Friday, September 21, 2012

Selamat Mengundi

Saya berpandangan bangsa Melayu ini merupakan bangsa yang mudah menyerap budaya bangsa lain untuk disesuaikan dengan budayanya.  Selain daripada beberapa contoh budaya bangsa Cina dan India yang diambil, bangsa Melayu ini turut suka meniru dan mengikut apa sahaja yang dibuat oleh pemerintahnya.

Kalau pada zaman dahulu, semasa raja-raja di Tanah Melayu menganut agama Hindu, rakyat Tanah Melayu sepakat menganut agama Hindu.  Kemudian apabila Islam datang, raja telah menganut agama Islam dan seluruh rakyat turut meniru perkara yang sama.

Jadi memang terbukti bangsa Melayu ini merupakan bangsa yang suka meniru apa sahaja perlakuan pemimpinnya.  Mereka meniru dahulu kemudian barulah dicari ilmu mengenai sesuatu.  Sebab itulah pegangannya mudah goyah dan prinsip mudah punah.  Bangsa ini tidak memiliki prinsip pegangan dan akar budaya yang kukuh yang diambil dan diamal berdasarkan ilmu pengetahuan yang dicari sendiri .   Semua nak tiru dan mudah terpengaruh dengan suasana dan persekitaran.

Situasi semasa, keadaan bangsa Melayu sekarang adalah disebabkan oleh persekitaran dan suasana yang disediakan oleh pemimpinnya.  Saya bawakan situasi semasa berada di dalam bas retro baru-baru ni.  Semasa kami menaiki bas retro tersebut, terdapat pelajar sekolah lelaki berada di bahagian belakang bas sedang menyanyi mengikut irama lagu yang dipasangkan.  Lagu tersebut merupakan lagu-lagu jiwang atau rock kapak (saya tak pasti betul atau tidak lagu tersebut berada dalam kategori ini).  Kemudian setelah kami duduk di kerusi masing-masing, mereka menukar lagu kepada lagu nasyid Menanti di Barzakh daripada kumpulan Faiz.  Mereka mengikut lagu tersebut sehinggalah kami tiba di hadapan UKM dan kebetulan lagu tersebut turut habis.  Sedikit sebanyak, dengan hadirnya kami, mereka mengingati kematian dan mengingatkan kami juga tentang kematian.

Lagi satu, kalau melihat wanita-wanita yang bertudung labuh, ada segolongan makhluk yang terdorong untuk memberi salam.  Itu juga merupakan satu kebaikan walau apa pun niat diorang.

Saya ingin nyatakan di sini, manusia fitrahnya menyukai kebaikan.  Namun kebaikan tidak dapat diamalkan jika suasana persekitaran sewaktu pembesaran tidak bersifat Islamik dan sejahtera.  Tapi jika pemimpin menyediakan suasana tersebut, maka rakyat tentunya akan terdorong untuk mengamalkan kebaikan.  

Selain contoh di atas, rakan-rakan sekuliah saya walaupun tidak memakai tudung dan tidak bertudung labuh, tetapi jika saya berada di sekeliling mereka, mereka menghormati saya dan mengharapkan kebaikan daripada saya.  Ada yang kadang-kadang merujuk untuk bertanyakan hukum-hukum agama.  Kadang-kadang kalau mereka tengah mengumpat, apabila saya datang, cepat-cepat mereka menghentikan perbuatan tersebut.  Walaupun kadang-kadang sinis ungkapan seperti, "Wei ampa ni, tak baik dok ngumpat, Ayu ada kat sini."  At least, mereka memberhentikan perbuatan tersebut.  Mereka jadi malu alah.  Bukanlah saya menegur pun perbuatan mereka, tetapi mereka sendiri tahu perbuatan tersebut tidak baik tetapi suasana yang salah menyebabkan mereka tidak mampu memilih untuk melakukan kebaikan.  Sebab nanti dikatakan hipokrit oleh kawan-kawan atau berlagak baik.  Namun, apabila bersama saya , mereka tahu saya tidak mungkin akan berkata demikian.  Bukanlah saya ni baik, tapi saya rasakan Allah yang memberikan persekitaran yang baik kepada saya sehingga saya rasa rakan-rakan saya ni baik-baik belaka sedangkan ada antara mereka yang bergaduh dan bermasam muka antara satu sama lain.  Tetapi apabila berhadapan dengan saya, tidak nampak sesuatu yang tidak baik berlaku antara mereka.  Alhamdulillah

Kesimpulannya, pilihlah pemimpin yang mampu memberi persekitaran yang baik kepada anda dan keluarga agar anda sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan walau di mana anda berada.  Jadilah orang yang sentiasa mengamalkan kebaikan.  Semoga dengan perbuatan tersebut, kita menjadi faktor penyumbang kepada persekitaran yang mendorong manusia lain untuk melakukan kebaikan.  InsyaAllah...

Selamat Mengundi!

No comments: