Friday, July 20, 2012

Salam Akhir


19/7/2012 @ 29 Syaaban 1433 H

Langit Putrajaya gelap dan mendung bagai sedang menanggung kesedihan yang amat.  Waktu Nabila bertanya;

“Putrajaya ni dekat sangat dengan langit,”

Spontan saya membalas;

“Ye la, nanti kalau pemimpin banyak buat dosa, Allah timpa bala kat pusat pentadbiran dulu.”

Rupa-rupanya langit mendung dan sedih ada makna.

Walaupun hari ini kami mengadakan Perhimpunan Bulanan dengan Presiden, Tan Sri Shamsudin bersempena perpisahan dan persaraan beliau, ada satu lagi perpisahan yang memang tidak dirancang dan disangka-sangka melainkan hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sahabat sepraktikal saya kehilangan ayahnya pada jam 1.20 pagi.  Baru sahaja beberapa hari lepas ayahnya dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami serangan jantung.  Puncanya kerana memakan daging kambing.  Mereka keluar pada hari itu juga kerana ayahnya nak merujuk terus ke Institut Jantung Negara.  Dan beberapa hari itu juga apabila bersamanya, dia sering meluahkan kerisauan terhadap keadaan ayahnya.  Ayahnya tidak pernah mengalami serangan jantung lagi sebelum ini.  Dan petang kelmarin saya tidak perasan seorang lelaki separuh umur yang sedang duduk menunggu anaknya itu merupakan ayah rakan saya.  Sewaktu diberitahu rakan, baru saya perasan dan terdetik di hati ingin menyapanya dan bertanyakan keadaan kesihatan.  Tetapi, ayahnya sudah bergerak ke kereta. Masih terbayang-bayang air muka ayahnya yang kelihatan sedih dan termenung jauh sewaktu kami ke kaunter untuk punch card.  Takdir Allah, itu merupakan kali pertama dan terakhir saya bertemu ayahnya.  Saya tak dapat nak gambarkan dan ungkapkan perasaan sebuah kehilangan.  Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Sepanjang majlis berlangsung, fikiran saya terganggu.  Risau dengan keadaannya.  Sms takziah dari saya tidak dibalasnya.  Mengenangkan pelbagai cerita yang diceritakan mengenai ayahnya menambahkan lagi rasa sebak di dada.  Bagaimana ayahnya sentiasa memantaunya, memegang password Fbnya, pesanan-pesanan yang diberikan.  Keluarganya memang sangat bergantung dengan ayah mereka.  Dia kehilangan ayahnya sehari sebelum puasa… Teringat abah di kampung sekaligus teringat sewaktu abah masuk hospital kerana kencing manis.  Mak yang tidak dapat menahan rasa risau kehilangan abah sehingga bergenang air mata dan raut pucat wajah abah, menyebabkan air mata saya tumpah tanpa dapat ditahan.  Cadar hospital menjadi mangsa saya menyapu air mata dan menghembus hingus.  Abah yang terkejut terpinga-pinga;

“Laa..janganlah menangis,”

“Bukan menangis, air mata ni yang keluar sendiri.”

Rupa-rupanya Putrajaya turut menangisi pemergian ayah Fatin.  Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.  Ada yang tidak sempat menyambut Ramadhan sedangkan lagi sehari Ramdhan tiba, jadi kita?  Gunakanlah sebaiknya walau sesaat cuma..

Di hujung majlis, pasukan koir mempersembahkan lagu Salam Akhir dari Sudirman.  Sebak terasa.  Selepas dari pemergian ayah rakan saya, berturut-turut saya mendengar berita kematian dari beberapa orang rakan selepas itu.  Tiba-tiba semakin mendekati Ramadhan, semakin ramai yang tidak sempat menyambutnya.  Semestinya menjadi peringatan besar buat kita dan saya terutamanya andai Ramadhan kali ini datang bagi mengucapkan salam akhir buat saya.

2 comments:

Ana said...

Dari Allah kita datang dan kepadaNya jua kita kan kembali..Moga arwah dirahmati Allah..amiin

Unknown said...

innalillahi wa inna ilaihi rajiun.. moga roh ayahanda fatin mendapat rahmat dari-Nya.. moga fatin dan keluarganya tabah hadapi dugaan perpisahan ini..

*tetiba jd takut gak.. perlu siapkan tesis cepat!! nak balik puasa ngn abi umi kat umah T_T