Menjengah keluar tingkap
kereta, malam ni bulan penuh atau bulan purnama menghias langit. Sudah sepurnama orang tua-tua kata. Apa yang dimaksudkan dengan sepurnama? Sepurnama bermaksud sebulan sebab bulan penuh/bulan
purnama terjadi pada 29 atau 30 hari dalam kalendar lunar. Ia terjadi apabila bulan berada di sebelah
bertentangan bumi dengan matahari. Jadi,
apabila orang-orang tua melihat bulan purnama, mereka sudah tahu sekarang sudah
hujung bulan atau sebulan/30 hari. Oleh
itu, tanpa perlu melihat kalendar mereka mengira hari hanya berdasarkan
bulan. Lebih dekat dengan Pencipta.
Saya merasakan orang
terdahulu lebih dekat dengan alam.
Mereka sentiasa berinteraksi dengan alam dalam urusan seharian. Saya suka begini. Jadi jangan pelik kalau lihat saya bercakap
dengan pokok atau haiwan. Kadang-kadang
di kampung, saya akan keluar menikmati angin malam di belakang rumah. Sambil melihat langit in case ada bintang atau tidak pada malam ni, saya akan berdoa
apa-apa sahaja doa yang terlintas.
Dahulu kalau melihat kapal terbang melintas, saya sentiasa berdoa semoga
suatu hari nanti saya akan berada dalam kapal terbang tersebut. Doa saya dimakbulkan melalui peluang yang
tidak saya jangka. Sebak juga sewaktu
awal menaiki kapal terbang sebab teringat Allah telah memakbulkan doa saya.
Tetapi setelah menaiki
kapal terbang, saya rasa tak nak naik dah kapal terbang. Sebabnya sewaktu penerbangan pergi Kemboja,
saya duduk di tempat duduk bersebelahan pintu kecemasan menyebabkan tempat
duduk saya tidak dapat diturunkan untuk tidur.
Jadi saya terpaksa berada dalam postur menegak selama 45 minit penerbangan. Kejam sungguh. Pulang dari Kemboja pula, saya terpaksa duduk
di sebelah seorang kakak yang mendukung bayinya yang berusia baru sebulan dan
tidak berhenti-henti menangis. Ingatkan
kena sampuk ke apa, rupa-rupanya perubahan altitud menyebabkan bayi tersebut
merasa tidak selesa.
Apabila berlaku
perubahan altitud, telinga kita akan berdengung dan saya pun mendapati keadaan
tersebut tidak menyelesakan. Kena telan
air liur baru hilang dengung tersebut.
Tapi bayi sekecil tersebut apa yang dia tahu. Sepatutnya bayi dipasangkan dengan penutup
telinga atau earmuff sewaktu dalam
pesawat. Awalnya saya tak tahu, tapi dah
lama-lama baru saya terfikir pasal benda ni.
Jadi saya bagitahu kepada ibunya supaya dia tidak risau. Dia risau sebab anaknya tak pernah menangis
teruk macam ni. Dia ingat mat saleh kat
belakang mengacan anaknya sehingga saya terpaksa tutup ruang antara kerusinya
dengan jaket saya.
45 minit mendengar
anaknya menangis. Simpati dengan keadaan
emak muda tersebut yang terbang keseorangan dengan anak sulung untuk berjumpa
suami di Malaysia. Sepatutnya pihak
kapal terbang kena sediakan peralatan ini seandainya berlaku peristiwa
sebegini. Mereka seharusnya lebih
tahu. Kapal terbang bukan panjang macam
kereta api. Jadi kita tak boleh
lari. Satu kapal terbang terganggu. Sewaktu tayar kapal terbang menyentuh bumi
Malaysia, menangis akak tu kelegaan sebab dah sampai. Saya pun bergenang air mata sebab tersentuh sambil mengusap-usap
kepala bayi tersebut. Sempat saya
berpesan agar lain kali bawa penutup telinga untuk bayinya.
Sejak hari itu, setiap
kali saya mendongak ke langit apabila mendengar kapal terbang membelah awan,
saya perasan yang saya sudah tidak lagi berdoa agar diberi peluang naik kapal
terbang. Saya mudah serik. Tapi pengalaman ini membuahkan pengetahuan
kepada saya.
Saya sudah tahu kalau
bayi menangis dalam kapal terbang adalah disebabkan telinganya berdengung
kerana perubahan altitud. Kalau dalam
kereta api pula, bayi menangis sebab kesejukan.
Jadi kadang-kadang terganggu saya apabila melihat ibu bapa hanya
membiarkan anaknya menangis dan ditepuk-tepuk sahaja dalam gerabak kereta
api. Seharusnya anak tersebut dibawa ke
bahagian kantin atau ruang antara gerabak yang tidak berhawa dingin. Pengetahuan ini diperoleh sewaktu berurusan
di bank. Seorang bapa sedang memujuk
bayinya yang menangis dalam bank. Puas
dikelek tidak juga diam. Saya hanya
menjadi pemerhati setia. Kemudian datang
seorang pak cik ni memberitahu pemuda tersebut agar cuba dibawa keluar
anaknya. Mungkin kesejukan. Pemuda tersebut akur dan apabila dibawa keluar
sahaja, bayi tersebut diam. Dalam kereta
api pun begitulah sejuknya kalau malam-malam.
Bayi mudah menangis
kalau tidak selesa. Kalau disapu minyak
di perut tidak juga berhenti menangis, tandanya ada perkara lain yang
menganggunya. Kena lihat kepada suasana
sekeliling.
Terbawa-bawa pula cerita
tentang bayi. But note one thing. Saya
hanya pandai berteori, kalau praktikalnya saya sangat mengecewakan. Ada satu masa tu seorang anak kecil dalam
setahun sedang bermain-main dalam program yang saya ikuti, tiba-tiba sewaktu
dia berdiri di hadapan saya, dia mula nak menangis. Kebetulan saya berada di barisan
hadapan. Hadirin yang ada muslimin dan
muslimat berpaling melihat ke arah kanak-kanak tersebut dan semestinya menanti
reaksi muslimat yang berhampiran kanak-kanak tersebut.
Muka saya berubah dan panik. Tangan saya nak mencapainya tetapi saya
ragu-ragu. Macam mana kalau saya pegang
nanti dia menangis lagi kuat? Jadi saya
hanya memerhatinya dan berharap adalah sapa-sapa yang tolong
mengambilnya. Akhirnya ada seorang
muslimat di belakang yang mengambil.
Saya kelegaan dan tersenyum pahit kepada sahabat di sebelah.
***
Point penting entri kali ini adalah latar belakang sosial sangat
mempengaruhi bagaimana seseorang itu membawa diri dalam masyarakat. Saya yakin muslimat yang mengambil
kanak-kanak tersebut sudah terbiasa dengan kanak-kanak atau sudah memiliki
anak. Saya membesar seiring dengan
adik-adik saya dan beza antara kami hanya 2 tahun.
Selain itu, adik beradik saya sedikit dan saya
tidak memiliki anak saudara. Jadi dunia
saya jauh dengan kanak-kanak kecil.
Tambahan pula adik-adik saya jarang menangis. Pernah sewaktu sedang membesar saya geram
sebab adik saya susah nak menangis sehingga saya mencubitnya bagi menangis
supaya saya boleh memujuknya. Apabila
dia membuat muka nak menangis, saya terus peluknya sambil gelak-gelak. Dia ketawa kembali. Senang sangat nak pujuk. Tak mencabar.
Saya lihat anak-anak orang lain punyalah selalu menangis. Mak sendiri mengaku menjaga kami tidak
mencabar sebab senang sangat. Jadi
apabila bertemu situasi bayi yang suka sangat menangis atau kanak-kanak yang
suka menjerit, saya takkan tahu nak buat apa.
Pernah la sekali mendukung bayi yang nak menangis sewaktu ibunya pergi
ambil wuduk. Dia diam. Yea, berjaya.
Tapi ini mungkin juga bayi yang berada dalam kategori senang nak
jaga.
Berikut merupakan contoh
latar belakang sosial saya. Hal ini
bertitik tolak dengan taaruf saya beramai-ramai dengan sahabat serumah. Baru saya tahu ada yang jenis suka suasana
tenang, suka suasana bising/ceria dan suka privasi. Setiap daripada kita berbeza bergantung
kepada latar belakang sosial kita. Saya
jadi individu yang memerhatikan perkara ini apabila sudah duduk dengan
sahabat-sahabat. Banyak masa pula
sekarang sebab dah habis belajar.
Pernah ada seorang kawan
yang kaki lawak apabila ditanyakan kenapa suka buat bising dan buat lawak? Dijawab,
di rumahnya suasana serius dan dia tidak suka suasana tersebut. Dia anak bongsu jadi normal apabila abang dan
kakak sudah dewasa dan jadi serius.
Kalau di rumah saya pun macam tu.
Adik bongsu tu selalu juga cuba melawak dengan abang kakaknya tetapi
alih-alih kena marah. Kesian… sebabnya dia tak pandai buat lawak. Dengan kawan-kawannya memang dia dikenali
sebagai pak lawak.
Sebabnya lawak bodoh
kurang diterima dalam keluarga Abdul Rahim.
Pernah suami sepupu saya datang ke rumah. Waktu tu mereka baru berkahwin. Jadi menjadi adat untuk membawa pasangan
berziarah ke rumah orang-orang tua untuk dikenalkan. Nak dijadikan cerita, sebab peel suami sepupu
saya suka buat lawak, dia terbuat lawak dengan saya.
“Suruh kucing tu belajar
ABC, baru dia pandai membaca.”
Saya tak jumpa kaitan statement dia dengan apa yang saya
katakan, jadi saya hanya melihatnya dengan berkerut dan terfikir “Lawak apakah
ini?” Nasib baik isterinya dan mak saya
ketawa walaupun saya tak tahu apa yang lawaknya. Jadi saya cuba menjauhinya sebab saya tak
gemar lawak bodohnya.
Tapi setelah lama-lama,
saya terbiasa dengan perangainya, saya jadi cepat proses lawaknya dan mampu
merespon. Macam itulah. Untuk menerima orang luar dengan latar
belakang sosial yang berbeza itu memerlukan masa. Samalah seperti sahabat-sahabat di rumah.
Ada yang pada mulanya
saya tidak biasa dengan sikapnya yang suka menyanyi tapi lama-lama saya pula
yang suruh dia menyanyi. Tapi adatlah,
bila disuruh manusia ni selalunya menolak sebab malu, tapi bila tak disuruh
itulah yang dibuat. Jadi senang sahaja
kalau sahabat kita ada sikap yang kita pelik macam menjerit, ketawa kuat-kuat,
menyanyi, berlakon, dan sebagainya. Pada
masa orang lain suruh dia berhenti, cuba kita dorong dia untuk buat. Lama-kelamaan dia tak nak buat pula. Tak tahu kenapa.
Perbezaan latar belakang
sosial ini boleh diselesaikan dengan kita mengambil amalan yang terbaik atau
dipanggil etika umum. Etika umum yang telah digariskan
dan dipelajari oleh semua orang;
1) adab bergaul
2) adab makan
3) adab bertandang/menziarah dll
)
Memanglah banyak kalau
nak digariskan. Kalau dalam adab makan
tu macam kalau;
- mengunyah hendaklah menutup mulut mengelakkan bagi membuat bunyi
sehingga mengganggu orang sebelah (pantang betul)- lagipun buruk muka kalau
kunyah tak tutup mulut (tak percaya cuba makan depan cermin dan lihat muka
sendiri),
-meletakkan tangan kiri di bawah sewaktu makan di meja makan bagi
mengelakkan teman sebelah merasa terganggu kerana dia juga menggunakan tangan kanan,
-meminta izin jika ingin beredar dahulu dari meja makan,
-tidak batuk atau
berkahak di meja makan,
-tidak merokok di tempat makan,
-tidak meletakkan sisa di
atas meja (rajin-rajin la ambil piring),
-tidak menyedut sup atau air dengan
kuat.
-Selepas makan basuhlah pinggan cawan sendiri- saya dapati orang lelaki cukup susah nak buat perkara begini. Konon itu kerja orang perempuan. Hey, adik-adik saya basuh pinggan sendiri ok. Bukan masalah itu kerja wanita, tapi masalah tak dididik. Sudahlah mak susah payah membeli barang masakan, menyediakan masakan, menghidang. Awak tu datang makan sahaja. Bukanlah kerja bendang atau kebun pun. Tidur jer di rumah kerjanya. Ini memang masalah sikap.
Apabila saya dan sahabat yang
belajar perkara ini dalam Ekonomi Rumah Tangga (ERT) semasa di Tingkatan 3 berhadapan dengan individu yang berbuat sebaliknya, ia agak
mengganggu sebenarnya.
Perkara ini telah
diterima oleh dunia etika kerana ia terbukti mengganggu orang sekeliling. Jadi kita perlu ada sikap ingin lebih baik
dalam apa sahaja yang kita lakukan agar meminimakan ketidakselesaan orang
terhadap kita. Perkara ini penting dalam
hubungan sesama manusia. Sebab kita tak
tahu dalam banyak-banyak manusia, ada yang jenis sensitif dengan
perkara-perkara kecil sebegini.
Memanglah kita tidak
mampu memuaskan hati setiap manusia. Tapi
dengan mempelajari dan mengamalkan sikap dan etika umum yang dilihat sebagai
terbaik dalam hubungan sesama manusia, kita akan memaksimumkan keselesaan orang
terhadap kita dan mendapat ekspresi baik. Ini juga mengelakkan dari bergaduh dengan suami atau isteri selepas berkahwin nanti.
Rata-rata sikap kecil ini yang menyebabkan keretakan rumah tangga. Bukanlah tidak dapat dielakkan tetapi masing-masing ego tak nak mengubah sikap. Ambillah sikap yang memang diiktiraf oleh masyarakat. Contoh ada suami isteri bercerai sebab si suami tak suka menutup lampu apabila keluar dari bilik air. Sebenarnya cuba fikir sikap terbaik yang diterima umum itu apa? Mestilah yang kalau keluar dari tandas tutup kembali lampu. Jadi berubahlah. Itu pun susah. Bukannya budak kecil nak dipesan selalu. Sikap orang dewasa yang berperangai seperti budak kecil inilah yang memang tak dapat nak ditolak-ansur.
Panjang saya
bersyarah. Tapi andai orang sekeliling
kita itu tidak mengamalkan juga nilai-nilai umum ini, anggap sahaja latar
belakang sosial dia berbeza sebab itu dia jadi macam tu.