Monday, October 3, 2011

Dunia tak berubah...


Makin banyak tugasan, makin saya rajin update blog.  Ada kelegaan di situ.  Mungkin juga untuk memberitahu diri bahawa saya taklah sesibuk mana pun.  Dahulu waktu di asrama, walau sesibuk mana pun, sempat lagi berusrah dan berziarah. Sibuknya dengan kerja sekolah sehingga saya mengabadikan perkataan ‘ghejakolah’ di email saya. Tapi sibuk mana pun, pondok pengawal keselamatan pun sempat saya ziarah.  Bersembang dan berbual mesra dengan pasangan suami isteri yang menjadi pengawal keselamatan serasa tak membuang masa pun.  Sekarang nak pergi ke bilik kawan lama pun mengira-ngira sama ada akan membuang masa atau tak.

Betullah seperti apa yang dikatakan oleh seorang adik ni, dunia tak berubah pun, tapi manusia yang berubah.  Saya sebenarnya suka melepak dan bersembang.  Waktu di tingkatan 5 kalau tension kerja banyak, saya akan lari sebentar ke pondok pengawal bersembang dengan pasangan pengawal keselamatan di situ.  Kebetulan mereka tak mempunyai anak, jadi mereka banyak menghabiskan masa di pondok tersebut seperti rumah sendiri.  Ada tv, ada dapur.  Kadang-kadang saya makan di situ.  Kan budak-budak asrama sentiasa kelaparan.  Dekat asrama seperti yang dimaklumi kalau waktu prep memang tak boleh nak balik ke asrama menonton tv.  Kebetulan pula cerita yang menarik selalunya ada waktu malam.  Jadi, saya berbaik-baik dengan mak cik guard.  Hasilnya, saya dapat menonton cerita kegemaran pada waktu malam.  Itu pun curi-curi takut kena tangkap dengan warden yang meronda kawasan.  Pak cik dan mak cik pun bersekongkol sekali.  Tak ingat apa cerita yang saya suka sangat sehingga sanggup ponteng prep dan melepak (baca menziarahi) pondok pengawal.  Selalunya saya akan pergi dengan dormmate.  Aisyah.  Sekarang ni dia sedang menuntut jurusan perubatan di Jordan. 

Hmm…bila diingat-ingatkan kembali, sebahagian besar sahabat baik saya semuanya mengambil jurusan perubatan.  Walaupun kami berkongsi cita-cita yang sama, akhirnya saya seorang sahaja yang terdampar di bidang sains politik.  Sahabat baik waktu sekolah rendah menjadi penolong pegawai perubatan, sahabat baik sekolah menengah seorang berada di Mesir mengambil perubatan, seorang di USIM mengambil pergigian, seorang di UK mengambil farmasi (peminat setia Spongebob) dan yang ini Aisyah pun berada di Jordan mengambil perubatan.  Sebenarnya ada jer peluang untuk saya menyambung ke bidang perubatan sewaktu dapat matrik dahulu tapi saya tolak.  Memang kena marah habis-habisan dengan cikgu.  Selepas STPM, ada peluang menyambung ke bidang perundangan, saya tak ambil peluang tersebut walaupun keputusan mengizinkan.  Waktu tu abah pula kena marah dengan peguam kerana tak paksa saya ambil bidang perundangan.  Sehingga ada seorang pak cik di kampung mengatakan bodoh kalau saya tak ambil peluang tersebut. 

Apabila difikir-fikirkan balik, memanglah manusia hanya mampu merancang, sedangkan Allah yang sebaik-baik perancang.  Kadang-kadang ilham itu datang tanpa dipinta.  Mungkin Allah nak memberi peluang saya berbakti kepada manusia sekeliling.  Mungkin andai saya mengambil bidang yang kritikal, saya sudah tak mampu mengangkat kepala dan mengambil peduli hal manusia di sekeliling.  Pernah waktu kecil-kecil mak memarahi saya sewaktu nak melintas jalan ke kedai;

“Ayu ni selfishla!”

Sebabnya saya tak bagi adik ikut saya dan mak ke kedai di seberang.

Terkejut saya waktu tu bukan sebab kena marah tapi sebab dengar mak saya speaking.  Dalam hati saya;

“Waa…pandainya mak aku cakap Inggeris,”

Tapi saya tak luahkan kekaguman tersebut sebab dalam situasi kena marah, takkan nak seronok plak.  Jadi saya hanya mendiamkan diri dan ingat perkara tersebut sehingga kini.  Hakikatnya memang mak saya pandai berbahasa Inggeris sebabnya dialah yang mengajar saya sewaktu kecil untuk menonton kartun-kartun Sesame street, The Lion King dan lain-lain, membelikan buku-buku bahasa Inggeris, kaset-kaset lagu Inggeris, tapi dia tak pernah bertutur pun dengan kami. 

Kesimpulannya, disebabkan Allah sayanglah Allah memberikan benda yang kita perlukan dan bukan yang kita inginkan.  Walaupun saya teringin sangat nak jadi doktor dan nak kahwin dengan doktor, sehingga mengabadikan ‘mrdoc’ di email saya, saya tetap tak tahu apa yang terbaik buat saya.  Kasih sayang Allahlah yang membawa saya ke bumi UKM dan memberi pelbagai cubaan dan dugaan.  Setiap yang berlaku ada hikmahnya.  Jadi, walau apapun yang terjadi, berusahalah sebaik mungkin dalam hidup kita.  Allah knows best~

p/s: cuba untuk membezakan antara pentingkan diri sendiri dan menjaga kepentingan diri~

No comments: