Sunday, July 1, 2012

Janji Allah

Allah s.w.t dalam firmannya telah berjanji bahawa;

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)



Pertama kali saya mendengar ayat ini dari mulut ustazah, saya yakin, kalau kita hendak pasangan kita seorang yang baik, maka kita wajiblah menjadi baik.  Jangan berangan nak pasangan yang baik kalau kita sebaliknya.

Oleh itu, saya berpegang dengan ayat ini dan prinsip, kalau saya hendak seorang suami yang solat lima waktu cukup, maka saya haruslah menjadi orang sebegitu terlebih dahulu.  Kalau saya inginkan yang kerap bangun qiamullail, saya perlu terlebih dahulu menjaga qiam saya.  Kalau saya inginkan yang menjaga pergaulannya, saya perlu terlebih dahulu menjaga batas-batasnya.  Tapi saya tidak minta yang hafal 30 juzuk al-quran sebab saya tahu saya tak mampu nak buat.  Kalau Allah beri, itu adalah nikmat yang besar kepada saya.  Kalau saya inginkan yang hormat orang tuanya, maka saya pun perlu lebih-lebih lagi menghormati orang tua saya.  Saya membesar dengan berpegang kuat kepada janji Allah ini.  Allah tidak meletakkan sesuatu yang kita tidak dapat ubah.  Contoh, kalau kita nak yang hensem rupa paras, kita tidak boleh merubah muka menjadi cantik seperti tafsiran kita.  Kalau kita nak yang berketurunan Syarifah, kita tidak boleh mengubah keturunan kita.  Semua yang Allah letak memudahkan hamba-Nya.  Jadilah baik, dan kamu akan mendapat yang baik juga.  Allah bagi adil.  Jadi, SIKAP boleh diUBAH dan tolong jangan beri alasan.

Oleh itu, kalau saya sudah bersusah-payah menjaga pergaulan, hanya mampu melihat apabila wanita bergaul bebas dengan lelaki, bersenda-gurau tak cukup tempat menyebabkan saya dicop anti-lelaki, syadid, serius, garang, adakah saya perlu mengubahnya?  Tidak, sebab saya lakukan bukan untuk diri sendiri, tapi saya inginkan pasangan saya pun sebegini sebab saya tak sanggup lihat pasangan saya diusik oleh perempuan-perempuan asing, tak sanggup melihat dia bergurau-senda tak cukup tempat dengan perempuan asing.  Kerana nanti, apalah nikmat yang tinggal untuk saya sedangkan saya cuba sedaya-upaya menjaga diri demi Tuhannya dan dia.  

Kalau mendapat sebaliknya?  Itu hanya boleh dikatakan ujian oleh Allah jika setelah diijabkabulkan.  Tapi selagi belum diikat, kita semua masih boleh membuat pilihan.  Kita perlu yakin, jika kita hendak pasangan yang baik, maka kita perlu baik dahulu dan Allah akan beri yang baik.  Kalau kita  tak sanggup melepaskan sedangkan sikapnya langsung tidak mencerminkan kebaikan yang kita hendak kepada pasangan di mana kita sedaya upaya menjadi sebegitu, adakah kita sanggup hidup bergelumang duka dan nestapa dengan sikap tersebut?

Mak pernah cakap semasa mak masih anak dara, mak selalu berdoa selepas solat, mak minta Allah kurniakan seorang suami yang tidak meninggalkan solat (pada zaman tersebut, solat kurang dititikberatkan), kalau suami tersebut tidak menjaga solatnya, mak rela tidak berkahwin seumur hidup.  Doa mak dimakbulkan Allah.  Oleh itu, saya perlu lebih yakin berdoa selepas ini.  Saya tidak kisah kalau pasangan saya kurang serba-serbi harta, pangkat, paras rupa, tapi saya terlalu sensitif dengan bab-bab pergaulan dengan berlainan jantina.  Sangat sensitif sebab saya yakin kalau ada hamba Allah yang mampu menjaganya, kenapa tidak kita?  Apakah kita ni wakil rakyatkah sehingga perkara yang tidak perlu boleh dibualkan dengan berlainan jantina?  Saya memiliki ramai sahabat yang turut sensitif dengan perkara ini sehingga ada di antaranya lebih rela menolak lamaran lelaki-lelaki yang pada pandangan saya baik amalannya, tapi bagi mereka tidak menjaga pergaulan dengan wanita.  Kata salah seorang sahabat saya;

" Saya sedaya upaya menjaga pergaulan, saya tak sanggup terima pasangan yang tidak menjaga.  Sakit hati melihatnya,"

Sedangkan pasangan bukan Islam pun kalau melihat pasangannya bergaul mesra, bersenda gurau dengan orang lain turut makan hati, inikan pula kita umat Islam yang memang Allah perintahkan untuk menundukkan pandangan dan menjaga batas-batas pergaulan.  Kalau anda sanggup menerima pasangan yang terlampau ramah dengan semua orang tanpa mengira batasan, silakan... saya tak sanggup sebab saya cuba membatasinya selagi terdaya kerana saya mahu pasangan saya pun sebegitu.  Fatimah Syarha dalam penulisannya turut melihat kriteria ini dalam pemilihan bakal suaminya membuktikan perkara ini sangat serius sebagai kriteria pasangan tidak kira lelaki ataupun wanita.  Jika seseorang itu tidak baik untuk kita, maka Allah akan menunjukkan siapa dirinya yang sebenar di hadapan dan di belakang kita.  Thus, be brave in making a decision...its about our future... Kalau orang cakap, wanita tidak ada pilihan, saya tidak setuju.  Dalam hidup, sentiasa ada pilihan.  Cuma antara berani dan tidak sahaja untuk menanggung risiko pilihan tersebut.  dan jangan sesekali RAGU kerana JANJI ALLAH itu pasti...

Tribute  buat sahabat-sahabat yang masih mencari pasangan terbaik anda dan juga diri...

No comments: