Showing posts with label santai. Show all posts
Showing posts with label santai. Show all posts

Wednesday, October 9, 2013

Selekeh Itu Pilihan


Baru nak seronok dia dah masuk gua balik. Jadi, bersabarlah sementara tunggu dia keluar.

Saya jarang sangat tegur atau nak komen pemakaian orang di hadapan tuan badan. Hakikatnya, saya tak peduli apa orang pakai. Selagi mana kainnya tidak terkoyak tanpa disedari atau menampakkan aib, tidak ada sebab untuk saya komen tentang pakaian yang dipakai. Tapi apabila saya tak kisah, tidak bermaksud orang lain tidak kisah dengan pemakaian saya. Ada sahaja yang menjadi pemerhati dan sedar perubahan penampilan saya. Bukan sekadar sedar, malah ringan mulut nak menegur.

Kadang-kadang ia menyinggung perasaan saya. Bukanlah maksudnya saya sedih, cuma saya macam nak cakap, selagi ianya menutup aurat, cuba buat tak nampak apa  yang saya pakai hari ni. Bagilah peluang saya jadi selekeh kejap.

Hari-hari saya dah jaga imej, satu hari saya nak selekeh itu bermaksud saya memang nak selekeh. Itu pilihan. Cuba timbang rasa sikit. Kalau seseorang itu selekeh selalu setiap kali berpakaian, memang menjadi keperluan kepada kita untuk menegurnya agar mengubah cara berpenampilan. Tetapi kalau hari-hari memang seseorang itu sentiasa kemas dan pada satu masa dia selekeh, itu tandanya memang dia pilih nak selekeh atas sebab-sebab tertentu. Bukan dia tidak tahu sedangkan memang dia seorang yang menjaga imej. Sebab itulah kita tak boleh nak tegur ikut rasa kerana kita tak tahu keadaan dia. Saya berfikir sedemikian.

Kalau saya pakai jubah tidak berseterika, seluar panjang terjulur keluar, tudung macam mak cik- itu tandanya memang saya nak pakailah. Dan saya sedar itu selekeh.

Dalam hidup ni, kita perlu faham prinsip peluang dan ruang. Manusia bukan robot. Mereka sentiasa menginginkan peluang dan ruang untuk mencuba sesuatu. Bagilah peluang dan ruang berikut sesuai dengan limitasi yang diletakkan dalam agama. Tidak perlu terlalu konservatif dan ortodoks dengan fahaman masyarakat atau norma sosial.

Sebagai contoh, kalau sesama wanita auratnya hanyalah dari pusat sehingga ke lutut, maka berilah kebebasan untuk dia memakai apa sahaja jika berada bersama wanita. Kenapa perlu dihalang dengan alasan tak sopan, malu, tak pernah dibuat orang dsb? Halangan hanya akan membawa kepada pemberontakan. Beri peluang dan ruang selagi mana ianya tidak melanggar batas syariat.

Dulu masa kecil-kecil, saya tak suka basuh periuk yang besar di sinki. Saya hanya akan basuh pinggan dan benda-benda kecil. Mak tak pernah paksa. Dia suruh tinggalkan yang besar biar dia yang buat. Itu merupakan ruang yang diberi sehinggalah saya bersedia membasuh semuanya tanpa disuruh. Dulu saya tak suka besiang ikan sebab busuk. Mak tak pernah tegur atau marah kata anak derhaka atau tak dengar kata atau apa sahaja. Dia bagi ruang sehingga satu masa saya yang buat semua dari besiang sehingga memasak. Sebabnya kalau saya tak buat yang ini, tidak bermaksud saya tak buat yang itu. Jadi dia bagi ruang. Saya pakai tudung sejak dari PASTI umur enam tahun. Masa Darjah Satu, ada satu hari mak bagi peluang saya tak pakai tudung satu hari ke sekolah. Balik dari sekolah Pak Ngah marah sebab tak pakai tudung. Sedangkan budak Darjah Satu bukannya baligh lagi. Orang dewasa tahu perkara ni. Lagipun, saya sendiri yang rasa pelik dan lebih selesa bertudung.

Bagi dia ruang untuk gagal sekali sekala, bagi dia peluang untuk berusaha lagi. Semua orang perlukan ruang dan peluang dalam hidup ni. Agar dia dapat memilih yang terbaik kemudiannya.

Apabila manusia diberi ruang dan peluang, mereka dengan sendirinya akan rela hati melakukan apa sahaja permintaan sebagai penghargaan atas timbang rasa yang seseorang bagi kepada mereka.

Jadi, saya perlukan ruang untuk selekeh juga sekali-sekala, sebab dengan itulah saya sentiasa bersemangat untuk kekal anggun berseri~ Alahh… selalunya pemakaian saya bergantung kepada urusan saya. Biasalah tu…wallahualam. Cubalah fahami diri ini



Thursday, October 3, 2013

Rumahku Syurgaku


Kenapa saya suka rumah saya? Sebab…

Situasi di Bangi, sentiasa menggelupur kepanasan. Serius panas dia menggigit kulit walaupun pukul 5 petang. Rasa macam bila-bila masa sahaja boleh kena strok panas.

***

Pergi Langkawi pun sama. Panas menghitamkan. Tapi, Alhamdulillah hanya sehari panasnya. Hari kedua dan ketiga, hujan juga di beberapa tempat. Satu hari dah boleh pusing pulau. Merempit dengan motor sekali sekala memang menyeronokkan. Masih mahir memegang handle motor rupanya. Pengalaman pulang naik bot musim-musim hujan ni memang tak dapat dilupakan. Dalam banyak-banyak kenangan manis yang dicipta, kenangan pahit juga yang merosakkan memori. Sewaktu keluar dari kereta sahabat, ayahnya berpesan;

‘Laut tengah beralun, jaga-jaga nanti muntah.’

Saya ingat saya takkan melalui perkara tersebut dan mengambil ringan pesanan pak cik. Lagipun, selama ni belum pernah muntah hijau lagi waktu atas bot. Sudahlah kehujanan semasa pulang dari Makam Mahsuri, memang tak sempat nak buat apa-apa terus balik.

Bot pulang tidak sama dengan bot saya datang. Keadaan di dalamnya lebih sesak. Dapat pula tempat duduk di tengah-tengah dan tersepit, saya memang berada dalam keadaan yang tak selesa dengan pakaian agak lembap.

Waktu bot membelah lautan, saya cuba untuk tidur seawal mungkin seperti mana waktu saya datang. Cubaan saya gagal sebab ada seorang akak di sebelah saya begitu ramah untuk menceritakan setiap inci kehidupan dia kepada saya. Saya tak minta pun. Saya hanya menegur dia untuk tahu nombor tempat duduk dia. Sekali dia buka mulut cerita tujuan dia di Langkawi dan seterusnya.

Bagaimana dia merupakan isteri kedua, baru setahun berkahwin, perasaan takut tak disayangi satu hari nanti, suami orang tu suka sangat dekat dia, hantaran RM 18 000, berjumpa masa dia kerja di Langkawi dan berkawan biasa semasa masing-masing masih bujang (menjadikan semakin kuat perasaan tak suka saya kepada sikap suka berkawan berlainan jantina walaupun kononnya KAWAN BIASA!- inilah punca masalah di kemudian hari...kenapa orang tak faham yang antara lelaki dan wanita tidak ada istilah berkawan kecuali urusan penting? Memang la..),  kemudian dia berkahwin dulu dan lelaki tu frust sewaktu pulang belajar dari England dan dapati dia dah kahwin, kemudian lelaki tu  pun berkahwin. Kemudian akak tu bercerai dengan suami pertama dia dan lelaki  yang sudah berkahwin tadi nak ambil dia jadi isteri. Alasannya, isteri dia tak pandai layan dia. Macam mana seorang manusia boleh ceritakan kisah peribadi dia kepada orang asing dalam masa tak sampai 1 minit kenal? Akak tahu tak akak dah menyebabkan saya semakin takut dan tak suka kat lelaki?~(maaf, iklan sebentar.)

Keadaan bot pada masa itu ibarat roller coaster dipukul alun. Bezanya roller coaster ni sampai dekat 2 jam. Sekejap bot naik tinggi dan tiba-tiba menjunam tajam macam nak masuk ke dalam laut sebelum naik kembali. Kiri kanan teroleng-oleng. Dengan bau wangian akak tu yang menusuk hidung, saya dah kepeningan. Ditambah pula suara dia bercerita yang masuk ke kepala, isi dalam perut saya tiba-tiba beralun juga.

Saya pandang pak cik sebelah. Dari tingkap bot kelihatan air laut beralun ganas paras tingkap. Semakin pening. Jangan tengok.

‘Pak cik, saya rasa macam nak muntah.’

‘Hmm...’ Jawab pak cik tu. Tu je? Hmm?

‘Saya tak suka muntah, nanti sakit..’

‘Hahaha.’ Saya tak buat lawak la pak cik. Muka saya kelat. Pak cik  ni tak bersimpati langsung. Memang la…

‘Dah 3,4 hari laut beralun macam ni.’

Tu jelah respon dia yang paling panjang. Satu pun tak bersangkut keadaan saya. Kot-kot la nak bagi tips sebab sebolehnya saya tak nak muntah. Nanti sakit. Saya cuba guna tips yang saya tengok dalam drama Korea. Penipu. Tak hilang pun. Memang akhirnya saya terpaksa muntah juga. Kali terakhir muntah masa keracunan Tahun 2, saya muntah kembali. Saya muntah sampai saya rasa macam perut saya nak keluar dari mulut. Badan dah mengerekot dah. Terdetik, macam ni perasaan nyawa nak keluar dari badan. Nak bernyawa pun tak lepas. Menangis la juga setitis dua. Akak kat sebelah tu tolong tepuk-tepukkan belakang, bagi minyak cap kapak dan mentos. Saya selalu rasa saya akan sihat jadi tak pernah bekalkan apa-apa ubat pun kalau pi mana-mana. Perasan kuat. Saya ingat saya boleh kawal diri dari jatuh sakit, tapi gagal.

Geram juga dengan keadaan yang sempit, akak yang banyak bercakap, bau minyak wangi dia (tapi juga berterima kasih sebab bantu). Semua tu menyumbang kepada simptom pertama nak muntah. Kalau naik roller coaster, walaupun pening, tetapi keadaan yang teruja, bebas nak ketawa keseronokan masa turun naik menyebabkan kita tak rasa nak muntah berbanding keadaan duduk statik sebegini. Betullah laughter is the best medicine. Masa kita ketawa, ia sebenarnya membantu penghasilan antibodi. Kita enjoy the riding.

Macam waktu naik roller coaster di Times Square, memang sakan ketawa. Turun pening terhuyung hayang beli jus oren lepas tu sambung naik tomahawk, lepas tu sambung lagi dan lagi dan lagi semua yang ada di situ. Saya bukannya apa, jatuh imej bila muntah ni~such an embarrassing sight to behold…

Budak-budak tak ada yang muntah sebab diorang menjerit seronok waktu bot teroleng-oleng. Masa pening-pening tu saya rasa macam nak keluar dari kabin tu dan lari atas dek tengok laut. Baru tak rasa nak muntah macam pergi Pulau Jerejak hari tu. Bolehlah ketawa puas-puas. Tapi nanti kang tak pasal-pasal terpelanting dalam laut. Dah la tak pandai berenang. Ini duduk dalam tempat sempit dengan orang ramai. Pengaliran udara tak baik. Memang perasaan saya sangat tak best dan akhirnya saya tersandar tidur juga sebab badan dah lembek.

Pesanan ringkas dari penaja, jangan pergi pulau waktu musim tengkujuh atau hujan.

Peliknya, lepas turun dari bot terus hilang perasaan nak muntah.

(masa sihat bolehlah nak poyo)

***
Kembali kepada topik asal. Saya mengambil masa lama bertapa di rumah sebab di sini musim hujan…. BAHAGIAnya! Bermula selepas Subuh, hujan turun dengan lebat sampai pukul 11 lebih. Berhenti sekejap kemudian lepas Zohor sambung pula sampai Asar. Berhenti sekejap, sambung pula lepas Maghrib sampai tengah malam. Berhenti dan kemudian sambung pula selepas Subuh. Begitulah selama beberapa hari sehinggalah hari saya terpaksa berangkat pulang. Langit mendung selalu. Tangan dan kaki sentiasa sejuk sampai terasa ke tulang. Kadang-kadang saya pandang langit dan terfikir bila-bila masa sahaja salji boleh turun~

Musim hujan tandanya musim menyemai padi di utara tanah air. Di belakang rumah kedengaran bunyi traktor membajak sawah sebab bendang dah penuh air jadi tanah lembut. Malam-malam katak dendangkan lagu serangkap dua buat peneman lena. Patutlah saya suka sangat berada di kampung. Aroma hujan dari bendang sungguh mengasyikkan…

Di Bangi, malam-malam sunyi sepi dari suara binatang selain dari bunyi tikus berlari atas siling.

Sekadar selingan...

Cerita pasai musim padi ni, teringat kakak angkat saya pernah beritahu ciri-ciri lelaki idaman dia ialah lelaki kampung. Kulit sawo matang dibakar matahari, kerja bendang, tangan kasar…haha. Patutlah sampai sekarang belum berpunya. Mungkin belum berjumpa ciri-ciri yang diimpikan. Nak jumpa macam mana, dia duduk di KL. Lagipun, tengok orang yang kerja bendang semua orang tua-tua. Tak ada pun orang muda macam dalam drama tu. Alasan dia lelaki macam tu pandai berdikari, bertanggungjawab dan gagah. Lucu. Kalau saya, saya tambah lagi satu kualiti- rajin membaca. Bukan apa, kalau tak nanti bosan bila bersembang dengan dia asyik cerita tentang bendang sahaja~ katak bawah tempurung is a big no, no.

Tapi baru-baru ni saya pernah terbaca dalam akhbar seorang lelaki melawan 5 orang perompak yang masuk ke rumahnya. Walaupun mereka bersenjata, dia lawan juga sebab nak melindungi mak dan adik perempuannya yang kena kepung dengan perompak. Selepas perompak tu lari baru dia sedar tangan dia kena tetak sampai nampak tulang dan beberapa tempat lain lagi. Dia beritahu dia hanya ingat mak dan adik perempuan dia sahaja masa tu dan tak fikir diri sendiri. Lelaki tu kerja kampung. Terkesan saya baca. Dan seorang lagi senior pernah beritahu tak kisah kalau dapat lelaki kampung tak habis sekolah pun asalkan dia tahu tanggungjawab dia daripada lelaki yang berpelajaran tetapi main-main dengan hati perempuan. Kalaupun saya tidak bercita-cita seperti mereka, tetapi saya tahu perasaan yang dicari~ ketenangan dan dilindungi. Ini yang saya rasa semasa di kampung.

Apa diharap padi seberang,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Apa diharap kasihnya orang,
Dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.

Rindu dekat kampung macam rindu dekat kekasih… tinggal sekejap dah rasa rindu…


Saturday, August 3, 2013

Mood raya

Hari ni ditinggalkan keseorangan di UN. Warga UN ada yang sudah pulang ke kampung halaman sejak dari pertengahan bulan puasa. Semalam baru hantar seorang sahabat ke Hentian Kajang untuk pulang ke Pantai Timur. Warga UN selebihnya yang masih belum pulang ke kampung halaman, pergi shopping barang-barang raya di Jalan TAR hari ini. Saya diajak, tetapi saya memilih untuk berada di rumah. Diorang pergi pun waktu tengah hari tadi.

Saya      : Tengah hari baru nak keluar, panas time ni nak jalan-jalan..
Sahabat : Gini la orang perempuan, panas-panas pun sanggup... (sambil ketawa)


(jalan tar)

(VS)

(Jalan TAR)
~saya lebih suka jalan tar yang kat atas~

Saya tolong sambungkan, sanggup sebab nak shopping. Ayoo...sudahlah panas, sesak pula dengan manusia. Tambah-tambah nak dekat raya ni. Saya bukan orang perempuan gamaknya, tak sanggup bergelumang dengan manusia-manusia semata-mata nak shopping.  Awal puasa hari tu, kebetulan saya ada mesyuarat di Masjid Jamek, KL dengan sahabat Gamis, jadi sesudah mesyuarat saya dan seorang sahabat jalan-jalan di Jalan TAR mencari sandal. Nak mencari sandal jer pun kena masuk keluar kedai sebab tak jumpa yang berkenan selain harga dia terlalu mahal. Kalah nak cari kasut Cinderella. Dari Pasar Seni ke Jalan TAR, ke Sogo, ke mana ntah lagi pasaraya, baru jumpa. Itupun sahabat saya nak bawa lagi ke tempat lain. Lenguh kaki-kaki berjalan dalam hujan merempuh manusia-manusia yang macam semut dengan pelbagai bentuk dan keadaan. Nasib baik hujan, sejuk la juga walaupun keadaan jalan yang becak. Memang serik. 

Saya tanya macam mana la dia tegar bershopping di Jalan TAR yang penuh dengan manusia pelbagai rupa tu. Dia bagitahu, dari kecil lagi dia selalu shopping di sini sampai hati dah jadi kering melihat gelagat manusia. Saya tengok manusia yang kurang bernasib baik, hilang mood nak membeli-belah. Dia boleh gelak-gelak lagi. Memang hati kering. Jadi saya memang tak nak pergi dah kecuali jika memang ada hal di sana. Banyak lagi tempat lain boleh shopping dengan tenang.

Beruntung kain untuk baju raya tahun ni semua mak saya yang borongkan siap-siap dengan kakak. Saya tak masuk campur langsung. Kalau dahulu masa kecil-kecil saya jenis yang cerewet. Baju saya, mesti saya sendiri yang pilih. Orang lain pilih semua saya tak berkenan. Sampai satu tahap mak saya merajuk sebab saya tak nak pakai baju yang dibelinya. Yer la, bukan saya tak bagitahu, saya dah cakap jangan beli baju kalau saya tak ada sekali. Sebab saya mesti tak berkenan sama ada dengan corak atau warna. Baju t-shirt pun tak boleh. Tapi bila mak dah merajuk, saya pakai la juga. Terbukti baju t-shirt tu sangat seksi. Menyesal saya walaupun masa tu masih di sekolah rendah. Entah ke mana saya hilangkan baju tu.

Bila dah besar-besar ni, mak macam dah faham corak dan warna yang saya suka jadi saya dah tak banyak songeh dah. Redha jer. Kakak dari dulu senang sebab dia suka warna hijau, jadi belilah apa corak sekalipun, asalkan hijau semua jalan. Saya ni susah sikit sebab ikut sedap mata memandang.  Jadi tahun ni mak borong 4 pasang kain untuk saya dari merata alam. Rasanya yang terbanyak sepanjang hidup ni. Mungkin sebab saya dah boleh pakai baju yang dia belikan, jadi dia semangat nak membeli lagi. Ada yang dari Kelantan, peniaga kain, dan Jakell. Hah, tahun ni mak berjinak-jinak dengan Jakell. Sebelum-sebelum ni selalunya dibeli kain dari Nagoya atau Kamdar, tahun ni nak cuba pula tempat baru. Sempat saya temankan dia shopping kain nak buat langsir pintu, sampai terduduk sebab lenguh kaki. Abah dari awal lagi dah berehat dalam kereta.

"Aii...macam mana nak shopping ni, tak dan apa-apa dah duduk." kata mak.

Saya suka shopping dengan mak sebab dia pandai tawar harga. Kalau masa kecil macam malu tengok dia dok bergaduh dengan Cina, tapi bila dah besar-besar saya lebih suka tunggu balik Penang nak beli apa-apa barang pun sebab mak memang arif tempat shopping murah di Penang ni. Dan tempat shopping yang dituju bukanlah sesak dengan manusia pelbagai jenis seperti Jalan TAR. Lebih tenang untuk memilih dan belek-belek. Peniaga kalau tengok mak mesti nak bagi murah. Kalau dengan sahabat-sahabat, diorang ni asal berkenan terus beli walaupun bagi saya, ada lagi tempat murah. Err... kalau sembang pasai shopping memang tak habis la kan~ saya masih seorang perempuan rupanya...

Ringkas cerita, tahun ni boleh dikatakan saya tak shopping barang-barang raya. Baju mak belikan, tudung beli online dan dari kawan-kawan. Saya rasa ok begini. Lebih tenang. Kalau ikutkan saya, sambut raya tak perlu la nak bersangatan semua benda. Cukup sekadar sembahyang raya dan kemudian mungkin ziarah saudara terdekat. Risau kalau seronok sangat, mesti sedih kemudiannya. Nauzubillah... Bersederhana itulah yang terbaik. Dalam apa-apa hal, saya memilih untuk tidak mengikut mood masyarakat sekeliling dan lebih suka tunggu dan lihat sebelum memilih tindakan seterusnya. Bagi saya, masyarakat sekarang macam lalang, tak perlu lihat di luar, dalam FB pun boleh tengok. Kita boleh lihat siapa yang selalu menjadi lalang dan terikut-ikut dengan isu yang bertiup dalam FB yang belum tentu hujung pangkal. Prinsip berita itu perlu diselidik, bukan disebar2. Segelintir sahaja yang mempunyai pendirian dan prinsip tersendiri dalam meneliti sesuatu berita atau isu. Wallahualam...


(Saya fikir malam semalam Lailatul Qadar- malam ke-25 Ramadhan)



Menikmati hari-hari Ramadhan yang masih berbaki...

Sunday, July 28, 2013

Cahaya Dhuha



Cadangnya pagi tadi nak melihat mentari dhuha terbit melalui tingkap bilik sambil menaip entri terbaru. Namun, end up duduk di Masjid Hasanah mendengar pengajian kitab. Teringat dulu selalu dengar kuliah Subuh Ustaz Azli di Irshad. Guru Bahasa Arab yang berjaya buat saya dapat A dalam SPM sebab takut nak tidur dalam kelas dia. Penyampaian dia serius, tenang dan suaranya serak-serak basah. Jangan harap dia nak buat lawak macam UAI. Katanya banyak ketawa dalam majlis ilmu tak memungkinkan ilmu tersebut diingati dengan baik. Sebabnya nanti keluar dari surau dah terlupa sebab banyak gelak semasa mendengar kuliah. Syaitan juga akan memenuhi majlis tersebut. Wallahualam. Dia berkelulusan Universiti Madinah. Jadinya, setiap kali dia bagi kuliah Subuh, ramai manusia terutamanya muslimat yang syahid di belakang. Bergelimpangan macam para syuhada' di medan perang dalam telekung putih mereka. Kalau yang malu sikit, bersandar di bahu sahabat sebab nak cover. Saya antara mangsanya. Boleh saya katakan, habis saja kuliah, hanya beberapa kerat sahaja yang survive. Sahabat saya cakap, setiap kali saya dengar kuliah dia, mata saya akan bersinar-sinar, sebab tu saya tak mengantuk. Saya seronok sebenarnya dengar kuliah dia. Sahabat-sahabat cakap kuliah dia boring dan mengantuk sebab suara dia senada. Masing-masing ada pendapat sendiri, tapi saya suka keseriusan dalam penyampaian ilmu. Menunjukkan perkara tersebut penting dan perlu diberi perhatian. Tak tahu ke mana saya hilangkan buku koleksi kuliah dia selepas habis belajar. Oh ya, ada seorang junior ni jumpa kemudian berkeinginan menyimpannya, jadi saya halalkan saja. Entah apa-apa yang diconteng. 

Saya ceritakan sebab banyak juga muslimat yang sudah memejamkan mata dan tersengguk-sengguk dalam kuliah Subuh ni termasuklah orang sebelah saya yang semangat nak datang~

Kalau tonton drama pula, saya tak suka drama yang sedih-sedih, serius-serius. Seringkali saya cakap kepada sahabat yang selalu menonton drama- hidup kita ni dah terlalu sedih dan serius untuk kita tonton pula drama sebegitu. Kalau mengikut nasihat Syaikh Dr. Aaidh Abdullah Al-Qarni dalam You Can Be The Happiest Woman In The World, beliau memang melarang wanita daripada melihat soap opera sebab ia boleh mempengaruhi emosi dan merosakkan pemikiran. Kalau ikut mak saya, dia larang tonton drama waktu mengandung, sebab nanti anak keluar jadi perangai macam dengan yang kita selalu tonton. Kalau drama nangis, anak keluar selalu menangis, kalau selalu menjerit, anak pun selalu menjerit. Lucu pun ada, tetapi mungkin ada benarnya. Kadang-kadang saya cuba juga duduk dan tengok dengan sahabat-sahabat, tetapi tak lama. Sakit jiwa dengan kebodohan yang disengajakan.

Sebenarnya, entri kali ni bukan nak cerita tentang kuliah Subuh, tetapi pengalaman berbuka puasa semalam di Stadium Tertutup MPSJ. Ameerah dijemput untuk bersama-sama dengan anak-anak perantau Kelantan berbuka puasa sebagai penghargaan kerana membantu semasa PRU. Dengarnya YB Mumtaz dah tempahkan meja untuk Ameerah, jadi saya pun pergi ditemani seorang sahabat. Sampai di sana, tidak kelihatan sebarang meja. Yang ada hanyalah bungkusan makanan di atas tikar. Usai solat Maghrib, barulah boleh menghadap hidangan. Saya tanya salah seorang akak di situ, mana YB Mumtaz. Selalunya dalam kalangan Ameerah, beliau dikenali sebagai Kak Taz saja. Tapi saya rasa canggung nak panggil memandangkan tak kenal rapat pun dengan beliau. Sekali akak tu tunjukkan di sebelah saya. Terkejut juga melihat beliau berada di sebelah saya selang dua orang. Bersila atas lantai dan makan nasi bungkus. Sempat saya tengok beliau tertumpahkan air sirap dalam cawan plastik... Tak kira lagi sekalian MB dan Exco-exco Negeri Kelantan yang turut berbuat perkara yang sama-bukan tertumpahkan air, tetapi makan bersila...




Saya tak tahu nak ulas macam mana. Even PKR pun majlis berbuka puasanya dibuat dengan rasmi dan makan di atas meja serta dilayan oleh caterer walaupun sekadar majlis dalaman. Tak payah cakap UMNO yang memang dok perabih duit rakyat. Memang sempoilah VVIP PAS ni. Mungkin sebab majlis ni bersifat anok-beghanok, jadi protokol tidak menjadi isu. Cuma saya terfikir satu perkara yang pernah dibangkitkan oleh beberapa individu mengenai jauhnya PAS untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan golongan korporat yang bukan Islam kerana mereka lebih selesa dengan pimpinan PKR. Kadang bukan isu besar yang menjadi masalahnya kerana kita juga mempunyai golongan profesional dan korporat untuk membincangkan apa-apa sahaja isu, cuma kita masih berbeza dunia untuk boleh duduk bersama dan mencapai persefahaman. Kita boleh duduk bersila, mereka nak duduk atas meja. Kita boleh berkongsi, mereka nak privasi. Kita boleh sembang suka-suka, mereka bermuka-muka. Jadi, kalau isu protokol ni, pada pendapat saya, kalau pun pimpinan kita ni memang zuhud orangnya, menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati mereka. Walaupun mereka tak kisah, tetapi menjaga imej mereka bukankah perkara yang boleh membawa kebaikan juga? Sempoi sangat pun kurang berkesan sebenarnya...menyebabkan pemimpin kita tak stand out dalam kalangan pimpinan Pakatan. Bukan salah mereka, tetapi salah kita yang melayan mereka lebih kurang. Kalaupun kita nak berbeza dengan mereka, kita perlu bijak jadikan perbezaan tersebut sebagai sesuatu yang eksklusif bukan inklusif. Mungkin nanti mereka akan merasa kagum dan ingin bersama-sama menjadi seperti pemimpin kita. Wallahualam...

p/s: ini sekadar pandangan kecil penulis yang merupakan orang luar dari anok-beghanok Perakan dan menjadi pemerhati. Mungkin itu merupakan kekuatan eksklusif mereka- ikatan erat antara pemimpin dan rakyat yang tiada bandingan.

Saturday, July 20, 2013

Nasi & mafia

Marahkan ayam, nasi diboikot. Cukup 10 malam memboikot nasi sebab tak nak badan rasa berat nak beribadat. Tapi kalau dah sampai nak gastrik, tak jadi nak boikot sebulan. Sahabat serumah dah pakat bising suruh makan sikit. Jadi, malam ke 12 ni saya jamah la dua tiga sudu. Dah kurang sakit di perut. Sendiri cari pasal. Takut juga nanti jadi gastrik (tak tahu macam mana rasa), mau pengsan...sia-sia tak boleh berpuasa pula. Bila dah makan nasi, tiba-tiba bernafsu pula nak bercerita di blog~~ susah-susah.

Kalau dah keturunan tulang rangka besar, tak makan macam mana pun, masih nampak besar. Tak jadi macam zombie pun. Geram juga. Saya fikir saja nak bereksperimen dengan badan sendiri. Orang cakap nasi lah penyebab kegemukan. Ini bukan masalah nak kurus sebab nak cantik, tetapi nak kurus supaya badan rasa selesa. Rasa ringan saja. Tak perlu tunggu orang tegur kita ni gemuk, tapi kita sendiri sedar keperluan memiliki bentuk tubuh yang menambahkan keyakinan dan keselesaan diri. Jadi terpulang kepada individu masing-masing sama ada nak berpuas hati dengan badan sedia ada atau ubah gaya pemakanan. Tak perlu beli Herbalife untuk kurus, cukup sekadar pandai menjaga pemakanan. 

Sebenarnya kalau berada di kampung barulah saya boleh kurus. Kalau ada di Bangi, kitaran biologi tak stabil sebab tak boleh nak praktik apa yang dibuat di rumah. Terbalik pula bagi sesetengah orang. Diet yang seimbang ialah makan nasi sekali sehari pada waktu tengah hari, ambil sarapan dan jangan tinggal, minum air mineral banyak-banyak dan tidur awal. Itulah rahsianya. Tapi tak boleh nak buat kat sini sebab tidur selalu lewat, sarapan selalu skip sebab gabung dengan makan tengah hari dan kena makan malam sebab orang rumah selalu masak lewat. Macam mana nak kurus. Jadi, bulan puasa inilah peluang terbaik untuk buat perubahan drastik dan inilah kesannya. Modus operandi kurang berjaya sebab hampir kepada mudarat.

***
Pulang dari tarawih di surau belakang rumah, kelihatan kanak-kanak bermain mercun. Kali terakhir saya main mercun adalah masa sekolah rendah. Menjadi rutin abah untuk spend dalam rm50-rm100 untuk beli pelbagai jenis mercun dari kawannya. Sebab anak lelaki ada tiga. Jadi, adik-adik tidak perlu seludup pergi beli mercun sangat walaupun ada yang buat begitu. Dan selalunya selagi belum raya, abah akan bagi sikit-sikit sahaja untuk dimainkan. Itupun main sekali dengan abah selepas berbuka puasa atau selepas tarawih. Selalunya dipantau. Abah selalu buat kejutan malam raya dengan mengeluarkan mercun-mercun yang dibeli dari kawannya. Memang teruja habis adik-adik saya. Dan agenda tu sentiasa dinanti-nanti sehinggalah semua dah besar dan abah dah bersara. Saya? Hmm... tak ada perasaan. Saya dah bersara dari main mercun selepas dari sekolah rendah. Dah tak main dan tak hingin pun tengok diorang main. Dah puas main masa kecil-kecil.

(mercun lada ni akan diasing-asingkan satu-satu sebagai senjata)

Masa kecil-kecil kami adik-beradik akan bermain dengan sepupu di kawasan sawah padi. Musim raya selalunya bersamaan dengan musim padi dituai. Rezeki Allah s.w.t bagi dalam bulan Ramadhan kepada pesawah. Boleh buat belanja masa Hari Raya. Jadi selepas padi dituai, tinggallah jerami menimbun dalam petak bendang/sawah. Itulah tempat kami berperang aka main mercun. Selalunya mercun yang digunakan ialah mercun lada. Masing-masing ada geng dan pemetik api beserta mercun lada. 

(jerami yang terhasil selepas padi dituai-belum dibakar)

Kawasan sawah padi akan jadi medan peperangan. Jerami tersebut akan disusun-susun untuk buat kubu sebelum perang. Kemudian semasa perang berlangsung, mercun akan dicucuh dan dibaling kepada musuh. Nasiblah kalau kena. Kena baling cepat sebab sumbu dia pendek. Entah macam mana saya pun boleh jadi mafia. Memang terjerit-jerit melarikan diri dan memberi arahan sambil menyorok di sebalik jerami sebab takut kena mercun. Lagi best dari main paintball. Dan itulah kali terakhir saya main mercun. 

Tapi masa sekolah rendah memang saya selalu berlagak mafia. Tambah-tambah pula bila ada geng yang nak mengikut. Mafia-mafia saya pun saya tak berkawan dengan orang lelaki. Tak pelik sebab mafia mana berkawan dengan bukan gengnya. Bagi saya lelaki adalah makhluk asing yang tidak boleh didekati sebab nanti menyakitkan hati. Tengok pun dah berbulu rasanya. Kitorang jadi tukang gelak setiap kali dengar cerita orang lelaki bergaduh berebutkan orang perempuan. Sedangkan mereka kawan baik. Pathetic bila sanggup korbankan persahabatan sebab orang perempuan. Macam drama. Lagi drama apabila ada orang yang sukakan kita dan dengan serius menyatakan hasrat. Siap bagi hantaran. Saya gelak guling-guling atas lantai sekolah apabila ada kawan bagitahu. Bagi saya orang lelaki yang mudah beritahu dia suka kat orang perempuan adalah tak macho langsung. Dan begitu juga sebaliknya. Dan pandangan saya itu terbukti apabila individu-individu sebegini sentiasa bercinta dan putus cinta dengan orang yang berbeza apabila sudah dewasa. Dia sudah menjadi janda cinta sebelum masanya sebab sibuk bercinta masa kecil. 

Hidup ni penuh dengan agenda yang lebih menarik untuk diisi sesuai dengan umur daripada buang masa berlagak matang sebelum masanya. Mafia-mafia kawan saya pun, sekarang ni apabila sudah sampai masanya, dah berkahwin dan beranak-pinak. Sayalah mafia yang sejati sebab tak kahwin-kahwin sampai sekarang. (inilah masalahnya apabila sudah matang-tak ada tajuk lain yang nak disentuh~) Kadang-kadang saya terlupa yang saya ialah mafia sebab dah kurang lontaran kritikal. Kalau dulu saya mungkin tak peduli, sekarang ni dah kena jaga sensitiviti pihak tertentu. Rasa mencengkam sikit otak ni sebab tak boleh nak jadi kejam terutama terhadap makhluk asing. Mungkin juga sebab sahabat-sahabat semafia saya semua sudah dan bakal diculik *makhluk asing, jadi saya sudah kurang kemafiaan sebab apalah ertinya **mafia tanpa geng...Selamat mengejar keampunan dari Allah s.w.t.

--kadang-kadang rindu zaman mafia-mafia dulu--

*makhluk asing ini tidak ada kaitan dengan definisi makhluk asing mengikut wiki, ET, dalam TV dll.

**mafia ini tidak ada kaitan sama ada hidup atau mati dengan mana-mana mafia yang ada dalam wikipedia dll.


Saturday, July 6, 2013

Majlis Pertunangan

Bilik JKKK Kg Alma & Bukit Minyak

Majlis Pertunangan

Saya sudah banyak kali meninggalkan majlis-majlis kahwin sepupu untuk tahun ni- Abang Jiji, Halim. Dan tahun-tahun sebelum ini. Tapi disebabkan sepupu saya sendiri yang bersungguh-sungguh minta saya tolong dia, jadi saya turun hujung minggu ni. Lagipun kami sebaya. Tapi akhirnya, kakak saya yang lebih banyak membantu- teman dia beli hantaran, buat hantaran dan sebagainya.

Saya sampai semalam, dari jauh dengar suara mak yang ceria berborak dengan adik-beradik perempuan yang lain sambil menggoreng ayam. Sampai tak kenal saya yang sampai. Kebetulan bertukar spek mata. Ada Mak Ngah, Mak Teh, Kak Com, Mak Lang, Mak Cik, dan Kak Ja. Cakapnya ni Jejak Kasih Bersamamu. Sampai jam 12 malam baru yang lain beransur-ansur pulang sementara menunggu hari ni.

Hari ni, sementara menunggu rombongan pihak lelaki, yang lain sudah berehat. Tak boleh nak cerita banyak sebab ada sorang budak kecil sebelah saya , Ammar yang sibuk nak tengok cerita Ultraman. Habis disepah-sepahkan kad nama Mak Teh sebab protes saya ganggu dia tengah tengok cerita Ultraman dan Upin Ipin. 

Jadi bila jarang-jarang pergi majlis sebegini, adalah alasan saya nak meletakkan gambar di sini. 

(Tok Wan Abu yang serius)


(hantaran sebelah pihak perempuan)


(Abah yang sedang bersantap buat kali ke-2)

Tuesday, April 23, 2013

Menjadi Bujang



Sebagai satu selingan di tengah kekalutan kempen pilihan raya, saya berkongsi satu pengalaman gerak kerja bersama dua kelompok manusia iaitu muslimat dan pemuda.  Cerita ni bukan nak membuka aib siapa-siapa, tetapi satu isu yang saya lihat agak melucukan dan seringkali jadi bahan ketawa saya dan sahabat sehinggalah ianya terbukti benar.

Perkara ni saya sedari semasa saya diberi taklimat mengenai pergerakan kempen yang perlu dilalui oleh muslimat.  Kiranya ini sesi muhasabah mungkin.  Di akhir kalam para muslimat yang saya kagumi, diselitkan satu amaran atau bahasa lembutnya peringatan kepada kami wanita-wanita yang masih bujang ni oleh seseorang yang mungkin sebaya atau lebih tua dari ibu saya.

Peringatan tersebut ditujukan khusus kepada kami, wanita bujang ini agar menjaga tingkah laku dan tidak terlalu melayan pak cik-pak cik atau pemuda-pemuda yang sudah berkahwin. Dibentangkan kes bagi menyokong kerisauan yang mereka rasa.  Semua mata-mata muslimat yang sudah berkahwin tertumpu kepada kami yang bujang-bujang ni.  Saya rasa lucu isu merampas suami dibangkitkan dan kerisauan yang ditunjukkan tapi saya pendamkan sahaja.  Mungkin ada benarnya.  Tiada yang lucu kalau wanita mula bercakap tentang suaminya.

Dua hari bergerak kerja dengan pemuda saya nampak kebenaran kerisauan yang ditunjukkan.  Kasihan isteri mereka. Baru dua hari bergerak kerja, sudah sibuk bertanyakan pendapat kami tentang poligami.  Entah apa yang ada dalam otak mereka.  Selama 23 tahun hidup dengan abah saya, tak pernah sekali pun dibangkitkan atau disebut isu poligami.  Kalau disebut pun sebab saya yang bertanyakan pendapatnya atau mak sengaja mengusiknya.  Ini baru dua hari.  Kalau menggunakan alasan orang jemaah memang macam ni, abah saya pun jemaah juga, pak ngah saya pun jemaah, in fact keluarga sebelah abah semua jemaah, tetapi isu poligami tak pernah bermain di bibir mereka.  Tak tahulah kalau sesama mereka ada dibincangkan, tetapi tak pernah saya dengar hatta dalam bergurau pun mereka membangkitkan isu ni semasa berkumpul di majlis keramaian.  Pernah seingat saya ada satu kejadian yang membuatkan saya terfikir, poligami tak pernah pun ada dalam budaya keluarga saya.  Ada seorang sepupu abah datang dari jauh berjumpa dengan pak ngah saya.  Pak ngah saya merupakan lelaki sulung daripada anak sulung tok nek saya, jadi saudara-mara hormat kepadanya dan sering meminta nasihat dan pandangan dia dalam macam-macam hal sama ada berkaitan keagamaan atau kekeluargaan.  Kebetulan isterinya pun ada bersama, sedang sarat mengandung.  Semasa sepupu abah pergi ke rumah pak ngah, isterinya datang ke rumah kami.  Berbual-bual dengan mak.  Apa yang saya lihat kemudiannya, menimbulkan tanda tanya.  Isterinya menangis teresak-esak semasa meluahkan sesuatu kepada mak saya.  Saya hanya mampu memandang dari jauh dan tidak mendengar butir perbualan.  Tidak lama kemudian, selepas mereka pulang, abah pun balik dari rumah pak ngah.  Abah ceritakan kepada mak apa yang berlaku.  Rupa-rupanya sepupu abah nak berkahwin satu lagi.  Dengan seorang janda muda.  Katanya bagi mengelakkan fitnah sebab dia selalu berurusan dengan janda tersebut.  Tapi isterinya tak mengizinkan dengan alasan keluarga yang ada sekarang pun tak tertanggung, inikan pula nak berkeluarga baru.  Jadi dia meminta pendapat pak ngah saya.  Abah bagitahu, pak ngah nasihatkan dia supaya tak teruskan hasratnya.  Disuruh cari cara lain bagi mengelakkan selalu berurusan dengan janda tersebut, atau jangan berurusan langsung.  Rumusan abah saya, “Isteri tengah mengandung, anak 5 orang kat rumah kecil-kecil lagi dengan gaji pun tak besar mana nak kahwin lain. Nak bagi makan apa?”  Di situ saya dapat tahu, poligami ni boleh dielakkan dan abah saya antara lelaki yang tak gian pun nak berpoligami.  Bersyukur sebab sepupu abah mendapatkan nasihat daripada golongan yang tidak melihat poligami ini sebagai penyelesaian utama masalah orang lelaki ni.  Sekali bersama, selamanya setia.

 Jadi saya teramat pelik dengan lelaki-lelaki yang umur perkahwinan baru beberapa tahun sibuk bercakap isu nak kahwin lain.  Lagi geram apabila yang belum berkahwin sibuk bercakap isu ni.  Konon nak lihat pemikiran wanita berkaitan isu ni.  Seronok mengusik orang perempuan dengan isu ni.  Teruk betul pemikiran.  Bagi orang perempuan, perkara ini bukan boleh dibawa melawak.  Kasihan mereka yang dapat suami macam ni.  Jadi apabila saya diajukan pertanyaan sebegini, dalam otak saya terfikir..”Suami sapa lah ni? Teringin nak tengok isteri dia.”

Teringat kes yang diberitahu oleh muslimat kepada saya.  Sebab itulah mereka meletakkan perintah berkurung kepada muslimat supaya bergerak kerja hanya sehingga waktu maghrib.  Kebetulan semalam kami terlepas sehingga malam kerana bergerak dari tempat yang jauh.  Itu pun mereka dah mereng tanya soalan-soalan yang rasa macam nak bagi makan kasut.  Selalunya lelaki orang yang terlebih berani tanya soalan pelik-pelik sebegini.  Kalau yang bujang tu diam dan serius bekerja.  Jadinya, isu yang awalnya terasa lucu apabila dibangkitkan oleh muslimat terasa serius apabila terlihat sikap-sikap sebegini.  “Mula-mula yang lelaki tu persist, kemudian perempuan yang akan tentukan sama ada benda ni nak jadi atau tak.” Nauzubillah…

Kalau muslimat yang tua lihat pemuda bujang teringin nak dibuat menantu, lihat muslimat bujang pula terancam takut suaminya buat jadi isteri muda.  Sudahlah putih-putih, gebu-gebu katanya~Haila… lawak pun ada serius pun ada mak cik- mak cik ni.  Bagi saya, bersabarlah hati dengan kerenah dua kelompok ni… 2 minggu sahaja lagi. Masa saya untuk calon wakil rakyat sahaja sekarang ni, bukan calon suami.

Monday, January 7, 2013

Acuan



Semasa ujian sunnah dan adab sedang berlangsung…
Nureen: Ustazah…tsana tu apa?
Saya     : Awak rasa apa?
Nureen: Ntahlah…tsana saya tak tahu, sanak-saudara saya tahulah (jawab dengan muka seposen)
***
(Auni)
Saya     : Auni…pipi ustazah wangi tak?
Auni    : Pipi ustazah bau macam..emm..katak…eheheh
Saya     : Jahat!... cakap betul-betul.
Auni    : Emm..ntah. (sambil bagi senyuman nakal)
Nisrina: Bau ustazah bau sikit macam bunga ros.
Salma   : Bau macam nasi.
Saya     : Macam-macam la kamu ni… macam mana Auni tahu bau katak? Auni pernah cium katak ke? (masih tak puas hati)
Auni    : Aah. Kat rumah Auni banyak katak… (biar betul la budak ni…)

***
(anis)
Penggunaan perkataan yang tak sesuai dengan umur…
Saya     : Kenapa adik kamu Fahim macam tu?
Anis     : Tak tahula… Fahim tu stress (baru umur 10 tahun dah pandai guna stress~)
Saya     : Habis tu, kenapa Hafiz biarkan Fahim tu jumpa dengan Adila? Pi la halang…
Hafiz   : Saya dah marah Fahim tu, tapi tiba-tiba Adila tu mengganas

***
Waktu sedang sibuk mengatur dewan untuk majlis konvokesyen malam nanti. Ke hulu ke hilir memastikan dewan teratur dalam masa yang sangat terhad dengan hadiah masih ada yang belum dibalut lagi. Mubashir yang berumur 8 tahun mengekor dari belakang. Habis satu kerja yang diberikan, “Ustazah, nak buat apa lagi?” Selesai kerja, “Ustazah, ada lagi nak buat?”. Kalau tidak mengira saiz badan yang kecil nak sahaja saya suruh panjat gantungkan tirai. Saya mundar mandir ke hadapan ke belakang. Tiba-tiba dia datang block.

Mubashir: Ustazah, kenapa ustazah sombong?
Saya        : Laa…ni kenapa cakap ustazah sombong ni?
Mubashir : Ustazah sombong sangat… (sambil senyum malu-malu)

Saya fikir saya dah bagi perhatian lebih kat dia berbanding yang lain~

***

Hafiz   : Ustazah teka berapa hari saya tak jumpa ayah saya?
Saya     : Berapa hari?
Hafiz   : Dah seminggu… kesian kat saya kan? (sambil tersenyum)
Saya     : Kenapa ayah awak tak balik? (senyuman dia buat dahi saya berkerut)
Hafiz   : Kadang-kadang dia tidur di kedai.

***
Saya     : Hafiz, ayah awak mesti banggakan tengok awak ambil hadiah dan jadi pelajar terbaik?
Hafiz   : Tak tahulah… ayah tak pernah pergi pun kalau ada hari kecemerlangan kat sekolah. Mak saya yang selalu pergi kalau ada apa-apa.
Saya     :  Habis tu malam konvo ni ayah awak datang tak?
Hafiz   : Tak tahulah…nanti saya tanya mak saya.
Saya     : Awak pastikan ayah awak datang juga.
Hafiz   : Baiklah..

Dan malam itu Hafiz datang tunjukkan saya ayah dan emaknya yang berada di sudut dewan. Bertuah mereka memiliki anak yang baik dan bercita-cita tinggi walaupun kedua-duanya sibuk bekerja. Mungkin masa yang diluangkan dengan anak-anak walaupun sedikit adalah berkualiti. 

***
Malam sebelum konvo esoknya, Hafiz, Anis dan adiknya Fahim datang tolong siapkan apa-apa yang patut. Hafiz terus datang tolong dan pulang ke rumah hanya untuk solat Maghrib. Apabila ditanya mak awak tak marah ke? Dia jawab;

“Mak saya jam 12 malam baru pulang ke rumah. Masa tu saya dah tidur dah.”

Saya tahu dia tak makan malam lagi, jadi saya hidangkan makanan. Sambil-sambil tu sengaja melayannya bercerita.

Hafiz   : Ustazah tahu tak, kakak saya suka pakai baju kecik. Ustaz Syafiq cakap kalau nak tegur    kena tegur baik-baik. Tapi bila saya cakap “ Kakak cantiklah hari ini, kalau kakak pakai        baju kurung lagi cantik” terus dia marah.
Saya     : Awak cakap sebijik macam ayat ustaz tu bagi ke?~
Hafiz   : Ye lah, dia tu tak makan saman. Puas saya tegur tapi tak nak dengar. Saya cakap baik  dia tak nak dengar, saya marah dia, dia marah saya balik. Saya pernah kena tampar…
Saya     : Ye la, awak tu anak bongsu, manalah diorang nak dengar cakap adik.

***
Bukan calang-calang budak mereka ni, walaupun berumur 10 tahun dan 7 tahun, bab-bab politik dah cakna.

Fahim  : Ustazah nak tahu, Anis kalau dia nampak Najib dalam tv terus dia marah-marah cakap       BN- Barang Naik! Barang Naik! (sambil dia buat gaya tangan)
Saya     : Haha…mana belajar ni?
Anis     : Ye lah, dah mak saya PAS. Saya pun sokong PAS lah..ustazah sokong apa?
Saya     : Emm..
Hafiz   : Kalau sokong pun tak payahlah bagitahu.. kat kelas saya pun selalu cikgu cakap politik      tanya kami sokong apa. Saya tak mengaku.
Saya     : Kamu sokong apa Hafiz?
Hafiz   : Mestilah PAS, tapi tak payahlah nak bagitahu.
Fahim  : BN= Bontot Najib
Saya     : Heyyy… apa cakap camtu. Tak baik…Kat mana kamu dengar benda-benda camni?
Fahim  : Kawan-kawan saya lah.~
***
Saya tak terlepas bertanyakan soalan cepumas kat Hafiz. Walaupun dia sekadar berumur 11 tahun, tapi disebabkan matang sangat, jadi saya tanya dia;

Saya     : Hafiz, apa pandangan awak dengan orang yang kahwin dua?
Hafiz   : Ok. Saya pun nak kahwin dua juga nanti.
(saya yang berdiri mengadap sinki terus berpaling ke arah dia yang tengah makan)
Saya     : Tak kesian kat isteri awak ke? (muka tak percaya)
Hafiz     : Dah jodoh nak buat camna.. (dengan tersengih)
Saya     : Teruk..Tak naklah kawan dengan awak (saya terus blah ke depan~)

Rupa-rupanya ayah dia amalkan poligami. Patutlah jarang ada di rumah, Patutlah anak dia pun nak jadi macam tu…hu

Walaupun macam dialog novel, ini memang hasil perbualan saya dengan mereka. Memang asyik gelak sahaja dengan mereka.  Macam-macam keletah di luar jangkaan. Tapi walau macam mana pun diorang, apa yang saya belajar, anak-anak memang akan ikut, terpengaruh, ingat, tiru, refleks, copy paste, apa-apa yang mereka lihat dan dengar daripada ibu bapa mereka. Jadi kena berhati-hati dalam mencorak diri dan perilaku kerana kita bakal menjadi acuan anak-anak nanti…Wallahualam


Wednesday, October 3, 2012

Hujan di luar rumah


Beberapa minggu ni matahari sangat terik dan cuaca panas.  Nak keluar pun tak sanggup.  Prefer to be inside of the house all the time.  Keluar sahaja rasa macam kena heat-stroke.  Saya rindu kat hujan.  Utara dan Pantai Timur sekarang sudah musim hujan hujung-hujung tahun ni.  Kedah dah banjir.  Bestlah kanak-kanak di sana.  Mereka tak faham apa-apa pun.  Orang tua-tua sahaja yang susah hati bila banjir-banjir ni.

Dahulu kalau rumah sudah naik air, kami sekeluarga akan lari ke rumah Tok Jauh di Bukit Mertajam.  Itu yang bestnya.  Dapat balik rumah Tok Jauh sebelah mak.  Rumah Tok Dekat sebelah ayah di kampung seberang pun akan dinaiki air lebih awal daripada kami.  Tok Jauh duduk di kawasan tanah tinggi.  Tanah tinggi selalunya tak dinaiki air.  Kawasan bendang memang kawasan tanah rendah, jadi air mudah naik.  Tapi setelah banjir buruk pada tahun 2004, kerajaan telah memperbaiki sistem saliran dan perparitan.  Sungai Kulim di kampung diperdalamkan dan diperlebarkan.  Jadi, sehingga sekarang, banjir sudah tidak berlaku di kawasan kami.

Pernah sewaktu banjir, kami adik beradiklah yang sibuk mandi banjir dengan sepupu-sepupu.  Sudah tidak menghiraukan cakap mak;

“Mandilah banjir, air tu dah bercampur dengan air tahi pun nak mandi, tak geli ka?”

Untuk tak bagi mak risau, kami mandi di kawasan bendang di bawah pohon stoi tempat pengebumian Tompok dan anak-anak.  Naiklah rakit buatan daripada papan bulat yang merupakan tempat wayar elektrik digulung.  Sedang asyik bermain dan menumpangkan seramai mungkin penumpang, tiba-tiba datang penumpang yang tidak diundang.  Seekor ular air datang menaiki rakit buatan untuk menumpang barangkali.  Kasihan ular tersebut, kami semua tak sudi nak tumpangkan dia.  Jadi instead of ular tersebut yang dihalau, kami yang pakat lari tak cukup tanah dalam air daripada ular tersebut.  Pakat menjerit balik rumah sebab ada ular naik rakit.  Mak apalagi, tak bagi dah kami main-main air.  Air selalunya naik ke dalam rumah tak lebih dari paras betis.  Kalau rumah-rumah di kawasan Lebuh Banting yang masuk ke hujung kampung, air boleh menjangkau sehingga ke tingkap rumah. 

Selalunya hanya jalan kampung yang selamat dari dinaiki air sebab tinggi.  Jadi kereta akan diparkir di atas jalan siap-siap.  Pernah beberapa hari saya perlu memakai baju sekolah yang sudah diseterika dan kasut yang disiapkan di dalam kereta abah sebelum pergi ke sekolah.  Itu lah mak.  Banjir tetap tidak menjadi penghalang untuk anak-anak pergi sekolah.  Wajib pergi.  Kadang-kadang saya kesunyian di sekolah sebab geng-geng semua tak datang dengan alasan banjir.  Seronoklah mereka dapat main air puas-puas.  Kawan-kawan kampung saya semua pandai berenang sebab selalu mandi ban.  Saya sahaja yang tak pandai berenang sebab mak tak bagi mandi ban.  Nahas nanti.  Sekarang baru terkedek-kedek nak belajar berenang.  Abah ajar berenang di laut, tapi bila dah sampai laut tak mahu berenang sebab lebih suka naik pelampung…melalut pula~

Dahulu saya memiliki kepercayaan bahawa sekolah satu-satunya tempat yang tidak akan dinaiki air.  Walaupun kampung-kampung bersebelahan dinaiki air, sekolah tidak pernah naik air.  Malah sekolah jadi tempat tumpangan waktu banjir teruk melanda.  Tapi sewaktu di Irshad perkara tersebut tak berlaku.  Kelas saya dinaiki air bermula dari Surau Al-Ansori sehinggalah ke barisan makmal Blok A, Blok B dan Blok C.  Memang kami mengharungi air ke kelas tanpa membuka kasut dan stokin.  Kain pun tak berani nak angkat sebab ada pelajar lelaki yang lalu lalang.  Ada dalam kalangan pelajar perempuan yang berani menyelak kain sehingga ke paras yang tidak wajar memang akan disound oleh sahabat-sahabat saya.  Itu pun masih ada yang berani datang berselipar sahaja dengan alasan air.  Sampai sahaja di kelas, pakat duduk di belakang sebab jemur stokin dan kasut di bawah kipas angin yang berputar laju.  Pelajar lelaki selalunya tidak akan datang ke belakang.  Itulah untungnya sekolah agama, pelajar-pelajar lelaki dilatih untuk duduk di hadapan, bukan di belakang macam yang berlaku di universiti sekarang.  Macam mana nak fokus? Kesian...

Untuk mengubat rindu kepada hujan, tiap-tiap hari saya buka youtube dan mendengar sounds of rain and thunder.  Rasa macam hujan di luar rumah.  Terlupa mengenai cuaca panas di luar.  Tenang dan membantu saya untuk buat kerja sampai kadang-kadang terlena tanpa sedar.

Sunday, September 23, 2012

Fobia





Fobia merupakan satu kecelaruan (kawan saya cakap berdasarkan pembelajaran dia) yang ada pada seseorang.  Kita tidak boleh membiarkan individu berhadapan dengan fobianya sendirian kerana tindak balas mereka boleh jadi membahayakan keselamatan mereka dan juga orang sekeliling.  Jadi jangan ambil ringan jika ada kawan-kawan kita katakan dia takut sesuatu atau ada niat untuk mengusiknya.  Boleh jadi tahap ketakutan yang dialami ialah fobia.  Ada pelbagai istilah yang berbeza bagi fobia kepada perkara tertentu seperti;

Katsaridaphobia- fobia kepada lipas

Kadang-kadang kita malas nak layan orang yang takut kepada lipas ni.  Saya tak takut tapi tak juga berani.  Tapi kalau nampak lipas tu saya taklah terus pengsan atau menangis.  Pernah saya berhadapan dengan keadaan di mana semasa kami sedang memandu ke tempat praktikal, kawan saya di belakang memberitahu ada lipas kecil di bahu saya.  Suara dia kedengaran terketar-ketar.  Saya minta dia tepiskan tetapi dia terlalu takut.  Suaranya yang ketakutan menganggu konsentrasi rakan saya yang sedang memandu.  Akhirnya kawan saya menepis lipas dari bahu saya ke arah kawan saya yang ketakutan dengan niat nak hilangkan dari pandangan dia.  Kawan saya yang berada di belakang menjerit kemarahan dalam ketakutan.  Pada mulanya saya ingin ketawa, tetapi melalui cermin sisi kereta saya lihat rakan saya sudah menangis tersedu-sedu di belakang sambil melihat keluar tingkap.  Terdiam saya.  Tak pernah saya nampak orang takut sehingga menangis teruk macam tu.

Kali kedua semasa saya sedang memandu tiba-tiba lipas kecil tersebut sudah berada di atas cermin mata saya.  Panik, saya melemparkan cermin mata saya kepada kawan di sisi.  Hilang kawalan kenderaan sebentar.  Nasib baik kereta tidak banyak pada masa itu.  Ingatkan lipas tu dah lari, tapi dia masih berada di sisi tudung saya.  Ditakdirkan saya yang memandu, cuba kalau saya pun fobia? Sebab itulah fobia ini bukan sesuatu yang boleh dibuat bahan usikan.

Baru-baru ini, saya dibiarkan bersendirian berhadapan dengan fobia saya.  Saya fobia kepada penyengat/tebuan atau spheksophobia.  Saya selalu merasakan binatang tersebut akan menyerang saya jika saya cuba membunuhnya.  Mungkin disebabkan pengalaman dikejar dan disengat temingat semasa kecil.  Satu malam, binatang tersebut menjadi tetamu tidak diundang ke dalam bilik saya.  Merasa terancam, saya meminta tolong kakak untuk menghalau binatang tersebut.  Selalunya kakaklah yang akan membuang binatang-binatang yang menjadi tetamu tidak diundang.  Walaupun saya tahu dia pun takut juga, tetapi mungkin inilah sifat kakak.  Sentiasa berusaha melindungi adiknya.  Setelah berusaha menghalau, tiba-tiba binatang tersebut hilang.  Saya menganggap ia sudah pergi tetapi tidur saya tidak tenang pada malam itu.  Esok paginya sewaktu sedang menyapu bilik saya nampak tebuan tersebut berada di tingkap bilik.  Disebabkan terlalu takut tebuan tersebut akan menyerang saya dahulu dan niat memberanikan diri melawan fobia, saya memukul tebuan tersebut sekuat-kuat hati.  Bukan tebuan yang mati, tapi berderai tingkap bilik saya.  Terkejut seisi rumah terutamanya mak saya yang berada dalam bilik menjahit.  Tapi perkara pertama yang terlintas dalam otak saya bukan “Alamak tingkap pecah,” tetapi “Alamak tebuan tu tak mati lagi,”

Saya berlari keluar dan saya bersedia untuk dimarah.  Tetapi apabila mak mendapati saya pecahkan cermin sebab cuba membunuh tebuan, mak hanya cakap, “Kenapa tak panggil mak atau abah?” Terima kasih ya Allah kerana kurniakan mak yang sebegini memahami…  mengabaikan cermin tingkap yang pecah, mak mencari-cari tebuan tersebut jika masih ada di balik tirai.  Dipesan lagi agar berhati-hati takut terpijak kaca cermin sedangkan dirinya sendiri berkaki ayam.

Kadang-kadang saya tak tahu kenapa mak saya sayangkan saya sangat?  Boleh tak macam tu.  Kalau ada ulat sampah di plastik sampah dan saya menjerit ketakutan, mak akan tergesa-gesa datang dan membuang sampah tersebut sedangkan saya masih boleh lakukan.  Cuma perlukan sedikit kekuatan dan masa untuk hilangkan ketakutan dan kegelian.  Naluri ibu itu mendahului ilmu-ilmu psikologi dunia.  Sehingga saya terfikir tak ada mak sebaik mak saya di dunia ni.  Mak mana yang sanggup sedut hingus anaknya sendiri semasa kecil?  Saya yang melihat pun nak termuntah, tapi mak kata yang masa saya kecil pun mak buat macam tu.  Patutlah saya tidak pernah melihat adik-adik saya hingus meleleh membasahi mulut dan baju macam anak-anak orang lain. Oh my…kembang tekak.. Mak mana sanggup membersihkan hutan dan menuang minyak gas bagi mematikan semut api semata-mata nak bagi anak-anaknya bermain dengan selamat dan tidak digigit semut api.

Kesimpulannya, jangan ambil ringan jika orang sekeliling kita takut kepada sesuatu.  Kemungkinan tahap ketakutan tersebut sudah berada di tahap fobia yang memungkinkan tindakan di luar kawalan dan membahayakan diri dan orang sekeliling.

Monday, July 30, 2012

Never delay


Kalau minggu lepas sebelum memasuki bulan Ramadhan, seminggu saya dipenuhi dengan berita-berita mengenai kematian.  Namun, apabila memasuki bulan Ramadhan, seminggu pula saya dipenuhi dengan berita-berita mengenai perkahwinan.  Sama ada yang bakal berkahwin, yang nak berkahwin atau yang ada masalah nak berkahwin.  Setakat ini ada 5 jemputan kenduri kahwin yang diterima termasuk dari sepupu.  Memang perkara ini berentetan dan ianya datang dari individu yang berbeza-beza sama ada bakal berkahwin atau belum berkahwin.

Mendengar kuliah daripada Mufti Hussain Kamani, beliau menyebut sabda Rasulullah s.a.w daripada Ali r.a;
There are three things that a person should never delay,
i)                    Pengebumian apabila terdapatnya jenazah
ii)                  Solat apabila masuk waktu
iii)                Berkahwin

Tapi apa yang saya lihat sekarang ini, ibadah perkahwinan menjadi seperti ibadah haji.  Ibadah kahwin dilaksanakan hanya apabila seseorang tersebut berkemampuan dan bersedia, seperti haji.  Kalau tak mampu tak apa kalau tak kahwin lagi.  Sedangkan tuntutan untuk disegerakan adalah seperti perlu disegerakan pengebumian jenazah dan solat yang kita maklumkan bagaimana kadar segera yang dimaksudkan.  Ini lontaran dan persoalan yang timbul hasil dari mendengar kuliah tersebut.

“permudahkan, jangan persulitkan.”

Islam menyuruh kita mempermudahkan sesuatu perkara dan jangan menyulitkan.  Rata-rata rakan saya sama ada dari kecil sehinggalah membawa ke besar dan terkini rakan sepraktikal saya, merancang untuk berkahwin pada usia 26 dan 30 tahun.  Sebenarnya kalau ikut perancangan hidup yang saya buat dan dilekat di almari bilik di rumah, saya pun meletakkan umur 27 tahun.  Ia merupakan perkara terakhir yang akan saya buat.  Tetapi, as time goes by,  perancangan Allah selalunya yang terbaik dan sekarang baru saya tahu Rasulullah s.a.w menyuruh untuk menyegerakan perkahwinan seperti mana perlunya disegerakan solat dan pengebumian jenazah (ceh, macam lah dah kahwin~).  Namun, kefahaman saya masih sangat rendah saya kira kalau untuk menghuraikan hadis ini, jadi sebab itulah penulisan kali ini lebih kepada persoalan dan lontaran.

Dalam perbualan saya yang terbaru dengan rakan-rakan, kedua-duanya menggunakan alasan berbakti kepada ibu bapa dahulu sebelum memikirkan mengenai perkahwinan.  Alasan ini juga yang saya terima dari rakan-rakan perempuan yang lain sejak saya sudah pandai mendengar kisah mengenai perkahwinan.  Pandangan saya, kewajipan berbakti kepada ibu bapa merupakan satu kewajipan yang bersifat berterusan semenjak seseorang bergelar anak lagi.  Sepanjang masa kita perlu berbakti kepada mereka tidak kira walau apa pun yang terjadi dalam hidup kita dan apa pun perubahan yang kita buat.

Saya pernah berjumpa dengan seorang wanita bekerjaya, kawan kepada mak.  Setelah mendapat gaji RM12000 sebulan dan akan datang RM40000, semestinya itu merupakan pencapaian terbaik dan usaha untuk berbakti kepada kedua orang tua.  Ibunya pernah berkata, “A tak payah kahwinlah, A teman mak.”  Tetapi, ibubapanya sudah meninggal sebelum sempat menikmati hasil pencapaiannya.  Pada umur 35 tahun, untuk mula memikirkan mengenai perkahwinan sudah menjadi sukar.  Seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.  Takdir itu atas pilihan kita juga.

Oleh itu, permudahkan.  Berbaktilah sepanjang masa dan ibubapa akan sentiasa memberkati setiap keputusan yang kita buat dalam hidup.

Waktu sambil-sambil menolong abah, terpacul dari mulut abah;

“Nanti walaupun dah kahwin, ingat-ingat la jasa mak.  Banyak yang mak dah korban.”

Walaupun abah menyebut mak, tapi saya tahu itu membawa maksud kedua-duanya juga.  Abah tak pernah menghalang apa-apa pun keputusan yang saya buat, tetapi sentiasa memberi nasihat dan pesanan.

Oleh itu, alasan tidak bersedia setelah cukup syarat amat tidak cocok jika mengikut suruhan disegerakan tersebut.  Seperti mana tak boleh guna alasan tak bersedia untuk solat, “ali, jom solat.” “saya tak bersedia”. Boleh ke camtu?  Kalau kebumikan jenazah pun camtu juga..”tak perlulah kebumikan jenazah zohor ni, tukang mandi jenazah, pak imam tak sedia lagi, kita tangguh ke asar.” Agak-agak apa jadi kalau camtu?  Jadi kalau kahwin itu berada sebaris dengan perkara yang perlu disegerakan, rasionalkah menggunakan alasan tidak sedia?

Mungkin mereka melihat ibadah solat itu melibatkan diri individu sahaja, jadi kalau cacat solatnya, maka hanya dia seorang yang tahu dan tanggung, manakala pengebumian jenazah merupakan fardhu kifayah, jadi kalau dah ada yang tahu, maka dia tak payah bertanggungjawab.  Tapi perkahwinan melibatkan dua individu, oleh itu setiap individu perlu fikir banyak perkara dan merasa risau kalau-kalau dia dipersalahkan andai perkahwinan tersebut gagal atau ada masalah.  Pemikiran sebeginilah yang perlu dipecahkan.  Bukankah isteri itu dijadikan dari diri seorang lelaki, maka hakikatnya pasangan tersebut bersifat satu.  Selalu juga saya dengar ayat seperti “my other half”, “soulmate” yang merujuk kepada pasangan masing-masing.  Hal ini menunjukkan pasangan suami isteri merupakan satu.  Jadi kalau apa-apa yang berlaku kepada perkahwinan, kiranya macam separuh badan kita yang bermasalah, jadi sama-sama bertanggungjawab.

Ibubapa dituntut apabila anak gadisnya sudah sampai akil baligh, mereka perlu mula memikirkan untuk mencari jodoh bagi anak mereka.  Ada signifikannya suruhan Islam ini.  Selaku ketua keluarga, menjadi naluri seorang ayah untuk melindungi anak gadisnya.  Memastikan anak gadisnya sentiasa terjaga dan terpelihara dari gangguan lelaki-lelaki asing.  Namun, seorang ayah juga seharusnya sedar, anak gadisnya bukan selamanya akan berada dengannya dan yang paling penting, kematian akan menjemput pada bila-bila masa sahaja.  Oleh itu, dia seharusnya memikirkan siapakah yang dipercayainya untuk menjaga anaknya nanti.  Bukan sekadar melindungi tetapi mencari penggantinya.

Kejadian yang berlaku kepada rakan sepraktikal membuatkan saya terfikir mengenai perkara ini.  Walau sebaik mungkin seorang ayah menjaga anak gadisnya, suatu masa dia akan pergi juga.  Semestinya ayahnya sedih kerana tidak sempat melihat siapa yang bakal menjaga anaknya nanti.  Walau bagaimana protective seorang ayah, dia perlu memikirkan andai dia pergi dulu, siapa pula yang akan menjaga anak gadisnya seperti mana dia?

Bagi seorang lagi rakan sepraktikal saya, baru-baru ini dia meminta nasihat dan pandangan saya berkaitan masalahnya semasa kami sedang memandu ke pejabat.  Juga mengenai perkahwinan.  Ayahnya telah memilihkan jodoh untuknya, suatu tanggungjawab yang cuba dilaksanakan. Calonnya ialah seorang sepupu sebelah ibunya yang berumur 7 tahun lebih tua darinya, baik agama, jurutera, ada rumah, kereta, good looking.  Seseorang yang ayahnya percaya boleh menjaganya seperti mana ayahnya.  Masalahnya, dia dan lelaki tersebut tidak ada chemistry.  Itu sahaja alasan yang diberitahu kepada saya.  Jadi dia memilih untuk berdiam diri dan tidak memberi jawapan.  Keadaan ini menyebabkan ayahnya sedih dan ayat ayahnya lebih kurang begini mengenai alasan ayahnya memilih lelaki tersebut;

“Ayah tak nak nanti kau masuk tandas, tekan suis tapi tak menyala.”  Faham-fahamlah maksud ayahnya.  Mereka dari golongan berada.  Dia sudah terbiasa dengan kesenangan, jadi setelah ayahnya memberi segala yang dia mahukan, itu sahaja yang ayahnya minta dari dia.  Jadi dia serba salah.  Hanya menunggu kata ‘ya’ sahaja dari dia, maka mereka akan berkahwin.

Setelah saya bertanyakan beberapa soalan kepadanya, saya mendapati tidak ada alasan untuknya menolak lelaki tersebut.  Itu sahaja yang saya sebut.  Tidak ada chemistry kerana lelaki tersebut tidak pernah bercinta dengan mana-mana perempuan dari kecil, seorang pendiam, tak pandai nak raikan wanita dan lack of sense.  Normal la tu saya rasa bagi orang yang menjaga dirinya.  Kalau mat Romeo, memanglah romantik tapi tak realistik dan futuristik.  Moga dipermudahkan urusan dia.

Bagi saya, perancangan itu penting.  Banyak juga kes-kes yang saya dengar, putus tunang sebab pihak yang lain tidak serius dan tidak ada perancangan.  Setakat saya hidup ni, banyak kes yang putuskan itu adalah perempuan.  Ramai sepupu lelaki saya yang mengalami kes ini disebabkan bercinta dulu.  Kadang-kadang saya beranggapan bahawa perempuan lebih mudah berubah hati berbanding lelaki.  Kalau baca kajian yang dipaparkan di Yahoo, masa bagi orang lelaki dan orang perempuan tidak sama.  Lelaki lebih merasakan masa cepat berlalu berbanding wanita.  Jadi, memang rasional apabila Islam meletakkan tuntutan untuk seorang ayah segera mencari jodoh buat anak gadisnya apabila sampai usia yang dibolehkan. 

Saya pun tak kahwin lagi, tapi saya terfikir sebenarnya bukan jawapan nak berbakti kepada kedua orang tua yang menjadi asbab keputusan berkahwin lambat yang diambil oleh kawan-kawan saya.  Lebih baik jujur dengan menjawab:

"Tak ada orang nak/ jodoh tak sampai lagi.."... Betul tak?

Sebabnya, entah sudah berapa orang rakan saya yang dulunya menggunakan alasan berbakti, last-last end up kahwin awal juga apabila ada orang masuk meminang.  Jadi tak salah untuk berlaku jujur.  Alamak, tak baiklah Ayu ni, judgmental betul.

Ini pandangan saya. Walaupun belum kahwin, nak kongsi juga.  Tiba-tiba rasa ingin memberi pendapat sebab minggu ini ramai sangat yang membangkitkan soal ini.  Saya selalunya mengelak kecuali jika meminta pendapat saya.  Sebabnya, di hujung setiap perbualan, tidak sah kalau tak kaitkan saya dengan persoalan ini.  Kalau nak tahu tentang saya tak apa, tetapi nak tahu tentang bakal suami.  Sesuatu yang tak pasti bagi saya adalah topik yang lebih baik jangan dibincangkan. Sekian…