Isnin,
9.21 pm
Gerabak L4
Keburukan berada di gerabak kelas Ekonomi ialah penumpangnya terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat. Daripada yang PATI sehinggalah kepada berkeluarga. Gerabak kelas Ekonomi kerusinya kadang-kadang kalau tak bernasib baik akan dapat yang kurang sempurna sifatnya. Contoh macam malam ini, penumpang di hadapan saya, kerusinya tak boleh disandar. Kalau sandar nanti akan jatuh. Nampak dia tidak selesa untuk duduk. Kemungkinan dia akan bergerak ke gerabak kantin yang lebih selesa. Meja di hadapan saya pula tak boleh diguna. Tak dapat nak letak barang. Lagi satu, gerabak Ekonomi sentiasa dihuni oleh perokok tegar. Setiap kali mereka merokok di ruang antara gerabak, bau asap rokok pasti menerjah masuk ke dalam gerabak walaupun dihalang oleh pintu yang sememangnya tak dapat ditutup. Sakit jiwa juga. Disebabkan harganya pun murah, RM19 sahaja jika dari KL Sentral ke Bukit Mertajam, jadi tak boleh nak cerewet sangat. Selalunya saya akan naik kelas Kedua, harganya RM33. Cuma perlu tambah lebih kurang RM14 untuk mendapatkan lebih keselesaan. Sebabnya, kelas kedua selalu dibeli oleh mereka yang bekerja atau pelajar universiti atau yang bekeluarga dan memiliki anak kecil. Kalau berada di gerabak kelas kedua, keadaan lebih sunyi dan stabil berbanding kelas ekonomi. Ada sahabat saya, dia sentiasa membeli gerabak kelas pertama, RM68, lebih kondusif dan eksklusif. Dapat makanan percuma. Saya pernah cuba, tapi rasa tak berbaloi sebab keadaannya sama sahaja jika menaiki kelas Kedua.
Mungkin pengalaman menaiki kereta api kurang dirasai oleh sesetengah individu terutama yang bergelar mahasiswa. Anak muda selalu nak cepat. Jadi, bas menjadi pilihan. Tak kisahlah. Tapi jika ditimbang harganya, kereta api jauh lebih murah. Dua kali trip pergi balik menyamai tambang sekali trip bas. Saya suka naik kereta api. Mungkin family trait. Dulu waktu abah bekerja di KL, kereta api yang akan menjadi pilihan. Di stesen Bukit Mertajam itulah juga abah tunggu mak sampai malam waktu mereka dalam tempoh bertunang. Mak saya tak nak datang, tapi abah tunggu juga sampai mak datang sebelum pulang jumpa keluarga. Mak cakap abah sabar. Saya fikir abah memang terlebih sabar. Dah jodoh, kata mak. Selepas tu, selama 5 tahun adik saya yang keempat berulang-alik naik kereta api dari Bukit Mertajam ke KL Sentral sebab bersekolah di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. Selama 5 tahun tersebut saya selalu temankan dia tunggu kereta api dan memasang angan-angan untuk menaiki kereta api sambil mendengar cerita-cerita nostalgia dari abah dan mak.
Sekarang, sudah 2 tahun saya berulang alik ke UKM menaiki kereta api dan mengikut jejak langkah abah, mak dan adik. Sekali sahaja saya menaiki bas, itupun sebab tiket kereta api dah habis dan saya terpaksa pulang ke UKM pada malam itu juga atas urusan JPA. Sepanjang menaiki bas, saya tak dapat menutup mata disebabkan seram melihat kenderaan-kenderaan lain bersaing di atas lebuh raya. Selama beberapa puluh tahun, ada perkara yang berubah, ada yang tidak. Sekarang ini KTM sedang dalam proses menaiktaraf landasan kereta api. Ada beberapa stesen yang akan dibuka berdekatan dengan rumah saya dan landasan ditambah. Hal ini demikian kerana, masyarakat sekarang sudah mula cakna dengan aspek keselamatan diri di atas jalan raya. Pepatah mengatakan, biar lambat, asalkan selamat. Mati memang di mana-mana. Tetapi kecederaan kekal kalau boleh dielakkan lebih baik. Setakat ini, kemalangan yang membabitkan kereta api sangat jarang didengar kecuali di India. Sekali kemalangan yang pernah berlaku disebabkan hujan lebat yang menyebabkan kereta api tergelincir. Itupun seorang sahaja yang mati dan yang lain cedera ringan. Pilihan di tangan anda. Lagipun untuk tahun-tahun yang akan datang, kemungkinan shuttle train yang lebih laju akan disediakan sehingga ke utara. Jadi, boleh ulang-alik dari rumah ke tempat kerja di KL, jika ditakdirkan berada di sini.
Sebenarnya menarik kalau menaiki kereta api ini. Kalau naik pada siang hari, kita dapat melihat pemandangan bumi bertuah Malaysia ini. Ada satu tempat yang kereta api akan lalui iaitu Tasik Bukit Merah, Kamunting, Perak. Landasan kereta api akan menyeberang tambak yang dibina di tengah-tengah tasik yang merintang luas saujana mata memandang. Rasa macam kita sedang bergerak di atas air. Saya tahu nama tasik itu pun selepas membaca buku Beringin Songsang karya Zakiah Hanum. Buku tersebut merekodkan aspek-aspek kebudayaan dalam bangsa Melayu. KTM merupakan singkatan Kereta Api Tanah Melayu merupakan warisan sejak dari zaman penjajah lagi dan dilihat sebagai nostalgia. Tapi saya jarang naik pada waktu siang iaitu trip pada pukul 8 pagi dan 3 petang. Sebabnya rasa macam membuang masa. Berlainan dengan malam, memang 8 jam itu dikhaskan untuk tidur.
Salah satu sebab saya suka naik kereta api juga adalah untuk mengelakkan lelaki yang suka merokok dan PATI. Kalau dulu di Hentian Kajang, macam-macam manusia yang kita tengok. Sekali turun di Hentian Kajang dan berhadapan dengan asap rokok dan manusia yang pelik-pelik, hmm…rasa tak selamat. Kalau turun di KL Sentral, tidak disambut dengan asap rokok kerana kawasan tersebut berhawa dingin selain tempat tumpuan pelancong asing. Sebab itulah mereka yang berkeluarga lebih selesa memilih kereta api. Hakikatnya yang melindungi kita ialah Allah, tapi kita mempunyai pilihan untuk memilih keadaan yang lebih selamat. Selain perasaan selamat, rasa eksklusif pun ada apabila menaiki kereta api sebabnya kereta api menggunakan landasan tersendiri. Tak perlu berkongsi. Pegawai yang bertugas pun smart dan well-mannered dengan uniform yang kemas.
Cumanya kalau naik kereta api ini risikonya kita sentiasa bermain dengan masa. Kadang-kadang kereta api ini boleh delay sampai sejam atau dua jam dari waktu bertolak. Kadang-kadang pula enjin akan rosak di tengah-tengah hutan belantara dan terpaksa menunggu beberapa jam baru dapat bertolak semula. Sebab itulah saya pilih untuk naik pada waktu malam terutamanya pkul 8 hingga 9. Saya akan sampai di Penang pukul 5 atau 6 pagi. Walau apa pun, kita menyahut seruan kerajaan untuk menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh negara untuk kebaikan bersama. Sempena kemerdekaan ke-54 ini, bermakna sudah lebih daripada satu abad Kereta api Tanah Melayu Berhad telah berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia. Hargailah warisan negara. Malaysia oh Tanah Air ku~
Selamat Hari Raya & menyambut Kemerdekaan ke-54:)