Friday, June 1, 2012

Kingdom of Cambodia Part I



I am taking my time off from the thesis.

Pernah tak kita hadapi perasaan terpisah dengan seseorang tetapi kita tak tahu bila kita akan bertemu?

Saya merasai perasaan terpisah dengan keluarga tersebut tetapi saya tahu saya akan bertemu dengan mereka juga jika Allah memanjangkan nyawa saya.  Saya merasa perasaan meninggalkan tanah air, tetapi saya tahu saya akan pulang juga selepas tiga hari, insyaAllah.  Jadi perasaan saya aman.  Saya boleh beritahu mak, “Mak, Ayu balik 7/6 nanti, insyaAllah”. 

Tetapi bagaimana jika kita terpisah tetapi kita memang tak boleh langsung menetapkan bila kita akan bertemu?  Tidak boleh langsung menggambarkan pertemuan itu.  Namun, secebis kata-kata dari seorang ustaz semasa hendak berpisah di lapangan terbang mengubat hati:

“ Kita berpisah sekarang, insyaAllah kalau bukan di dunia, kita akan bertemu di syurga kelak.”  Sambil mengangkat tangan sebagai salam perpisahan.

Allah…Hati saya terus diruntun sebak pada waktu itu juga apabila mendengar kalimat akhir ustaz.  Tiga hari bermusafir bersama ustaz, sosok tubuh itu telah menyebabkan saya melalui bermacam perasaan yang tidak dapat digambarkan melalui kata-kata.  Nama Allah dan ayat Quran sentiasa bermain di bibir ustaz membuktikan kekuatan hubungannya dengan Allah.

Mungkin ayat tersebut juga menjadi mentera penguat hati beliau sewaktu terpisah dengan keluarganya semasa peperangan.  Selama 18 tahun beliau hidup dengan perasaan terpisah dari ibu bapa dan saudara-mara tanpa mengetahui apakah pertemuan tersebut akan kunjung tiba.  Ustaz terpisah dari keluarga semasa tahun 1973, pada waktu gelap pekat malam sewaktu mereka beramai-ramai  bersama penduduk kampung lari menyelamatkan diri.  Daripada 7 adik-beradik ustaz, Allah memilih ustaz untuk diberikan ujian besar tersebut.  Dalam gelap pekat tersebut, ustaz telah terpisah dari keluarga dan mengikut sesiapa sahaja yang berada berdekatannya.  Saya dapat bayangkan keadaan tersebut melalui pengalaman dua kali mengikut demonstrasi BERSIH.  Dalam keadaan kecoh dan orang ramai yang bersesakan lari menyelamatkan diri, kita hanya memikirkan diri sendiri dan tidak mampu memikirkan orang lain.  Tetapi seperti yang saya sebutkan, kita masih tahu akan pertemuan di penghujung hari BERSIH tersebut, dan perasaan kita akan aman. 

Namun, ia memerlukan iman yang tinggi dan kekuatan perasaan untuk melalui keadaan yang mana kita sudah tidak mampu mengungkap istilah pertemuan di dunia.  Dan bagi seorang yang berumur 14 tahun, ia ujian yang berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Ustaz mengikut pelarian yang melarikan diri sehingga ke Thailand dan mereka berada di Thailand selama 3 bulan sebelum meneruskan pelarian sehingga ke Malaysia dan menetap di Kelantan.  Beliau menuntut ilmu di Pondok Pasir Tumbuh selama beberapa tahun sebelum akhirnya berkahwin dan tinggal di Kota Tinggi, Johor. 

Namun, harapan kepada sebuah pertemuan sentiasa ada dalam diri ustaz membuktikan kuatnya perasaan yang perlu ada untuk menghadapi hidup. 

Pada tahun 1991, setelah 18 tahun terpisah tanpa berhubung, ustaz kembali ke Kemboja dengan berbekalkan secebis harapan untuk mencari keluarga beliau dan bersatu kembali dengan mereka.  Alhamdulillah, kuasa Allah tiada siapa yang tahu.  Ustaz dipertemukan kembali dengan ibu bapanya serta saudara-mara yang lain.  Saya tak dapat menggambarkan detik-detik pertemuan tersebut bersama-sama perasaan yang disimpan.  3 hari meninggalkan bumi Malaysia sahaja terasa seperti 3 tahun.  Memijak sahaja bumi Malaysia, bergenang air mata sebab rindu yang amat sangat kepada insan-insan yang saya tinggalkan (teruk sangat…macam mana nak pergi belajar luar negara ni?)~

 Siapa sangka Allah memberi peluang bagi sebuah lagi pertemuan selepas perpisahan sebelum perpisahan terakhir yang kekal?  Sekarang kedua-dua orang tua ustaz sudah tiada, namun Allah memberi kesempatan buat ustaz untuk berbakti kepada orang tuanya, insan yang telah berjasa.

Mendengar cerita dari ustaz mengenai peristiwa yang dilalui oleh ayahnya selama terpisah tersebut menambahkan lagi runtunan perasaan.  Dua kali ayah ustaz berhadapan dengan maut semasa era kekejaman rejim.  Kali pertama atas kesalahan bersolat.  Ayah ustaz telah ditangkap dan menghadapi hukuman ditolak masuk ke dalam lubang.  Lubang tersebut digali khas untuk menolak masuk pesalah beramai-ramai dan dibiarkan mati di dalamnya.  Namun, ayah ustaz dibebaskan atas dasar kasihan askar yang bertugas.  Kali kedua ditangkap kerana ditemui surah yasiin dalam buku ayahnya.  Hukuman yang sama dikenakan namun dilepaskan juga atas dasar kasihan semasa hendak jatuhkan hukuman.  Allahuakbar…siapa yang menguasai hati manusia kalau bukan Allah?   Sesungguhnya nasib hamba yang taat kepada Khaliq tidak akan disia-siakan.. T_T…  Lalu nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

Teringat kata mak, kalau kita ada harapan terhadap sesuatu, Allah akan memanjangkan umur kita sehinggalah harapan tersebut tercapai.  Jadi, jangan pernah berhenti berharap.  Harapan ayah ustaz begitu besar untuk bertemu dengan anaknya yang ketiga sehingga Allah memanjangkan umurnya dan sempat bertemu ustaz sebelum pergi mengadap Allah dan berpisah buat selamanya.

Cukuplah sekadar cerita ini memberi pengajaran kepada kita bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Mengabulkan doa hamba-Nya walau bagaimana pun keadaan kita.

Berikut merupakan antara seribu satu pengajaran yang saya peroleh selama 3 hari berada di Kemboja.  Setiap kali ada masa senggang saya mengambil peluang bertanyakan pengalaman hidup ustaz sehingga saya mampu merekodkannya di sini.  Akhir sekali, semasa hendak berpisah, saya mendapat mentera yang menguatkan semangat ustaz untuk menghadapi perpisahan tersebut:

“ Kita berpisah sekarang, insyaAllah kalau bukan di dunia, kita akan bertemu di syurga kelak.” 

Saya akan rekodkan lagi pengajaran-pengajaran yang saya temui dalam ziarah saya ke Kemboja.  Moga Allah memanjangkan umur saya untuk saya menggapai harapan dan impian yang telah saya bina…Wallahualam.

1 comment: