Wednesday, May 9, 2012

Produk Zaman Kemunduran Islam



Jika mengira dari permulaan kelemahan Khilafah Uthmaniyah iaitu pada 1889 sebelum jatuh sepenuhnya pada 1924 sehingga sekarang 2012, telah 123 tahun jarak yang umat Islam selepas itu tempuh dan berada dalam ‘zaman kegelapan’ atau ‘zaman pencarian arah’.  Kerajaan Uthmaniyah iaitu kerajaan Islam yang terakhir terpaksa menandatangani pelbagai perjanjian dengan negara-negara kafir.  Wilayah-wilayah Islam dibahagi-bahagikan kepada negara-negara kafir ini seperti membahagikan sebiji kek. 

Tiada lagi peperangan yang disertai oleh kerajaan Islam sama ada dalam Perang Dunia Pertama mahupun Perang Dunia Kedua.  Tiada lagi satu kuasa superpower atau khilafah yang melindungi wilayah-wilayah Islam.  Lebih malang lagi, 500 juta umat Islam menjadi minoriti di negara-negara kafir tersebut.  Terbiar tidak dibela.  Nasib seorang wanita Islam yang jika diaibkan mampu mengundang satu bala tentera yang kepalanya berada di satu kota dan ekornya berada di kota asal hanya menjadi mitos buat generasi sekarang. 
Selama 123 tahun berada dalam zaman kemunduran tanpa pembelaan, produk-produk umat Islam yang dilahirkan juga bagai hampas kelapa.  Tiada santannya.  Hilang gahnya. 

Bukankah ilmu dalam Islam itu bersifat turun temurun dan diwarisi?  Apakah tidak ada yang mewarisinya dan mengikutnya?  Apabila diajukan pada yang ahli, jawapannya; Ilmu-ilmu kerohanian sahaja yang tidak pernah putus, memang diwarisi, namun untuk dilaksanakan dalam keadaan kekuasaan bukan di tangan orang-orang yang beriman adalah sesuatu yang mustahil.  Kita harus sedar hakikat sebenar bahawa umat Islam kekurangan cendekiawan, sarjana dan para intelek. 

Bagai tidak ada titik pertemuan antara khazanah teknologi dengan kerohanian.  Tidak ada yang mampu menjalinkannya dengan baik.  Tak sanggup untuk membenarkan sedikit sangat ilmuwan Islam yang menguasai kepakaran teknologi dan pada masa yang sama seorang ulama seperti mana Ibnu Sina, Al-Razi, Ibnu Khaldun dan lain-lain. 

Bukan tidak ada usaha ke arah tersebut, namun seperti akur kepada kenyataan bahawa produk umat Islam pada zaman kemunduran hanyalah kemunduran juga.  Kita terputus dengan zaman kegemilangan Islam selama 123 tahun, satu tempoh yang cukup lama untuk memandulkan pemikiran umat Islam.  Mengongkong mindanya.  Seperti tiada jalan keluar.

Dan saya juga sebahagian produk zaman kemunduran Islam.  Itu realiti yang harus saya telan.  Memikir dari skop yang kecil, memang saya tipu kalau saya kata saya sedang menjalani kehidupan Islam yang sebenar.  Apabila difikir-fikirkan kembali, memang hukum-hukum zaman kontemporari lebih longgar dan sesuai dengan kehendak zaman.  Islam itu fleksibel.  Tapi Islam menjadi fleksibel apabila umat Islam tidak mampu menjalankan hukum asal.  Sebab kita hilang kuasa.  Kita lemah.  Dhaif.  Macam harimau tua yang hilang taring.  Kalau gigit pun, hanya rasa geli.  Kita sendiri yang tak mampu nak bawa Islam ke tempatnya yang sebenar.  Tak mampu nak tinggikan nama Allah.

Berapa kali Nabi kita dihina?  Berapa kali kita membalas?  Kalau setakat share di Facebook yang Yahudi juga buatkan, hmm… tak perlu kita nak rasa baik.  Hidup kita bergelumang dengan jalan kehidupan mereka yang kafir.  Kita dengar muzik alunan merdu suara wanita, kita menonton filem atau drama yang mana pelakonnya tidak menutup aurat dan berbuat maksiat, kita makan makanan yang mereka makan, kita berpakaian seperti mana mereka pakai, kita berhibur seperti mana mereka berhibur, tapi dalam masa yang sama kita berada dalam gerakan Islam dan mengaku nak bawa Islam dan mengecam perbuatan-perbuatan yang melanggar suruhan Allah.  Inilah kita.  Produk zaman kemunduran.

 Tak apa, tak perlu nak rasa bersalah atau berdosa.  Tak perlu selepas ini nak ubah kehidupan 180 darjah.  Terus nak tinggal Facebook, muzik-muzik yang melalaikan, filem-filem maksiat walaupun mengikut ‘syariat’.  Atau, tak perlu lepas ni nak cari hukum-hukum yang memperlihatkan kita sedang menjalani kehidupan Islam yang sebenar.  Nak cari hukum Facebook dibolehkan selagi tidak melanggar syariat, dengar muzik dibolehkan selagi tidak lalai, makan makanan yang bercop halal walaupun kandungannya meragukan tak apa, KFC dibolehkan sebab dah dimiliknegarakan, Nestle dibolehkan sebab tak ada produk lain, percampuran lelaki dan perempuan dibolehkan selagi tidak melanggar syariat.  Tak perlu pun semua itu, sebabnya kita kena faham, kita ni umat Islam produk zaman kemunduran Islam.  Kita tak ada kuasa bahkan kekuatan pun untuk berubah, apatah lagi mengubah.  Kita tunggu sahaja Allah menggantikan kita dengan umat yang lain.  Umat yang mampu menyatukan ilmu-ilmu intelek dengan kerohanian sekaligus mendepani kafir laknatullah.  Umat yang mampu menjalani kehidupan Islam yang sebenar.  Saya pun seperti awak-awak semua, menunggu sebab rasa tak mampu.  Sebab saya sudah jauh ketinggalan dari kehidupan Islam yang sebenar.

Apa yang saya dan kalian mampu sekarang ini adalah berbuat kebajikan walaupun sebesar biji sawi.  Memiliki iman walaupun sebesar biji sawi.  Maafkan saya, coretan saya tidak langsung ada unsur-unsur menyindir dan jauh sekali mengangkat diri.  Sebab saya tahu, saya pun produk zaman kemunduran Islam…Wallahualam.

Saturday, May 5, 2012

Ar-rahman

Bismillahirrahmanirrahim...

Fabiaiialaai rabbikuma tukazziban
(Dan nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?)

***
Be contented in your heart.
For nothing that happens in this world without Allah's will.
Free your soul from worldly pleasure.
Achieve the true happiness from within.
Enough. 

***

Allah...guides me and lets not me be astray from your path
Forgives me if I ever be ungrateful slave... 
I know I always am...
And yet You always gives me the best one...
Always.

Friday, May 4, 2012

Pro-abah

Seantero dunia dan langit tahu saya ni ahli bersekutu mak.  Tapi orang tak tahu saya ni juga pro-abah.  Until rite now of course.  Saya buat kenyataan bertulis ni selepas membaca entri senior mengenai 'Kelebihan Memiliki Anak Perempuan'.  And I am proud to say I am my father's daughter.  Walaupun saya selalu berebut mak dengan abah, tapi setiap kali abah memberi penjelasan, saya dengan mudahnya faham dan dapat terima.  Sebagai contoh, isu tidur dengan mak.  Bukan bermaksud saya nak canang saya ni tidur dengan mak, jaranglah berjaya.  Bangun tidur jer mak kat sebelah mesti dah hilang.  Kadang-kadang saya tidak puas hati kerana bukan selalu saya dapat tidur dengan mak.  Biasalah, mestilah ada hal perempuan yang nak dibincangkan dengan mak.  Apabila saya persoalkan dekat abah, kenapa mesti mak tidur dengan abah?  Bagilah chance satu malam tidur dengan mak.  Jawapan abah saya;

"Seorang isteri wajib tidur dengan suami kerana pada masa itulah perkara yang dibincangkan boleh jadi perkara terakhir yang dituturkan sebelum dia tidur dan kalau ditakdirkan oleh Allah menjadi wasiat terakhir seorang suami kepada isteri."

Terdiam saya.  Abah bukanlah dalam kalangan orang yang pandai bersembang seperti mana bapa saudara saya yang lain.  Dia seorang yang pendiam.  Tapi itu menjadikan tutur katanya lebih mudah difahami.  Ringkas dan padat.  Tapi setelah saya besar barulah saya berani persoalkan dan abah pun fikir saya dah dapat menilai baik buruk.  Kenapa saya ambil contoh tidur ek?  Owh, sebab nak jelaskan isu perebutan mak antara saya dengan abah.  Dan ada lagilah beberapa isu yang setelah besar baru abah rasa saya layak untuk berbincang dengannya.  Antaranya ada juga persoalan poligami.  Tapi mungkin sulit untuk dikongsikan.  Saya mungkin menyokong tapi tak mungkin mendorong~

Kalau sewaktu kecil, abah tak banyak bercakap tapi banyak memancing saya dengan perbuatan.  Mungkin dia sudah lihat yang saya ini memang cenderung untuk jadi ahli bersekutu dengan mak.  Jadi, ada sesetengah hal yang mak saya tak dapat buat (sukar nak cari) iaitu bola, ceramah politik, menjala ikan dan makan.  Entah macam mana saya boleh minat tengok bola sepak dahulu.  Oleh itu, abah gunakan kesempatan tersebut untuk bawa saya menonton bola di kedai makan yang ada Astro.  Cakap sahaja nak tengok perlawanan apa malam ni, mesti akan dibawa.  Nak makan apa malam ni, mesti dibelikan (tapi saya ahli bersekutu mak dan mak pantang makan malam, jadi abah saya kurang berjaya di sini).

Pendeknya, saya selalu kepelikan apabila mendengar sahabat-sahabat sekeliling saya (perempuan semestinya) merupakan ahli bersekutu ayah mereka, dan pro-mak.  Macam mana mereka boleh berbincang apa sahaja perkara peribadi dengan ayah mereka dan tidak mak mereka?  Tak salah pun, cuma mindset saya selama ini, anak perempuan mesti rapat dengan mak.  Rupa-rupanya ada fakta yang menyebut anak perempuan lebih rapat dengan ayah.  Setelah lama menjadi ahli bersekutu mak, sekarang barulah saya pro-abah.  May Allah bless you...

Wednesday, May 2, 2012

BERSIH 3.0 lebih bersih

Setelah lama tidak berbicara...akhirnya saya nak ceritakan pengalaman peribadi ke BERSIH 3.0 kali ini.  Saya tak pasti bagaimana pengalaman mereka yang lain, tapi masing-masing punya pengalaman peribadi yang sememangnya akan diingati dalam lipatan sejarah hidup.  Pengalaman kali ini memang menarik dan setiap yang terjadi menjadi bukti bahawa Allah s.w.t sentiasa menjaga hamba-Nya dan menolongnya melalui jalan-jalan yang tidak disangka-sangka.  Sungguh, TIDAK disangka-sangka.

Kali ini perjalanan saya berbeza sedikit.  Setelah tidak menjadi PIC bagi kumpulan mahasiswa, saya bergerak dengan sahabat, Ilyza.  Dari petang saya bergerak dengannya dan selesaikan urusan-urusan orang dewasa (cewah), macam kongsi gelap pun ada.  Akhirnya setelah selesaikan tugasan di checkpoint terakhir, kami bergerak untuk berehat di rumah Ilyza.  Seharian tidak makan, saya buat macam rumah sendiri memasak di rumahnya tengah-tengah malam.  

Selepas solat Subuh, saya duduk di birai katil dan terdetik di hati.  Apa persediaan yang telah saya buat?  Saya rasa BERSIH 3.0 kali ini saya kurang bersedia.  Tidak seperti BERSIH yang lepas.  Kali ini saya bermula dengan zero sedangkan beberapa jam lagi kami akan bergerak.  Mungkin sebab tidak bersama kumpulan mahasiswa.  Tambah pula, ini pengalaman pertama Ilyza, jadi sayalah yang seharusnya lebih bersedia.  Tiba-tiba saya dapat mesej list barang yang perlu dibawa.  Pucuk dicita, ulam mendatang...

Dipendekkan cerita, kami bertolak dalam jam 10.30 pagi.  Bermula dengan Bismillah, kami mula bergerak menaiki kereta Ilyza.  Seperti yang dijangkakan, setiap laluan ke Dataran Merdeka ditutup.  Jadi, kami harus memarkir kereta di mana-mana dan berjalan.  Di kiri kanan jalan kelihatan kumpulan-kumpulan manusia memakai baju kuning sedang bergerak menuju ke tempat yang sama.  

Kami mengikut sekumpulan uncle berbangsa Cina yang juga menuju ke Sogo supaya berkumpulan dan tidak berdua-duaan sahaja.  Tambahan pula, kami ni wanita.  Tiba di hadapan bangunan Sogo, kelihatan barisan panjang polis yang menghalang laluan ke DBKL.  Tidak kelihatan wajah-wajah yang kami kenali, jadi kami cuba mencari jalan untuk bersama-sama kumpulan mahasiswa yang berada di DBKL.  Satu-satunya laluan yang tidak ditutup ialah laluan LRT.  Walaupun terpaksa berjalan jauh, kami berjaya bersama mahasiswa dan wajah-wajah yang dikenali berjemaah Zohor di atas jalan.  Satu pengalaman yang menarik.

Disebabkan cuaca panas, kami mengambil keputusan berada di bawah jambatan yang lebih teduh.  Tak sangka tempat ini bermula segalanya.   Bagai terhidu-hidu bau gas pemedih mata bercampur dengan garam dan air.  Rempuhan pertama beribu-ribu manusia.  Disebabkan saya belajar dari pengalaman lepas agar tidak panik yang menyebabkan kita hidu terlalu banyak gas dan menyebabkan kita hilang arah, saya cuba untuk menahan nafas.  Namun, belum sempat saya bergerak meninggalkan tempat tersebut dengan Ilyza, rempuhan manusia bagai air yang mengalir.  Tak dapat ditahan-tahan.  Nasib baik saya berada di belakang pokok.  Akibat rempuhan manusia yang panik,  saya terjatuh ke belakang.  Semasa saya cuba bangkit, ada seorang wanita yang berbadan besar nyaris-nyaris menindih saya.  Saya menahannya dengan sebelah tangan, dan sebelah tangan lagi cuba menolak diri untuk bangun bagi mengelak ditindih.  Di kiri kanan, saya dengar jeritan lelaki, "Woi, ada perempuan!" Saya hargai mereka tak cuba angkat saya tapi mengawal manusia yang berlari ke arah kami.  Sebab saya tak nak alasan darurat menyebabkan senang-senang sahaja mereka nak pegang.  Saya tak menjerit, malah tak bersuara sebab saya sedang mengawal pernafasan.  Masa itu, gas mula memenuhi kawasan.  Dan saya tahu kami kena bergerak cepat.  Ilyza menjerit-jerit nama saya dan cuba membantu saya bangun.  Pada masa itulah, saya terpaksa melepaskan kasut yang ditindih oleh manusia-manusia yang panik.  Saya tahu Ilyza dah terhidu malah tertelan banyak gas pemedih mata.  Tambah pula, ini pengalaman pertamanya.

Secepat mungkin saya menarik dia dan dengan fikiran yang masih waras tetapi paru-paru yang terdesak memerlukan udara ke lorong yang selamat.  Pergerakan rasa macam perlahan dan jauh.  Air dari kolam berdekatan pokok sudah melimpah-limpah ke jalan.  Saya yakin ramai yang terjun ke dalam kolam.  Tapi kita perlukan udara lebih dari air.

Dari lorong tersebut kami bergerak mengikut kaki ke tempat yang lebih selamat dan tidak dihadiri gas.  Di kiri kanan lorong, ada beberapa orang yang tercedera dan pengsan.  Kami juga berselisih dengan Wan Azizah yang diiringi oleh anaknya dan seorang lelaki.  Saya memang berstokin sahaja dan seluar sudah six inches deep with mud akibat terjatuh.  

Tiba-tiba sekumpulan lelaki dalam 4 orang berpakaian serba hitam dan berkaca mata hitam datang menghampiri saya dan Ilyza.  Muka masing-masing macam mafia dengan badan yang besar dan tinggi.  Saya agak cuak waktu itu.  Salah seorang daripada mereka menegur, 

"Mana kasut?"
"Hilang," Saya menjawab ringkas.

Mereka gelak.  Kemudian seorang yang lebih kecil dan memakai wayar seperti wayar telefon di belakang telinganya di antara mereka menyambung.

"Mari ikut kami,"
"Ke mana?" Ilyza membalas.
"Pejabat Agung PAS, kami bodyguard Tok Guru."

Saya ragu-ragu.  "Bukan SB?"  Mereka gelak.  Kemudian, lelaki yang kecil mengeluarkan dompetnya dan menunjukkan kad keahlian PAS kepada saya.  "OK?"  Saya hanya melihat.

Disebabkan Ilyza yakin, saya pun ikut di belakang mereka.  Dua di hadapan, dua di belakang antara kami berdua.  Saya bertanya lagi, "Mana Tok Guru?"

"Kami dah bawa Tok Guru balik berehat pukul 2 tadi."

Selepas itu kami lebih banyak mendiamkan diri dan mengikut mereka.  Mereka membawa kami melalui jalan-jalan shortcut.  Saya cuak, tapi seperti tidak ada pilihan sebab dah terpisah dari sahabat-sahabat yang lain.  Perhatian yang mereka berikan membuatkan saya cuak.  Apabila saya yang hanya berstokin berjalan di jalan tar, salah seorang akan menyuruh berjalan di atas kaki lima.  Takut terluka segala bagai.  Err, tak perlu kot.  Ada pula yang mencari-cari kedai kasut.  

Semasa tiba di satu restoran Mamak, mereka singgah di kedai tersebut yang sudah dipenuhi oleh beberapa ahli PAS.  Saya ingatkan kami dah boleh bergerak sendiri.  Tiba-tiba mereka suruh masuk ke dalam kedai.  Siap suruh order air lagi.  Tiba-tiba, seorang daripada mereka meletakkan sepasang kasut di sebelah saya.  

"Nah, pakai kasut ni dulu sementara nak beli kasut baru."
"Mana dapat ni?"
" Minta kat mamak kat belakang."  Rupa-rupanya dia pergi cari kasut kat belakang kedai mamak.

Saya serba-salah, tapi malas nak bertikai, saya sarungkan kasut sementara  tersebut.  Besar sedikit dan macam seram, tapi lebih baik dari tidak mempunyai kasut.  Saya simpan kasut tersebut dalam almari sebagai kenang-kenangan BERSIH 3.0.

Kemudian disuruh makan pula.

"Err, kitorang tak makan kat kedai mamak,"  Saya dah tak tahu nak bagi alasan apa selain itu.
"Ooo, tak pa, darurat...." Jawab salah seorang dari mereka.

Selepas itu, sepanjang berjalan kaki itu, hanya seorang pengawal yang celoteh nak ajak berbual.  Nasib baik ada Ilyza yang merespon juga.  Siap minta FB nak add.  Bila saya cakap saya tak ada FB, dia renung saya lama-lama dan sepatah perkataan keluar dari mulutnya, "Temberang!"  Dalam hati saya masa tu, " Dia cakap aku temberang??? Ingat aku ada hati nak melawak time-time ni?"  Tapi disebabkan dia tak kenal saya, tambahan pula dia yang carikan kasut, jadi saya maafkan dia.  Saya bukanlah tak nak respon, tetapi otak saya terlalu occupied memikirkan keadaan pada waktu tersebut dan sahabat-sahabat yang lain.  Lagipun, suasana sebegini tidak sesuai untuk nak sembang-sembang benda-benda kecil.  Err, kita bukan tengah makan angin kan?

Selepas tiba di Pejabat Agung PAS, kami berpisah dari kumpulan pengawal tersebut selepas berterima kasih.  Memang satu pertolongan yang tidak disangka-sangka daripada Allah s.w.t.  Memang kami dah sesat jauh sewaktu lari menyelamatkan diri.  Tambahan pula, ada polis yang membuat tangkapan pada waktu tersebut.  Mungkin disebabkan kita sudah betulkan niat sewaktu bertolak, jadi Allah lindungi kita.  Apabila kita menunaikan hak Allah, maka Allah akan menunaikan hak kita pula.  Mungkin berkat doa orang-orang tersayang.  Terima kasih buat 4 orang pengawal yang tidak dikenali tersebut.  Mungkin kalau nak kenal, kalau nampak yang berdiri di sebelah pimpinan-pimpinan PAS, merekalah salah seorangnya yang ada.

Adik saya yang mendengar cerita seperti menyesal sebab tidak dapat turun dan menjaga saya.  Mak cakap, BERSIH 4.0 nak turun dan rasa...Err...tak perlu kot mak.  Saya masih perlukan mak.  Restu mak dah cukup.  Allah akan jaga.  Teringat waktu PRU-12, saya dan mak diescort tanpa sengaja oleh polis trafik sewaktu pergi melihat-lihat keadaan pilihan raya di Penanti.  Dua di hadapan, dan dua di belakang dan kami satu-satunya kenderaan di atas jalan pada masa itu.  Allah...Allah...Walaupun hanya rakyat marhaen, tapi  Allah sentiasa menggembirakan hamba-hamba-Nya melalui pelbagai cara. Allahuakbar!

Jadi, bagi sesiapa yang tidak melihat keadaan sewaktu di BERSIH 3.0, tolong jangan judge lebih-lebih kalau setakat bergantung kat media.  Jangan cakap banyak, turun dulu, baru tahu.

Saturday, April 14, 2012

MASA dan USAHA



5.13 a.m.
Stesen Kereta api Bukit Mertajam

Dalam hidup ini, kita selalu berhadapan dengan situasi di mana kita memperjudikan masa dengan keputusan-keputusan yang dibuat dalam hidup.  Kadang-kadang kita dapat walaupun sudah saat-saat akhir dan kadang-kadang kita melepas.  Itulah yang dinamakan takdir atau rezeki. 

Saya sebutkan perkara ini berikutan tabiat saya tidak suka membeli tiket kereta api awal-awal.  Hari Ahad saya bercadang nak balik, tapi disebabkan saya takkan balik selagi tak selesai Bab 2 tesis, jadi saya tertunda untuk pulang keesokannya.  Hari Isnin, saya cek jadual tiket kereta api online dan waktu berlepas adalah pada jam 2.56 p.m.  Jadi, saya perlu selesaikan semua urusan sebelum pulang ke Penang.  Selesai hantar tesis ke dalam box pensyarah, jam dah 1.20 p.m.  Sebenarnya waktu-waktu ni boleh dikatakan waktu panik sebab sekurang-kurangnya dari KTM UKM ke KL Sentral lebih kurang 45 minit jika tidak ada masalah dengan komuter.  Tiba ke komuter, komuter dijangka tiba pada jam 2.07  p.m.  Pada waktu-waktu ni, memang saya akan lebih banyak berdialog dengan Allah kerana kepada siapa kita nak sandarkan harapan sewaktu harapan tersebut sangat tipis untuk digapai kalau bukan kepada Allah?  Tiada yang mustahil kepada Allah.  Nasib baik komuter tiba pada masanya dan tidak ada masalah sepanjang perjalanan.  5 minit lagi sebelum jam 2.56 p.m., komuter tiba di platform KL Sentral.  Apa lagi, saya percepatkan langkah dan yakin saya akan sempat membeli tiket.  Tiba di tingkat 2, saya mendengar pengumuman

“… yang dijangka tiba pada jam 2.56 petang telah dijadualkan semula.  Tren ini akan berlepas pada jam 8.30 malam….”
…..
Sebaik-baik perancang ialah Allah.  Sudah ditakdirkan saya balik jam 8 malam, jadi walau berusaha macam mana pun, saya tetap takkan dapat balik jam 2.56 petang kalau sempat beli tiket pun.  At least, saya tidak kecewa kalau tak sempat dan saya telah berusaha.  Ada waktunya tiket sudah dibeli, tapi terlepas tren walaupun sudah berada di KL Sentral.

Banyak kali juga la peristiwa yang melibatkan kereta api ini yang membuatkan saya bermuhasabah mengenai masa, keputusan/usaha dan takdir/rezeki.  Semuanya ini berkait.

Apa yang saya perhatikan, manusia kadang-kadang punya harapan.  Besar harapan mereka.  Dan mereka juga punya masa.  Banyak  masa mereka.  Cuma mereka kurang usaha.  Kecil usaha mereka.  Banyak kali terdengar luahan seperti;

“Masa tak sesuai lagi….”
“Bukan masanya….”
“Lambat lagi…”
“Awal sangat…”

How can you be so sure when you don’t even try? You don’t even ask? You don’t even start?

Mereka perjudikan masa dengan hanya berharap.  Senang cakap, pepatah Melayu ada menyebut;

Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

Kalau sudah membina harapan, patutnya disusuli dengan usaha berbekalkan masa yang ada.  The moment you start dreaming, you have to start planning and acting.  Yang tahu masanya sesuai atau tidak hanyalah Allah.  Bukankah Allah pemilik masa?  Bukankah hanya Allah yang tahu bila masanya kiamat? Masanya kita mati? Masanya kita hidup?  Singkatnya masa kita hidup di dunia?  Berapa lama ahli kahfi tidur dalam gua?  It wasn’t us to consider the time, but it was us to have a dream and go for it.

“Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”

“Kalau takut tak dapat, jangan pernah berharap”

Seriously, apabila kita berhajatkan sesuatu dan mula menyusun perancangan ke arah itu, Allah akan automatik bentangkan masa-masa tersebut tanpa kita pinta.  Ayat ‘jangan pernah berhenti mengharap’ itu betul, tapi kena susuli dengan tindakan.  Usaha itu milik kita, masa itu milik Allah.  Jadi selepas berusaha, pulangkan kepada Allah.  Kalau kita selalu ingat perkara ini, semestinya kita takkan pernah berhenti berusaha.
Entri kali ini saya tujukan buat mereka yang mempunyai harapan tetapi hanya menunggu masa yang sesuai.  Allah sahaja yang tahu masa mana yang sesuai, jadi punya harapan, mulakan tindakan dan serahkan kepada Allah untuk tentukan.

~Mengilham harapan_merancang tindakan_mencipta masa depan~

Wednesday, April 4, 2012

Bersama mengulat

AMARAN: Entri kali ini terlalu panjang kerana penulis cuba mengurangkan ketepuan akibat terlalu lama membaca~

Kalau Faisal Tehrani rehat dari menulis dengan menulis, saya pula rehat dari membaca dengan menulis.  Kadang-kadang ada sahabat yang merungut, 

" Tak perlu la tulis berat-berat dalam blog, aku boleh baca kalau topik berat-berat kat tempat lain, aku buka blog kawan-kawan sebab nak baca secara santai macam tengah bersembang."  Jadi saya ikutkan jer lah permintaan pembaca.  Moga ada manfaat walaupun santai-santai.

Bila sebut tentang membaca ni, orang boring kalau shopping buku dengan saya sebabnya saya selalu sarankan buku-buku yang pada pendapat diorang berat dan tidak dapat dihadam.  Tapi itulah trend semasa saya. Saya tak pasti trend semasa genre pembacaan yang diminati penduduk Malaysia sekarang, tetapi trend pembacaan saya sangat dipengaruhi oleh sahabat yang selalu kongsikan buku yang mereka baca kepada saya.  

Tak pasti sama ada ini kebetulan atau tidak, trend ini ada perkembangan dari sudut kematangan isi kandungan seiring dengan usia saya.  Kiranya saya macam bertuah sebab Allah kirimkan sahabat-sahabat yang sentiasa membawa saya seiring dengan perkembangan dan tidak ketinggalan ke belakang.  Alhamdulillah.  Jadi carilah sahabat-sahabat yang boleh mendekatkan anda dengan kebenaran.

Di bawah ni saya saja-saja nak listkan trend pembacaan saya yang mungkin ada persamaan dengan pembaca.  Ada sesetengah orang, trend pembacaan dia sama sahaja, dulu, kini dan selamanya.  Contoh, novel cinta.  Sahabat sekolah rendah saya, Hajar memiliki beratus koleksi novel cinta dan setiap kali shopping buku dengan dia, novel cinta memang takkan lepas dari tangan.  Tambahan pula novel cinta memang sentiasa terupdate di pasaran.  Cadanglah buku apa pun, novel cinta juga yang dipilihnya.  Kalau pergi melawatnya di rumah, novel cinta bersusun atas meja.  Bacanya tidak sebab sibuk bekerja.  Tapi setiap kali saya balik cuti mesti ajak shopping buku.  Pengaruh ke atas kehidupan dan cara berfikir? Sangat besar kesannya.  Antaranya dia sanggup belajar buat puding karamel gara-gara terlalu menghayati kisah dalam novel Adam Hawa.  Sebelum saya rasa puding tu, dia akan story  scene dalam novel dengan dialognya sekaligus.  Kalau tak percaya, cuba buka novel tu.  Saya pun tak pernah baca sebenarnya sebab cukup sekadar mendengar dia bercerita berulang-ulang kali.  Ciri-ciri suami yang dia nak?  Namanya Adam supaya dia boleh panggil Am....alahai Hajar.  Nama awak Hajar, carilah yang namanya Ibrahim, kan cocok.  Err...melalut plak.  Tapi, ada bagusnya juga kan?  Sebab itulah saya risau kalau-kalau orang perempuan terlalu minat cerita Korea sebab dalamnya hanya diajar masak megi jer~

Itu trend yang tak dapat diubah, ada lagi, komik Gempakstarz.  Cuti semester saya pergi melawat sahabat, Fatihah.  Pergi tangan kosong, balik dengan kotak berisi penuh komik untuk dibaca.  Itulah untungnya ada sahabat-sahabat yang suka membaca, boleh pinjam...(^_^)V Walaupun saya tak sanggup nak buang duit untuk beli bahan bacaan macam tu, saya sanggup baca asalkan ada tulisan dan faham.  7 hari baca sekejap sahaja saya habiskan, sebab itulah sangat rugi untuk membeli sebuah komik ber-RM7 dan habis dibaca dalam sejam.

Trend saya pula dipengaruhi oleh sahabat-sahabat yang paling kerap menyogok buku:

Tingkatan 2-3- novel-novel cinta. 
Err...di sinilah pertama kali saya dah disogokkan dengan kisah cinta picisan. Amboi...Sahabat saya, Syamimi ni macam Hajar.  Memang waktu ni berlaku fenomena dalam kalangan pelajar tentang novel-novel cinta.  Berlaku sistem barter yang setiap hari.  Saya sempat terpengaruh dengan novel Kau Yang Satu, Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian, Tiada Lagi Mimpi (trilogi Sharifah Abu Salem).  Di sini saya mula perasan, kalau saya baca novel cinta jer mesti saya akan stress.  Mungkin sebab tak kena dengan jiwa.  Cewah...  Tapi, sahabat saya Syamimi ni memang sabar.  Kalau pun saya tak sanggup nak baca novel, dia sanggup ceritakan jalan cerita novel-novel yang lain kepada saya dalam kelas setiap hari Jumaat sampai saya tertidur.  Pelik tak pelik, niat sahabat saya ni bercerita dan dia tak kisah pun kalau saya sampai tertidur.  Jadi, saya jadikan perkara ini rutin setiap hari Jumaat (waktu ni saya belum berani main badminton sebab takut senior nampak).  Kami berdua dalam kelas, angin sepoi-sepoi bahasa, dia bercerita novel cinta yang baru dibaca, saya mendengar dan......tertidur.  Kadang-kadang saya menyampuk konon macam nak bagi reaksi yang saya dengar apa yang diceritakan tapi lain pula nama watak yang saya sebut.  Jadi, saya tak berani nak respon takut melukakan pula hati dia.  Tapi dia tak marah.  Waktu saya bangun, dia masih setia di sebelah.  Oh Tuhan, malaikatkah ini... dan begitulah seterusnya.   

Tingkatan 4-5- novel-novel Islamik
Jiwa waktu Tingkatan 4 & 5 ni macam sejuk sahaja sebab dah jadi senior, pengawas, Badar, Naqibah.  Bukanlah maksudkan diri sendiri, tapi sahabat-sahabat sekeliling.  Kalau dulu pelajar asrama kurang ngam dengan pelajar berulang, naik menengah atas sudah boleh berkongsi-kongsi pendapat dan minat.  Waktu inilah saya mula kenal dengan karya-karya Faisal Tehrani dan Zaid Akhtar.  Novel Advencer Si Peniup Ney, Detektif Indigo, 1515, Rona Bosphorus, Sesegar Nailofar bertukar-tukar tangan antara kami.  Bertambah bersemangat untuk belajar dan berbakti kepada agama dan bangsa dan sekolah terutamanya.  Kebetulan adik saya pula menghadiahkan novel Kombat karya Faisal Tehrani.  Dia cakap tak tahu Kak Yu minat ke tak, tapi Allah kan selalu kabulkan hajat hamba-Nya melalui jalan yang tidak disangka-sangka.

Lepas tingkatan 5- novel-novel cinta Islamik
Sebenarnya saya berasa selamat saya mula membaca novel sebegini selepas sekolah menengah.  Hati saya lebih terjaga.  Ni antara tempoh-tempoh sebelum dapat tawaran ke matrik.  Jadi, saya kadang-kadang melawat sahabat untuk berusrah.  Waktu di rumah Umairah, terjumpa novel-novel ni sebelum menjadi fenomena.  Jadi at least saya bukan baca disebabkan fenomena tetapi sebab sahabat yang cadangkan.  Antaranya Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2, Tautan Hati (Fatimah Syarha).  Ada sahabat saya, selepas saya beri dia baca novel Tautan Hati, terus dia putus cinta dengan kekasihnya.  Alhamdulillah. 

Tingkatan 6 bawah- 6 atas- motivasi-motivasi hidup
 Kehidupan lebih mencabar disebabkan subjek-subjek yang baru, suasana sekolah harian yang asing, rakan-rakan yang asing, cabaran yang baru jadi Allah utuskan seorang guru praktikal (saya terlupa nama dia…hu).  Kami selalu bertukar-tukar buku dan buku yang paling saya ingat ialah Life is an Open Secret karya Zabrina.  Waktu ni juga sahabat baik yang berada di Mesir, Sakinah Sobri hadiahkan -How to be the happiest women in the world karya Aidh Al-Qarni.
 
universiti- ilmiah-
Beratkan? Tapi sahabat-sahabat sekeliling yang mencorakkan trend pembacaan saya.  Pada masa yang sama, bersesuaian dengan kursus saya Sains Politik.  Antara karya-karya yang disogokkan- Cry For Freedom, Tarbiyah Siyasiyah, Act Like a Lady Think Like A Man,  dan sebenarnya, apabila berada di universiti, budaya bertukar-tukar minat membaca ini kurang diamalkan.  Mungkin kerana perpustakaan dah besar, internet banyak bahan atau malas… pelik pula trend di sini.  Saya fikir saya pula yang lebih banyak pinjamkan bahan bacaan kat rakan sekuliah, itupun untuk tujuan tugasan.  Hmm…ke mana hilangnya budaya berkongsi membaca dan berkongsi pendapat?

Kredit untuk sahabat yang selalu berkongsi minat- Azizah Najib. Septimus Heap (Magyk, Flyte, Darke, dll)- ini memang trend sepanjang zaman. 



Sunday, April 1, 2012

Pendidik sepanjang hayat

Dulu masa zaman sekolah rendah, waktu cikgu Shahidan sedang mengajar di depan, saya menjungkit-jungkit kerusi sambil memberikan perhatian kepada apa yang diajar.  Namun, malang tidak berbau, apabila saya menjungkit kerusi ke sebelah kiri untuk mengusik rakan di sebelah, saya terjatuh sekali dengan kerusi.  Mesti kita semua biasa dengan situasi sebegini kan?

Satu kelas berpaling ke arah saya, lantas saya cepat-cepat berdiri untuk mengcover keadaan.  Air muka saya serius jer.  Tapi, Cikgu Shahidan dengan slumbernya bertanya;

"Dapat?"

Saya pelik dengan soalan tersebut, dahi saya berkerut cuba memproses soalan tersebut.  Sekali lagi beliau bertanya;

"Dapat tak?"
"Dapat apa cikgu?"  Saya terus bertanya kembali.
"Dapat tak tangkap kogha (kura-kura) kat bawah meja?" 

Bila kawan-kawan dapat tangkap jer maksud cikgu, apa lagi, satu kelas gelak.  Saya?  Serius malu.  Merah padam muka.  Kawan baik saya di sebelah tak berani nak gelak.  Baru saya faham, cikgu sindir saya nak tangkap kura-kura sampai terjatuh kerusi.  Macam manalah beliau boleh terfikir nak kenakan saya.  Malu ada, geram pun ada.  Cikgu Shahidan ni ayat-ayat dia yang sinis sentiasa berjaya mengubah tabiat pelajar di dalam kelas.  Selepas tu, memang saya dah tak berani nak jungkit-jungkit kerusi dah.  Saya teringat sebab malam ni saya buat balik sebab nak usik sahabat di sebelah dan terjatuh.  Bila diingat-ingat kembali, memang pecah gelak, tapi pada waktu tersebut muka saya memang serius habis.  Memang jaga air muka.  Ada kawan saya yang suka gigit kuku sewaktu cikgu sedang mengajar kena sindir;

"Kenyang?"
Mesti kita akan tertanya-tanya, apa yang kenyang? Pastu bila kita blurr sesaat, beliau menyambung;
"Kalau tak kenyang gigit kuku jari, gigit kuku kaki plak."  
Memang lepas tu, kawan saya dah tak buat dah.

Setiap kali sebelum kelas bermula, beliau mesti minta kami berdiri dan tanya, siapa solat subuh pagi ni duduk, kemudian solat isyak.  Kagumnya, kami tak berani nak menipu.  Walaupun malu, tetap kami mengaku.  Sebelum habis kelas beliau akan mengajar kami zikir-zikir dan asmaul husna sampai loceng bunyi.  

Mungkin itulah beza pendidik dan pengajar.  Apabila niat seorang cikgu itu untuk mendidik, apa yang disampaikan akan sampai ke hati pelajar dan membentuk akhlak pelajar.

Selepas saya meninggalkan sekolah rendah, kadang-kadang bila ikut abah pergi ceramah PAS, terjumpa dengan cikgu dan beliau masih kenal saya.  Mungkin itu juga beza pendidik yang berfikrah dengan yang tidak.  Niat begitu tulus untuk mendidik anak bangsa mengenal Islam dan berakhlak dengannya.  Terima kasih cikgu. Walaupun Hari Guru lambat lagi, tapi kan penghargaan patut diberi hari-hari.

p/s: Tabiat boleh diubah, menegur dari hati akan sampai ke hati.

~susah sungguh nak fokus dengan esei...