Britain sekarang bukanlah seperti Britain minggu-minggu sebelum ini. Keadaan aman dan tenteram yang menjadi lambang negara tersebut telah bertukar seperti keadaan ni sesetengah negara Timur Tengah yang sedang bergolak. Rusuhan oleh rakyat berlaku berpunca daripada sikap pihak polis yang mengambil tindakan menembak mati seorang warganegara berkulit hitam Mark Duggan, seorang penduduk tempatan berkulit hitam berusia 29 tahun seminggu yang lalu. Tindakan ini telah membangkitkan kemarahan rakyat Britain dan menyebabkan rakyat turun ke jalan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pihak terbabit. Kejadian bermula di Tottenham, utara London.
Demonstrasi yang ditunjukkan bukan lagi bersifat aman tetapi lebih ke arah rusuhan rakyat akibat sikap tidak bertanggungjawab pihak polis tersebut. Mangsa rusuhan rakyat bukan sahaja kenderaan-kenderaan atau harta benda malah nyawa turut menjadi ancaman. Rakyat Malaysia antara yang menjadi mangsa. Mangsa seorang pelajar Asyraf Hazlan, 20-an,berasal dari Selangor yang sedang dalam perjalanan ke rumah rakannya untuk berbuka puasa diserang oleh beberapa orang perusuh yang mencederakan mangsa sehingga patah gigi dan tulang rahang selain cedera di bahagian lain. Tindakan tersebut menjelaskan suasana sebenar yang sedang berlaku di Britain. Lebih membahayakan apabila situasi ini merebak ke beberapa kawasan-kawasan lain.
Apabila dilihat kecuaian yang dilakukan oleh pihak polis yang seharusnya menjaga ketenteraman awam, rakyat merasakan tidak boleh bertolak ansur dengan perkara yang telah berlaku. Tambahan pula, setelah kekejaman pihak polis terhadap peserta Bersih di Malaysia yang tersebar ke seluruh pelusuk dunia, rakyat mula meragui tindakan pihak polis terutamanya Britain. Ratu England sendiri mengecam tindakan Najib yang dilihat terlalu keras terhadap rakyatnya sendiri dengan memakai pakaian kuning sebagai simbolik Bersih sewaktu menyambut ketibaan Najib dan isterinya Rosmah sewaktu berkunjung ke sana. Oleh itu, segala tindak-tanduk polis sekarang ini menjadi perhatian rakyat dunia.
Emosi rakyat di Britain ini boleh dikaitkan dengan Teori Domino di mana sebarang perkembangan di sesebuah negara tertentu akan merebak ke negara-negara lain dan mempengaruhi situasi di negara tersebut. Hujah ini boleh diterima apabila melihatkan fenomena globalisasi di mana isu dalam negara boleh menjadi isu antarabangsa yang menyebabkan rakyat mula tidak mempercayai tindak-tanduk pihak keselamatan yang selalu dilabelkan sebagai ‘anjing’ kerajaan.
Oleh itu, pihak atasan terutamanya kerajaan perlu memastikan pihak polis atau keselamatan negara tidak digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi. Apabila rakyat sudah merasa tidak selamat walaupun dengan adanya pihak keselamatan, sudah tiba masanya untuk kita mengkaji sama ada pihak keselamatan berfungsi dengan betul atau tidak. Jika yang memakan rasuah terbanyak itu pihak keselamatan, adakah kita merasa selamat?
No comments:
Post a Comment