Tuesday, July 30, 2013

Merdeka

Apakah kelemahan orang berkuasa dan orang kaya?
Jawatan/kedudukannya dan hartanya.

Sebab itulah orang selalu gunakan mahasiswa sebagai kuasa ketiga (third force) sebab 'we've got nothing to loose.'


Kelemahan mahasiswa yang mampu mereka gunakan sebagai senjata untuk melemahkan kita ialah- ibu bapa dan sumber kewangan. Bukan semua termakan tetapi banyaknya yang layu. Mereka sentiasa takutkan golongan muda dengan harapan kita mendiamkan diri dan terima sahaja apa yang mereka lakukan. Mereka menyebut-nyebut kelemahan kita dengan hasrat melindungi kelemahan mereka.

Sebenarnya golongan ini lagi penakut hatta dengan bayang-bayang sendiri. Kalau ikut John Gray, orang yang mudah melenting atau panas baran (nampak egois, keras dan kuat) sebenarnya makhluk yang lemah. Tambah-tambah orang berkuasa dan kaya ni. Dan saya sentiasa ingat perkara ni semasa bersama para aktivis. 
(Obey the law of Allah and repeat after 'me'- I am free)



***

Saya terdetik nak buat ulasan ni sebab pagi tadi waktu nak ke UKM menaiki PDW, selepas dari lampu isyarat depan KTM UKM, ada satu kereta BMW (rasanya) di laluan sebelah kiri. Kereta sebelah kiri selalunya kena masuk ke sebelah kanan selepas lampu isyarat sebab hanya ada satu laluan. Kereta ni memandu di sebelah kiri juga dengan harapan saya yang memang berada di belakang van yang berada di laluan kanan memberi ruang kepada keretanya yang besar tu. Saya tak perasan pada mulanya sebelum ditegur oleh sahabat di sebelah. 'Apehal orang sebelah ni?'

Masalahnya, tak ada ruang antara saya dan van nak mengisi keretanya yang besar. Hadapan keretanya masih berada tidak separuh dari kereta saya. Jadi, saya buat tak tahu sebab saya kecil dan saya hanya Kancil. Walau bagaimana angkuh pun tindakan dia, dia tetap tak mampu mengorbankan BMW dia untuk bercium dengan PDW saya. Itulah kelemahan dia. I've got nothing to loose. I was aware of that fact walaupun BMW dia lebih hebat dari PDW. Calar kereta dia lebih berkos tinggi selain menjatuhkan imej dia berbanding calar PDW saya yang sememangnya sudah comot. Akhirnya, dia hanya terdaya untuk menekan hon sebagai respon kerana mencalarkan ego dia yang terpaksa berada di belakang saya. 

Mendekati pagar belakang UKM, saya masuk ke laluan kiri dan dia memotong di laluan kanan. Peringatan: Never look into the eyes of anybody except if you want to apologize and admit your mistake. There was no harm made. Jadi, saya biarkan sahaja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Biarkan BMW dengan labu-labunya. The End.

***
Nasihat bijak pandai, kita boleh memiliki harta, tetapi jangan biarkan harta miliki kita. Kaya tapi tak cinta harta seperti kata seorang senior, Kak Hajar. Sebenarnya menjadi muda ini merupakan kebebasan tertinggi dalam hidup seorang insan. Belum ada komitmen, hati tidak banyak terikat kepada dunia. Saya suka keadaan begini. Kita diberi kebebasan untuk menentukan nasib hidup sendiri. Sayang kalau tak pandai menggunakannya. Menjadi kecemburuan orang-orang tua. Tapi kehidupan sebegini ada hadnya. Melepasi umur emas* ini, keterikatan kita kepada dunia sangat merisaukan apabila kita sudah mempunyai komitmen. Nanti dah ada suami, isteri, anak-anak, harta, hidup makin terbuang memikirkan perkara ni- walapun aset ini juga boleh membuatkan kita ke syurga, aset ini juga sebenarnya boleh menghunjam kita ke neraka, lagi berganda ujian yang perlu dihadapi. Risau kita terlebih memikirkan mereka-mereka ini berbanding Tuhan. Nauzubillahiminzalik.


"Every marriage has its tests. Those who pass them are content. Those who fail, regret."


-- Mufti Ismail Menk --



'The cave you fear to enter holds the treasure you seek.'

Tiada kemerdekaan hakiki selain kita tidak merasa ketergantungan kepada selain dari Allah s.w.t. Itulah kekuatan sebenar. Tak rasa sedih kalau apa yang kita miliki luput dari kita--- saya memang nak sangat-sangat rasa ini. Macam tadi, tak rasa inferior pun dengan BMW. Puas hati. Merdeka. Walaupun lambat lagi sambutan kemerdekaan~ Dan saya yakin inilah perasaan yang membaluti pejuang-pejuang di Syria, Mesir, Palestin- we have got nothing to loose. Hidup mulia, mati syahid. 

(kudaku lari gagah berani~~)

Yeah, saya perlu belajar lagi untuk kurangkan rasa memiliki. Perlu. Period.

* Umur emas atau warga emas seharusnya orang muda bukan orang tua. Seharusnya orang tua dilabel dengan gelaran lain dan kurang bernilai barulah dia sedar dirinya tidak dimahukan di dunia ini dan berusaha mencari jalan dan persediaan ke alam lain. 

p/s: the feeling of having nothing to loose is just perfect. 

Sunday, July 28, 2013

Cahaya Dhuha



Cadangnya pagi tadi nak melihat mentari dhuha terbit melalui tingkap bilik sambil menaip entri terbaru. Namun, end up duduk di Masjid Hasanah mendengar pengajian kitab. Teringat dulu selalu dengar kuliah Subuh Ustaz Azli di Irshad. Guru Bahasa Arab yang berjaya buat saya dapat A dalam SPM sebab takut nak tidur dalam kelas dia. Penyampaian dia serius, tenang dan suaranya serak-serak basah. Jangan harap dia nak buat lawak macam UAI. Katanya banyak ketawa dalam majlis ilmu tak memungkinkan ilmu tersebut diingati dengan baik. Sebabnya nanti keluar dari surau dah terlupa sebab banyak gelak semasa mendengar kuliah. Syaitan juga akan memenuhi majlis tersebut. Wallahualam. Dia berkelulusan Universiti Madinah. Jadinya, setiap kali dia bagi kuliah Subuh, ramai manusia terutamanya muslimat yang syahid di belakang. Bergelimpangan macam para syuhada' di medan perang dalam telekung putih mereka. Kalau yang malu sikit, bersandar di bahu sahabat sebab nak cover. Saya antara mangsanya. Boleh saya katakan, habis saja kuliah, hanya beberapa kerat sahaja yang survive. Sahabat saya cakap, setiap kali saya dengar kuliah dia, mata saya akan bersinar-sinar, sebab tu saya tak mengantuk. Saya seronok sebenarnya dengar kuliah dia. Sahabat-sahabat cakap kuliah dia boring dan mengantuk sebab suara dia senada. Masing-masing ada pendapat sendiri, tapi saya suka keseriusan dalam penyampaian ilmu. Menunjukkan perkara tersebut penting dan perlu diberi perhatian. Tak tahu ke mana saya hilangkan buku koleksi kuliah dia selepas habis belajar. Oh ya, ada seorang junior ni jumpa kemudian berkeinginan menyimpannya, jadi saya halalkan saja. Entah apa-apa yang diconteng. 

Saya ceritakan sebab banyak juga muslimat yang sudah memejamkan mata dan tersengguk-sengguk dalam kuliah Subuh ni termasuklah orang sebelah saya yang semangat nak datang~

Kalau tonton drama pula, saya tak suka drama yang sedih-sedih, serius-serius. Seringkali saya cakap kepada sahabat yang selalu menonton drama- hidup kita ni dah terlalu sedih dan serius untuk kita tonton pula drama sebegitu. Kalau mengikut nasihat Syaikh Dr. Aaidh Abdullah Al-Qarni dalam You Can Be The Happiest Woman In The World, beliau memang melarang wanita daripada melihat soap opera sebab ia boleh mempengaruhi emosi dan merosakkan pemikiran. Kalau ikut mak saya, dia larang tonton drama waktu mengandung, sebab nanti anak keluar jadi perangai macam dengan yang kita selalu tonton. Kalau drama nangis, anak keluar selalu menangis, kalau selalu menjerit, anak pun selalu menjerit. Lucu pun ada, tetapi mungkin ada benarnya. Kadang-kadang saya cuba juga duduk dan tengok dengan sahabat-sahabat, tetapi tak lama. Sakit jiwa dengan kebodohan yang disengajakan.

Sebenarnya, entri kali ni bukan nak cerita tentang kuliah Subuh, tetapi pengalaman berbuka puasa semalam di Stadium Tertutup MPSJ. Ameerah dijemput untuk bersama-sama dengan anak-anak perantau Kelantan berbuka puasa sebagai penghargaan kerana membantu semasa PRU. Dengarnya YB Mumtaz dah tempahkan meja untuk Ameerah, jadi saya pun pergi ditemani seorang sahabat. Sampai di sana, tidak kelihatan sebarang meja. Yang ada hanyalah bungkusan makanan di atas tikar. Usai solat Maghrib, barulah boleh menghadap hidangan. Saya tanya salah seorang akak di situ, mana YB Mumtaz. Selalunya dalam kalangan Ameerah, beliau dikenali sebagai Kak Taz saja. Tapi saya rasa canggung nak panggil memandangkan tak kenal rapat pun dengan beliau. Sekali akak tu tunjukkan di sebelah saya. Terkejut juga melihat beliau berada di sebelah saya selang dua orang. Bersila atas lantai dan makan nasi bungkus. Sempat saya tengok beliau tertumpahkan air sirap dalam cawan plastik... Tak kira lagi sekalian MB dan Exco-exco Negeri Kelantan yang turut berbuat perkara yang sama-bukan tertumpahkan air, tetapi makan bersila...




Saya tak tahu nak ulas macam mana. Even PKR pun majlis berbuka puasanya dibuat dengan rasmi dan makan di atas meja serta dilayan oleh caterer walaupun sekadar majlis dalaman. Tak payah cakap UMNO yang memang dok perabih duit rakyat. Memang sempoilah VVIP PAS ni. Mungkin sebab majlis ni bersifat anok-beghanok, jadi protokol tidak menjadi isu. Cuma saya terfikir satu perkara yang pernah dibangkitkan oleh beberapa individu mengenai jauhnya PAS untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan golongan korporat yang bukan Islam kerana mereka lebih selesa dengan pimpinan PKR. Kadang bukan isu besar yang menjadi masalahnya kerana kita juga mempunyai golongan profesional dan korporat untuk membincangkan apa-apa sahaja isu, cuma kita masih berbeza dunia untuk boleh duduk bersama dan mencapai persefahaman. Kita boleh duduk bersila, mereka nak duduk atas meja. Kita boleh berkongsi, mereka nak privasi. Kita boleh sembang suka-suka, mereka bermuka-muka. Jadi, kalau isu protokol ni, pada pendapat saya, kalau pun pimpinan kita ni memang zuhud orangnya, menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati mereka. Walaupun mereka tak kisah, tetapi menjaga imej mereka bukankah perkara yang boleh membawa kebaikan juga? Sempoi sangat pun kurang berkesan sebenarnya...menyebabkan pemimpin kita tak stand out dalam kalangan pimpinan Pakatan. Bukan salah mereka, tetapi salah kita yang melayan mereka lebih kurang. Kalaupun kita nak berbeza dengan mereka, kita perlu bijak jadikan perbezaan tersebut sebagai sesuatu yang eksklusif bukan inklusif. Mungkin nanti mereka akan merasa kagum dan ingin bersama-sama menjadi seperti pemimpin kita. Wallahualam...

p/s: ini sekadar pandangan kecil penulis yang merupakan orang luar dari anok-beghanok Perakan dan menjadi pemerhati. Mungkin itu merupakan kekuatan eksklusif mereka- ikatan erat antara pemimpin dan rakyat yang tiada bandingan.

Wednesday, July 24, 2013

Pengembaraan Roh Ramadhan 15

Pagi tadi usai membaca Al-Quran, saya terlelap di atas sofa. Semalaman tak tidur siapkan manuskrip, jadi saya terus passed out dengan masih bertelekung. 

Sela masa tersebut, roh saya mengembara. Kali ni kembara roh saya jauh sekali. Saya dapat rasakannya. Ianya tak rasa seperti mimpi kerana mimpi adalah sesuatu yang berlaku dalam otak/minda separa sedar kita (kadang-kadang kita tahu yang kita sedang berada dalam alam mimpi). Rasanya macam saya memang tinggalkan jasad sekejap. Saya jalan, jalan dan terus berjalan.

Tetapi apabila bukan masanya lagi, mata saya tiba-tiba terbuka. Keadaannya seperti roh kembali ke jasad dan kita kembali bernafas dan membuka mata. Ada satu perasaan aneh semasa saya membuka mata dan mendapati saya berada di ruang tamu. Minda saya kosong dan hati saya kosong. Macam kita tengah reset sesuatu program selepas ditutup. Baru datang kembali satu-satu memori apa yang telah terjadi.

Saya cuba mengingati kembali perasaan tersebut. Tak mampu nak diungkap di sini. Aneh sekali...yang pasti saya rasa tenang dengan apa yang berlaku. Dan andai roh saya tak kembali, saya mungkin tak tahu apa yang berlaku kepada jasad saya. Sebab kembara itu sudah agak jauh.

Semoga ketenangan ini juga yang dirasa apabila tiba waktunya...Aamiin.


Monday, July 22, 2013

Detik-detik kualiti

2.35 a.m

Berhenti marathon menaip Sejarah Nasional: PRU 1959, 1964 dan 1969 untuk malam ni. Bed time story dulu sebelum berehat.

Sungguh beruntung orang yang dapat menjamin penggunaan masa dalam setiap detik hidupnya seoptimum mungkin untuk perkara kebaikan dan bermanfaat. Saya selalu gagal pada kebanyakan masa, tetapi apabila berjaya mengelakkan diri dari sebarang gangguan yang disengajakan, saya rasa puas hati melihat hasil seperti malam ni. Itupun kena paksa diri. Cuba kalau sedari awal sudah boleh fokus, mesti pencapaian dalam sehari sangat menakjubkan. Ini pun jenuh nak paksa diri untuk kekal fokus. Sebagai hukuman, tak boleh tidur selagi tak siap beberapa mukasurat.

Apa-apa pun, susunlah urusan hidup sebaik-baiknya. Anak muda tak boleh biarkan masa kosong tak terisi. Kalau ikutkan, tak ada isu masa kosong. Hakikatnya kita dah kesuntukan masa. Tetapi kita selalu tertipu dengan diri...Ish3. Belum kira dengan sikap suka bertangguh lagi. Sebab tu lah tak laju dan maju.

Perubahan bermula dari  diri sendiri. Kesibukan ataupun kepandaian mengoptimumkan penggunaan masa sebenarnya merupakan terapi yang baik dari masalah jiwa. Sibuk orang Islam tak sama dengan sibuk orang kafir. Walau sesibuk manapun, ada waktu Allah s.w.t sediakan untuk mereka bermeditasi dan menenangkan diri. Ramadhan adalah waktu yang terbaik. 

Ok, tepat jam 3 pagi. Adios!


Saturday, July 20, 2013

Nasi & mafia

Marahkan ayam, nasi diboikot. Cukup 10 malam memboikot nasi sebab tak nak badan rasa berat nak beribadat. Tapi kalau dah sampai nak gastrik, tak jadi nak boikot sebulan. Sahabat serumah dah pakat bising suruh makan sikit. Jadi, malam ke 12 ni saya jamah la dua tiga sudu. Dah kurang sakit di perut. Sendiri cari pasal. Takut juga nanti jadi gastrik (tak tahu macam mana rasa), mau pengsan...sia-sia tak boleh berpuasa pula. Bila dah makan nasi, tiba-tiba bernafsu pula nak bercerita di blog~~ susah-susah.

Kalau dah keturunan tulang rangka besar, tak makan macam mana pun, masih nampak besar. Tak jadi macam zombie pun. Geram juga. Saya fikir saja nak bereksperimen dengan badan sendiri. Orang cakap nasi lah penyebab kegemukan. Ini bukan masalah nak kurus sebab nak cantik, tetapi nak kurus supaya badan rasa selesa. Rasa ringan saja. Tak perlu tunggu orang tegur kita ni gemuk, tapi kita sendiri sedar keperluan memiliki bentuk tubuh yang menambahkan keyakinan dan keselesaan diri. Jadi terpulang kepada individu masing-masing sama ada nak berpuas hati dengan badan sedia ada atau ubah gaya pemakanan. Tak perlu beli Herbalife untuk kurus, cukup sekadar pandai menjaga pemakanan. 

Sebenarnya kalau berada di kampung barulah saya boleh kurus. Kalau ada di Bangi, kitaran biologi tak stabil sebab tak boleh nak praktik apa yang dibuat di rumah. Terbalik pula bagi sesetengah orang. Diet yang seimbang ialah makan nasi sekali sehari pada waktu tengah hari, ambil sarapan dan jangan tinggal, minum air mineral banyak-banyak dan tidur awal. Itulah rahsianya. Tapi tak boleh nak buat kat sini sebab tidur selalu lewat, sarapan selalu skip sebab gabung dengan makan tengah hari dan kena makan malam sebab orang rumah selalu masak lewat. Macam mana nak kurus. Jadi, bulan puasa inilah peluang terbaik untuk buat perubahan drastik dan inilah kesannya. Modus operandi kurang berjaya sebab hampir kepada mudarat.

***
Pulang dari tarawih di surau belakang rumah, kelihatan kanak-kanak bermain mercun. Kali terakhir saya main mercun adalah masa sekolah rendah. Menjadi rutin abah untuk spend dalam rm50-rm100 untuk beli pelbagai jenis mercun dari kawannya. Sebab anak lelaki ada tiga. Jadi, adik-adik tidak perlu seludup pergi beli mercun sangat walaupun ada yang buat begitu. Dan selalunya selagi belum raya, abah akan bagi sikit-sikit sahaja untuk dimainkan. Itupun main sekali dengan abah selepas berbuka puasa atau selepas tarawih. Selalunya dipantau. Abah selalu buat kejutan malam raya dengan mengeluarkan mercun-mercun yang dibeli dari kawannya. Memang teruja habis adik-adik saya. Dan agenda tu sentiasa dinanti-nanti sehinggalah semua dah besar dan abah dah bersara. Saya? Hmm... tak ada perasaan. Saya dah bersara dari main mercun selepas dari sekolah rendah. Dah tak main dan tak hingin pun tengok diorang main. Dah puas main masa kecil-kecil.

(mercun lada ni akan diasing-asingkan satu-satu sebagai senjata)

Masa kecil-kecil kami adik-beradik akan bermain dengan sepupu di kawasan sawah padi. Musim raya selalunya bersamaan dengan musim padi dituai. Rezeki Allah s.w.t bagi dalam bulan Ramadhan kepada pesawah. Boleh buat belanja masa Hari Raya. Jadi selepas padi dituai, tinggallah jerami menimbun dalam petak bendang/sawah. Itulah tempat kami berperang aka main mercun. Selalunya mercun yang digunakan ialah mercun lada. Masing-masing ada geng dan pemetik api beserta mercun lada. 

(jerami yang terhasil selepas padi dituai-belum dibakar)

Kawasan sawah padi akan jadi medan peperangan. Jerami tersebut akan disusun-susun untuk buat kubu sebelum perang. Kemudian semasa perang berlangsung, mercun akan dicucuh dan dibaling kepada musuh. Nasiblah kalau kena. Kena baling cepat sebab sumbu dia pendek. Entah macam mana saya pun boleh jadi mafia. Memang terjerit-jerit melarikan diri dan memberi arahan sambil menyorok di sebalik jerami sebab takut kena mercun. Lagi best dari main paintball. Dan itulah kali terakhir saya main mercun. 

Tapi masa sekolah rendah memang saya selalu berlagak mafia. Tambah-tambah pula bila ada geng yang nak mengikut. Mafia-mafia saya pun saya tak berkawan dengan orang lelaki. Tak pelik sebab mafia mana berkawan dengan bukan gengnya. Bagi saya lelaki adalah makhluk asing yang tidak boleh didekati sebab nanti menyakitkan hati. Tengok pun dah berbulu rasanya. Kitorang jadi tukang gelak setiap kali dengar cerita orang lelaki bergaduh berebutkan orang perempuan. Sedangkan mereka kawan baik. Pathetic bila sanggup korbankan persahabatan sebab orang perempuan. Macam drama. Lagi drama apabila ada orang yang sukakan kita dan dengan serius menyatakan hasrat. Siap bagi hantaran. Saya gelak guling-guling atas lantai sekolah apabila ada kawan bagitahu. Bagi saya orang lelaki yang mudah beritahu dia suka kat orang perempuan adalah tak macho langsung. Dan begitu juga sebaliknya. Dan pandangan saya itu terbukti apabila individu-individu sebegini sentiasa bercinta dan putus cinta dengan orang yang berbeza apabila sudah dewasa. Dia sudah menjadi janda cinta sebelum masanya sebab sibuk bercinta masa kecil. 

Hidup ni penuh dengan agenda yang lebih menarik untuk diisi sesuai dengan umur daripada buang masa berlagak matang sebelum masanya. Mafia-mafia kawan saya pun, sekarang ni apabila sudah sampai masanya, dah berkahwin dan beranak-pinak. Sayalah mafia yang sejati sebab tak kahwin-kahwin sampai sekarang. (inilah masalahnya apabila sudah matang-tak ada tajuk lain yang nak disentuh~) Kadang-kadang saya terlupa yang saya ialah mafia sebab dah kurang lontaran kritikal. Kalau dulu saya mungkin tak peduli, sekarang ni dah kena jaga sensitiviti pihak tertentu. Rasa mencengkam sikit otak ni sebab tak boleh nak jadi kejam terutama terhadap makhluk asing. Mungkin juga sebab sahabat-sahabat semafia saya semua sudah dan bakal diculik *makhluk asing, jadi saya sudah kurang kemafiaan sebab apalah ertinya **mafia tanpa geng...Selamat mengejar keampunan dari Allah s.w.t.

--kadang-kadang rindu zaman mafia-mafia dulu--

*makhluk asing ini tidak ada kaitan dengan definisi makhluk asing mengikut wiki, ET, dalam TV dll.

**mafia ini tidak ada kaitan sama ada hidup atau mati dengan mana-mana mafia yang ada dalam wikipedia dll.


Thursday, July 18, 2013

A place called home




Orang beriman itu kematian adalah pengalaman indah baginya. 
Bagaikan dinanti-nanti. 
Kerana hanya dengan kematian dia temui kebebasan. 
Kebebasan roh dari penjara jasad. 
Kebebasan untuk dia pulang ke kampung halamannya. 
Pulang bertemu Tuhan.
To a place called Home.


May Allah s.w.t have mercy upon our soul. Amen...

Thursday, July 11, 2013

Hitam-putih Ramadhan...

Kanak-kanak selalunya tidak sukakan sekolah, tetapi sekolahlah yang mendidiknya menjadi seorang manusia. Kalaupun terdapat lompang dalam sistem pendidikan, ianya kerana manusia yang cuba melengkapkan sistem tersebut.

Madrasah Ramadhan

Samalah macam memasuki madrasah Ramadhan. Macam masuk sekolah. Banyak peraturan dan larangan. Namun ianya memiliki sistem yang sempurna, datang dari Tuhan. Mendidik jiwa sekaligus memelihara jasad. Melahirkan insan bertakwa kemudiannya. Biiznillah.

Cuba menjinakkan nafsu yang liar selama 11 bulan bukan mudah. Tapi itulah fungsinya madrasah. Apabila perut kosong, fikiran panjang sikit. Nak buat satu-satu benda, fikir dulu kesesuaian dengan kemuliaan bulan Ramadhan. Kadang-kadang sampai hilang warna-warni dunia.


'Seandainya dunia tiada warna, tetapkan ku kagumi...'- Kias Cinta, Suhaimi

Dunia rasa sunyi sebentar.

Memetik kata-kata Rumi:

'When someone beats a rug with a  stick, he is not beating the rug- his aim is to get rid of the dust. Your inward is full of dust from the veil of 'I'-ness, and that dust will not leave all at once. With every cruelty and every blow, it departs little by little from the heart's face, sometimes in sleep and sometimes in wakefulness.' 
 Jadi, semoga dengan kelaparan, ketahanan diri dari melakukan dosa mata, mulut, telinga, dan hati, dosa-dosa kita terbang seperti terbangnya debu-debu dari tikar yang dipukul. Aamiin...

Buat saudara-saudaraku di serata dunia yang sedang menghadapi cubaan, sering saya panjatkan doa 'andai bukan di dunia ini kebahagiaan untuk mereka, kurniakan kebahagiaan buat mereka di negeri abadi.'

Yakinlah, hanya orang baik mendapat kebaikan. Kerana hanya  melalui 'kebaikan' tersebut, kita mendapat kebaikan- kedekatan dan ditinggikan darjat di sisi Allah s.w.t. Setiap yang mendekatkan diri kepada Pencipta adalah kebaikan- walau apapun tafsiran mengenai kebaikan menurut batas akal manusia. Kerana 'Allah Maha Tahu dan kamu tidak.' (Al-Baqarah:216). Boleh jadi dengan berperang itu setiap insan yang terlibat diangkat darjat di sisi Allah s.w.t kerana telah melakukan jual-beli yang tidak akan rugi.

Jadi jika hitam-putih duniaku, sunyi sepi sekelilingnya sepanjang Ramadhan ni- moga ia mampu mendekatkan aku kepada Pencipta. Aaminn ya Rabbal A'lamin...

"Dan tidak Aku ciptakan Jin dan Manusia (untuk apa sahaja tujuan), melainkan untuk menyembah-Ku". (Al-Quran 51:56).



Saturday, July 6, 2013

Majlis Pertunangan

Bilik JKKK Kg Alma & Bukit Minyak

Majlis Pertunangan

Saya sudah banyak kali meninggalkan majlis-majlis kahwin sepupu untuk tahun ni- Abang Jiji, Halim. Dan tahun-tahun sebelum ini. Tapi disebabkan sepupu saya sendiri yang bersungguh-sungguh minta saya tolong dia, jadi saya turun hujung minggu ni. Lagipun kami sebaya. Tapi akhirnya, kakak saya yang lebih banyak membantu- teman dia beli hantaran, buat hantaran dan sebagainya.

Saya sampai semalam, dari jauh dengar suara mak yang ceria berborak dengan adik-beradik perempuan yang lain sambil menggoreng ayam. Sampai tak kenal saya yang sampai. Kebetulan bertukar spek mata. Ada Mak Ngah, Mak Teh, Kak Com, Mak Lang, Mak Cik, dan Kak Ja. Cakapnya ni Jejak Kasih Bersamamu. Sampai jam 12 malam baru yang lain beransur-ansur pulang sementara menunggu hari ni.

Hari ni, sementara menunggu rombongan pihak lelaki, yang lain sudah berehat. Tak boleh nak cerita banyak sebab ada sorang budak kecil sebelah saya , Ammar yang sibuk nak tengok cerita Ultraman. Habis disepah-sepahkan kad nama Mak Teh sebab protes saya ganggu dia tengah tengok cerita Ultraman dan Upin Ipin. 

Jadi bila jarang-jarang pergi majlis sebegini, adalah alasan saya nak meletakkan gambar di sini. 

(Tok Wan Abu yang serius)


(hantaran sebelah pihak perempuan)


(Abah yang sedang bersantap buat kali ke-2)

Wednesday, July 3, 2013

Kitaran Turki di Mesir?

Sebelum Presiden Morsi dinaikkan, buku Teori Konspirasi dihasilkan dengan tajuk Rothschild: Yahudi Kepercayaan Dajjal. Saya bukan peminat buku-buku Teori Konspirasi ni, tapi ada seorang sahabat yang selalu membeli dan membaca buku-buku tersebut. Satu hari, sedang saya berbincang dengan sahabat lain berkaitan konflik di Syria (saya melihat konflik di Syria dari sudut yang berbeza dengan apa yang sibuk dimainkan di FB). Sahabat saya yang kebetulan berada di situ, naik ke atas bilik dan turun bersama buku Teori Konspirasi. Dia meminta saya membaca buku ini terlebih dahulu dan kemudian memberi pandangan. Saya habiskan bacaan dalam masa 3 hari sebelum dia pulang dari Tioman.

(perjuangan belum berakhir)

Dalam buku tersebut, penulis meramalkan presiden yang bakal menggantikan Hosni Mubarak akan menjadi boneka kepada Rothschild aka Bank yang mengawal kewangan dunia. Hal ini demikian kerana, pada masa berlaku demonstrasi di Dataran Tahrir yang didakwa didalangi oleh Rothschild dengan mengupah individu-individu tertentu untuk menghasut rakyat supaya memberontak, Rothschild sedang berurusan mengenai projek mega pembangunan di Mesir. Tidak terkesan dengan huru-hara yang berlaku di Mesir. 

Apa yang berlaku adalah tersasar dari ramalan penulis kerana yang naik jadi presiden Mesir kemudiannya merupakan Dr.Morsi, seseorang dari kalangan Ikhwanul Muslimin. Tiada projek mega yang diuruskan beliau sepanjang setahun pemerintahannya bermaksud beliau bukan boneka sapa-sapa. Dengan tindakan dan pendirian yang diambil berkaitan isu Syria, kita yakin di mana beliau berdiri. Dan kalau betul dakwaan wujud dalang dari Rothschild, sudah tentu mereka tidak suka kegagalan pelan awal mereka. Jadi tidak pelik jika Morsi dijatuhkan kerana mereka nak menaikkan boneka yang diramalkan oleh penulis.

Saya selalu melihat peristiwa yang berlaku di Mesir seperti mana yang berlaku di Turki. Saya pernah buat bacaan yang Morsi akan digulingkan (tetapi bukanlah saya bergembira dengan tepatnya bacaan). Tetapi kemudiannya, saya yakin Mesir akan kembali mengikut Turki- cuma perlu menunggu dan terus memberikan sokongan kepada Parti Islam yang ada. 

Disebabkan saya sudah terbaca Teori Konspirasi, baru-baru ini saya belek-belek youtube berkaitan dengan mereka. Sebelum itu, ia mungkin mencabar keterbatasan akal kita untuk mengakui sebahagian besar konflik di dunia berpunca dari kelompok sebegini. Tetapi, apabila difikirkan dan dibincangkan kembali, ianya logik mengambil kira JIK pun sentiasa menyusun agenda menguasai kampus-meletak proksi dan mengkaderkan penyokong dan pendokong. Itulah yang berlaku di dunia juga apabila wang sudah berada di tangan kelompok kecil ini. Mereka cuba meletak proksi di setiap negara di dunia melalui Bank Pusat (sehingga tahun 2011, hanya ada tiga negara yang tidak mempunyai Bank Pusat- Cuba, Iran dan Korea Utara. Persamaan antara ketiga-tiga negara ini adalah mereka memiliki senjata nuklear. Pelbagai isu direka untuk memecahkan pertahanan negara, misalnya Iran pada tahun lepas berhadapan dengan desakan untuk menutup loji nuklear mereka tetapi mereka tidak berjaya dan tahun ini mereka berhadapan dengan isu membantu Syiah di Syria). 

Cuma yang kita ragukan ialah adakah isu tersebut merupakan isu utama? Yang saya tahu rakyat seluruh dunia memang pening dan melatah. Tetapi saya tahu ada pihak yang sedar perkara ini dan saya yakin mereka sedang menyusun strategi yang paling ampuh. Wamakaru wamakarallah...

Saya melihat satu rakaman berita yang terbaru dengan seorang pemberita bertanyakan kepada salah seorang Rothschild berkaitan dengan pelaburannya di China. Dalam buku tersebut mendakwa China akan dijadikan proksi utama menggantikan US satu masa nanti dan sekarang mereka dalam proses menyusun China. Tidak pelik rakyat China masih miskin tetapi China menjadi kuasa ekonomi dunia. Kononnya China akan menjadi kuasa ekonomi dunia pada 2015.  Tetapi kita pun tahu US sedang tenat sekarang ekonominya. Dan kepelikan rakyat US kenapa US sibuk nak jadi polis dunia terjawab kerana US merupakan proksi utama Yahudi ni. 

Dalam video tersebut, Rothschild ini mengiakan projek pelaburan mereka di China dalam Wheather Channel (kaji cuaca)- video ini bertarikh 2013. Dalam buku teori (bertarikh 2012) didakwa Rothschild akan menumpukan usaha berkaitan cuaca- membuat hujan di gurun Sahara sehingga subur hijau. Tidak dapat diterima akal pada mulanya, tetapi melihat teknologi sekecil pembenihan awan, tidak mustahil adanya teknologi yang lebih canggih. Tetapi sains dan tekno bukan tuhan. Motif semua ini? Pembaca kena buka buku teori. Apa yang nak saya sampaikan, pada satu malam saya tertonton berita Nightline (sahabat baru selesai menonton TV) masa saya baru nak masuk tidur, ada satu berita menarik perhatian saya. Tajuknya- Awan aneh ditemui di China. Dengan sebahagian besar agensi berita milik golongan Yahudi Rothschild ni- Reuters, Aljazeera dll, aneh tak berita ni? Sekarang merupakan proses menarik semua mata penduduk dunia ke arah China. Melalui kuliah saya Ekonomi Politik Antarabangsa, ramai pelabur sudah mula melabur dan membuka kilang di China. Hatta sekarang produk yang hebat pun sudah mula Made in China. Saya diajar ramai pelabur nak ke China kerana kuasa membelinya banyak dan murah- dengan rakyatnya yang miskin, mana mungkin kuasa membeli tinggi (dengan keterbatasan pembacaan saya berfikir). 

Saya bukan pengkaji Teori Konspirasi, jadi anggaplah cerita di atas sebagai pieces of puzzles yang perlu disusun untuk mendapat gambaran sebenar keadaan yang berlaku di dunia sekarang ni. Kadang-kadang kalau saya boleh bertanya kepada Prof.Morrie, nak je saya tanya- perlu ke saya fikir semua ni? Saya risau saya membuang masa mempedulikan sesuatu yang saya tak boleh ubah sedangkan ada perkara yang lebih penting untuk saya take into account


Jawapan dari Tuhan

Dalam hidup ini, saya percaya kepada tidak adanya sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Mesti Allah s.w.t sudah tentukan dan ianya dalam pengetahuan Allah s.w.t. Titik. Cerita ni antara seribu satu cerita rahsia kehidupan saya selaku hamba Tuhan.

Semasa pulang dari Melaka, sahabat saya memberi pandangan bahawa jawapan bagi istikharah kita bukanlah sesuatu yang accurate atau jelas tandanya (macam nampak jawapan atau mimpi dll). Itu yang saya faham dari kenyataannya. Respon saya pada masa itu adalah bergantung kepada bagaimana individu tersebut melihat petunjuk yang diberi atau tak sedar langsung. Tapi apabila difikir kembali, saya berpandangan ianya bergantung kepada hubungan kita dengan Allah s.w.t. Bagi saya, indahnya istikharah adalah ia memberi saya satu benda. Keyakinan. Setiap kali istikharah, saya memohon agar Allah s.w.t berikan saya keyakinan apabila saya membuat sesuatu keputusan. Tak semestinya apabila kita mempunyai banyak pilihan baru kita nak buat istikharah. Untuk satu pilihan sahaja pun kena buat. Atau tidak ada lagi pilihan pun perlu dibuat. Sebabnya supaya Allah s.w.t berikan keyakinan apabila kita perlu memilih. Dan subhanallah, setiap keyakinan ini didatangkan dalam macam-macam bentuk. Kebaikan apabila kita mengambil keputusan berdasarkan istikharah ialah, kita tidak akan dengan mudahnya menarik balik keputusan tersebut walaupun timbul masalah di pertengahannya melainkan dengan melakukan istikharah kembali.

Terkesan dengan kata-kata dalam blog sahabat;

kata sheikh omar suleiman dalam video ini, memetik kata-kata ibnu qayyim al-jauzi;
"malaikat diciptakan dengan tujuan, tapi tanpa nafsu. haiwan pula dijadikan bernafsu, tapi tanpa tujuan. manusia pula diciptakan dengan kedua-duanya; iaitu dengan tujuan, dan disertai dengan hawa nafsu. jika ‘tujuan’nya lebih kuat berbanding nafsu, maka dia menghampiri status malaikat. namun, jika ‘nafsunya’ lebih kuat berbanding ‘tujuan’nya, maka dia menghampiri status ‘haiwan’
http://umairahshafei.blogspot.com/2013/07/ketika-harus-memilih.html

Oleh itu, perkara biasa apabila dalam perjalanan mencapai tujuan hidup berlaku masalah di pertengahannya akibat konflik yang ditimbulkan nafsu.

Sebagai contoh, saya melihat ianya sesuatu yang lucu apabila orang di FB bising-bising tentang sikap sesetengah perempuan yang sibuk mengadu dan bermadah pujangga mencari 'imam' masing-masing. Secara tak langsung, orang yang bising-bising tu pun turut menyentuh mengenai perkara tersebut. Cumanya mereka mengambil sikap menolak. Sama ada menolak atau menerima, saya fikir ianya sangat melucukan. Masing-masing sibuk menjaga hati dalam konteks yang difahami masing-masing. Baguslah. Macam tulah keadaan apabila kita mengadu kat manusia atau di wall FB. 'tuhan' yang banyak takkan mampu menandingi Tuhan Yang Esa.

Saya ceritakan satu pengalaman kecil saya.

Ada satu waktu di antara waktu-waktu, saya usai solat asar di masjid. Masa tu ada program yang saya hadiri. Semasa sedang berteleku dan bermonolog dengan Tuhan dalam diam, terdetik di hati untuk meminta ditunjukkan sesuatu. Saya menjangkakan jawapan tersebut dalam bentuk lintasan hati, atau bayangan. Tetapi, Allah s.w.t boleh buat lebih dari itu. Dan tiada yang mustahil bagi Allah. Tiba-tiba sewaktu saya mengangkat muka dari tadahan tangan tersebut, melalui celahan tirai tersebut, betul-betul datang berdiri membelakangkan saya adalah jawapan bagi doa saya tadi selang beberapa saat. Sedang bersolat. Jantung saya terus berhenti sebab tergamam.. dan saya semakin yakin dan percaya. Titik.


Moral of the story
Kalaulah saya boleh beritahu hati ke hati kepada muslimat-muslimat, yang mengadu kepada Allah s.w.t dan jangan berpaling sekelumit pun untuk mengadu kepada media sosial merupakan penyelesaian mutlak kepeningan jiwa mereka, alangkah bagusnya. Saya pun nak mereka rasai apa yang saya rasa apabila Allah s.w.t tunjukkan jawapan-Nya dan pilihan-Nya. Allahuakbar. Salam Ramadhan buat semua.