Showing posts with label pendidikan wanita. Show all posts
Showing posts with label pendidikan wanita. Show all posts

Sunday, October 20, 2013

Jendela pemikiran politik wanita

Politik seringkali dikaitkan sebagai hak maskulin. Orang perempuan tiada tempat dalam politik suatu masa dahulu. Kemudian wujud gerakan feminisme yang mendakwa kenyataan yang menyatakan sesuatu itu maskulin dan sesuatu itu feminin adalah konstruksi sosial semata-mata. Tapi, persoalannya, macam mana sesuatu tersebut dikonstruksikan sedemikian? Contohlah, menjahit baju selalu dikatakan feminis, membaiki kereta dikatakan maskulin, memasak feminis, menjaga anak feminis, memburu maskulin dsb.  Sudah tentu sebab masyarakat memandang kepada majoriti perlakuan sedemikian dimonopoli oleh jantina tertentu.

Namun, apabila dunia semakin kompleks, berlaku silang peranan antara lelaki dan wanita. Lelaki nak memasak, wanita nak masuk politik. Oleh itu, perkara ini dikaji semula dari sudut yang berbeza. Sesuatu bidang tersebut tidak harus dilabel hak maskulin dan hak feminis semata-mata.

Selalunya wanitalah yang paling melenting jika melihat isu double-standard sebegini. Sehingga tertubuhnya gerakan feminisme. Sejauh mana pula muslimat dalam PAS melihat hal ini?

Ini pemerhatian saya.

Semalam saya berkejar sendirian ke Hotel Armada untuk mengikuti Dialog Politik Anak Muda. Panelis merupakan Tuan Guru Haji Hadi, YB Zailah, YB Mumtaz dan Puan Fareedah Ahmad. Saya lebih suka memerhati daripada terlibat. Seronok keluar dari Bangi sekejap ambil angin. Jumpa dengan orang kampung, Kak Wani (orang kampung sebelah), Kak Naimah dari Pulau Pinang. Semasa sesi dialog, perwakilan atau para hadirin boleh mengajukan sebarang soalan kepada panelis.

Walaupun tidak dinyatakan peraturan, tetapi apabila tajuknya Dialog Politik, maka sudah pasti persoalan perlu berkisar tentang politik. Rata-rata soalan yang ditanyakan berkisar tentang isu double-standard PAS terhadap muslimat dibandingkan dengan pemuda. Selain daripada itu, muslimat suka tanya soalan yang berkaitan dengan rumahtangga dan karakter panelis. Itu bukan isu politik mainstream. Itu politik rumahtangga. Well, it is still politic. Saya seorang sahaja yang tahu itu juga isu politik, orang lain lihat isu tersebut tak berkaitan langsung dengan topik sehingga moderator perlu memberi amaran. Orang sebelah saya melontarkan komen terhadap soalan yang dilontarkan dan saya hanya mengangguk-angguk tersenyum dengan remarks yang dibuat. Soalan kita merefleks pemikiran kita.

Jadi, jangan salahkan lelaki kalau politik itu dilabelkan sebagai maskulin. Sebab hanya orang lelaki yang pandai bercakap tentang politik. Tetapi orang perempuan apabila diberi peluang bercakap topik politik, dibantainya tanya soalan ‘Adakah Ayah Chik seorang yang garang dengan keluarga,?’ ‘Macam mana YB Zailah menguruskan rumahtangga dan dalam masa yang sama terlibat dalam politik?’ ‘Apakah cabaran terbesar YB Mumtaz menjadi seorang exco?’ ‘Apakah peristiwa yang membuatkan TGHH tergelak besar?’ Memang la… kalau ada pemuda dalam majlis ni, mesti diorang pandang slack kepada muslimat sebab tanya soalan-soalan yang sungguh ‘catchy’ sebegitu.

Peristiwa tersebut membuatkan saya terfikir nanti kalau ada rezeki saya sambung PhD, saya nak kaji Teori Politik Wanita. Kaji politik dari sudut pandang wanita. Sekarang ini, tiada siapa menghalang wanita kehadapan dalam pentas politik. Mereka diberi peluang seluas-luasnya. Wanita rasa didiskriminasi sebab dia sendiri tak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki semasa proses pembuatan keputusan dibuat. Kalau tidak, dia mesti tidak akan rasa rendah diri seperti mana pemimpin politik wanita yang ada sekarang. Siapa nak orang yang diam dan mengikut sahaja apa orang lain cakap dalam proses pembuatan keputusan tanpa ada pendapat dan pendirian sendiri? Dalam buku The Definitive Book of Body Language, perempuan yang nak dirinya dipilih jadi isteri dengan perempuan yang nak dirinya dipilih jadi ketua perlu mengamalkan sikap yang berbeza dalam dua keadaan tersebut. Kalau tidak dia tidak akan dihormati dan suaranya tidak didengar. Jadi pilihan di tangan anda.


Agak kemalasan nak menulis entri walaupun pelbagai perkara menarik berlaku di sekeliling… jadi saya berhenti di sini. 

Sunday, March 18, 2012

Sikap preventif

Pengalaman peribadi

Dahulu, sekolah tidak pernah memiliki pagar.  Pelajar bebas untuk bereksplorasi dan berasimilasi dengan masyarakat kampung tanpa ada rasa bahaya.  Saya sempat merasa pengalaman sekolah tanpa pagar iaitu sewaktu berada di PASTI dan sekolah arab.  Sekolah arab atau sekarang diistilahkan sebagai kelas kafa.  Setiap kali selepas sekolah kebangsaan, petangnya 3.30 mesti kena pergi sekolah arab.

Pernah satu pagi, saya dihantar terlalu awal ke PASTI.  Terlalu awal sampai tidak ada sesiapa di sekolah.  Gelap jer dan saya ditinggalkan keseorangan sebab tok su nak terus pergi kerja dan anaknya yang sekolah bersama saya tidak dapat hadir sebab demam.  Disebabkan bosan menanti dalam kegelapan, saya membuat kesimpulan hari ini kelas tidak ada.  Nak mesej ustazah pun pada waktu tersebut telefon bimbit pun tak dimiliki macam budak-budak zaman sekarang.  Jadi, tanpa berfikir panjang saya terus menapak pulang.   Kalau ikut logik, budak umur 6 tahun kena tinggal seorang dalam gelap di sekolah, mesti akan menangis meraung-raung.  Mungkin itulah beza budak yang dididik di PASTI dengan budak yang dididik di TADIKA atau TASKA atau KEMAS.  Jangan tanya saya macam mana saya boleh berjalan sejauh 12 km dari PASTI ke rumah dalam gelap dan bagaimana saya boleh ingat jalan.  Yang pasti, bila sampai je ke rumah dan pergi ke dapur saya bagitahu mak yang hari ini cuti.  Saya terlupa bagaimana reaksi mak saya tapi rasanya mak percaya sebab saya memang tak pandai menipu.  Tapi sayalah tertipu dengan diri sendiri.

Esoknya, kecoh kat kampung seberang (kampung tok) ada orang nampak budak kecik jalan kaki sorang-sorang kat tepi jalan raya pagi-pagi.  Pakai baju PASTI pula tu.  Bila diorang dapat tahu jer budak tu ialah saya, kecoh tok saya.  Marah-marah dia kat mak dengan saya.  Peristiwa tu menjadi modal seorang pak cik yang bujang terlajak ni untuk mengusik saya setiap kali dia nampak saya.  Kebetulan dialah antara orang yang nampak saya berjalan waktu tu.  Dia mengusik kalau saya buat lagi, nanti orang culik baru tahu.  Pak cik tu memang menyeramkan.  Sampai sekarang saya tak tahu latar belakang dia.  Dia membujang sampailah ke akhir hayat di dalam sebuah rumah papan beratap separa nipah dan zink.  Ada dalam kalangan sepupu yang mengusik pak cik tu tak kahwin lagi sebab nak kahwin dengan saya.  Memang marah yang amat bila diorang mengusik macam tu.  Tapi, kalau saya kena culik waktu tu, dialah suspek utama sebab suka sangat mengusik nak culik saya.  Setiap kali lintas rumah dia saya mesti lari laju-laju sebab takut kena tangkap.  Nasib baik pada zaman tu, cerita hantu kurang fenomena.  Kalau dia ada di kedai kopi dan saya kebetulan ada di situ sama ada ikut mak atau abah, dia mesti akan pandang tajam ke arah saya.  Inilah antara insan-insan yang menyumbang kepada perasaan fobia dan tak suka saya kepada lelaki.  Tapi, dia telah meninggal dunia beberapa tahun lepas jadi saya maafkan dia dan moga Allah ampunkan saya kerana mungkin tindakan dia telah menyebabkan saya berprasangka buruk terhadapnya.

Situasi semasa, ibu bapa tidak boleh lagi dengan mudahnya melepaskan anak-anak seperti mana saya dan kita-kita yang lepas bebas untuk explore dunia ini macam dahulu.  Orang tua-tua cakap, pantang lepa sket, hilang.  Kejadian yang terjadi kepada adik Nurin, Sharlinie dan terbaru Nadirah sepatutnya jadi pengajaran besar kepada ibu bapa.  Mereka tidak boleh layan anak-anak seperti mana mereka dahulu.  Dunia sekarang sudah tidak selamat kerana hukum Allah tidak ditegakkan.  Bukan kecil perkara yang dilakukan oleh penjenayah tersebut, entah makanan apalah yang dimakannya sehingga hatinya menjadi seperti binatang.  Anak sekecil umur 5 tahun disuruh keluar membeli barang seorang diri, apakah rasionaliti yang disandarkan oleh ibu bapa untuk membenarkan tindakan tersebut?  Bukanlah hendak membenci ibu bapa tersebut melainkan sikap yang diambil terhadap keselamatan anak-anak.

Peristiwa di Malaysia, anak-anak diculik dan dibunuh akibat kecuaian ibu bapa, tetapi di Syria, kanak-kanak dibunuh akibat kekejaman rejim pemerintah.  Ibu bapa tidak ada pilihan untuk melindungi anak-anak.  Anak-anak dibunuh di depan mata.  Tapi di Malaysia, ibu bapa mempunyai pilihan untuk melindungi anak-anak sebaik mungkin.  Sikap yang membezakan antara nak atau tidak.  Masalah sikap orang Malaysia, kalau selagi tak kena batang hidung sendiri, prinsip prevention is better than cure macam tak pernah wujud dalam kamus hidup.  Bila ada orang yang mengawal anak-anak dikatakan anti-sosial atau mengawal.  Saya tak nafikan setiap ibu bapa nak yang terbaik untuk anak-anak tapi sejauh mana sikap diiringi dengan keinginan, itu yang menjadi persoalan.  Mak saya pernah dilabel sebagai ibu ayam oleh saudara-mara sebab terlalu mengawal anak-anak.  Masa kecil-kecil mungkin kita rasa terkongkong, tapi bila diterangkan rasional tindakan tersebut, saya merasa bersyukur sebab mak sangat-sangat menjaga kami.  Kalau nak main di halaman rumah, mak akan pastikan kawasan tersebut dibersihkan dan terhindar dari semut api sebelum biar kami lepas bebas.  Tak nak nanti kaki berkudis dan berparut.  Tak boleh pergi rumah jiran sebab tak nak nanti mengganggu rumahtangga orang.  Lagipun, mak risau kalau nanti kami main tangga, kalau jatuh berpotensi untuk mendapat kecederaan dalaman yang tidak disedari.  Budak-budak kan suka buat bising pastu kalau jatuh, tak reti nak bagitahu.  Jadi, mak tak suka orang mengutuk-ngutuk anak dia, sebab itulah dikurung dalam rumah.  Sampai tahap, kalau nak main badminton pun, kami adik beradik main dalam rumah.  Kebetulan ruang tamu pun luas dan tinggi.  Mungkin ada antara kami yang tak dapat menerima didikan sebegitu, tapi bagi saya, itulah yang terbaik.  Apabila dah besar, atas tanggungjawab masing-masing untuk memilih yang terbaik buat diri sendiri.  Mak dah berusaha.

Saya tak nafikan, bukan mudah nak menjaga anak apatah lagi mendidik.  Tambah-tambah waktu sedang membesar.  Saya sendiri tak pernah berjaya nak menidurkan bayi berumur kurang dari setahun.  Apatah lagi nak jaga sampai umur 5 tahun.  Tapi apabila Allah dah bagi tanggungjawab, bermakna seorang ibu sudah selayaknya memikul tanggungjawab tersebut.  Tak mahu menyalahkan sikap ibu tersebut terus-menerus, mungkin perkara ini telah ditakdirkan.  Jadi sama-samalah mengambil pengajaran terutama yang sudah bergelar ibu atau bakal bergelar ibu.  

Friday, March 9, 2012

Pemanduan berhemah

Melihat keadaan kenderaan yang dinaiki siswi UPSI yang kemalangan akibat mengelak babi hutan yang melintas jalan cukup menyayat hati.  Sewaktu mendapat khabar berita mengenai kemalangan yang meragut dua nyawa sahabat sejemaah tersebut, saya kurang terkesan berbanding apabila melihat keadaan kenderaan tersebut.  Bagai dapat membayangi saat-saat genting yang mereka hadapi.

Kalau orang-orang tua memberi nasihat mengenai pemanduan, mereka selalu nasihat saya kalau ada benda melintas di hadapan dan kita sedang memandu laju, brek atau biarkan ia berlanggar lebih baik berbanding mengelak kerana kesan mengelak lebih fatal berbanding langgar.  Alasannya kita akan hilang kawalan berbanding jika kita cuba brek dan peluang untuk kecederaan serius lebih kecil berbanding mengelak.  Saya tak tahu sejauh mana perkara ini praktikal, tetapi saya ada sedikit pengalaman mengenai saat-saat cemas.  Tapi mungkin juga sebab belum tiba ajal.  Tapi ajal dan kecederaan adalah dua perkara yang berbeza.  Sebab itulah saya memilih menaiki kereta api berbanding bas.  Mati memang di mana-mana, tetapi peluang kemalangan dan tahap kecederaan antara bas dan kereta api sangat berbeza.

Disebabkan saya ni jenis mendengar cakap orang tua (-_-)"...maka I bare that in mind setiap kali memandu kereta.  Antaranya sewaktu kucing yang panik melintas jalan, saya membuat brek kecemasan.  Nasib baik kereta belakang tak ada dan kucing tersebut berjaya tiba ke seberang.  Tapi hampir-hampir menangis juga ler dibuatnya.  Peristiwa kedua, sewaktu naik motor, ada van yang keluar dari simpang secara tiba-tiba.  Saya sempat lagi berfikir sama ada nak ke depan atau ke belakang, tapi akhirnya memutuskan untuk brek kecemasan dan melanggar pintu pemandu tersebut.  Alhamdulillah, saya tak cedera dan motor hanya pecah di  bahagian hadapan.  Semangat bagai terbang dari diri dan saya terdiam kaku sehingga pak cik van tersebut menarik motor saya dengan saya masih di atas motor ke tepi jalan.  Waktu tu bulan puasa, pak cik tersebut menulis nombor telefon dan meminta saya menelefonnya untuk membaiki motor saya.  Saya hanya mengangguk-angguk sahaja.  Dalam otak waktu tu kosong je.  Rasa macam roh dah terbang dari diri.  Selepas pak cik yang lain suruh saya balik rumah, baru saya bergerak pulang ke rumah.  Sampai sahaja ke rumah, saya beritahu mak saya yang saya kemalangan.  Reaksi yang saya tak boleh lupa dari mak saya ialah dia suruh saya pergi ke sekolah juga apabila mendapati saya tak cedera dan motor tak rosak teruk.  Tapi disebabkan semangat saya dah terbang, saya terus terbaring tak sedarkan diri di ruang tamu.  Kemudian, yang ketiga sewaktu melanggar anjing.  Yang ni paling saya trauma, tapi apabila anjing tu langgar jer motor dan saya jatuh tergolek, at least saya tidak mendapat kecederaan yang serius berbanding jika saya mengelak dan melanggar tembok di tepi jalan atau kereta di lorong lain.  Mungkin akan terpelanting.  Saya berjaya untuk tidak pengsan dan dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Kajang.  Merasa la juga naik ambulans yang laju.  Pengalaman terakhir saat cemas sewaktu membawa kereta di dalam terowong, apabila kereta Vios yang datang laju dari belakang memotong dan melanggar cermin sisi kereta Saga yang saya pandu, saya tidak automatik mengelak walaupun panik.  Jika dalam keadaan panik, selalunya orang akan mengelak secara tiba-tiba yang menyebabkan kemungkinan mereka akan melanggar dinding terowong.  Seram bila memikirkan.  Berguna nasihat orang-orang tua sebenarnya.

Lagi satu, fakta paling penting yang wanita perlu tahu tentang pemanduan ialah penglihatan wanita sangat terhad apabila memandu pada waktu malam berbanding lelaki.  Pemandangan lelaki menjadi lebih tajam apabila malam berbanding wanita.  Jadi, saya selalu mengelak memandu pada waktu malam terutamanya Lebuh raya Utara-Selatan kecuali jalan yang saya sudah biasa.  Oleh itu, jangan sesekali memandu pada waktu malam dalam jarak yang jauh dan jalan yang tidak biasa dilalui.

