Wednesday, February 20, 2013

ilmu baru

Dr.Kayu> Salam. sy akan balik ukm dlm 30 min lg. skrg di bilik mayat serdang. kwn mati


Ok. Saya selalu rasa bersalah apabila nak mesej golongan veteran. Sebabnya;

1) mereka mungkin salah faham dengan ayat mesej kita
2) mereka mungkin tak faham mesej kita
3) kadang-kadang mereka tak suka/ mengalami kesukaran untuk balas mesej

Saya mesej juga sebab line asyik terputus waktu bercakap dengan prof dan buat saya rasa bersalah apabila prof telefon banyak kali.

Hasilnya, saya dapat balasan mesej di atas. Dan maaf, walaupun isi di dalam mesej tersebut adalah perkara sedih, tetapi saya tak mampu menahan gelak dengan cara penyampaian prof. Allah...ampunkan saya.

Politik merupakan satu bidang yang pada pandangan saya tidak mengalami perubahan yang begitu pesat. Isu-isu politik walaupun kita hanya menyelak akhbar seminggu sekali, tidak banyak perubahan yang berlaku selain daripada isu yang sama yang dikupas. Cuma berlainan aktor.

Berbanding dengan politik, ekonomi adalah satu bidang yang sebaliknya kerana perubahan yang berlaku dalam bidang ini adalah sangat pantas. Isu ekonomi sangat dekat dan memberi kesan besar kepada semua lapisan masyarakat.

Isu ekonomi merupakan isu asas masyarakat. Malangnya, isu ekonomi sentiasa disampaikan dalam bahasa yang hanya difahami oleh ahli ekonomi sedangkan ianya melibatkan masyarakat dalam semua peringkat. Siapakah yang lebih merasakan peritnya kemelesetan ekonomi kalau bukan masyarakat bawahan? Inilah yang cuba diselindungkan oleh pihak kerajaan. Apabila cuba disampaikan oleh pihak pembangkang, seminar ekonomi kurang mendapat sambutan berbanding ceramah politik. Sebenarnya, kalau semua orang tahu keadaan ekonomi negara yang semakin parah, kita tak perlu berusaha teruk untuk memancing undi pengundi. Rakyat serta merta akan menukar parti yang memegang tampuk kerajaan.

Orang cepat bosan dan tak faham apabila ahli ekonomi cuba menerangkan keadaan ekonomi negara, perbezaan ekonomi Islam dan konvensional dan bagaimana ekonomi Islam mampu membela nasib rakyat. Sebabnya ramai manusia tak suka dengan angka. Tengok angka lebih dari dua dah pening. Kalau boleh apabila mengulas isu ekonomi mereka hanya nak jawapan yang spesifik. Adakah negara akan bankrap? Ya atau tidak. Kalau ya, kita undi parti A, kalau tidak, kita kekal dengan parti B. Sedangkan kalau mengikut perkiraan ekonomi, pelbagai kebarangkalian perlu diambil kira. Walau besar macam mana pun, prinsip asas kewangan adalah berjimat sebelum habis. Kalau dah habis, buat apa susah payah berjimat. Tiada guna. Oleh itu, bankrap atau tidak negara, bukan persoalan, tetapi bagaimana pengurusan wang negara dijalankan?

Ramai orang tidak sedar, jenayah kolar putih itu lebih hebat berbanding jenayah rompak terang-terangan. Walaupun hanya satu sen yang diambil dari akaun kita, hasilnya dikutip daripada berbilion akaun tanpa disedari. 

Jadi, saya ambil peluang yang ada untuk mendalami ilmu ekonomi pembangunan yang mungkin memeningkan tetapi tidak mustahil. Rancangan Prophet of Doom di saluran Astro History memaparkan keadaan ekonomi dunia dari kaca mata orang bukan Islam dan satu fakta yang perlu diketahui ialah... dunia benar-benar akan memenuhi ramalan ekonomi Nabi Yusuf a.s. Wallahualam...


Saturday, February 2, 2013

Hati yang besar



Manusia ni makhluk yang unik. Dia diciptakan dengan akal, nafsu dan iman. Timbul persoalan, di mana terletak akal, nafsu dan iman ni? Di mana yer? Entah, saya pun tak tahu.

Lagi. dalam diri manusia ada raja. Rasulullah s.a.w bersabda, hatilah yang dinobatkan sebagai raja tu.

"Sesungguhnya dalam diri manusia ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak, dan kotor maka rosaklah seluruh anggota badannya.. dan seketul daging itu adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)


Jadi, cerdik pandai mengatakan segalanya bermula dari hati. Disebabkan dia raja, jadi segala proses pembuatan keputusan bermula di sini.

Setelah membaca dua buah buku self-help karya pakar psikologi Learning From The Heart dan The Now Effect, saya mendapat satu lagi peranan hati; menyerap segala perasaan yang melanda. Macam Spongebob. Semua orang pun tahu sebab di hatilah bermula segala perasaan, tetapi semua orang belum tahu bagaimana caranya menyerap perasaan secara sihat.

Apa yang manusia selalu lakukan adalah menafikan perasaan tersebut, cuba menolaknya pergi sejauh mungkin. Caranya adalah menggunakan akal. Konon dengan alasan cuba merasionalkan perasaan, hakikatnya perkara tersebut lebih memburukkan keadaan apabila masalah tersebut adalah besar.

Hati adalah raja, Allah s.w.t menciptakannya untuk menampung segala perasaan yang melanda. Akal tak begitu. Dia ada limitnya. Sebab hasilnya akan melahirkan insan-insan yang duduk di Tanjung Rambutan atau masalah psikiatri yang lain sebab wayar/saraf dah putus.

Kita selalu bertemu dengan manusia yang mempersoalkan nasib diri. Kenapa jadi begini? Kenapa jadi begitu? Kenapa walaupun saya dah setia, tetapi dia tetap meninggalkan saya? Kenapa walaupun saya dah berubat tetapi tetap tak baik-baik? Kenapa walaupun saya dah berusaha saya masih tak dapat-dapat lagi? Mereka cuba bermain dengan logik sedangkan hakikatnya di dunia macam-macam benda yang tak masuk akal selalu terjadi. Oleh itu, akal tak mampu menanggung semua bebanan soalan ini disertai dengan bebanan perasaan yang dahsyat. Mungkin disebabkan pengaruh tahap pendidikan, persepsi yang dibina masyarakat atau sikap.

Tetapi hati boleh. Dengan syarat, biarkan hati yang merasa setiap perasaan yang dialami tanpa campur tangan akal. Cuba untuk terima perasaan tersebut dan bukan menolaknya. Ia lebih memudahkan perasaan tersebut untuk pergi berbanding menentangnya dan selamanya ia akan berada di situ.

Kalau kita sedih, terima perasaan tersebut. Bukan cuba menafikan dengan menggunakan akal “aku ok, aku ok”. Sebabnya kita akan menjadi semakin tak ok. Kalau kita sunyi, terima perasaan tersebut. Kalau kita suka, sukalah rasanya. Kenapa cuba menafikan? Kita boleh tipu orang, tetapi kita tak mampu tipu diri sendiri. Perkara ini akan merosakkan diri dan mengundang stress. Apabila kita mula menerima perasaan yang sebenar, kita akan rasa ok lepas tu.

Seorang lelaki yang kehilangan isteri dan anak dalam kemalangan, kemudian dibuang kerja, selepas itu ibu dan ayah pula meninggal. Bencana demi bencana yang berlaku bukanlah dalam kemampuan akal untuk difikirkan sebab musababnya serta merta. Perasaan yang melanda perlu ditangani dahulu. Kalau tidak, keputusan yang diambil tidak akan membawa kebaikan. Orang yang memerah otak memikir punca bencana ini kemungkinan akan berfikir, ‘Allah dah tak sayang aku’ dan akhirnya membunuh diri sebab tak mampu menghadapi dengan akal fikiran, tanpa mengetahui dia mampu menghadapi dengan hati. Tapi sebab rajanya tak bersih dan korup, maka dia lebih ikutkan akal yang singkat.

Baru-baru ini kenduri sepupu, saya berbual-bual dengan isteri sepupu saya yang baru sahaja berkahwin beberapa bulan yang lalu. Kami tak berkesempatan untuk kenal semasa dia berkahwin sebab saya tak ada di sini. Sembang-sembang, dia membuka cerita dirinya. Pengalaman dia bercinta sebelum berjumpa sepupu saya agak berliku-liku. Secara ringkasnya dia telah berkawan dengan seorang lelaki selama 6 tahun sebelum putus. Sedangkan pada masa itu mereka sudah berbincang mengenai perkahwinan. Kemudian dia berkawan pula dengan seorang cikgu selama 3 tahun. Beberapa hari sebelum akad nikah, tiba-tiba lelaki tersebut beritahu dia sudah tidak ada perasaan terhadap kakak ni dan putuskan perhubungan di telefon. Kenduri yang sepatutnya merupakan kenduri akad nikah digantikan dengan kenduri tahlil sebab orang kampung dah dijemput. Orang kampung sentiasa bercakap-cakap tentang dia dan keluarga. Kemudian dia berkawan pula dengan pensyarah. Semasa sedang berkawan dengan pensyarah tersebut, sepupu saya yang pada masa itu sedang mencari pasangan hidup mengajaknya berkahwin. Mereka hanya kenal semasa sepupu saya datang ke Jabatan Perangkaan Pahang untuk urusan audit. Disebabkan jodoh itu urusan Allah s.w.t, akak tu terima sepupu saya dan mereka terus berkahwin tanpa perlu bercinta. Urusan jadi mudah dan rezeki melimpah-ruah kemudiannya. Jodoh dia datang pada usia 29 tahun. Apa yang saya boleh katakan, dia memang memiliki hati yang besar untuk berhadapan dengan segala mehnah yang berlaku.

Inilah yang dikatakan dengan bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain~

Saya selalu kagum bagaimana mereka boleh menempuh ujian sebegini. Terinspirasi untuk menulis di blog dan berkongsi.

Kalau tanya saya, sanggupkah nak lalui semua ni? Saya akan jawab once lost, lost forever macam Mr.Darcy. Sebab itulah prevention is better than cure. Sebenarnya akak tu boleh saman tunang dia sebelum ni sebab membatalkan majlis akad nikah last minute. Ada akta dalam mahkamah syariah untuk kesalahan melanggar perjanjian pertunangan. Tetapi, itu semua hanya logik yang tak mampu mereda perasaan pun. Dia terima dengan hati yang terbuka segala yang terjadi dan akhirnya Allah s.w.t kurniakan dia sepupu saya yang baik dan suka makan kek. Sekarang mereka sedang menantikan zuriat pada bulan 6 ni, insyaAllah. Saya mendoakan kebahagiaan yang berkekalan buat mereka. Baginya, apa yang lelaki sebelum ini dah buat was not a big deal. Tak apalah, sekali petik sepuluh yang datang. Hmm.. still it wasn't a good option to experiment with all the man in the universe just to find the idle one. Wasting 9 years befriending with the wrong guys when the right one will come along at the age of 29. Still, its you who choose your own way. And you who will endure all the consequences. She surely had the big heart to go through all the obstacles...pray I didn't have to face all these.

Hujung minggu ni sepupu lelaki saya pun akan berkahwin. Dia pun macam tu juga, bertunang dengan orang lain, kahwin dengan orang lain. Dan beberapa sepupu saya yang jadi macam tu sama ada sebab ditinggalkan atau meninggalkan sebab selalunya bercinta sebelum kahwin.  Hmm… doa saya, biarlah satu dulu, kini dan selamanya… hati saya belum cukup kuat untuk diuji kebesarannya or so my brain said. Wallahualam…

Wednesday, January 16, 2013

Itukah Lambang Cinta Kita?



‘Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu  tidak akan sesat selama-lamanya; iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya’- petikan teks khutbah terakhir Rasulullah s.a.w.

(satu-satunya sahabat yang masih hidup- the blessed tree)

Menyingkap kembali detik-detik terakhir pemergian Qudwah Hasanah umat Islam itu seringkali membuatkan dada berombak-ombak dan nafas tertahan-tahan.  Satu sirah nabawiyah yang  agung telah tercoret dalam sejarah dunia bermula dari saat lahirnya kekasih Allah itu ke dunia.  Satu figur yang menjadi penutup semua rasul dan nabi sepanjang zaman mengakhiri perjuangan baginda dengan menyampaikan khutbah terakhir di Padang Arafah di bawah terik  mentari bersaksikan 144 000 jiwa yang sentiasa menyanjungi dan menyayangi baginda melebihi harta benda dan nyawa mereka.

Seusai khutbah baginda, sedarlah setiap jiwa yang hadir di situ bahawa urusan Rasulullah s.a.w sebagai penyempurna akhlak manusia di dunia telah selesai dan tibalah saat bagi baginda meninggalkan dunia ini.  Hancur luluh hati para sahabat, bergetar perasaan demi menyedari hakikat tersebut. 

Tidak pernah diragukan, kasih sayang dan cinta para sahabat terhadap baginda tidak terbanding dengan seluruh isi alam.  Bahkan Saidina Abu Bakar pernah suatu ketika menyerahkan semua harta bendanya untuk disalurkan kepada perjuangan Islam. Apabila ditanyakan apa yang tinggal untuk anak isterimu, Saidina Abu Bakar menjawab, ‘Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya’.  Itulah lambang cinta mereka terhadap Rasulullah s.a.w. Cinta itu memenuhi setiap relung hati para sahabat.

            Bukan bermakna mereka memuja baginda seperti mana pengikut Arqam memuja guru mereka Asha’ari atau seperti mana pengikut Sikh memuja Guru Nanak,  tetapi bukankah terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : ‘Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya’.

Merenung kembali sirah membuatkan kita terfikir sejenak dengan situasi zaman sekarang, zaman pasca Hijrah.  Jika pengorbanan harta benda dan nyawa menjadi lambang cinta umat terdahulu terhadap Rasulullah s.a.w., pernahkah kita terfikir apakah lambang cinta kita kepada Rasulullah s.a.w?

            Jika kita melihat situasi semasa, timbul persoalan, adakah dengan menyambut Maulidur Rasul sepanjang tahun, lengkap dengan perarakan yang bercampur lelaki perempuan (walaupun perempuan di belakang dan lelaki di hadapan), berselawat selantang mungkin sudah memadai untuk memberitahu kita sentiasa mengingati Rasulullah s.a.w? 

Tanpa kita sedari, kita selalu memperbesar-besarkan perkara yang kurang penting dan mengabaikan perkara yang lebih aula.  Inilah yang dikatakan kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.  Sebagai contoh, pernah dibangkitkan isu perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang menjadi suatu isu yang hebat dibahaskan di semua peringkat pimpinan.  Masing-masing memberikan pendapat yang jika dilihat tidak langsung mencerminkan mereka yang merefleks sejarah sirah nabawiyah.

Atau adakah perarakan merupakan lambang cinta kepada Rasulullah s.a.w sehingga jika tidak dibuat kita sudah tidak ada sayang lagi kepada Rasulullah s.a.w? Bukankah kita patut berlapang dada dan melihat kembali apakah kesilapan yang kita lakukan sehingga terdapat pihak yang berani mempersoalkan segala tindakan kita?

Jika kita memang suka melihat perkara-perkara yang kecil, sepatutnya kita mula merasa risau akan keadaan sekarang di mana terhakisnya keinginan dalam diri umat Islam untuk mempraktikkan sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian. Bukankah jika kita cintakan seseorang itu, kita akan menyukai apa-apa yang disukainya dan membenci apa-apa yang dibencinya?

Teringat sebuah kisah seorang ahli falsafah Islam, Allama Iqbal. Beliau menceritakan bagaimana pada suatu hari, terdapat seorang fakir datang mengetuk pintu di hadapan rumah beliau sambil merayu-rayu meminta makanan.  Beliau berasa sangat marah lalu memukul dan menghalau si fakir tersebut.  Apabila perkara ini diketahui oleh ayah beliau, menitis air mata di kedua-dua belah pipi tua ayahnya sambil merintih “ Di manakah akan aku letakkan muka ini apabila berhadapan dengan Rasulullah s.a.w nanti di hari akhirat? Malu aku kepada Rasulullah akan keluhuran budi baginda dalam melayan fakir miskin. Apa yang akan aku katakan terhadap perbuatanmu itu?”

Perkara sekecil itulah yang wajar diberikan perhatian oleh seluruh umat manusia. Bukan perkara kecil yang jelas-jelas tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti menyambut kelahiran baginda. Diutuskan Rasulullah s.a.w adalah sebagai penyempurna akhlak manusia di atas dunia. Apabila ditanyakan kepada Ummul-Mukmin Saidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah s.a.w, beliau segera menjawab: “Akhlak Rasulullah S.A.W itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran”.

Oleh itu, sepatutnya perbuatan mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w dijadikan lambang cinta kita yang agung terhadap baginda.  Hiasi diri dengan akhlak Rasulullah s.a.w dan insya-Allah musuh-musuh pun akan menghormati setiap apa-apa yang kita lakukan.  Bukanlah kata-kata yang menjadi ukuran tetapi perbuatan yang menjadi tatapan dan ikutan. Wallahualam...


p/s: Sekadar pandangan kecil penulis. Lelah mengharungi zaman fitnah berleluasa... T.T Mohon dikuatkan.

Tuesday, January 15, 2013

Abah



Jarang saya menulis berkaitan abah. Sebabnya sebahagian besar masa saya dibesarkan, abah banyak habiskan masa di kilang sebagai senior machinist. Overtime sokmo. Abah seorang pekerja yang rajin dan gigih dan selalu dapat reward atas kerajinan. Dan hadiah tu selalu kamilah yang dapat termasuklah mak. Kami anak-anak yang bertuah sebab tak perlu beli mainan mahal-mahal sebab boleh dapat percuma. Kalau kanak-kanak lain berangan memiliki kereta mainan jenama Hotwheels dan patung mainan Barbie, kami tak sempat berangan kerana sudah ada depan mata. Sampai kadang-kadang tak pandai menghargai. Patung Barbie tu selalu jadi mangsa deraan saya. Rambut dan baju yang cantik selalu digunting. Baju Barbie ni cantiknya tak payah cakap, halus dan teliti jahitan. Tapi disebabkan saya ni anak tukang jahit, saya buat baju kurung kat anak patung ni digantikan dengan baju gaun dia yang lawa tu. Sudahnya, Barbie ni selalu tak berpakaian dan dibuang. Kalau dikumpulkan, memang lebih dari 30 jenis anak patung yang pernah ada. Tapi disebabkan mak abah tak pernah halang anak-anak untuk berkreatif, jadi anak patung tu tak pernah diselamatkan. Sekarang hanya tinggal sepasang patung Barbie yang masih selamat di dalam rak cenderamata.

Cara mendapatkan mainan tu, kalau anak-anak kecil kena merengek-rengek dengan mak ayah mereka, kami hanya perlu pancing mainan tersebut dalam bekas yang disediakan dalam setiap event kilang abah, tunggu abah bawa balik dari kilang, cabutan bertuah atau masuk pertandingan. Begitu seronoknya zaman kanak-kanak.

Walaupun abah jarang ada di rumah, abah dikenali sebagai life-saviour kami daripada hukuman mak. Sebabnya setiap kali kena hukum duduk di luar rumah, abah yang akan selamatkan. Kalau abah balik awal, bermakna kami dapat masuk awal ke rumah. Kalau lambat, lambatlah masuk ke rumah. Apabila mak menyambut abah di muka pintu, kami akan ikut perlahan-lahan di belakang abah yang masuk ke dalam rumah. Mak tak pernah pun tengking “Ha! Ni kenapa masuk? Keluar!” atau “Bila mak suruh masuk?!” Mak buat tak tahu sahaja macam tak ada apa yang berlaku. Jadi kami selalu merasakan bila abah ada, kami akan selamat daripada mak. Dengar sahaja motor abah “Yeay2, abah balik, abah balik.” Masing-masing akan lari sambut abah. Ada yang memeluk kaki abah dan ada yang bergantung di tangan sewaktu abah masuk ke dalam rumah.

Abah jarang marah, tapi kalau sekali marah memang teruk. Boleh kira dengan jari berbanding mak. First time kena hukuman teruk dengan abah semasa saya pecahkan batang paip rumah. Masa tu tengah main kejar-kejar. Adik-beradik yang lain kena kejar dengan saya guna batang betik sambil pusing rumah. Sekali tangan saya tersaruk batang paip plastik. Kelajuan saya menyebabkan batang paip tersebut patah sehingga memancut-mancut air keluar. Laju tak laju~Hukuman yang dikenakan- saya dirotan di kaki dengan batang betik sementara adik beradik yang lain kena rotan dekat tangan. Menangis-nangis di atas katil sampai mak datang pujuk. Mak tak boleh tengok saya menangis, nanti dia akan menangis juga.

Abah suka bawa kami jalan-jalan. Hujung minggu sahaja mesti akan pergi pantai atau air terjun. Sebabnya nak cover balik 5 hari tidak bersama anak-anak. Tapi itu waktu masih kecil-kecil. Apabila masing-masing sudah berada di asrama, cara menghabiskan masa bergantung kepada minat individu. Kalau dengan adik beradik lelaki abah bawa pergi memancing atau menjala. Kalau dengan saya, selalunya dibawa ke ceramah politik atau melihat bola sepak. Entah kenapa saya boleh minat sangat dengan bola sepak masa di sekolah menengah. Adik beradik lelaki seorang pun tak minat bola. Jadi abah tak ada teman selain saya. Perlawanan pertama yang mencetus minat saya adalah apabila Pulau Pinang melawan Melaka. Masa tu adalah pemain macam Hasmawi Hasan, Fauzi Soh sebelum masing-masing bawa diri. Pulau Pinang menang jadi saya mula memperkembangkan minat saya sehingga abah terpaksa teman tengok bola di kedai makan sebab tak nak pasang Astro.

Pernah semasa menaiki motor dengan abah, abah bawa masuk ke jalan-jalan shortcut yang ada di seluruh pelusuk kawasan Penanti, Kubang Semang dan Tanah Liat. Abah cakap jalan-jalan ni perlu diketahui sebab nak lari daripada polis kalau pergi ceramah politik atau ada roadblock. Sebab itulah penjenayah yang terlepas tu masih berkeliaran sebab jalan-jalan belakang ni sangat banyak dan berselirat. Ada jalan-jalan masuk yang abah tunjuk semua akan berhenti di checkpoint yang sama iaitu tali air. Terfikir saya, seronok jadi lelaki ni. Macam-macam rahsia alam dia tahu sebab banyak berguru dan berkawan.

Walaupun tak rapat dengan abah, tapi selepas abah masuk hospital, saya cuba memahami jiwa dan prinsip abah. Risau andai tak sempat berbuat sebaik mungkin dengannya. Macam kisah benar A.Fuadi penulis Negeri 5 Menara, beliau menyesal kerana seumur hidup tidak pernah mengucap sayang dan mencium ayahnya. Jadi, saya tak nak menyesal walaupun apabila ditanyakan apakah penghujung hidup manusia?, jawapannya adalah penyesalan. 

Sebenarnya banyak rahsia tersembunyi di sebalik seorang insan bernama abah ni.
Kadang-kadang kalau duduk-duduk di buaian dengan abah, banyak benda yang saya cuba cungkil dan abah tak lokek bercerita. Kalau dahulu, nak sembang pun jarang sangat. Kadang-kadang saya tanya, ‘abah rindu kat tok (mak abah) dak?’. Jawapan abah, ‘rindu’. Dan abah akan bercerita panjang tentang tok masa zaman abah masih kecil. Dulu kalau abah ada masalah dengan mak, abah akan pergi duduk di rumah tok, sembang-sembang dengan tok. Biar mak sejuk dahulu. Bukan macam sesetengah lelaki lain yang akan pergi ke kedai kopi dan melepak dengan kawan-kawan. Lepas tu cerita masalah dengan isteri dekat kawan-kawan, pastu kawan-kawan bagi solusi- kahwin jer lain… Bagi saya kalau ada masalah dengan wanita, bukanlah selesai dengan minta nasihat lelaki, tetapi mintalah nasihat wanita yang berilmu dan berpengalaman juga.

(semasa menonton bola sepak Piala Dunia Perancis vs Itali dengan sedara-mara)

Setiap manusia ada kelemahan tetapi kelemahan itu sentiasa ditutupi dengan kebaikan-kebaikan yang dibuat secara istiqamah. Selamat ulang tahun ke-52 abah. Semoga sentiasa sihat dalam rahmat Allah s.w.t dan diberkati umur yang berbaki. Terima kasih sebab jadi abah saya...^^

Monday, January 7, 2013

Acuan



Semasa ujian sunnah dan adab sedang berlangsung…
Nureen: Ustazah…tsana tu apa?
Saya     : Awak rasa apa?
Nureen: Ntahlah…tsana saya tak tahu, sanak-saudara saya tahulah (jawab dengan muka seposen)
***
(Auni)
Saya     : Auni…pipi ustazah wangi tak?
Auni    : Pipi ustazah bau macam..emm..katak…eheheh
Saya     : Jahat!... cakap betul-betul.
Auni    : Emm..ntah. (sambil bagi senyuman nakal)
Nisrina: Bau ustazah bau sikit macam bunga ros.
Salma   : Bau macam nasi.
Saya     : Macam-macam la kamu ni… macam mana Auni tahu bau katak? Auni pernah cium katak ke? (masih tak puas hati)
Auni    : Aah. Kat rumah Auni banyak katak… (biar betul la budak ni…)

***
(anis)
Penggunaan perkataan yang tak sesuai dengan umur…
Saya     : Kenapa adik kamu Fahim macam tu?
Anis     : Tak tahula… Fahim tu stress (baru umur 10 tahun dah pandai guna stress~)
Saya     : Habis tu, kenapa Hafiz biarkan Fahim tu jumpa dengan Adila? Pi la halang…
Hafiz   : Saya dah marah Fahim tu, tapi tiba-tiba Adila tu mengganas…

***
Waktu sedang sibuk mengatur dewan untuk majlis konvokesyen malam nanti. Ke hulu ke hilir memastikan dewan teratur dalam masa yang sangat terhad dengan hadiah masih ada yang belum dibalut lagi. Mubashir yang berumur 8 tahun mengekor dari belakang. Habis satu kerja yang diberikan, “Ustazah, nak buat apa lagi?” Selesai kerja, “Ustazah, ada lagi nak buat?”. Kalau tidak mengira saiz badan yang kecil nak sahaja saya suruh panjat gantungkan tirai. Saya mundar mandir ke hadapan ke belakang. Tiba-tiba dia datang block.

Mubashir: Ustazah, kenapa ustazah sombong?
Saya        : Laa…ni kenapa cakap ustazah sombong ni?
Mubashir : Ustazah sombong sangat… (sambil senyum malu-malu)

Saya fikir saya dah bagi perhatian lebih kat dia berbanding yang lain~

***

Hafiz   : Ustazah teka berapa hari saya tak jumpa ayah saya?
Saya     : Berapa hari?
Hafiz   : Dah seminggu… kesian kat saya kan? (sambil tersenyum)
Saya     : Kenapa ayah awak tak balik? (senyuman dia buat dahi saya berkerut)
Hafiz   : Kadang-kadang dia tidur di kedai.

***
Saya     : Hafiz, ayah awak mesti banggakan tengok awak ambil hadiah dan jadi pelajar terbaik?
Hafiz   : Tak tahulah… ayah tak pernah pergi pun kalau ada hari kecemerlangan kat sekolah. Mak saya yang selalu pergi kalau ada apa-apa.
Saya     :  Habis tu malam konvo ni ayah awak datang tak?
Hafiz   : Tak tahulah…nanti saya tanya mak saya.
Saya     : Awak pastikan ayah awak datang juga.
Hafiz   : Baiklah..

Dan malam itu Hafiz datang tunjukkan saya ayah dan emaknya yang berada di sudut dewan. Bertuah mereka memiliki anak yang baik dan bercita-cita tinggi walaupun kedua-duanya sibuk bekerja. Mungkin masa yang diluangkan dengan anak-anak walaupun sedikit adalah berkualiti. 

***
Malam sebelum konvo esoknya, Hafiz, Anis dan adiknya Fahim datang tolong siapkan apa-apa yang patut. Hafiz terus datang tolong dan pulang ke rumah hanya untuk solat Maghrib. Apabila ditanya mak awak tak marah ke? Dia jawab;

“Mak saya jam 12 malam baru pulang ke rumah. Masa tu saya dah tidur dah.”

Saya tahu dia tak makan malam lagi, jadi saya hidangkan makanan. Sambil-sambil tu sengaja melayannya bercerita.

Hafiz   : Ustazah tahu tak, kakak saya suka pakai baju kecik. Ustaz Syafiq cakap kalau nak tegur    kena tegur baik-baik. Tapi bila saya cakap “ Kakak cantiklah hari ini, kalau kakak pakai        baju kurung lagi cantik” terus dia marah.
Saya     : Awak cakap sebijik macam ayat ustaz tu bagi ke?~
Hafiz   : Ye lah, dia tu tak makan saman. Puas saya tegur tapi tak nak dengar. Saya cakap baik  dia tak nak dengar, saya marah dia, dia marah saya balik. Saya pernah kena tampar…
Saya     : Ye la, awak tu anak bongsu, manalah diorang nak dengar cakap adik.

***
Bukan calang-calang budak mereka ni, walaupun berumur 10 tahun dan 7 tahun, bab-bab politik dah cakna.

Fahim  : Ustazah nak tahu, Anis kalau dia nampak Najib dalam tv terus dia marah-marah cakap       BN- Barang Naik! Barang Naik! (sambil dia buat gaya tangan)
Saya     : Haha…mana belajar ni?
Anis     : Ye lah, dah mak saya PAS. Saya pun sokong PAS lah..ustazah sokong apa?
Saya     : Emm..
Hafiz   : Kalau sokong pun tak payahlah bagitahu.. kat kelas saya pun selalu cikgu cakap politik      tanya kami sokong apa. Saya tak mengaku.
Saya     : Kamu sokong apa Hafiz?
Hafiz   : Mestilah PAS, tapi tak payahlah nak bagitahu.
Fahim  : BN= Bontot Najib
Saya     : Heyyy… apa cakap camtu. Tak baik…Kat mana kamu dengar benda-benda camni?
Fahim  : Kawan-kawan saya lah.~
***
Saya tak terlepas bertanyakan soalan cepumas kat Hafiz. Walaupun dia sekadar berumur 11 tahun, tapi disebabkan matang sangat, jadi saya tanya dia;

Saya     : Hafiz, apa pandangan awak dengan orang yang kahwin dua?
Hafiz   : Ok. Saya pun nak kahwin dua juga nanti.
(saya yang berdiri mengadap sinki terus berpaling ke arah dia yang tengah makan)
Saya     : Tak kesian kat isteri awak ke? (muka tak percaya)
Hafiz     : Dah jodoh nak buat camna.. (dengan tersengih)
Saya     : Teruk..Tak naklah kawan dengan awak (saya terus blah ke depan~)

Rupa-rupanya ayah dia amalkan poligami. Patutlah jarang ada di rumah, Patutlah anak dia pun nak jadi macam tu…hu

Walaupun macam dialog novel, ini memang hasil perbualan saya dengan mereka. Memang asyik gelak sahaja dengan mereka.  Macam-macam keletah di luar jangkaan. Tapi walau macam mana pun diorang, apa yang saya belajar, anak-anak memang akan ikut, terpengaruh, ingat, tiru, refleks, copy paste, apa-apa yang mereka lihat dan dengar daripada ibu bapa mereka. Jadi kena berhati-hati dalam mencorak diri dan perilaku kerana kita bakal menjadi acuan anak-anak nanti…Wallahualam


Thursday, January 3, 2013

Kuliah Malam



Baik. Secepat mungkin. Niat balik dari kuliah malam nak tulis entri, tapi luang masa mendengar talk daripada Ustaz Zaharudin Abdul Rahman (UZAR) berkaitan hubungan lelaki dan perempuan. Terlihat di FB gambar sepupu berdua dengan seorang lelaki pada malam tahun baru, sedih hati dan risau. Sedangkan dia baru sahaja datang ke KL untuk sambung belajar. Moga Allah memberi hidayah dan memeliharanya.

Satu lagi hadiah tahun baru daripada Allah s.w.t. Sebelum ni pada tahun 2012, saya membeli dan selalu merujuk karya Dr.Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif, Tsunami Politik. Baru tahu beliau merupakan bekas pensyarah dan ketua program di Jabatan Sains Politik. Seronok apabila dapat tahu beliau berada dalam bahagian strategi PAS Pusat. Teringin nak dengar kuliah daripadanya dan melihat tuan badan.

Malam ni dimakbulkan Allah s.w.t. Walaupun semasa pergi ke Masjid Hasanah dengan anggapan ada Usrah Nisa’, rupa-rupanya ada pembentangan kertas kerja daripada beliau bertajuk Negara Berkebajikan.

Keseluruhan pembentangan beliau sangat memuaskan hati saya sebab ahli sains politik memiliki kelebihan apabila bercakap mengenai politik. Mereka ada gaya, mutu, keunggulan tersendiri apabila memberi syarahan. Saya rasa macam masuk kuliah kembali…

Penerangan beliau lebih saya fahami walaupun sudah banyak syarahan mengenai Negara Berkebajikan yang saya dengar. Itupun dia masih mencari-cari bagaimana cara nak memudahkan bahasa yang digunakan agar sampai kepada masyarakat sama ada kelas menengah atau bawahan.

Mungkin kerana dalam penerangan beliau, beliau sering menggunakan istilah-istilah akademik yang merujuk kepada konsep-konsep yang saya pelajari, jadi saya rasa sangat dekat di hati. Saya tak pasti dengan orang lain yang mungkin cuba menangkap istilah-istilah sains politik yang digunakan. Tapi saya suka cara penyampaian beliau yang akademik.

Secara umumnya, negara berkebajikan ialah a nation of care and opportunity yang menitikberatkkan maqasid syariah.

Satu lagi yang saya suka sebab beliau mensynchronizekan agama dengan negara, sesuatu yang pemimpin UMNO cuba sekularkan.

Apabila beliau menyebut negara kita merupakan administrative-bureaucracy-state dan menerangkan konsepnya, saya terus faham bagaimana keadaan tersebut sebab pernah dengar dalam kuliah Pentadbiran Awam yang diajar oleh Dr.Kartini. Teori berkaitan birokrasi ini dibawakan oleh Max Weber. Tetapi mempolitikkan pentadbiran awam adalah sesuatu yang berlaku di negara kita sekarang di mana, sektor awam menjaga kepentingan parti yang memegang kerajaan sedangkan sepatutnya mereka menjaga kebajikan masyarakat.

Sebab itulah berlaku pemberian subsidi mengira kroni. Kalau yang tidak menyokong parti pemerintah, mereka akan dinafikan hak seperti mana yang berlaku di Kelantan. Seharusnya pendapatan negara diagihkan secara sama rata oleh pihak yang berwajib dan jangan dipolitikkan.

Dalam kertas kerja yang diberi juga telah meletakkan cadangan reformasi yang akan dibuat sekiranya PAS melaksanakan negara berkebajikan sama ada dalam sektor ekonomi, politik, sosial dan pentadbiran.

Apabila dipersoalkan mengenai dakwaan PAS terpaksa mengikut kemahuan DAP dan menukar Negara Islam kepada Negara Berkebajikan, beliau menjelaskan PAS mengambil pendekatan kemanusiaan. Bermaksud boleh bekerjasama dengan mereka yang tidak menentang Islam secara terang-terangan. Dakwaan berkaitan DAP cuba memecahbelahkan negara dan menubuhkan kerajaan cina adalah tidak berasas dan perlu dibuktikan. Dr. cakap, inilah peranan SB yang sebenar, cuba pergi selidik dan buktikan, barulah kita akan percaya. Menurut beliau, kalau dilihat kepada taburan yang telah pun dikaji, memang kaum Cina tidak akan dapat memerintah Malaysia pun. Jadi jangan menipu rakyat. Tetapi konsep tahaluf tidak dihurai lebih lanjut kerana ianya konsep yang berasingan dengan konsep negara berkebajikan.

Barulah terasa macam ilmu sains politik itu telah dipraktikkan. Tahniah DR!


Hujung minggu ini turut diadakan "Forum PRU-13: Masa Depan Ekonomi Negara: Negara Bankrap 2015? Negara Berkebajikan sebagai Solusi". Mesti pergi, insyaAllah. Perlu memahami betul-betul gagasan yang dibawa PAS supaya mudah-mudahan dapat berkempen nanti, insyaAllah.

Sekadar selingan sebelum menutup mata, berusahalah menjadi insan yang sentiasa membuatkan insan lain merasa selamat dengannya dalam apa keadaan pun dan selama mana pun. Renung, renung dan selamat beramal. Selamatkan Malaysia.

Tuesday, January 1, 2013

Hadiah Tahun Baru




Malam tahun baru. Semasa sedang duduk melihat forum yang berlangsung, seseorang di sebelah saya bangun dari kerusi. Saya pandang ke kiri, dan terlihat di hadapan saya seseorang yang sangat saya kenal. Yang pernah berada dalam bab kehidupan saya dahulu di Irshad. Dia pun melihat saya.

Masing-masing terdiam dan terpegun. Mencari-cari kenangan apakah yang mengikat kami berdua? Akhirnya…

“Hidayu…kan?”

Tak perlu kata apa-apa, kami berpelukan erat macam jejak kasih. Sempat menitiskan air mata. Hakikatnya, saya terlupa nama dia~ kelemahan saya yang terbesar.
Macam-macam nama saya teka.

“Ha…ingat balik, nama apa?” dia tersenyum. Lembut senyuman dia. Saya jatuh cinta kembali.

Alahai rasa macam teruk boleh tak ingat nama sedangkan kami memang ada kongsi satu rahsia besar bersama. Memang sedaya upaya saya cuba korek kembali. Habis terkeluar kembali kisah-kisah yang memang menggelikan hati kalau dikenang kembali.

“Ada Akma kan?” tekaan terakhir saya.

Dia ketawa kecil dan mengangguk-angguk kepala.

“Khairunizatul Akma.”

Patutlah tak ingat, panjang sangat…

“Keon..”

“Haah…Kak Keon.”

Bersyukur sebab saya jumpa dia dalam keadaan baik-baik sahaja. Sopan. Dulu dia senior saya setahun. Geng-geng dia terkenal sebagai kelompok yang suka melanggar peraturan menutup aurat. Tapi seronok sebab saya jumpa dia dalam keadaan bertudung labuh dengan sempurna. Mungkin sebab itulah saya termenitiskan air mata. Rasa bahagia apabila orang-orang yang kita sayang berada dalam peliharaan Allah. Alhamdulillah...

Itu sahaja coretan saya untuk permulaan tahun 2013. Dari semalam cuba menulis tetapi semua rasa tak kena. Tahun 2012 merupakan tahun peralihan hidup saya. Apa yang saya peroleh hanyalah cebisan-cebisan satu kehidupan yang penuh misteri yang bakal ditempuhi pada masa akan datang. Walau apapun yang bakal mendatang, moga segalanya semakin mendekatkan saya kepada Yang Esa. Amiin..

Tiada hadiah yang paling berharga selain sebuah silaturahim yang berpanjangan sehingga ke syurga.


 (Bersama ahli-ahli syurga- dari kiri Nabihah, Auni, Hasya dan Nisrina)