Seminggu
berkempen. Ops, tolak hari ni sebab beri peluang orang lain pula naik Hilux
PAS. Antara rangkuman yang boleh dibuat ialah pengalaman berteori dengan
berpraktikal sangat berbeza. Dan berpraktikal adalah yang terbaik. Malangnya,
kempen pilihan raya pada malam hari sememangnya lebih meriah berbanding di
siang hari. Dengan ceramahnya, melawat bilik gerakan, menyusuri pasar malam,
kedai makan dan kuliah-kuliah di masjid, memang sangat berbeza dengan siang
hari. Dan selalunya yang memperoleh
kemeriahan berpilihan raya secara maksimum ini tidak lain dan tidak bukan kaum
lelaki. Mereka merupakan golongan yang paling bahagia kiranya saya lihat semasa
pilihan raya sedang berlangsung. Bertugas, bermesyuarat, memasang bendera,
menjaga bendera sehingga ke pagi. Pendek kata, hidup malam-malam kempen pilihan
raya ni. Sebab itu Abby Abadi cakap rasa macam hari raya kemeriahan pilihan
raya ni. Jadi tidak pelik jika statement
wanita kurang suka bercakap atau melibatkan diri dengan politik
dikeluarkan. Kadang-kadang bukan tidak
suka, tetapi keterbatasan untuk terlibat menyebabkan wanita kurang mencampuri
urusan politik. Kecualilah kalau si suami jenis yang mengusung isteri ke mana
sahaja aktiviti politik ada. Atau ayah mengusung keluarganya atau ibu bapa
membenarkan anak-anak gadisnya keluar pada malam hari untuk bekerja di bilik
gerakan atau mendengar ceramah. Selain dari itu, orang perempuan hanya mampu
berkempen di dalam FB, blog atau sanak-saudara. Mendengar ceramah melalui FB
dsb. Nak pasang bendera nanti kang ada yang kena ganggu pula.
Kalau
di Pulau Pinang, semasa masih di sekolah menengah, tunggu abah bawa ke ceramah baru
tahu tentang politik. Seringkali juga abah balik lewat malam sebab berkumpul di
bilik gerakan atau memasang bendera. Dapat dengar sahaja cerita abah. Tetapi, situasi
ni berbeza di Selangor. Mungkin kerana ibu bapa jauh di kampung, orang
perempuan mudah keluar ke tempat-tempat ceramah secara berkumpulan dengan
rakan-rakan kampus. Namun, masih atas risiko sendiri dan harus berjaga-jaga.
Jadi, orang perempuan kurang yang turun ke padang pada malam harinya. Hmm… dari satu sudut, bagus
juga. Nanti kalau orang perempuan sama naik dengan orang lelaki, timbul isu
lain pula. Walau bagaimanapun, dalam kes
saya, saya rasa macam nak letak ketepi perbezaan jantina untuk sementara waktu.
Banyak perkara yang saya nak lihat dan lalui sendiri pengalamannya. Jadi,
melalui penglibatan diri dalam team
calon, saya boleh observe dari dekat
proses partisipasi politik masyarakat Malaysia. Semua ni sebab cemburu dengan
orang lelaki yang boleh merempit ke sana ke mari pada malam kempen pilihan
raya. Pada mulanya kempen yang diikuti hanya sehingga Maghrib akhirnya membawa
sehingga ke lewat malam bersama seorang sahabat dan rakan perempuan yang lain
dari team media. Memang berbeza saya
lihat kemeriahan berkempen pada waktu siang dan malam. Keselamatan juga bukan
atas risiko sendiri kerana ada yang memberi jaminan untuk mengawasi.
Beruntung
kiranya diberi peluang sebegini. Dengan Hilux PAS, kami membelah malam
menelusuri ceruk Bangi untuk menemani calon berkempen. Peranan kami adalah
mendekati pengundi wanita sebab calon lebih memberi tumpuan kepada pengundi
lelaki. Tetapi, kadang-kadang seronok sangat mengedar manifesto, terlupa diri sebentar.
Jadi, adalah pengiring calon yang turut berperanan mengawasi kami. Ingatkan tak
berfungsi mereka ni, rupa-rupanya serius juga apabila masanya. Antaranya, ada
satu waktu calon sedang berceramah lewat
malam di Sungai Tangkas, akibat sudah mengantuk, kami berhasrat untuk pulang
awal. Sekali kena marah dengan Pengarah Kempen sebab memikirkan kawasan
tersebut merupakan kawasan hitam bagi parti-parti yang bertanding. Saya protes
pada mulanya kerana cetek pengalaman. Seringkali saya merasakan tidak mungkin
akan berlaku perkara yang pelik-pelik. Pilihan raya jer pun, kenapa perlu
sampai gaduh-gaduh? Sekali dia cakap;
“Korang
perasan tak kitorang pakai outfit
macam mana malam ni? Korang rasa buat apa kitorang pakai macam ni?”
Saya
menjenguk ke luar tingkap dan melihat sekeliling. Saya tak peduli pun diorang
pakai apa. Saya pakai baju kurung macam biasa. Nisa’ kebanyakan kalau turun
mesti berseluar. Saya tak gemar berseluar panjang di luar, jadi saya pakai apa
yang saya rasa nak pakai. Keselamatan nombor 2. Agak naif sebenarnya, sebab itu
saya dan sahabat dipanggil mak datin. Jadi, kami tunggu dalam kereta sehingga
calon habis berucap sebelum pulang ke markaz. Memang sebahagian besar orang
yang mendengar ceramah terdiri daripada lelaki dan hanya 10% wanita yang
kelihatan. Jadi, perlu membiasakan diri dengan pengawasan dan keselamatan. Kebanyakan
masa, kami hanya akan berada di dalam Hilux jika calon membuat lawatan ke bilik
gerakan kerana rata-rata orang lelaki yang menunggu di situ dan memeriahkan
suasana bilik gerakan. Cuma di Taman Kajang Putra kami turun untuk melihat
hiasan yang dibuat oleh bilik gerakan tersebut. Memang macam nak raya.
Bilik
gerakan di Bangi Lama pula dimeriahkan dengan penyokong India yang agak ramai
sehingga menyebabkan saya sendiri merasa takut dengan sokongan yang
ditunjukkan. Jadi, kami hanya menikus di dalam Hilux dan memerhati calon
bergambar dan bersalam dengan mereka. Hanya semasa berada di kawasan perumahan
mereka, kami turun bagi mengedarkan manifesto dan mendengar ucapan sebentar
dari calon DAP. Itupun saya duduk rapat dengan auntie-auntie 2, 3 orang yang
turut keluar mendengar kempen. Takut ada yang histeria pula nanti.
Di
Taman Damai Mewah, Kajang, penyokong Cina memenuhi hadapan trailer DAP. Lebih
kurang 3000 – 4000 yang hadir di ceramah yang menghimpunkan kesemua calon DUN
bagi Parlimen Serdang. Waktu seronok melalui lautan manusia berbangsa Cina
untuk mengedar manifesto, salah seorang pengiring calon muncul secara tiba-tiba
dari arah yang tak disangka-sangka untuk membawa keluar dari lautan manusia.
Entah bila dia ikut pun tak tahu sedangkan dia iring calon sebentar tadi.
“Nanti
kena tinggal macam mana?” Kali ni saya patuh dan mengikut dia keluar dari
lautan manusia sambil memanggil rakan yang lain. Kadang-kadang kita tak selesa
diawasi, tetapi mereka lebih tahu tugas mereka. Jadi kebanyakan masa, mereka
akan sentiasa ada di sisi. Bagus juga kerana ada satu-satu waktu mereka boleh
jadi penyelamat keadaan. Semasa di Seksyen 1, ada seorang mak cik yang datang
komplen mengenai jalan yang berlubang kepada saya. Belum sempat saya menjawab, in fact saya tak tahu pun nak jawab
macam mana, pengiring calon yang jawabkan. Tetapi mak cik tersebut masih tak
berpuas hati dan membebel sehingga membuat komplen di Bilik Gerakan Seksyen 1.
Dia yang kena attack, bukan saya.
Jadi, saya selamat. Bukanlah saya nak menyelamatkan diri sendiri, tetapi dia
yang nak bertanggungjawab. Sebab itulah dia jawab.
Itu
antara pengalaman saya selaku orang perempuan yang berpeluang terlibat secara
langsung dengan kempen calon lelaki. Kalau calon perempuan saya dengar lain
halnya. Seharusnya ada juga pengiring lelaki yang mengiringi mereka ke
ceramah-ceramah atau kempen seperti mana Nurul Izzah. Ini ada yang saya dengar
calon sendiri yang memandu ke tempat-tempat kempen. Kadang-kadang diherdik dan
diusik semasa berkempen. Saya dipermudahkan mungkin kerana masih hijau dalam
politik tanah air dan bukan sapa-sapa. Tambahan pula, kawasan Bangi bagi saya rata-rata penduduk
berfikiran terbuka dan berilmu. Jadi tidak ada provokasi murahan dari mana-mana
pihak. Kami dijaga dengan baik setakat ini dan sentiasa diawasi semasa
mengedarkan manifesto sehingga tak sempat nak diusik oleh orang awam. Seronok
pula ada bodyguard walaupun awalnya
kurang selesa~ at least, berpeluang
juga terlibat secara langsung dengan kempen calon sampai malam tanpa rasa insecure. Walaupun letih, Bangi perlu
dipertahankan sebagai bandar ilmu dan ini pengalaman baru yang berguna bagi
saya sebelum pergi lebih jauh. Memikir-mikir bagaimana cabaran sebagai pemerhati pula nanti berseorangan di parlimen dan berkecuali. Indahnya hidup berjemaah~