Setelah beberapa hari tak sempat nak duduk dan baca buku, saya rasa otak macam makin tumpul. Sangat takut. Kalau 3 hari kita tak membaca buku, nanti otak lembab. Tak pasti dari mana saya dapat quotation ni. Jadi nak menguji sama ada memori ni masih bagus atau tak, saya cuba-cuba ingat isi-isi buku-buku yang telah saya baca selama ni. Setakat ni buku yang paling kritikal yang pernah saya baca ialah buku Sejarah Tamadun Islam karangan Prof Hamka.
Sebelum tu, sebagai selingan, sejak dua menjak ni asyik menulis artikel menyebabkan jari-jemari ni jadi kekok nak menulis secara santai. Rasa macam tak kena plak. Mungkin jiwa dah bertukar. Dulu selalu berfikir benda-benda mudah dan yang berada di sekeliling, sekarang sebab selalu kena fikir benda-benda besar, rasa macam dah bertukar jadi individu lain. Tapi saya kena akui, kalau dah dilahirkan sebagai perempuan, sedikit sebanyak tak boleh lari dari nak cerita benda-benda kecil, jiwa-jiwa. Nak sangat, tapi saya tahu ada yang menilai penulisan saya, jadi kebebasan untuk mencoret-coret sesuatu yang sentimental dan dekat dengan jiwa agak terbatas. Bukankah ini menyekat kebebasan berfikir? Sebab itulah blog dah jarang update, setiap kali nak menulis mesti terfikir pandangan manusia yang membaca. Kadang-kadang rasa rimas pun ada. (Owh, tidak. Saya dah mula bercakap mengenai perasaan) Sedangkan menceritakan perkara-perkara yang berada di sekeliling kita itulah mendekatkan manusia dengan kita. Cerita-cerita yang dekat di hati, menyentuh perasaan dan menjadi pengajaran. Bahasa yang digunakan mudah difahami, mudah dihayati dan mudah diikuti. Kalau ikutkan Prof. Muhaya, beliau memang berpendapat kalau kita nak menyampaikan sesuatu tak perlulah bergantung kepada pandangan manusia. Asalkan apa yang kita cuba sampaikan dapat disampaikan dengan cara yang kita suka dan selesa.
Berbalik kepada buku Sejarah Tamadun Islam, saya ambil keputusan untuk membaca buku ni sebab cuti selepas STPM selama 3 bulan sangat panjang. Sambil-sambil bekerja, malamnya saya isi dengan membaca buku ni. Sebenarnya saya tahu, apabila sebut sahaja buku sejarah, mesti semua orang akan mengeluh. Bosannya. Jemunya. Tips untuk tidur dulu-dulu waktu sekolah menengah adalah dengan membaca buku sejarah. Buka sahaja buku, terus terlelap. Tapi saya bukan dalam kategori tersebut. Saya buka buku Fizik baru tidur. Tak perlu buka buku pun, dengar cikgu bercakap pun dah mampu mendodoikan saya. Sebab tulah saya bukan murid kegemaran cikgu. Tak kisahlah.
Tak perlulah saya ceritakan kenapa saya suka sejarah, I juz happen to love it. Buku tu merupakan buku cikgu sejarah saya. Dia memang sayang sangat buku tu. Nak bagi pinjam pun separuh hati jer. Cetakan pertama daripada Prof Hamka. Kulit buku dah lusuh dan kertas berwarna kuning dengan tulisan yang kecil-kecil. Kalau buku rujukan yang warna-warni pun tak mampu nak sentuh, inikan pula buku ancient macam tu. Tapi memang menarik buku tu. Nama pun sejarah. Buku pun kena berbentuk ancient la kan. Dalam masa 3 bulan saya buat marathon membaca buku Sejarah Tamadun Islam tersebut. Sakit otak juga nak fokus. Setiap baris ayat adalah fakta. Kalau tak fokus sikit, memang tak faham kronologi. Dari zaman Nabi Muhammad s.a.w sehinggalah kepada khilafah islamiyah runtuh di Turki. Patutlah saya dapat jawab soalan ustaz Ridhuan Md Noor berkenaan tahun keruntuhan Khilafah Islamiyah. Tiba-tiba Allah bagi ilham sebab pernah ada dalam kotak memori.
Tapi saya kira perkara yang paling saya ingat adalah mengenai sifat wanita yang dinukilkan dalam sejarah. Even Prof Hamka mengulas mengenai kejadian tersebut. Sesuatu yang pelik saya kira sebab dalam buku sejarah kita maklum kenyataan adalah bersifat fakta semata-mata. Tapi beliau selitkan sedikit ulasan mengenai sifat wanita. Secara roughly said, kisah tersebut adalah mengenai seorang sultan yang berkahwin dengan seorang hamba wanita. Setelah menjadi permaisuri, hamba wanita ni rindu nak bermain dengan lumpur seperti mana dulu-dulu. Disebabkan teramat sayangkan permaisurinya, sultan ni minta orang sediakan satu lumpur khas yang dicampur dengan pewangi yang harum supaya permaisuri ni bermain dengan lumpur yang tak busuk. Tapi pada satu hari, sultan tersebut telah membuatkan permaisuri tersebut murka. Dalam keadaan marah tersebut, permaisuri tu melontarkan kata-kata seperti, "Lelaki tak guna! Tak pernah ada satu pun kebaikan yang engkau lakukan untukku selama aku hidup denganmu!" Lebih kurang begitulah ayatnya. Sedangkan kita pun tahu, dahulunya dia merupakan seorang hamba kemudian dibebaskan dan diangkat menjadi wanita mulia oleh suaminya. Kemudian ditunaikan setiap keinginannya walaupun kita kira tidak logik seorang permaisuri bermain lumpur. Dan Prof Hamka mengulas, lebih kurang begini...'dan begitulah sifatnya seorang wanita, apabila dikuasai oleh kemarahan dan kebencian, walaupun kesalahan suami itu kecil sahaja dia akan melupakan kesemua jasa baik yang dilakukan oleh suaminya kepadanya'...jadi beliau telah memberi ulasan tentang sifat wanita berdasarkan fakta sejarah tersebut dan membuatkan saya terfikir pandangan tokoh besar ini.
Hmm...kasihan kat insan bernama suami. Siswi-siswi kat luar sana, cuba lihat balik diri sendiri. Err...tak pasti apa soalan saya nak lontarkan. Tapi apa yang saya pernah buat (walaupun tak berkahwin lagi), ada ketika-ketika isteri-isteri ni datang meluahkan kekecewaan mereka terhadap suami mereka kepada saya, selepas mereka dah luahkan segala keburukan suami mereka, saya tanyakan pada mereka, "Tak pernahkah ada satu pun kebaikan dalam diri suami anda?" (ni bahasa skema sebab nak mudah faham) Selalunya mereka akan terdiam sebentar dan kemudian memberi respon dengan menceritakan kebaikan suami-suami mereka. Lepas tu ok lah balik perasaan mereka. Hmm...sebenarnya mereka ni sayang tapi apabila marah menguasai diri, pertimbangan mudah hilang. Jadi kena ada orang di sisi untuk merasionalkan mereka. Masalahnya sekarang, ramai yang suka melihat keruntuhan rumahtangga orang berbanding melihat mereka bahagia. Terfikir juga saya, mungkin orang di sekeliling mereka sudah berkahwin, jadi dipengaruhi oleh pengalaman peribadi menyebabkan mereka bias dalam memberikan nasihat. Disebabkan saya belum berkahwin dan tak terbeban dengan kerenah lelaki 24 jam jadi saya kasihan dengan situasi suami mereka. Jadi mungkin di sinilah peranan mereka-mereka yang bujang (siswi kebanyakannya) untuk membantu golongan-golongan isteri secara tidak langsung. Sebab itulah hak untuk menceraikan itu berada di tangan suami. Kalau di tangan isteri, saya kira mesti akan cerai-rujuk lebih dari 100 kali.
Kesimpulannya, orang perempuan kena banyak membaca supaya pertimbangan akal seimbang dengan emosi. Walaupun diri ini kadang-kadang teremosi, tapi biar sesuai dengan keadaan (nasihat buat diri). Saya selalu berminat nak tahu kehidupan berumahtangga sebab saya kira kehidupan berumahtangga sangatlah sukar berdasarkan pengalaman-pengalaman wanita-wanita di sekeliling saya. Sebenarnya terlalu banyak tahu pun susah juga sebab akan menimbulkan fobia. Apa-apa pun, semua manusia akan menuju ke hadapan dan tidak pernah ada seorang pun yang akan berpatah balik ke belakang, jadi sediakanlah bekalan secukupnya.
p/s: saya kira saya sudah layak menulis mengenai perkara ini dari sudut pandangan peribadi berdasarkan ulasan Prof Hamka. Tak perlulah nak menyempitkan pemikiran yang merdeka dan menjadi katak di bawah tempurung sehingga malu nak berbicara perkara sebegini sedangkan kita juga akan melaluinya. Lagipun benda ni jer yang saya ingat daripada 900++ halaman yang saya baca. Wallahualam...
No comments:
Post a Comment