Thursday, November 7, 2013

Kenangan Semalam

Saya fikir saya seorang yang suka membina dan kemudian hidup dalam kenangan. Pulang ke kampung baru-baru ni, saya menyusuri beberapa tempat kenangan saya dan sahabat sekitar Irshad. Banyak perubahan yang berlaku.

Restoran Sahabat Selamanya sudah tidak ada di situ. Terkejut dan....sedih. Macam kehilangan sesuatu. Saya baru bercadang nak menikmati ais kacangnya setelah sekian lama. Restoran tersebut digantikan dengan restoran lain. Sekaligus terpadamlah niat nak bawa 'pak we' jalan-jalan makan ais kacang paling best di Penang satu hari nanti. Angan-angan pun dah menjadi kenangan.

Saya singgah menjenguk ke Kedai Nasi Goreng Ayam Pak Cik Lan. Masih ada di situ. Simpang Tiga Keling. Sementara menanti pesanan nasi goreng ayam yang legend tersebut disiapkan, saya memerhati sekeliling. Kedut dan kendur di wajah Pak Cik Lan dan isterinya sudah kelihatan. 7 tahun kemudian baru menapak kembali ke sini... Tempat saya dan sahabat selalu melepak setiap kali ada kelas tambahan di sekolah atau sekali sekala nak merasa makanan luar dari makanan asrama. Tempat berkongsi rahsia-rahsia hati dengan sahabat. Kalau Harry Potter dan sahabat melepak di Hogsmeade, kitorang melepak di Simpang Tiga Keling kalau keluar dari Irshad. Kenangan ini juga bakal terhapus ditelan masa bersama tuanya Pak Cik Lan dan isteri. Mereka tak punya anak. Dan anak-anak orang Melayu jarang mewarisi legasi orang tua-tua mereka. Tidak seperti bangsa Cina. Akhirnya saya mencapai satu kesimpulan sambil memandang langit;

'Wahhh...Sunyinya.' 

Satu-satu tapak kenangan ditelan masa dan perubahan- Stesen Kereta api Bukit Mertajam, Restoran Sahabat, rumah tok, dan entah apa lagi.

Kenangan tersebut ditarik bersama hilangnya jejak-jejak mereka.

Balik ke rumah, saya membelek-belek buku di rak. Sunyi-sunyi begini, kawan baik selalunya buku. Bila kita perlukan, dia selalu ada. Kalau kita tak perlu, dia setia di situ. Nama pun buku~ HAMKA bersama karya beliau ISLAM: Revolusi Ideologi dan Keadilan Sosial. 

Perasaan saya bagai tersalur bersama dengan perasaan HAMKA apabila beliau turut menjejaki kembali sejarah revolusi manusia mencari pegangan. Saya tak pernah kecewa baca karya beliau. Cara beliau menjalin cerita walaupun ianya sejarah, tebal, masih mampu membuatkan saya tenggelam dalam setiap helaian mukasurat. Ini karya kedua beliau yang saya baca selepas Sejarah Umat Islam.

Saya seronok membaca atau mendengar bicara sesiapa sahaja yang memiliki sudut pandang yang bukan kebiasaan. Sebab saya pun cuba melihat dunia ini dari sudut pandang yang berbeza. Selalunya ia memungkinkan saya disalahfahami. Tetapi penulisan buku-buku hebat sentiasa mendorong ke arah kebebasan berfikir. Alangkah indahnya andai saya mampu keluar dari kepompong minda sedia ada dan berfikiran besar. Macam kata-kata A.Fuadi 'peluklah impian erat-erat'.

Terus menapak dan kutiplah hikmah sepanjang jalan.

No comments: