Saya bukan seorang yang mampu berada dalam satu-satu majlis dalam tempoh yang lama. Sama ada saya tak pergi langsung, lari, buat-buat sakit atau buat hal sendiri. Orang cakap saya perosak majlis. Mungkinlah. Terutamanya majlis pernikahan. Sesetengah orang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menghadiri majlis pernikahan anak kepada mak angkat sepupunya. Ada pula yang sanggup mengaulakan majlis tersebut berbanding program-program lain. Bagi saya, saya kurang memberatkan majlis pernikahan walaupun melibatkan sepupu sendiri sehingga saya tidak mengenali pasangan sepupu masing-masing walaupun mereka sudah mempunyai dua orang anak. Abah cakap saya tak pentingkan adik-beradik. Mak saya cakap ada benda yang lebih penting yang perlu diutamakan. Seperti biasa, saya ikut nasihat mak. Kalau kenduri kakak, mungkin saya perlu bertahan. Mungkinlah~
Tapi ada satu majlis yang saya dapat bertahan sehingga ke penghujung. Majlis pengebumian. Kematian merupakan satu-satunya perkara yang jarang berlaku dalam keluarga besar saya berbanding perkahwinan. Untuk bulan-bulan yang akan datang sahaja, ada 5 majlis pertunangan atau pernikahan yang akan berlangsung dan satu pun saya tak boleh nak hadir. Mak sedara dah mula bising-bising minta saya turun juga jika lapang. Saya bukan tak nak turun, tapi takut nanti diserang virus nak berkahwin juga sedangkan perjalanan saya masih jauh. Kalau saya beri alasan ni pada abah, abah mesti respon “mengarut…” Mungkinlah~
Pada hari raya keempat, saya dapat berita pemergian bapa saudara sebelum zohor secara mengejut. Sebenarnya dah lama saya tak melihat dia. Lagipun dia seorang yang pendiam. Ada satu-satu masa dia pernah mengusik saya semasa saya kecil sampai saya terpaksa menyorok belakang kereta kerana takut dijumpai. Lelaki dewasa sangat menyeramkan. Itu sahaja memori yang saya ada dengannya. Pada hari raya kedua dia ada datang tapi saya tak sempat berjumpa. Sewaktu tiba di kediamannya di Jawi, saya bersalaman dengan Mak Jang saya yang kemudiannya mula sebak dan bergenang air mata sewaktu memeluk saya. Saya sebak tapi saya kawal. I was trying to look cool. Takkanlah saya nak menangis teresak-esak sedangkan Mak Jang masih tabah. Last-last saya lari ke belakang dapur. Seperti saya pula yang kehilangan suami. Saya sebak bukan kerana kehilangan Pak Jang, tetapi seperti memahami perasaan kehilangan orang tersayang. Pernah kehilangan Tok tempat bermanja pun saya dah tersedu-sedu, inikan pula pasangan hidup yang berkongsi suka duka selama berpuluh-puluh tahun. Sesetengah orang mungkin akan lemah seluruh badan atau pengsan. Tambahan pula, Pak Jang meninggal setelah jatuh sebab badan terlalu lemah lepas muntah-muntah sebab makan terlalu banyak. A sudden death.
Pak Jang meninggal sebelum zohor, seharusnya dikebumikan selepas Asar, tetapi disebabkan hendak menunggu dua orang anak lelakinya pulang dari KL dan Melaka, maka pengebumian ditunda ke pukul 10 malam. Di kiri kanan, mak cik-mak cik mula merungut dan bertanya kenapa lewat sangat jenazah disimpan, tak baik lewat-lewatkan dan bermacam-macam lagi. Kadang-kadang saya terfikir sebab itulah anak-anak perlu rajin-rajin menjenguk ibu ayah semasa hayatnya ada supaya tidak terkilan apabila tidak dapat melihatnya buat kali terakhir. Walaupun jemu, tapi itulah satu-satunya ibu dan ayah dunia akhirat kita.
Dari jenazah dimandikan, dikafan sehinggalah disembahyangkan, saya menjadi pemerhati yang setia di sudut dapur. Walaupun kurang sihat juga, saya cuba bertahan dengan meminum sebanyak-banyaknya Vitagen. Selepas jenazah diiring ke kubur, barulah kami bertolak balik. Kadang-kadang, selepas seseorang meninggal, kehilangannya tidak dirasai sangat sebab masih melihatnya terbaring seperti tidur. Namun, selepas beberapa hari dan kita bersendirian, mesti kita akan terkenang-kenangkannya. Begitulah yang akan dirasai oleh Mak Jang nanti. Sendirian di rumah tak ada teman bergaduh. Oleh itu, hargailah setiap detik bersama orang tersayang.
Pengalaman kita mungkin berbeza dalam menghadapi situasi sebegini, waima soal hidup, mati dan jodoh hanya Allah yang tahu. Mana tahu, hari ini tak nak kahwin, esoknya dah kahwin, hari ini sihat, esok tiada lagi. Konon perjalanan masih jauh, entahkan Allah pendekkan di tengahnya. Sebab itulah persediaan itu perlu untuk menghadapinya. Kematian lebih mendekatkan kita kepada Allah. Wallahualam~
p/s: Takziah buat Mak Jang sekeluarga. Al-fatihah~
2 comments:
Takziah...Al-Fatihah buat allahyarham mungkin juga hari ni kita berkawan, dan esok kawan kita dijemputNya. Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat dan kita hambaNya perlu redha..InsyaAllah, moga kita tabah.
insyaAllah Mun...klu ditakdirkn bgitu, hrap salah silap diampunkan...
Post a Comment