Friday, March 25, 2011

Cerita Beliau...


Beliau itu...

Seorang yang sederhana sifatnya. Pakaiannya baju kemeja lengan pendek berkotak-kotak. Dengan hanya menaiki motosikal berjenama Honda,beliau menelusuri lebuh raya setiap pagi untuk menunaikan amanahnya pada anak bangsa.  Tidak mahu tersangkut dalam kesesakan lalu lintas katanya.  Kehadirannya selalu tepat pada masa. Kadang-kadang lebih awal dari pelajarnya.  Kadang-kadang terkejar-kejar saya ke kelas untuk menyaingi beliau. Tidak mahu dianggap pelajar yang tak beradab kerana tiba lewat dari guru. Sentiasa bersemangat untuk mendengar kuliahnya.

Beliau itu...

Tidak pernah meninggi diri dengan ilmu yang ada.  Bahkan ilmunya kadang-kadang lebih luas dari pensyarah yang memiliki pangkat Dr, Prof, dan Prof Madya.  Walaupun beliau hanya menggunakan  nota yang ditulis tangan untuk disalin pelajar hasilnya lebih dekat dengan pelajar berbanding teknologi sedia ada. Beliau mengajar untuk memahamkan bukan menyusahkan pelajarnya apatah lagi untuk sekadar melepaskan bato’ di tangga.  Di sela-sela kuliahnya, terselit unsur-unsur lawak yang tersirat 1001 makna yang mendalam.  Tidak mahu pelajarnya mengantuk di dalam kelas.  Bicaranya santai,gayanya mesra,gurauannya hidup,senyumannya manis bergula.

Beliau itu...

Selalu menyedarkan pelajarnya akan keadaan masyarakat sekeliling. Hujahnya bukan kosong semata-mata. Notanya lengkap dengan rujukan dan huraian yang jelas. Falsafah yang dibawakan mudah dicerna dan dihadam.  Contoh yang dibawakan mudah difahami.  Pendiriannya tidak berat sebelah bahkan dihuraikan dari aspek ilmiah.  Yang benar dikata benar, yang salah dikata salah.

Beliau itu...

Pernah menuntut di sebuah universiti di Indonesia.  Budaya bangsa Indonesia yang sarat dengan falsafah dalam bicara mereka mengenai kehidupan telah dihayatinya sehingga terpancar pada setiap bait bicaranya.  Saya akui saya cuba mencontohinya.  Menjadi seorang yang analitis dalam setiap apa yang saya lihat dan temui dalam hidup.  Cuba mencari dan menghuraikan falsafah di sebalik setiap cerita manusia.

Hari itu...beliau berbicara selepas selesai mengajar;

‘Semalam saya panas hati dengan orang rumah saya,’
‘Kenapa?’
‘Saya ada satu rak buku yang satu baris tu saya isi penuh dengan buku resepi.  Malam tu, saya cari satu buku ni tak jumpa, apalagi, saya kejutkan orang rumah saya yang tengah tidur waktu tu.  Saya tanya mana  buku resepi? Orang rumah beritahu kawannya pinjam.  Saya kata padanya, suruhlah kawan tu beli.’

Pecah gelak dalam bilik kuliah.  Jarang orang lelaki nak cerita tentang rumahtangga mereka.  Pada pandangan peribadi saya, beliau bukan bercerita dengan niat untuk memburuk-burukkan orang rumahnya, tapi dalam nada berseloroh.  Perkataan yang digunakan juga tidak keras seperti ‘panas hati’, ‘orang rumah’.  Ada orang cakap, kalau seseorang lelaki berceritakan mengenai orang rumahnya, itu tandanya dia menghargai isterinya.  Apabila kita terkenang-kenangkan seseorang, mesti kita akan menyebut mengenainya selalu.  Wallahualam. Kadang-kadang konflik itu manis apabila dikenangkan kembali.  Semestinya bukan konflik yang besar kot.  Oranglah kata, bukan saya kata.

Beliau ini sangat pakar dalam bidang masakan.  Selalu masak di kenduri-kenduri besar menunjukkan hubungan baiknya dengan masyarakat kampung dan kerendahan dirinya dalam bergaul.  Beliau pernah memasak 3 ekor lembu dalam masa yang sama dan 500 ekor ayam.  Musuh ketat beliau dalam bidang masakan ini ialah isteri beliau sendiri.  Sebabnya setiap kali beliau masak, isterinya mesti menyoal macam-macam dan kritik itu ini.  Sebab itulah setiap kali beliau masak, beliau akan melarang isterinya dari masuk ke dapur.  Ambil bau sahaja katanya.^^

Dalam bidang masakan ini, setiap tukang masak memiliki rahsia tersendiri dan jurus mautnya.  Itu kata beliau.  Sewaktu mereka memasak, orang lain tak boleh ganggu.  Nanti tak menjadi katanya.  Sebabnya cara meramu bahan-bahan itu terpulang kepada gaya, mutu, keunggulan tersendiri.  Memang kalau dilihat tukang masak kenduri ni memang tenaga pakarnya terdiri dalam kalangan lelaki.  Tetapi, kalau tak silap saya, kat Kelantan kaum wanita yang handle masak-memasak ni.  Kaum lelaki dia buat apa yer?  Saya tanya beliau;

‘Kalau rahsia tersebut tak dikongsi, nanti masakan akan datang akan jadi semakin tak sedap dan hilang kualiti. Camna tu?’

Sebabnya, kita lihat dalam dunia Melayu ni, kemahiran yang ada selalunya tak diwarisi atau generasi seterusnya tak berminat untuk mewarisi kemahiran tersebut.  ‘Ghenyoh’ katanya (susah) dalam loghat utara.  Akhirnya yang tinggal hanyalah sesuatu yang nilainya semakin kurang dari generasi ke generasi.  Saya pernah dengar, dalam dunia persilatan, kalau tok guru ada 10 kemahiran, dia hanya akan ajar anak muridnya 9 kemahiran.  Lagi satu dia tak ajar sebab takut anak murid pijak kepala.  Kalau macam tu ceritanya, maka sifirnya akan jadi,

Tok guru (pengasas)= 10 kemahiran
Anak murid (perintis 1)= 9 kemahiran
Anak murid (perintis 2)= 8 kemahiran

Akhir sekali, apa yang dapat kita lihat hari ini, silat jadi kurang kualitinya.  Tinggal bunga jer lah. Yang satu pula bahagi separuh, dan seterusnya. Mana pergi ilmu hilangkan diri, kebal, keris terbang, dan segalanya yang dulu pernah kita dengar?

Macam yang saya tonton filem Ninja Assassins  dengan seorang sahabat saya (ditakdirkan dia sedang menonton, saya tumpang tengok jer(-_-`)), babak akhir menayangkan dia berhadapan dengan sifunya. Satu lawan satu.  Memang seram tahap gaban time tu.  Tak pernah-pernah tengok cerita ganas camtu.  Ada satu ilmu yang sifunya tak ajar iaitu mengghaibkan diri.  Sifunya ada kata waktu tu, “Ada anak pun tak boleh diharap,” lebih kurang camtu menunjukkan memang dari dulu lagi dia tak percaya kat siapa pun.

Begitu juga dunia memasak, setiap tukang masak ada mentornya.  Apabila terjadi sesuatu perkara yang tak dijangka seperti gangguan makhluk halus yang menjadikan masakan tersebut bermasalah, beliau akan merujuk mentornya.  Tapi beliau cakaplah yang beliau tak lah sampai guna benda-benda terlarang dalam masakan ni.  Rahsianya terletak kepada cara meramu bahan-bahan tersebut.  Pernah satu hari mak minta saya buatkan air asam.  Kat utara, dengar jer air asam mesti kecur air liur.  Selalunya air asam mak buat memang sedap habis.  Waktu saya buat tu, saya campur semua bahan-bahan ikut kepala sendiri.  Disebabkan tak nak tangan rasa pijar pegang cabai (cili boh), saya guna sudu besi.  Abah tengok jer saya gaulkan dengan sudu besi, terus dia tegur.

‘Mana boleh guna sudu besi, gaul dengan tangan, rasa air tangan baru sedap.’

Yerlah, orang-orang tua ni alah bisa tegal biasa.  Heh. Tak nak. Last-last abah yang gaulkan.

Sekali lagi waktu saya ikut rombongan keluarga sahabat.  Disuruhnya saya buat air asam.  Waktu makan tu, adalah yang mengusik,

“ Baik-baik makan air asam tu, Ayu yang buat, entah doa apa dia baca, nanti rasa air tangan dia terus jatuh hati pulak.”

Dengan slumbernya saya cakap;

“ Jangan risau, Ayu gaul guna sudu besi.” Terdiam mereka. Tak jadi nak ngusik.

Rahsia memasak ini memang tak pernah dibocorkan kepada sesiapa hatta isterinya sendiri.  Beliau pernah bocorkan satu rahsia ini dan meminta isterinya merahsiakan rahsia tersebut.  Tapi, isterinya bocorkan juga dekat kawan-kawan.  Maka keluarlah statement;

‘Orang perempuan ni tak boleh percaya, bila jumpa kawan-kawan habis semua benda diceritakan,’

Hu, I cannot feel offended cause I agree with dat statement.  Kalau lihat cerita Keluarga 99 karya P.Ramlee, ada diselitkan perkara sebegini.  Bahayakan orang perempuan ni?  Jadi lebih baik jangan ambil risiko simpan rahsia.  Pernah suatu malam kawan saya datang dekat saya, dia nampak macam nak beritahu sesuatu;

‘Ayu, sebelum aku nak bagitau ni aku nak tanya hang. Hang boleh simpan rahsia tak?’
Saya cakap tak boleh.  Terus dia tak jadi beritahu. Lebih baik macam tu kot daripada menanggung perasaan nak cerita kepada orang lain.  Kalau orang tanya dahulu kan lebih baik, saya akan memberikan jawapan sebegitu.  Tapi selalunya yang berlaku adalah mereka menceritakan semua cerita mereka, kemudian di hujung kata-kata barulah diberitahu,
‘Jangan beritahu sapa-sapa tau, ni rahsia.’

Laaa...kalau dah rahsia, buat apa diberitahu kat saya.~  

Secara teorinya, ilmu kalau dikongsi bukankah akan bertambah? Saya yakin beliau bukanlah tidak mahu memberitahu rahsianya.  Bahkan mana-mana orang berilmu pun, bukanlah tidak mahu berkongsi ilmu mereka.  Tetapi mereka menanti orang yang betul-betul bersungguh hendakkan ilmu mereka barulah mereka akan bersifat terbuka.  Ilmu ini akan jadi berharga jika ianya payah untuk didapati.  Ilmuan dahulukala, hanya untuk mendapatkan ilmu sanggup meredah lautan dan mengembara tinggalkan kampung halaman demi secebis ilmu.  Kita yang senang-senang memperoleh ilmu ini kurang menghargai usaha guru kita.  Boleh pergi tidur dalam kelas pula. :( ~fikir-fikirkan di mana kita meletak nilai secebis ilmu itu...?

~al-islamu ya'lu wala yu'la 'alaih~

No comments: