Saturday, September 29, 2012

Bulan purnama


Menjengah keluar tingkap kereta, malam ni bulan penuh atau bulan purnama menghias langit.  Sudah sepurnama orang tua-tua kata.  Apa yang dimaksudkan dengan sepurnama?  Sepurnama bermaksud sebulan sebab bulan penuh/bulan purnama terjadi pada 29 atau 30 hari dalam kalendar lunar.  Ia terjadi apabila bulan berada di sebelah bertentangan bumi dengan matahari.  Jadi, apabila orang-orang tua melihat bulan purnama, mereka sudah tahu sekarang sudah hujung bulan atau sebulan/30 hari.  Oleh itu, tanpa perlu melihat kalendar mereka mengira hari hanya berdasarkan bulan.  Lebih dekat dengan Pencipta.

Saya merasakan orang terdahulu lebih dekat dengan alam.  Mereka sentiasa berinteraksi dengan alam dalam urusan seharian.  Saya suka begini.  Jadi jangan pelik kalau lihat saya bercakap dengan pokok atau haiwan.  Kadang-kadang di kampung, saya akan keluar menikmati angin malam di belakang rumah.  Sambil melihat langit in case ada bintang atau tidak pada malam ni, saya akan berdoa apa-apa sahaja doa yang terlintas.  Dahulu kalau melihat kapal terbang melintas, saya sentiasa berdoa semoga suatu hari nanti saya akan berada dalam kapal terbang tersebut.  Doa saya dimakbulkan melalui peluang yang tidak saya jangka.  Sebak juga sewaktu awal menaiki kapal terbang sebab teringat Allah telah memakbulkan doa saya.
 
Tetapi setelah menaiki kapal terbang, saya rasa tak nak naik dah kapal terbang.  Sebabnya sewaktu penerbangan pergi Kemboja, saya duduk di tempat duduk bersebelahan pintu kecemasan menyebabkan tempat duduk saya tidak dapat diturunkan untuk tidur.  Jadi saya terpaksa berada dalam postur menegak selama 45 minit penerbangan.  Kejam sungguh.  Pulang dari Kemboja pula, saya terpaksa duduk di sebelah seorang kakak yang mendukung bayinya yang berusia baru sebulan dan tidak berhenti-henti menangis.  Ingatkan kena sampuk ke apa, rupa-rupanya perubahan altitud menyebabkan bayi tersebut merasa tidak selesa.
 
Apabila berlaku perubahan altitud, telinga kita akan berdengung dan saya pun mendapati keadaan tersebut tidak menyelesakan.  Kena telan air liur baru hilang dengung tersebut.  Tapi bayi sekecil tersebut apa yang dia tahu.  Sepatutnya bayi dipasangkan dengan penutup telinga atau earmuff sewaktu dalam pesawat.  Awalnya saya tak tahu, tapi dah lama-lama baru saya terfikir pasal benda ni.  Jadi saya bagitahu kepada ibunya supaya dia tidak risau.  Dia risau sebab anaknya tak pernah menangis teruk macam ni.  Dia ingat mat saleh kat belakang mengacan anaknya sehingga saya terpaksa tutup ruang antara kerusinya dengan jaket saya.

45 minit mendengar anaknya menangis.  Simpati dengan keadaan emak muda tersebut yang terbang keseorangan dengan anak sulung untuk berjumpa suami di Malaysia.  Sepatutnya pihak kapal terbang kena sediakan peralatan ini seandainya berlaku peristiwa sebegini.  Mereka seharusnya lebih tahu.  Kapal terbang bukan panjang macam kereta api.  Jadi kita tak boleh lari.  Satu kapal terbang terganggu.  Sewaktu tayar kapal terbang menyentuh bumi Malaysia, menangis akak tu kelegaan sebab dah sampai.  Saya pun bergenang air mata sebab tersentuh sambil mengusap-usap kepala bayi tersebut.  Sempat saya berpesan agar lain kali bawa penutup telinga untuk bayinya.
 
Sejak hari itu, setiap kali saya mendongak ke langit apabila mendengar kapal terbang membelah awan, saya perasan yang saya sudah tidak lagi berdoa agar diberi peluang naik kapal terbang.  Saya mudah serik.  Tapi pengalaman ini membuahkan pengetahuan kepada saya.

Saya sudah tahu kalau bayi menangis dalam kapal terbang adalah disebabkan telinganya berdengung kerana perubahan altitud.  Kalau dalam kereta api pula, bayi menangis sebab kesejukan.  Jadi kadang-kadang terganggu saya apabila melihat ibu bapa hanya membiarkan anaknya menangis dan ditepuk-tepuk sahaja dalam gerabak kereta api.  Seharusnya anak tersebut dibawa ke bahagian kantin atau ruang antara gerabak yang tidak berhawa dingin.  Pengetahuan ini diperoleh sewaktu berurusan di bank.  Seorang bapa sedang memujuk bayinya yang menangis dalam bank.  Puas dikelek tidak juga diam.  Saya hanya menjadi pemerhati setia.  Kemudian datang seorang pak cik ni memberitahu pemuda tersebut agar cuba dibawa keluar anaknya.  Mungkin kesejukan.  Pemuda tersebut akur dan apabila dibawa keluar sahaja, bayi tersebut diam.  Dalam kereta api pun begitulah sejuknya kalau malam-malam.

Bayi mudah menangis kalau tidak selesa.  Kalau disapu minyak di perut tidak juga berhenti menangis, tandanya ada perkara lain yang menganggunya.  Kena lihat kepada suasana sekeliling.

Terbawa-bawa pula cerita tentang bayi.  But note one thing.  Saya hanya pandai berteori, kalau praktikalnya saya sangat mengecewakan.  Ada satu masa tu seorang anak kecil dalam setahun sedang bermain-main dalam program yang saya ikuti, tiba-tiba sewaktu dia berdiri di hadapan saya, dia mula nak menangis.  Kebetulan saya berada di barisan hadapan.  Hadirin yang ada muslimin dan muslimat berpaling melihat ke arah kanak-kanak tersebut dan semestinya menanti reaksi muslimat yang berhampiran kanak-kanak tersebut.

Muka saya berubah dan panik.  Tangan saya nak mencapainya tetapi saya ragu-ragu.  Macam mana kalau saya pegang nanti dia menangis lagi kuat?  Jadi saya hanya memerhatinya dan berharap adalah sapa-sapa yang tolong mengambilnya.  Akhirnya ada seorang muslimat di belakang yang mengambil.  Saya kelegaan dan tersenyum pahit kepada sahabat di sebelah.

***
Point penting entri kali ini adalah latar belakang sosial sangat mempengaruhi bagaimana seseorang itu membawa diri dalam masyarakat.  Saya yakin muslimat yang mengambil kanak-kanak tersebut sudah terbiasa dengan kanak-kanak atau sudah memiliki anak.  Saya membesar seiring dengan adik-adik saya dan beza antara kami hanya 2 tahun.  

Selain itu, adik beradik saya sedikit dan saya tidak memiliki anak saudara.  Jadi dunia saya jauh dengan kanak-kanak kecil.  Tambahan pula adik-adik saya jarang menangis.  Pernah sewaktu sedang membesar saya geram sebab adik saya susah nak menangis sehingga saya mencubitnya bagi menangis supaya saya boleh memujuknya.  Apabila dia membuat muka nak menangis, saya terus peluknya sambil gelak-gelak.  Dia ketawa kembali.  Senang sangat nak pujuk.  Tak mencabar.  Saya lihat anak-anak orang lain punyalah selalu menangis.  Mak sendiri mengaku menjaga kami tidak mencabar sebab senang sangat.  Jadi apabila bertemu situasi bayi yang suka sangat menangis atau kanak-kanak yang suka menjerit, saya takkan tahu nak buat apa.  Pernah la sekali mendukung bayi yang nak menangis sewaktu ibunya pergi ambil wuduk.  Dia diam.  Yea, berjaya.  Tapi ini mungkin juga bayi yang berada dalam kategori senang nak jaga. 

Berikut merupakan contoh latar belakang sosial saya.  Hal ini bertitik tolak dengan taaruf saya beramai-ramai dengan sahabat serumah.  Baru saya tahu ada yang jenis suka suasana tenang, suka suasana bising/ceria dan suka privasi.  Setiap daripada kita berbeza bergantung kepada latar belakang sosial kita.  Saya jadi individu yang memerhatikan perkara ini apabila sudah duduk dengan sahabat-sahabat.  Banyak masa pula sekarang sebab dah habis belajar.
 
Pernah ada seorang kawan yang kaki lawak apabila ditanyakan kenapa suka buat bising dan buat lawak? Dijawab, di rumahnya suasana serius dan dia tidak suka suasana tersebut.  Dia anak bongsu jadi normal apabila abang dan kakak sudah dewasa dan jadi serius.  Kalau di rumah saya pun macam tu.  Adik bongsu tu selalu juga cuba melawak dengan abang kakaknya tetapi alih-alih kena marah.  Kesian…  sebabnya dia tak pandai buat lawak.  Dengan kawan-kawannya memang dia dikenali sebagai pak lawak.
 
Sebabnya lawak bodoh kurang diterima dalam keluarga Abdul Rahim.  Pernah suami sepupu saya datang ke rumah.  Waktu tu mereka baru berkahwin.  Jadi menjadi adat untuk membawa pasangan berziarah ke rumah orang-orang tua untuk dikenalkan.  Nak dijadikan cerita, sebab peel suami sepupu saya suka buat lawak, dia terbuat lawak dengan saya.

“Suruh kucing tu belajar ABC, baru dia pandai membaca.”

Saya tak jumpa kaitan statement dia dengan apa yang saya katakan, jadi saya hanya melihatnya dengan berkerut dan terfikir “Lawak apakah ini?”  Nasib baik isterinya dan mak saya ketawa walaupun saya tak tahu apa yang lawaknya.  Jadi saya cuba menjauhinya sebab saya tak gemar lawak bodohnya.

Tapi setelah lama-lama, saya terbiasa dengan perangainya, saya jadi cepat proses lawaknya dan mampu merespon.  Macam itulah.  Untuk menerima orang luar dengan latar belakang sosial yang berbeza itu memerlukan masa.  Samalah seperti sahabat-sahabat di rumah.

Ada yang pada mulanya saya tidak biasa dengan sikapnya yang suka menyanyi tapi lama-lama saya pula yang suruh dia menyanyi.  Tapi adatlah, bila disuruh manusia ni selalunya menolak sebab malu, tapi bila tak disuruh itulah yang dibuat.  Jadi senang sahaja kalau sahabat kita ada sikap yang kita pelik macam menjerit, ketawa kuat-kuat, menyanyi, berlakon, dan sebagainya.  Pada masa orang lain suruh dia berhenti, cuba kita dorong dia untuk buat.  Lama-kelamaan dia tak nak buat pula.  Tak tahu kenapa.

Perbezaan latar belakang sosial ini boleh diselesaikan dengan kita mengambil amalan yang terbaik atau dipanggil etika umum.  Etika umum yang telah digariskan dan dipelajari oleh semua orang;

1)    adab bergaul
2)    adab makan
3)   adab bertandang/menziarah dll
)   
Memanglah banyak kalau nak digariskan.  Kalau dalam adab makan tu macam kalau;

- mengunyah hendaklah menutup mulut mengelakkan bagi membuat bunyi sehingga mengganggu orang sebelah (pantang betul)- lagipun buruk muka kalau kunyah tak tutup mulut (tak percaya cuba makan depan cermin dan lihat muka sendiri), 

-meletakkan tangan kiri di bawah sewaktu makan di meja makan bagi mengelakkan teman sebelah merasa terganggu kerana dia juga menggunakan tangan kanan, 

-meminta izin jika ingin beredar dahulu dari meja makan, 

-tidak batuk atau berkahak di meja makan, 

-tidak merokok di tempat makan, 

-tidak meletakkan sisa di atas meja (rajin-rajin la ambil piring), 

-tidak menyedut sup atau air dengan kuat.  

-Selepas makan basuhlah pinggan cawan sendiri- saya dapati orang lelaki cukup susah nak buat perkara begini.  Konon itu kerja orang perempuan.  Hey, adik-adik saya basuh pinggan sendiri ok.  Bukan masalah itu kerja wanita, tapi masalah tak dididik.  Sudahlah mak susah payah membeli barang masakan, menyediakan masakan, menghidang.  Awak tu datang makan sahaja.  Bukanlah kerja bendang atau kebun pun.  Tidur jer di rumah kerjanya.  Ini memang masalah sikap.

Apabila saya dan sahabat yang belajar perkara ini dalam Ekonomi Rumah Tangga (ERT) semasa di  Tingkatan  3 berhadapan dengan individu yang berbuat sebaliknya, ia agak mengganggu sebenarnya. 
Perkara ini telah diterima oleh dunia etika kerana ia terbukti mengganggu orang sekeliling.  Jadi kita perlu ada sikap ingin lebih baik dalam apa sahaja yang kita lakukan agar meminimakan ketidakselesaan orang terhadap kita.  Perkara ini penting dalam hubungan sesama manusia.  Sebab kita tak tahu dalam banyak-banyak manusia, ada yang jenis sensitif dengan perkara-perkara kecil sebegini. 

Memanglah kita tidak mampu memuaskan hati setiap manusia.  Tapi dengan mempelajari dan mengamalkan sikap dan etika umum yang dilihat sebagai terbaik dalam hubungan sesama manusia, kita akan memaksimumkan keselesaan orang terhadap kita dan mendapat ekspresi baik.  Ini juga mengelakkan dari bergaduh dengan suami atau isteri selepas berkahwin nanti.

Rata-rata sikap kecil ini yang menyebabkan keretakan rumah tangga.  Bukanlah tidak dapat dielakkan tetapi masing-masing ego tak nak mengubah sikap.  Ambillah sikap yang memang diiktiraf oleh masyarakat.  Contoh ada suami isteri bercerai sebab si suami tak suka menutup lampu apabila keluar dari bilik air.  Sebenarnya cuba fikir sikap terbaik yang diterima umum itu apa?  Mestilah yang kalau keluar dari tandas tutup kembali lampu.  Jadi berubahlah.  Itu pun susah.  Bukannya budak kecil nak dipesan selalu.  Sikap orang dewasa yang berperangai seperti budak kecil inilah yang memang tak dapat nak ditolak-ansur.

Panjang saya bersyarah.  Tapi andai orang sekeliling kita itu tidak mengamalkan juga nilai-nilai umum ini, anggap sahaja latar belakang sosial dia berbeza sebab itu dia jadi macam tu.

1 comment:

Unknown said...

Cerita pjg dan menarik