Dalam pemanduan, saya selalu kagum dengan kaum lelaki walaupun saya selalu kutuk mereka bawa laju sehingga selalu maut dalam kemalangan.  Impian saya ialah menjadi secekap pemanduan gaya lelaki seperti abah saya.  Walaupun kena marah waktu abah ajar bawa kereta sewaktu berumur 17 tahun, saya tahan jer sebab nak cepat belajar.  Lagipun, cikgu yang ajar saya bawa kereta ialah perempuan sebab saya tak suka lelaki ajar.  Jadi, perlu dapat latihan tambahan dari abah sendiri.  Antara perkara yang paling saya nak kuasai ialah masuk parking bentuk V sekali masuk, U-turn dalam ruang yang terhad sekali pusing, keluar simpang secepat mungkin dan hafal jalan.  Setakat ini, masuk parking bentuk V, saya berjaya buat sewaktu abah saya ajar sekali sahaja.  Hah, sempat saya buat abah saya kagum.  Tapi, bila dah duduk universiti dan tak pegang stereng secara kerap, kemahiran pun dah tumpul.  U-turn dalam ruang terhad tak de masalah setakat ni.  Hafal jalan? Fail even jalan kat Penang pun.  Maknanya perlu lebih belajar selepas ni.  KPI abah saya, kalau saya berjaya buat abah saya tertidur sewaktu saya memandu, itu bermakna saya dah jadi pemandu yang boleh dipercayai.  Waktu pertama kali dapat lesen, abah saya tak mampu nak tidur sebab risau dengan cara saya memandu.  Sekarang setelah 4 tahun memegang lesen kereta, saya pun meletak KPI seperti abah.  Kalau saya tertidur waktu menaiki kereta, bermakna pemandu tersebut memang boleh dipercayai.  Abah saya selalu buat saya kagum apabila dia memandu, tetapi dia tak berjaya kagumkan mak saya.  Mak co-pilot yang paling skema.

Oleh itu, pemanduan berhemah selalunya saya belajar dari emak saya.  Bukanlah belajar, tetapi diajar.  Antaranya, kalau jadi co-pilot tak boleh tidur sepanjang perjalanan.  Kalau atas jalan, jangan terlalu menyempit ke kiri, bagi ruang motor nak potong dari kiri.  Jaga jarak dari kereta depan sejauh nampak tayar belakang kereta tersebut.  Pegang stereng dua belah tangan, jangan sebelah.  Paling laju 60km/j kalau bukan di lebuh raya.  Kalau di lebuh raya, berada di lorong kedua lebih baik.  Sebelum naik kereta, panaskan enjin terlebih dahulu.  Selalu cek air sebelum keluar.  Jaga temperature.  Kalau temperature naik, apa perlu dibuat.   Tinggal mak tak ajar cara nak tukar tayar sebab mak tak reti.  Jangan brek mengejut, nanti tayar haus.  Yang paling recent, baca doa dan berzikir.  Itu antara pesan-pesan yang paling saya ingat.  Selalunya mak akan puji gaya pemanduan kakak berbanding saya.  Saya rasa kakak saya terlalu berhati-hati sampai saya rasa macam nak rampas stereng dari dia.  Tapi apabila bawa kereta dengan abah kat sebelah, saya lupa diri.  Sampai abah tegur,

 "Mak ang tak kata apa-apa ka bila dia naik gheta dengan Ayu?"
"Tak pun, kenapa?"
" Dia selalu tegur abah bawa laju, abah ghasa Ayu bawa lagi laju.."
"Haa..sebab bila bawa mak, Ayu bawa secara berhemah sebab tak mau mak bising."
"Hmm..ceghedik..,"

Tak lah laju pun, masih 60km/j.  Tak pernah exceed 90km/j pun kalau di jalan biasa.  Itu sebahagian pengalaman saya mengenai pemanduan.  Sebenarnya kemahiran hidup sangat penting.  We cannot simply holding on something without improving our knowledge or skill.  Banyak lagi perkara yang perlu kita ambil tahu dari masa ke masa.  Di sini saya lihat kaum wanita memanglah kurang memberi tumpuan aspek-aspek keselamatan diri sendiri.  Nasihat-nasihat dan ilmu baru ni tak dapat diperoleh melalui kelas atau bacaan, kadang-kadang ia melalui orang-orang tua dan pengalaman mereka.  Jadi, rajin-rajinlah sembang dengan orang-orang tua.  Sebenarnya saya pun tak ramah dengan orang-orang tua, tetapi lebih kepada suka mendengar isi leteran mereka.  Mereka merupakan golongan yang penuh dengan pengalaman hidup sehingga perlu diluahkan yang menyebabkan ianya menjadi seperti leteran.

Oleh itu, nasihat buat wanita termasuklah diri sendiri.  Mahirkan diri dengan aspek pemanduan berhemah dan berfikir sebelum bertindak.