Showing posts with label hari ini dalam sejarah. Show all posts
Showing posts with label hari ini dalam sejarah. Show all posts

Thursday, October 3, 2013

Rumahku Syurgaku


Kenapa saya suka rumah saya? Sebab…

Situasi di Bangi, sentiasa menggelupur kepanasan. Serius panas dia menggigit kulit walaupun pukul 5 petang. Rasa macam bila-bila masa sahaja boleh kena strok panas.

***

Pergi Langkawi pun sama. Panas menghitamkan. Tapi, Alhamdulillah hanya sehari panasnya. Hari kedua dan ketiga, hujan juga di beberapa tempat. Satu hari dah boleh pusing pulau. Merempit dengan motor sekali sekala memang menyeronokkan. Masih mahir memegang handle motor rupanya. Pengalaman pulang naik bot musim-musim hujan ni memang tak dapat dilupakan. Dalam banyak-banyak kenangan manis yang dicipta, kenangan pahit juga yang merosakkan memori. Sewaktu keluar dari kereta sahabat, ayahnya berpesan;

‘Laut tengah beralun, jaga-jaga nanti muntah.’

Saya ingat saya takkan melalui perkara tersebut dan mengambil ringan pesanan pak cik. Lagipun, selama ni belum pernah muntah hijau lagi waktu atas bot. Sudahlah kehujanan semasa pulang dari Makam Mahsuri, memang tak sempat nak buat apa-apa terus balik.

Bot pulang tidak sama dengan bot saya datang. Keadaan di dalamnya lebih sesak. Dapat pula tempat duduk di tengah-tengah dan tersepit, saya memang berada dalam keadaan yang tak selesa dengan pakaian agak lembap.

Waktu bot membelah lautan, saya cuba untuk tidur seawal mungkin seperti mana waktu saya datang. Cubaan saya gagal sebab ada seorang akak di sebelah saya begitu ramah untuk menceritakan setiap inci kehidupan dia kepada saya. Saya tak minta pun. Saya hanya menegur dia untuk tahu nombor tempat duduk dia. Sekali dia buka mulut cerita tujuan dia di Langkawi dan seterusnya.

Bagaimana dia merupakan isteri kedua, baru setahun berkahwin, perasaan takut tak disayangi satu hari nanti, suami orang tu suka sangat dekat dia, hantaran RM 18 000, berjumpa masa dia kerja di Langkawi dan berkawan biasa semasa masing-masing masih bujang (menjadikan semakin kuat perasaan tak suka saya kepada sikap suka berkawan berlainan jantina walaupun kononnya KAWAN BIASA!- inilah punca masalah di kemudian hari...kenapa orang tak faham yang antara lelaki dan wanita tidak ada istilah berkawan kecuali urusan penting? Memang la..),  kemudian dia berkahwin dulu dan lelaki tu frust sewaktu pulang belajar dari England dan dapati dia dah kahwin, kemudian lelaki tu  pun berkahwin. Kemudian akak tu bercerai dengan suami pertama dia dan lelaki  yang sudah berkahwin tadi nak ambil dia jadi isteri. Alasannya, isteri dia tak pandai layan dia. Macam mana seorang manusia boleh ceritakan kisah peribadi dia kepada orang asing dalam masa tak sampai 1 minit kenal? Akak tahu tak akak dah menyebabkan saya semakin takut dan tak suka kat lelaki?~(maaf, iklan sebentar.)

Keadaan bot pada masa itu ibarat roller coaster dipukul alun. Bezanya roller coaster ni sampai dekat 2 jam. Sekejap bot naik tinggi dan tiba-tiba menjunam tajam macam nak masuk ke dalam laut sebelum naik kembali. Kiri kanan teroleng-oleng. Dengan bau wangian akak tu yang menusuk hidung, saya dah kepeningan. Ditambah pula suara dia bercerita yang masuk ke kepala, isi dalam perut saya tiba-tiba beralun juga.

Saya pandang pak cik sebelah. Dari tingkap bot kelihatan air laut beralun ganas paras tingkap. Semakin pening. Jangan tengok.

‘Pak cik, saya rasa macam nak muntah.’

‘Hmm...’ Jawab pak cik tu. Tu je? Hmm?

‘Saya tak suka muntah, nanti sakit..’

‘Hahaha.’ Saya tak buat lawak la pak cik. Muka saya kelat. Pak cik  ni tak bersimpati langsung. Memang la…

‘Dah 3,4 hari laut beralun macam ni.’

Tu jelah respon dia yang paling panjang. Satu pun tak bersangkut keadaan saya. Kot-kot la nak bagi tips sebab sebolehnya saya tak nak muntah. Nanti sakit. Saya cuba guna tips yang saya tengok dalam drama Korea. Penipu. Tak hilang pun. Memang akhirnya saya terpaksa muntah juga. Kali terakhir muntah masa keracunan Tahun 2, saya muntah kembali. Saya muntah sampai saya rasa macam perut saya nak keluar dari mulut. Badan dah mengerekot dah. Terdetik, macam ni perasaan nyawa nak keluar dari badan. Nak bernyawa pun tak lepas. Menangis la juga setitis dua. Akak kat sebelah tu tolong tepuk-tepukkan belakang, bagi minyak cap kapak dan mentos. Saya selalu rasa saya akan sihat jadi tak pernah bekalkan apa-apa ubat pun kalau pi mana-mana. Perasan kuat. Saya ingat saya boleh kawal diri dari jatuh sakit, tapi gagal.

Geram juga dengan keadaan yang sempit, akak yang banyak bercakap, bau minyak wangi dia (tapi juga berterima kasih sebab bantu). Semua tu menyumbang kepada simptom pertama nak muntah. Kalau naik roller coaster, walaupun pening, tetapi keadaan yang teruja, bebas nak ketawa keseronokan masa turun naik menyebabkan kita tak rasa nak muntah berbanding keadaan duduk statik sebegini. Betullah laughter is the best medicine. Masa kita ketawa, ia sebenarnya membantu penghasilan antibodi. Kita enjoy the riding.

Macam waktu naik roller coaster di Times Square, memang sakan ketawa. Turun pening terhuyung hayang beli jus oren lepas tu sambung naik tomahawk, lepas tu sambung lagi dan lagi dan lagi semua yang ada di situ. Saya bukannya apa, jatuh imej bila muntah ni~such an embarrassing sight to behold…

Budak-budak tak ada yang muntah sebab diorang menjerit seronok waktu bot teroleng-oleng. Masa pening-pening tu saya rasa macam nak keluar dari kabin tu dan lari atas dek tengok laut. Baru tak rasa nak muntah macam pergi Pulau Jerejak hari tu. Bolehlah ketawa puas-puas. Tapi nanti kang tak pasal-pasal terpelanting dalam laut. Dah la tak pandai berenang. Ini duduk dalam tempat sempit dengan orang ramai. Pengaliran udara tak baik. Memang perasaan saya sangat tak best dan akhirnya saya tersandar tidur juga sebab badan dah lembek.

Pesanan ringkas dari penaja, jangan pergi pulau waktu musim tengkujuh atau hujan.

Peliknya, lepas turun dari bot terus hilang perasaan nak muntah.

(masa sihat bolehlah nak poyo)

***
Kembali kepada topik asal. Saya mengambil masa lama bertapa di rumah sebab di sini musim hujan…. BAHAGIAnya! Bermula selepas Subuh, hujan turun dengan lebat sampai pukul 11 lebih. Berhenti sekejap kemudian lepas Zohor sambung pula sampai Asar. Berhenti sekejap, sambung pula lepas Maghrib sampai tengah malam. Berhenti dan kemudian sambung pula selepas Subuh. Begitulah selama beberapa hari sehinggalah hari saya terpaksa berangkat pulang. Langit mendung selalu. Tangan dan kaki sentiasa sejuk sampai terasa ke tulang. Kadang-kadang saya pandang langit dan terfikir bila-bila masa sahaja salji boleh turun~

Musim hujan tandanya musim menyemai padi di utara tanah air. Di belakang rumah kedengaran bunyi traktor membajak sawah sebab bendang dah penuh air jadi tanah lembut. Malam-malam katak dendangkan lagu serangkap dua buat peneman lena. Patutlah saya suka sangat berada di kampung. Aroma hujan dari bendang sungguh mengasyikkan…

Di Bangi, malam-malam sunyi sepi dari suara binatang selain dari bunyi tikus berlari atas siling.

Sekadar selingan...

Cerita pasai musim padi ni, teringat kakak angkat saya pernah beritahu ciri-ciri lelaki idaman dia ialah lelaki kampung. Kulit sawo matang dibakar matahari, kerja bendang, tangan kasar…haha. Patutlah sampai sekarang belum berpunya. Mungkin belum berjumpa ciri-ciri yang diimpikan. Nak jumpa macam mana, dia duduk di KL. Lagipun, tengok orang yang kerja bendang semua orang tua-tua. Tak ada pun orang muda macam dalam drama tu. Alasan dia lelaki macam tu pandai berdikari, bertanggungjawab dan gagah. Lucu. Kalau saya, saya tambah lagi satu kualiti- rajin membaca. Bukan apa, kalau tak nanti bosan bila bersembang dengan dia asyik cerita tentang bendang sahaja~ katak bawah tempurung is a big no, no.

Tapi baru-baru ni saya pernah terbaca dalam akhbar seorang lelaki melawan 5 orang perompak yang masuk ke rumahnya. Walaupun mereka bersenjata, dia lawan juga sebab nak melindungi mak dan adik perempuannya yang kena kepung dengan perompak. Selepas perompak tu lari baru dia sedar tangan dia kena tetak sampai nampak tulang dan beberapa tempat lain lagi. Dia beritahu dia hanya ingat mak dan adik perempuan dia sahaja masa tu dan tak fikir diri sendiri. Lelaki tu kerja kampung. Terkesan saya baca. Dan seorang lagi senior pernah beritahu tak kisah kalau dapat lelaki kampung tak habis sekolah pun asalkan dia tahu tanggungjawab dia daripada lelaki yang berpelajaran tetapi main-main dengan hati perempuan. Kalaupun saya tidak bercita-cita seperti mereka, tetapi saya tahu perasaan yang dicari~ ketenangan dan dilindungi. Ini yang saya rasa semasa di kampung.

Apa diharap padi seberang,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Apa diharap kasihnya orang,
Dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.

Rindu dekat kampung macam rindu dekat kekasih… tinggal sekejap dah rasa rindu…


Saturday, July 6, 2013

Majlis Pertunangan

Bilik JKKK Kg Alma & Bukit Minyak

Majlis Pertunangan

Saya sudah banyak kali meninggalkan majlis-majlis kahwin sepupu untuk tahun ni- Abang Jiji, Halim. Dan tahun-tahun sebelum ini. Tapi disebabkan sepupu saya sendiri yang bersungguh-sungguh minta saya tolong dia, jadi saya turun hujung minggu ni. Lagipun kami sebaya. Tapi akhirnya, kakak saya yang lebih banyak membantu- teman dia beli hantaran, buat hantaran dan sebagainya.

Saya sampai semalam, dari jauh dengar suara mak yang ceria berborak dengan adik-beradik perempuan yang lain sambil menggoreng ayam. Sampai tak kenal saya yang sampai. Kebetulan bertukar spek mata. Ada Mak Ngah, Mak Teh, Kak Com, Mak Lang, Mak Cik, dan Kak Ja. Cakapnya ni Jejak Kasih Bersamamu. Sampai jam 12 malam baru yang lain beransur-ansur pulang sementara menunggu hari ni.

Hari ni, sementara menunggu rombongan pihak lelaki, yang lain sudah berehat. Tak boleh nak cerita banyak sebab ada sorang budak kecil sebelah saya , Ammar yang sibuk nak tengok cerita Ultraman. Habis disepah-sepahkan kad nama Mak Teh sebab protes saya ganggu dia tengah tengok cerita Ultraman dan Upin Ipin. 

Jadi bila jarang-jarang pergi majlis sebegini, adalah alasan saya nak meletakkan gambar di sini. 

(Tok Wan Abu yang serius)


(hantaran sebelah pihak perempuan)


(Abah yang sedang bersantap buat kali ke-2)

Wednesday, January 16, 2013

Itukah Lambang Cinta Kita?



‘Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu  tidak akan sesat selama-lamanya; iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya’- petikan teks khutbah terakhir Rasulullah s.a.w.

(satu-satunya sahabat yang masih hidup- the blessed tree)

Menyingkap kembali detik-detik terakhir pemergian Qudwah Hasanah umat Islam itu seringkali membuatkan dada berombak-ombak dan nafas tertahan-tahan.  Satu sirah nabawiyah yang  agung telah tercoret dalam sejarah dunia bermula dari saat lahirnya kekasih Allah itu ke dunia.  Satu figur yang menjadi penutup semua rasul dan nabi sepanjang zaman mengakhiri perjuangan baginda dengan menyampaikan khutbah terakhir di Padang Arafah di bawah terik  mentari bersaksikan 144 000 jiwa yang sentiasa menyanjungi dan menyayangi baginda melebihi harta benda dan nyawa mereka.

Seusai khutbah baginda, sedarlah setiap jiwa yang hadir di situ bahawa urusan Rasulullah s.a.w sebagai penyempurna akhlak manusia di dunia telah selesai dan tibalah saat bagi baginda meninggalkan dunia ini.  Hancur luluh hati para sahabat, bergetar perasaan demi menyedari hakikat tersebut. 

Tidak pernah diragukan, kasih sayang dan cinta para sahabat terhadap baginda tidak terbanding dengan seluruh isi alam.  Bahkan Saidina Abu Bakar pernah suatu ketika menyerahkan semua harta bendanya untuk disalurkan kepada perjuangan Islam. Apabila ditanyakan apa yang tinggal untuk anak isterimu, Saidina Abu Bakar menjawab, ‘Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya’.  Itulah lambang cinta mereka terhadap Rasulullah s.a.w. Cinta itu memenuhi setiap relung hati para sahabat.

            Bukan bermakna mereka memuja baginda seperti mana pengikut Arqam memuja guru mereka Asha’ari atau seperti mana pengikut Sikh memuja Guru Nanak,  tetapi bukankah terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : ‘Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya’.

Merenung kembali sirah membuatkan kita terfikir sejenak dengan situasi zaman sekarang, zaman pasca Hijrah.  Jika pengorbanan harta benda dan nyawa menjadi lambang cinta umat terdahulu terhadap Rasulullah s.a.w., pernahkah kita terfikir apakah lambang cinta kita kepada Rasulullah s.a.w?

            Jika kita melihat situasi semasa, timbul persoalan, adakah dengan menyambut Maulidur Rasul sepanjang tahun, lengkap dengan perarakan yang bercampur lelaki perempuan (walaupun perempuan di belakang dan lelaki di hadapan), berselawat selantang mungkin sudah memadai untuk memberitahu kita sentiasa mengingati Rasulullah s.a.w? 

Tanpa kita sedari, kita selalu memperbesar-besarkan perkara yang kurang penting dan mengabaikan perkara yang lebih aula.  Inilah yang dikatakan kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.  Sebagai contoh, pernah dibangkitkan isu perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang menjadi suatu isu yang hebat dibahaskan di semua peringkat pimpinan.  Masing-masing memberikan pendapat yang jika dilihat tidak langsung mencerminkan mereka yang merefleks sejarah sirah nabawiyah.

Atau adakah perarakan merupakan lambang cinta kepada Rasulullah s.a.w sehingga jika tidak dibuat kita sudah tidak ada sayang lagi kepada Rasulullah s.a.w? Bukankah kita patut berlapang dada dan melihat kembali apakah kesilapan yang kita lakukan sehingga terdapat pihak yang berani mempersoalkan segala tindakan kita?

Jika kita memang suka melihat perkara-perkara yang kecil, sepatutnya kita mula merasa risau akan keadaan sekarang di mana terhakisnya keinginan dalam diri umat Islam untuk mempraktikkan sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian. Bukankah jika kita cintakan seseorang itu, kita akan menyukai apa-apa yang disukainya dan membenci apa-apa yang dibencinya?

Teringat sebuah kisah seorang ahli falsafah Islam, Allama Iqbal. Beliau menceritakan bagaimana pada suatu hari, terdapat seorang fakir datang mengetuk pintu di hadapan rumah beliau sambil merayu-rayu meminta makanan.  Beliau berasa sangat marah lalu memukul dan menghalau si fakir tersebut.  Apabila perkara ini diketahui oleh ayah beliau, menitis air mata di kedua-dua belah pipi tua ayahnya sambil merintih “ Di manakah akan aku letakkan muka ini apabila berhadapan dengan Rasulullah s.a.w nanti di hari akhirat? Malu aku kepada Rasulullah akan keluhuran budi baginda dalam melayan fakir miskin. Apa yang akan aku katakan terhadap perbuatanmu itu?”

Perkara sekecil itulah yang wajar diberikan perhatian oleh seluruh umat manusia. Bukan perkara kecil yang jelas-jelas tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti menyambut kelahiran baginda. Diutuskan Rasulullah s.a.w adalah sebagai penyempurna akhlak manusia di atas dunia. Apabila ditanyakan kepada Ummul-Mukmin Saidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah s.a.w, beliau segera menjawab: “Akhlak Rasulullah S.A.W itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran”.

Oleh itu, sepatutnya perbuatan mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w dijadikan lambang cinta kita yang agung terhadap baginda.  Hiasi diri dengan akhlak Rasulullah s.a.w dan insya-Allah musuh-musuh pun akan menghormati setiap apa-apa yang kita lakukan.  Bukanlah kata-kata yang menjadi ukuran tetapi perbuatan yang menjadi tatapan dan ikutan. Wallahualam...


p/s: Sekadar pandangan kecil penulis. Lelah mengharungi zaman fitnah berleluasa... T.T Mohon dikuatkan.

Sunday, October 7, 2012

7 Oktober

1.30 a.m.

Dah masuk 8 Oktober... Satu hari yang panjang dan memuaskan.  Inilah buat pertama kalinya saya bergelumang dengan manusia yang ramai tanpa berakhir dengan kepala berdenyut-denyut.

9-5 petang

Seminar Negara Berkebajikan- Janji untuk Wanita

Pada mulanya saya perlu bertugas menjaga kaunter Zon Tengah, Johor dan Pahang.  Tetapi akhirnya sirih pulang ke ganggang apabila saya dipindahkan menjaga meja Pulau Pinang dan Kedah.  Delegasi Pulau Pinang adalah yang terbaik dan sistematik.  Pada masa semua delegasi perlu beratur dan menulis satu-satu nama di borang, wakil DM Pulau Pinang hanya datang untuk membuat pengesahan kerana senarai nama sudah diberikan sejak awal.  Hanya perlu membuat bayaran dan mereka merupakan delegasi terawal yang lengkap dan masuk ke Dewan KUIZM.  Bangganya saya.  Jumpa juga dengan K.Imah dan K.Salasiah, senior-senior Nisa'.  Pada masa mak cik-mak cik penat berdiri dan berebut-rebut, delegasi Pulau Pinang sudah berehat dalam dewan berhawa dingin di dalam.  Manalah cek tak sayang Pulau Pinang kalau begini caranya...

Waktu sesi pembentangan kertas kerja, saya cuba memberi fokus tetapi gagal.  Maaf saya cakap, saya dapati gaya bahasa yang digunakan oleh pembentang sangatlah tidak membumi.  Delegasi-delegasi itu bukannya terdiri daripada para profesional atau kelas menengah.  Sebahagian besar adalah mak cik-mak cik sebaya mak saya yang menjadi suri rumah, jual kuih dan kalau tinggi sedikit guru PASTI.  Seharusnya bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan lebih santai tetapi berisi.  Ini sekali dikeluarkan perkataan bahasa Inggeris antaranya indigenous.  Tahu tak apa tu indigenous tanpa perlu menggoogle?  Saya seorang sahaja kot yang kurang cerdik sebab baru tahu mengenai perkataan ini di universiti.  Jadi saya tidak ada masalah.  Bagaimana dengan mak cik-mak cik tersebut?  Sedangkan maksud yang nak disampaikan adalah "seharusnya ubat-ubat cara kampung atau tradisional perlu kita tekankan bukan sibuk dok makan ubat hospital sahaja." 

Saya tak tahu sama ada mak cik-mak cik tu faham atau tidak.  Kasihan mereka, datang jauh-jauh tetapi tidak dapat menghayati isi perbincangan yang nak disampaikan.  Kalau saya yang terdedah dengan seminar-seminar profesional pun mengambil masa untuk memahami ayat yang dituturkan yang turut diakui pening oleh senior saya seorang pelajar linguistik, inikan pula mak cik-mak cik yang datang dari pelbagai ceruk kawasan.

Realistik.  Itu sahaja yang saya harapkan daripada pembentang yang terdiri daripada pemimpin kita.  Sebab itulah mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik lebih suka mendengar ceramah Mat Sabu berbanding orang-orang profesional yang lain.  Hal ini demikian kerana bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan sangat dekat dengan masyarakat kelas bawahan yang diakui lebih besar.  Boleh serius tetapi gunalah perkataan yang mudah.  Tidak jatuh pun harga diri atau air muka kalau guna perkataan yang mudah-mudah.

Hmm..begitulah sesi pembentangan kertas kerja.  Harapan saya, setiap delegasi memahami isi perbincangan dan dapat disebarkan ke peringkat akar umbi kerana tanpa anda siapalah kami.

8-12 a.m

Seminar Dr.Zakir Naik

There was a huge throng of participants.  Kami sampai perlu duduk di atas lantai.  Kalau seminar ilmu sebegini, sesuai sangatlah bahasa Inggeris digunakan 100% dan istilah-istilah tinggi digunakan kerana memang bidang yang dibincangkan adalah mengenai agama.  Kalangan yang hadir juga terdiri daripada golongan pelajar universiti, kelas menengah, profesional, YB2, agamawan, dan pendatang asing.  Pendekatan yang digunakan sangat sesuai dan realistik.

Itulah dua seminar yang berbeza yang saya hadiri dan pesan saya, jadilah realistik.  Kalau kita mahu setiap rakyat laksanakan hasrat kita, sampaikanlah hasrat dengan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat.  Jangan kita hanya syok sendiri yang akhirnya merugikan parti.

Friday, July 20, 2012

Salam Akhir


19/7/2012 @ 29 Syaaban 1433 H

Langit Putrajaya gelap dan mendung bagai sedang menanggung kesedihan yang amat.  Waktu Nabila bertanya;

“Putrajaya ni dekat sangat dengan langit,”

Spontan saya membalas;

“Ye la, nanti kalau pemimpin banyak buat dosa, Allah timpa bala kat pusat pentadbiran dulu.”

Rupa-rupanya langit mendung dan sedih ada makna.

Walaupun hari ini kami mengadakan Perhimpunan Bulanan dengan Presiden, Tan Sri Shamsudin bersempena perpisahan dan persaraan beliau, ada satu lagi perpisahan yang memang tidak dirancang dan disangka-sangka melainkan hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sahabat sepraktikal saya kehilangan ayahnya pada jam 1.20 pagi.  Baru sahaja beberapa hari lepas ayahnya dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami serangan jantung.  Puncanya kerana memakan daging kambing.  Mereka keluar pada hari itu juga kerana ayahnya nak merujuk terus ke Institut Jantung Negara.  Dan beberapa hari itu juga apabila bersamanya, dia sering meluahkan kerisauan terhadap keadaan ayahnya.  Ayahnya tidak pernah mengalami serangan jantung lagi sebelum ini.  Dan petang kelmarin saya tidak perasan seorang lelaki separuh umur yang sedang duduk menunggu anaknya itu merupakan ayah rakan saya.  Sewaktu diberitahu rakan, baru saya perasan dan terdetik di hati ingin menyapanya dan bertanyakan keadaan kesihatan.  Tetapi, ayahnya sudah bergerak ke kereta. Masih terbayang-bayang air muka ayahnya yang kelihatan sedih dan termenung jauh sewaktu kami ke kaunter untuk punch card.  Takdir Allah, itu merupakan kali pertama dan terakhir saya bertemu ayahnya.  Saya tak dapat nak gambarkan dan ungkapkan perasaan sebuah kehilangan.  Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Sepanjang majlis berlangsung, fikiran saya terganggu.  Risau dengan keadaannya.  Sms takziah dari saya tidak dibalasnya.  Mengenangkan pelbagai cerita yang diceritakan mengenai ayahnya menambahkan lagi rasa sebak di dada.  Bagaimana ayahnya sentiasa memantaunya, memegang password Fbnya, pesanan-pesanan yang diberikan.  Keluarganya memang sangat bergantung dengan ayah mereka.  Dia kehilangan ayahnya sehari sebelum puasa… Teringat abah di kampung sekaligus teringat sewaktu abah masuk hospital kerana kencing manis.  Mak yang tidak dapat menahan rasa risau kehilangan abah sehingga bergenang air mata dan raut pucat wajah abah, menyebabkan air mata saya tumpah tanpa dapat ditahan.  Cadar hospital menjadi mangsa saya menyapu air mata dan menghembus hingus.  Abah yang terkejut terpinga-pinga;

“Laa..janganlah menangis,”

“Bukan menangis, air mata ni yang keluar sendiri.”

Rupa-rupanya Putrajaya turut menangisi pemergian ayah Fatin.  Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.  Ada yang tidak sempat menyambut Ramadhan sedangkan lagi sehari Ramdhan tiba, jadi kita?  Gunakanlah sebaiknya walau sesaat cuma..

Di hujung majlis, pasukan koir mempersembahkan lagu Salam Akhir dari Sudirman.  Sebak terasa.  Selepas dari pemergian ayah rakan saya, berturut-turut saya mendengar berita kematian dari beberapa orang rakan selepas itu.  Tiba-tiba semakin mendekati Ramadhan, semakin ramai yang tidak sempat menyambutnya.  Semestinya menjadi peringatan besar buat kita dan saya terutamanya andai Ramadhan kali ini datang bagi mengucapkan salam akhir buat saya.

Sunday, January 1, 2012

Tahun Baru tanpa Diari

Pertama kali saya memasuki Tahun Baru tanpa Diari 2012 di sisi.  Sebelum-sebelum ini, pasti sudah tersedia Diari Lama dan Diari Baru bagi memperbaharui perancangan.  Tak sempat nak beli sebab tak tahu nak pilih yang mana satu waktu pergi window-shopping di kedai.  Walaupun sedikit terkilan, tetapi masih tak mencacatkan persembahan Tahun Baru.  Cuma terasa kosong kerana tidak ada kertas kosong untuk dicoret-coret waktu memasuki Tahun Baru.  Cuma sempat mencoretkan resolusi Tahun Baru dan muhasabah tahun 2011.  Mungkin selepas exam baru akan beli.  InsyaAllah.

Kalau sesetengah orang berpendapat resolusi Tahun Baru hanya sekadar retorik, pada pandangan saya, ia terpulang kepada individu.  Ia hanya menjadi retorik jika sekadar hangat-hangat tahi ayam.  Tapi ia akan jadi satu reminder atau booster yang sangat bagus jika kita berusaha merealisasikannya.  Setakat ini, perancangan yang saya buat, alhamdulillah berjaya saya realisasikan.  Cuma sejauh mana mencapai KPI yang diletakkan, mungkin perlukan penilaian kembali.  Dan itulah yang akan diusahakan untuk tahun 2012.

Disebabkan tidak ada Diari 2012, waktu-waktu di dalam gerabak kereta api hanya diisi dengan menyelak buku rujukan untuk peperiksaan.  Kadang bangun, kadang tidur.  Menyelak kembali Diari 2011, ada beberapa perkara yang perlu diambil serius tahun ini.  Serius.  Mesti terdetik dalam hati sesetengah orang, "Sejak bila dia tak pernah serius, serius memanjang."  Bagi saya, sekarang fasa-fasa kritikal dalam kehidupan seorang insan.  Ada pelbagai persimpangan yang perlu dipilih agar tidak tersilap mencorak kehidupan.  Bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk insan sekeliling.  Bukan sekarang untuk menarik nafas lega dan berpuas hati dengan kehidupan yang ada.  Saya rasa saya masih tidak berusaha, saya rasa saya masih main-main dan saya rasa saya masih lalai.  Buktinya, banyak amanah yang tak terlaksana dengan baik.  Amanah Allah, amanah keluarga, amanah untuk diri sendiri.  Saya rasa saya sudah tua sebelum waktunya.

Mungkin saya insan yang go by book.  Semua nak tulis, semua nak catat, semua nak rujuk.  Kalau tidak ada dalam buku, saya mudah panik.  Hanya Allah yang Maha Menolong.  Mungkin catatan saya menjadi pedoman buat pembaca.  Janganlah jadi macam saya, anda semua adalah yang terbaik dan boleh menjadi yang terbaik.  Tolong doakan saya (^_^)

Thursday, December 15, 2011

Amerika pergi main jauh-jauh

15-12-2011
Khamis

Setelah 9 tahun menceroboh Iraq, akhirnya tentera Amerika secara rasminya menamatkan pencerobohan  dengan mengadakan satu upacara ketenteraan di Baghdad.

"After a lot of blood spilled by Iraqis and Americans, the mission of an Iraq that could govern and secure itself has become real,"Defense Secretary Leon Panetta said at the ceremony at Baghdad's still heavily-fortified airport.

Ye ke kenyataan ni?  Persoalan yang bermain di benak saya sehingga sekarang ini adalah, sebenarnya dengan siapa Amerika berperang di Iraq?  Kenapa tak berundur selepas menjatuhkan hukuman ke atas Saddam Hussein?  Kenapa baru sekarang?

Kononnya mereka melawan pengganas,  kalau di Palestin, Hamas lawannya,  di Afghanistan, Taliban musuhnya, Al-Qaeda di Iraq bagai satu bayang-bayang yang mereka takuti dan sebenarnya tidak dapat dipastikan kewujudan kumpulan ini.  Jadi, dengan siapa mereka berperang?

Walau bagaimanapun, apa yang menyedihkan, rakyat Iraq telah terdoktrin bahawa dengan adanya tentera Amerika  selama 5 tahun selepas kematian Saddam, penduduk akan selamat dari pengganas, tapi tidakkah mereka melihat, at the first place, siapakah yang mencetuskan peperangan di negara mereka jika bukan Amerika Syarikat yang masuk campur dan menjadi batu api dalam hubungan Iraq dengan negara jiran.

Tentera Amerika dengan bangganya menyatakan mereka akan sentiasa menyokong Iraq selepas ini, tetapi sebenarnya sebahagian besar rakyat di dunia meraikan pengunduran Amerika dengan membakar bendera mereka.  Memang perasan habis this so called 'polis dunia'.  Merasakan mereka telah menyelamatkan sebuah negara when in fact they had ruined a civilization.

Namun persoalan penting selepas pengunduran ini adalah, what's next?

~sudah-sudah, pergi main jejauh~


Sunday, September 4, 2011

Berpisah kita selamanya


Saya bukan seorang yang mampu berada dalam satu-satu majlis dalam tempoh yang lama.  Sama ada saya tak pergi langsung, lari, buat-buat sakit atau buat hal sendiri. Orang cakap saya perosak majlis.  Mungkinlah.  Terutamanya majlis pernikahan.  Sesetengah orang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menghadiri majlis pernikahan anak kepada mak angkat sepupunya.  Ada pula yang sanggup mengaulakan majlis tersebut berbanding program-program lain.  Bagi saya, saya kurang memberatkan majlis pernikahan walaupun melibatkan sepupu sendiri sehingga saya tidak mengenali pasangan sepupu masing-masing walaupun mereka sudah mempunyai dua orang anak.  Abah cakap saya tak pentingkan adik-beradik.  Mak saya cakap ada benda yang lebih penting yang perlu diutamakan.  Seperti biasa, saya ikut nasihat mak.  Kalau kenduri kakak, mungkin saya perlu bertahan.  Mungkinlah~

Tapi ada satu majlis yang saya dapat bertahan sehingga ke penghujung.  Majlis pengebumian.  Kematian merupakan satu-satunya perkara yang jarang berlaku dalam keluarga besar saya berbanding perkahwinan.  Untuk bulan-bulan yang akan datang sahaja, ada 5 majlis pertunangan atau pernikahan yang akan berlangsung dan satu pun saya tak boleh nak hadir.  Mak sedara dah mula bising-bising minta saya turun juga jika lapang.  Saya bukan tak nak turun, tapi takut nanti diserang virus nak berkahwin juga sedangkan perjalanan saya masih jauh.  Kalau saya beri alasan ni pada abah, abah mesti respon “mengarut…” Mungkinlah~

Pada hari raya keempat, saya dapat berita pemergian bapa saudara sebelum zohor secara mengejut.  Sebenarnya dah lama saya tak melihat dia.  Lagipun dia seorang yang pendiam.  Ada satu-satu masa dia pernah mengusik saya semasa saya kecil sampai saya terpaksa menyorok belakang kereta kerana takut dijumpai.  Lelaki dewasa sangat menyeramkan.  Itu sahaja memori yang saya ada dengannya.  Pada hari raya kedua dia ada datang tapi saya tak sempat berjumpa.   Sewaktu tiba di kediamannya di Jawi, saya bersalaman dengan Mak Jang saya yang kemudiannya mula sebak dan bergenang air mata sewaktu memeluk saya.  Saya sebak tapi saya kawal.  I was trying to look cool.  Takkanlah saya nak menangis teresak-esak sedangkan Mak Jang masih tabah.  Last-last saya lari ke belakang dapur.  Seperti saya pula yang kehilangan suami.  Saya sebak bukan kerana kehilangan Pak Jang, tetapi seperti memahami perasaan kehilangan orang tersayang.  Pernah kehilangan Tok tempat bermanja pun saya dah tersedu-sedu, inikan pula pasangan hidup yang berkongsi suka duka selama berpuluh-puluh tahun.  Sesetengah orang mungkin akan lemah seluruh badan atau pengsan.  Tambahan pula, Pak Jang meninggal setelah jatuh sebab badan terlalu lemah lepas muntah-muntah sebab makan terlalu banyak.  A sudden death.

Pak Jang meninggal sebelum zohor, seharusnya dikebumikan selepas Asar, tetapi disebabkan hendak menunggu dua orang anak lelakinya pulang dari KL dan Melaka, maka pengebumian ditunda ke pukul 10 malam.  Di kiri kanan, mak cik-mak cik mula merungut dan bertanya kenapa lewat sangat jenazah disimpan, tak baik lewat-lewatkan dan bermacam-macam lagi.  Kadang-kadang saya terfikir sebab itulah anak-anak perlu rajin-rajin menjenguk ibu ayah semasa hayatnya ada supaya tidak terkilan apabila tidak dapat melihatnya buat kali terakhir.  Walaupun jemu, tapi itulah satu-satunya ibu dan ayah dunia akhirat kita. 

Dari jenazah dimandikan, dikafan sehinggalah disembahyangkan, saya menjadi pemerhati yang setia di sudut dapur.  Walaupun kurang sihat juga, saya cuba bertahan dengan meminum sebanyak-banyaknya Vitagen.  Selepas jenazah diiring ke kubur, barulah kami bertolak balik.  Kadang-kadang, selepas seseorang meninggal, kehilangannya tidak dirasai sangat sebab masih melihatnya terbaring seperti tidur.  Namun, selepas beberapa hari dan kita bersendirian, mesti kita akan terkenang-kenangkannya.  Begitulah yang akan dirasai oleh Mak Jang nanti.  Sendirian di rumah tak ada teman bergaduh.  Oleh itu, hargailah setiap detik bersama orang tersayang.

Pengalaman kita mungkin berbeza dalam menghadapi situasi sebegini, waima soal hidup, mati dan jodoh hanya Allah yang tahu.  Mana tahu, hari ini tak nak kahwin, esoknya dah kahwin, hari ini sihat, esok tiada lagi.  Konon perjalanan masih jauh, entahkan Allah pendekkan di tengahnya.  Sebab itulah persediaan itu perlu untuk menghadapinya.  Kematian lebih mendekatkan kita kepada Allah.  Wallahualam~

p/s: Takziah buat Mak Jang sekeluarga. Al-fatihah~

Thursday, August 25, 2011

Kereta Api


Isnin,
9.21 pm
Gerabak L4

Keburukan berada di gerabak kelas Ekonomi ialah penumpangnya terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat.  Daripada yang PATI sehinggalah kepada berkeluarga.  Gerabak kelas Ekonomi kerusinya kadang-kadang kalau tak bernasib baik akan dapat yang kurang sempurna sifatnya.  Contoh macam malam ini, penumpang di hadapan saya, kerusinya tak boleh disandar.  Kalau sandar nanti akan jatuh.  Nampak dia tidak selesa untuk duduk.  Kemungkinan dia akan bergerak ke gerabak kantin yang lebih selesa. Meja di hadapan saya pula tak boleh diguna.  Tak dapat nak letak barang. Lagi satu, gerabak Ekonomi sentiasa dihuni oleh perokok tegar.  Setiap kali mereka merokok di ruang antara gerabak, bau asap rokok pasti menerjah masuk ke dalam gerabak walaupun dihalang oleh pintu yang sememangnya tak dapat ditutup.  Sakit jiwa juga.  Disebabkan harganya pun murah, RM19 sahaja jika dari KL Sentral ke Bukit Mertajam, jadi tak boleh nak cerewet sangat.  Selalunya saya akan naik kelas Kedua, harganya RM33.  Cuma perlu tambah lebih kurang RM14 untuk mendapatkan lebih keselesaan.  Sebabnya, kelas kedua selalu dibeli oleh mereka yang bekerja atau pelajar universiti atau yang bekeluarga dan memiliki anak kecil.  Kalau berada di gerabak kelas kedua, keadaan lebih sunyi dan stabil berbanding kelas ekonomi.  Ada sahabat saya, dia sentiasa membeli gerabak kelas pertama, RM68, lebih kondusif dan eksklusif.  Dapat makanan percuma.  Saya pernah cuba, tapi rasa tak berbaloi sebab keadaannya sama sahaja jika menaiki kelas Kedua.

Mungkin pengalaman menaiki kereta api kurang dirasai oleh sesetengah individu terutama yang bergelar mahasiswa.  Anak muda selalu nak cepat.  Jadi, bas menjadi pilihan.  Tak kisahlah.  Tapi jika ditimbang harganya, kereta api jauh lebih murah.  Dua kali trip pergi balik menyamai tambang sekali trip bas.  Saya suka naik kereta api.  Mungkin family trait.  Dulu waktu abah bekerja di KL, kereta api yang akan menjadi pilihan.  Di stesen Bukit Mertajam itulah juga abah tunggu mak sampai malam waktu mereka dalam tempoh bertunang.  Mak saya tak nak datang, tapi abah tunggu juga sampai mak datang sebelum pulang jumpa keluarga.  Mak cakap abah sabar.  Saya fikir abah memang terlebih sabar.  Dah jodoh, kata mak.  Selepas tu, selama 5 tahun adik saya yang keempat berulang-alik naik kereta api dari Bukit Mertajam ke KL Sentral sebab bersekolah di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.  Selama 5 tahun tersebut saya selalu temankan dia tunggu kereta api dan memasang angan-angan untuk menaiki kereta api sambil mendengar cerita-cerita nostalgia dari abah dan mak.

Sekarang, sudah 2 tahun saya berulang alik ke UKM menaiki kereta api dan mengikut jejak langkah abah, mak dan adik.  Sekali sahaja saya menaiki bas, itupun sebab tiket kereta api dah habis dan saya terpaksa pulang ke UKM pada malam itu juga atas urusan JPA.  Sepanjang menaiki bas, saya tak dapat menutup mata disebabkan seram melihat kenderaan-kenderaan lain bersaing di atas lebuh raya.  Selama beberapa puluh tahun, ada perkara yang berubah, ada yang tidak.  Sekarang ini KTM sedang dalam proses menaiktaraf landasan kereta api.  Ada beberapa stesen yang akan dibuka berdekatan dengan rumah saya dan landasan ditambah.  Hal ini demikian kerana, masyarakat sekarang sudah mula cakna dengan aspek keselamatan diri di atas jalan raya.  Pepatah mengatakan, biar lambat, asalkan selamat.  Mati memang di mana-mana.  Tetapi kecederaan kekal kalau boleh dielakkan lebih baik.  Setakat ini, kemalangan yang membabitkan kereta api sangat jarang didengar kecuali di India.  Sekali kemalangan yang pernah berlaku disebabkan hujan lebat yang menyebabkan kereta api tergelincir.  Itupun seorang sahaja yang mati dan yang lain cedera ringan.  Pilihan di tangan anda.  Lagipun untuk tahun-tahun yang akan datang, kemungkinan shuttle train yang lebih laju akan disediakan sehingga ke utara.  Jadi, boleh ulang-alik dari rumah ke tempat kerja di KL, jika ditakdirkan berada di sini.

Sebenarnya menarik kalau menaiki kereta api ini.  Kalau naik pada siang hari, kita dapat melihat pemandangan bumi bertuah Malaysia ini.  Ada satu tempat yang kereta api akan lalui iaitu Tasik Bukit Merah, Kamunting, Perak.  Landasan kereta api akan menyeberang tambak yang dibina di tengah-tengah tasik yang merintang luas saujana mata memandang.  Rasa macam kita sedang bergerak di atas air.  Saya tahu nama tasik itu pun selepas membaca buku Beringin Songsang karya Zakiah Hanum.  Buku tersebut merekodkan aspek-aspek kebudayaan dalam bangsa Melayu.  KTM merupakan singkatan Kereta Api Tanah Melayu merupakan warisan sejak dari zaman penjajah lagi dan dilihat sebagai nostalgia.  Tapi saya jarang naik pada waktu siang iaitu trip pada pukul 8 pagi dan 3 petang.  Sebabnya rasa macam membuang masa.  Berlainan dengan malam, memang 8 jam itu dikhaskan untuk tidur.

Salah satu sebab saya suka naik kereta api juga adalah untuk mengelakkan lelaki yang suka merokok dan PATI.  Kalau dulu di Hentian Kajang, macam-macam manusia yang kita tengok.  Sekali turun di Hentian Kajang dan berhadapan dengan asap rokok dan manusia yang pelik-pelik, hmm…rasa tak selamat.  Kalau turun di KL Sentral, tidak disambut dengan asap rokok kerana kawasan tersebut berhawa dingin selain tempat tumpuan pelancong asing.  Sebab itulah mereka yang berkeluarga lebih selesa memilih kereta api.  Hakikatnya yang melindungi kita ialah Allah, tapi kita mempunyai pilihan untuk memilih keadaan yang lebih selamat.   Selain perasaan selamat, rasa eksklusif pun ada apabila menaiki kereta api sebabnya kereta api menggunakan landasan tersendiri.  Tak perlu berkongsi.  Pegawai yang bertugas pun smart dan well-mannered dengan uniform yang kemas.

Cumanya kalau naik kereta api ini risikonya kita sentiasa bermain dengan masa.  Kadang-kadang kereta api ini boleh delay sampai sejam atau dua jam dari waktu bertolak.  Kadang-kadang pula enjin akan rosak di tengah-tengah hutan belantara dan terpaksa menunggu beberapa jam baru dapat bertolak semula. Sebab itulah saya pilih untuk naik pada waktu malam terutamanya pkul 8 hingga 9.  Saya akan sampai di Penang pukul 5 atau 6 pagi.  Walau apa pun, kita menyahut seruan kerajaan untuk menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh negara untuk kebaikan bersama.  Sempena kemerdekaan ke-54 ini, bermakna sudah lebih daripada satu abad Kereta api Tanah Melayu Berhad telah berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.  Hargailah warisan negara.  Malaysia oh Tanah Air ku~

Selamat Hari Raya & menyambut Kemerdekaan ke-54:)

Thursday, August 11, 2011

AMARAN DARI RAKYAT~ISU GLOBAL



Britain sekarang bukanlah seperti Britain minggu-minggu sebelum ini.  Keadaan aman dan tenteram yang menjadi lambang negara tersebut telah bertukar seperti keadaan ni sesetengah negara Timur Tengah yang sedang bergolak.  Rusuhan oleh rakyat berlaku berpunca daripada sikap pihak polis yang mengambil tindakan menembak mati seorang warganegara berkulit hitam Mark Duggan, seorang penduduk tempatan berkulit hitam berusia 29 tahun seminggu yang lalu.  Tindakan ini telah membangkitkan kemarahan rakyat Britain dan menyebabkan rakyat turun ke jalan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pihak terbabit.  Kejadian bermula di Tottenham, utara London.
Demonstrasi yang ditunjukkan bukan lagi bersifat aman tetapi lebih ke arah rusuhan rakyat akibat sikap tidak bertanggungjawab pihak polis tersebut.  Mangsa rusuhan rakyat bukan sahaja kenderaan-kenderaan atau harta benda malah nyawa turut menjadi ancaman.  Rakyat Malaysia antara yang menjadi mangsa.  Mangsa seorang pelajar Asyraf Hazlan, 20-an,berasal dari Selangor  yang sedang dalam perjalanan ke rumah rakannya untuk berbuka puasa diserang oleh beberapa orang perusuh yang mencederakan mangsa sehingga patah gigi dan tulang rahang selain cedera di bahagian lain.  Tindakan tersebut menjelaskan suasana sebenar yang sedang berlaku di Britain.  Lebih membahayakan apabila situasi ini merebak ke beberapa kawasan-kawasan lain.
Apabila dilihat kecuaian yang dilakukan oleh pihak polis yang seharusnya menjaga ketenteraman awam, rakyat merasakan tidak boleh bertolak ansur dengan perkara yang telah berlaku.  Tambahan pula, setelah kekejaman pihak polis terhadap peserta Bersih di Malaysia yang tersebar ke seluruh pelusuk dunia, rakyat mula meragui tindakan pihak polis terutamanya Britain.  Ratu England sendiri mengecam tindakan Najib yang dilihat terlalu keras terhadap rakyatnya sendiri dengan memakai pakaian kuning sebagai simbolik Bersih sewaktu menyambut ketibaan Najib dan isterinya Rosmah sewaktu berkunjung ke sana.  Oleh itu, segala tindak-tanduk polis sekarang ini menjadi perhatian rakyat dunia. 
Emosi rakyat di Britain ini boleh dikaitkan dengan Teori Domino di mana sebarang perkembangan di sesebuah negara tertentu akan merebak ke negara-negara lain dan mempengaruhi situasi di negara tersebut.  Hujah ini boleh diterima apabila melihatkan fenomena  globalisasi di mana isu dalam negara boleh menjadi isu antarabangsa yang menyebabkan rakyat mula tidak mempercayai tindak-tanduk pihak keselamatan yang selalu dilabelkan sebagai ‘anjing’ kerajaan. 
Oleh itu, pihak atasan terutamanya kerajaan perlu memastikan pihak polis atau keselamatan negara tidak digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.  Apabila rakyat sudah merasa tidak selamat walaupun dengan adanya pihak keselamatan, sudah tiba masanya untuk kita mengkaji sama ada pihak keselamatan berfungsi dengan betul atau tidak.  Jika yang memakan rasuah terbanyak itu pihak keselamatan, adakah kita merasa selamat?

Monday, June 6, 2011

Terima kasih ya Allah...

Alhamdulillah...
Dah dapat lesen...:)
Bukan lesen kereta atau motor...
Tapi lesen kepercayaan mak ayah untuk menapak ke hadapan..

Terima kasih Ya Allah...
Kerana memberi hadiah setelah musibah yang menimpa...
Walaupun tak boleh dikatakan musibah sebab selalunya kesulitan akan beriring dengan kemudahan...
Bila terlantar sakit, banyak masa untuk berfikir dan merancang...
Allah bagi kerehatan pula...

Betullah, Allah nak bagi sesuatu yang lebih baik
Hilang dendam kat anjing
Terlupa parut di tangan
Terlupa sakit di kaki
Apabila dapat hasil daripada usaha semester...

Tapi  masih...
Perjalanan masih jauh...
Dulu waktu keputusan merosot, seorang akak menasihatkan;
"Allah nak rehatkan awak dari perasaan riak dan takabbur,"
Saya rasa sangat betul, jadi usaha pun dilipatgandakan sebab rasa rendah diri sangat

Akhirnya, terima kasih Allah...
terima kasih kepada yang mendoakan...

Walaupun benda ni nampak kecil, tapi angka ni mampu mempengaruhi kepercayaan mak ayah
untuk melangkah ke hadapan...
Mengurangkan kemarahan sebab jatuhkan motor orang
Mengurangkan kemarahan sebab tak reti jaga diri sampai calar-balar
Menambahkan keyakinan untuk selalu minta duit kat mak abah (biasiswa tak cukup)
Menambahkan seri di muka mak abah. Bukankah menggembirakan mak ayah itu satu ibadah yang besar di sisi Allah...Allah...seronok sangat...terima kasih...
Tu jer yang penting pun..
Apabila mak abah semakin mempercayai, redha mereka mengiringi, doa mereka sentiasa dikirim...
Moga langkah dipermudahi...

Mak abah, Ayu balik ambil nafas baru di kampung...
Yatta!!

Buat sahabat yang result ditahan, sabar yer...Allah nak bagi yang terbaik tu...supaya kegembiraan semakin berlipatganda dan rasa syukur lebih terasa...:) Sayang kamu semua...

Saturday, May 7, 2011

Tak nak ucap...

Membaca blog sahabat yang menukilkan warkah buat ibu buat saya teringat yang esok Hari Ibu.  Ni first time saya tahu the exact date of Hari Ibu. Tu pun setelah ditayangkan dekat board depan simpang UKM.  Setelah 21 tahun 9 bln hidup, baru tahu yang diorang pacak tarikh 8 Mei untuk Hari Ibu. Dan ini juga bermakna bahawa saya tak pernah pun ucap Selamat Hari Ibu kat mak di rumah selama ini.  Kejamkan? Adakah ini bermakna saya tak sayangkan mak saya? 

Hanya Allah yang tahu betapa saya sayang mak saya.  Saya tak peduli kalau orang benci saya asalkan jangan mak saya.  Biar dia marah, jangan dia benci.  Biar dia berleter, jangan dia pendam.  Perkataan yang paling saya takut keluar dari mulut mak saya adalah, 
"Mak tak suka."

Kalau buat silap macam mana pun, selagi dia berleter, tu tandanya masih ada kompromi dan ada peluang untuk pujuk.  Tapi kalau mak dah keluarkan ayat tu, saya dah tak boleh buat apa-apa.  Rasa sedih sangat. But of course ayat tu jarang-jarang keluar. Boleh kira dengan jari.

Sebenarnya point dalam post kali ni bukan nak cerita tentang mak.  Tapi nak cerita bahawa tak perlulah meletakkan satu tarikh untuk kita mengingati orang tersayang seperti mana Hari Valentine atau Hari Guru.  Sepatutnya sayang itu berpanjangan dan hari-hari diingati dalam doa.  Bukankah begitu?

Mungkin ada yang akan kata, "yer la, ko tu tak nak ingat sebab ko tu selalu jer lupa tarikh-tarikh penting camni,"

Ada betul juga.  Saya memang failed bab-bab tarikh penting dalam kalendar.  Ingat orang lelaki jer camtu? Sebenarnya maskuliniti dan feminiti itu hanyalah satu konstruksi sosial. Jadi tak payah nak melabel cam Barat tu. Pada pandangan saya, leceh kalau nak kena ingat tarikh pastu bagi ucapan dan hadiah segala benda.  Bukan saya berlaku tidak adil dekat orang di sekeliling, even hari lahir sendiri pun saya kadang-kadang tak ingat.  Allah dah tetapkan tarikh yang paling senang pun terlupa juga, belum lagi yang rumit-rumit.  Kadang-kadang, sms sahabat yang mengingatkan.  Terima kasih sahabat.  Tapi kalau tak ingat pun saya tak kecil hati. 

Kadang-kadang takut ada yang berkecil hati sebab saya tak ucap selamat apabila tiba tarikh-tarikh keramat ni.  Bulan 1 hari lahir abah, mak sms;

"Ayu, ingat tak hari ni hari apa?" 

Sampai begitu sekali. Alah, last-last abah gak yang kena belanja kitorang semua.  Kalau tak ingat kan bagus, jimat duit.:P Waktu Hari Ibu yang saya tak ingat tarikh tu, adik saya yang ucap kat mak. Pastu mak telefon saya bagitau yang adik wish Hari Ibu dan beli hadiah buku.  Mak terharu.  Alahai...orang perempuan ni selalu nak syahdu-syahdu. 

Kadang-kadang ada jer yang mengingatkan tarikh-tarikh tu kat saya, tapi saya buat tak tahu saja.  Rasa bersalah bila tiba tarikh lahir saya, ada sahabat yang bagi hadiah sedangkan waktu hari lahir diorang saya tak bagi pun apa-apa.  Kejamkan?

No offense, sosialisasi sewaktu kecil yang mendidik saya.  Tak pernah pun seingat saya sewaktu kecil saya menyambut hari lahir atau hari-hari keramat seperti hari ulangtahun makabah kahwin.  Setiap hari adalah hari istimewa saya.  Sama ada hari kena rotan, hari pergi sekolah, hari sukan, hari hujan dan hari-hari lain.  Setiap hari saya dapat bernafas dan melihat dunia adalah hari istimewa saya. Alhamdulillah...Saya tahu tarikh lahir saya 8.8 pun sebab saya tanya mak saya waktu darjah berapa ntah.  Baru mak bagitau dan baru saya tahu setiap orang ada tarikh lahir masing-masing dan tarikh lahir ini merupakan hari istimewa kita.  Tapi tetap mak didik kami adik-beradik untuk tak menyambut hari lahir ni.  There's nothing to celebrate afterall.  Bukan saya sorang jer yang jadi camni, mesti ramai lagi manusia yang berfikiran macam saya.

Jadi tak perlulah meletakkan satu tarikh untuk menyambut insan yang kita sayang.  Even tarikh lahir yang diletakkan pun tak perlu diingati.  Kita akan sentiasa menuju hari tua pada setiap masa dan detik yang berlalu dalam hidup. Tua dan kematian sentiasa mengintai. Cuma kita jer yang akan ingat perkara ni apabila tiba tarikh lahir.  Kalau sayang kat seseorang, ingat dia selalu dalam doa.  Biar Allah jer tahu.  Allahkan tahu apa yang terbaik untuk kita? Wallahualam~