucapan tokoh). (Letakkan pepatah/peribahasa).

Contoh:

Berikut telah disenaraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak bertanggungjawab bagi memastikan perjalanan pilihan raya di Malaysia lebih telus dan bebas. Dengan perlaksanaan langkah ini, diharapkan pilihan raya yang dijalankan menjadi medan yang terbaik bagi memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan mampu membela nasib dan kebajikan penduduk Malaysia. Perkara ini turut diharapkan oleh Perdana Menteri kita agar rakyat membuat pilihan yang bijak dan tidak mengikut emosi. Seperti kata bijak pandai, jangan menang sorak, kampung tergadai apabila kita memilih hanya berdasarkan suka-suka dan terpengaruh dengan media tetapi bukan berdasarkan fakta.

Hah… pemeriksa memang suka kalau kita selalu sebut nama Perdana Menteri~ boleh dapat extra marks. Hehe..betullah tu.


Semoga membantu.

p/s: kalau rajin baru tulis pula contoh karangan dalam Bahasa Inggeris.

7 comments:

Ainaa athirah said...

assalamualaikum kakak :)

sebenarnya,yang betul ialah :
Oleh sebab itu,bukannya oleh itu.

Ainaa athirah said...

oh,terima kasih sudi berkongsi karangan contoh yang cukup baik!
insyaAllah akan dimanfaatkan ^^

ayu said...

salam,

Oleh itu/oleh sebab itu- dua-dua pun betul. Yang salah kalau guna 'oleh kerana'. Boleh rujuk di link tatabahasa di bawah. :)

Terima kasih kerana membaca. semoga bermanfaat.

http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=oleh+sebab&d=10

Ainaa athirah said...

oh...terima kasih :))

Anonymous said...

Terima kasih...tolong doakan agar saya dan saudara islam kita memperoleh straight A+ dalam SPM...insyallah..amiin

Unknown said...

terima kasih...... semoga karangan ini dpt dijadikan panduan utk sy menduduki stpm tdk lama lagi...

Unknown said...

ayu , bole dptkan alamat email , nk tnya sesuatu