Apabila kita telah mengikat taat setia kepada sesuatu parti atau jemaah, maka secara tidak langsung tingkah laku kita akan dipengaruhi oleh parti tersebut. Setiap tutur kata, komentar dan keputusan yang dibuat adalah terikat dengan parti. Kita dikatakan telah mengidentifikasikan diri dengan parti atau mengikat jiwa dan emosi kita kepada parti. Kalau dalam pilihan raya, kita akan mengundi parti yang sama walau apa pun isu yang timbul. Isu tersebut akan dilihat dari sudut pandang parti dan bukan orang kebanyakan. Untuk menjelaskan mengenai tingkah laku pengundian ini, Teori Identifikasi Parti yang dibawakan oleh Campell dan rakan-rakan pada tahun 1950-an diaplikasikan. Bagi Franklin Jackson, beliau melihat mereka yang mengidentifikasikan diri dengan parti akan mengambil tahu mengenai parti, isu-isu dalaman serta personaliti calon yang ada dalam parti. Faktor identifikasi boleh terjadi disebabkan umur dan tahap kedewasaan. Itu bezanya kita dengan mereka yang berjanji taat setia dengan parti dan mereka yang hanya melihat dari luar.
Walau bagaimanapun, situasi yang berlaku di Amerika Syarikat, hanya satu pertiga dari penduduk Amerika mengaku mereka adalah dari parti Republikan atau Demokrat. Lagi dua pertiga penduduk tidak melihat diri mereka dari mana-mana parti. Hal ini menunjukkan berlakunya krisis taat setia dan kepatuhan kepada parti. Keadaan tersebut akan berlaku di Malaysia suatu masa nanti. In fact, its already happened. Bagi Parti BN atau khususnya UMNO, krisis kesetiaan semakin parah. Ada yang melompat parti, keluar parti dan menubuhkan parti lain. Selain itu rata-rata pengundi terutamanya anak muda tidak mahu mengaku mereka berpihak kepada mana-mana parti dan bersifat non-partisan. Mereka hanya memperjuangkan idealisme mahasiswa. Mereka akan mengundi parti yang akan memberi lebih banyak faedah kepada mereka. Thus, how to explain this kind of behaviour?
Tingkah laku pengundian di atas tidak boleh lagi menggunakan Teori Identifikasi Parti kerana pengundi tidak lagi melihat diri mereka terikat dengan mana-mana parti dan keputusan mereka tidak dipengaruhi oleh parti. Oleh itu, Anthony Downs menggunakan pendekatan Teori Pilihan Rasional untuk menerangkan tingkah laku ini. Pengundi akan membuat pilihan politik seperti mana membuat pilihan ekonomi iaitu pembeli akan mementingkan kos daripada kualiti barangan yang dibeli. Di sini, faktor isu memainkan peranan utama dalam mempengaruhi tingkah laku pengundi. Pengundi akan mengundi parti yang mampu memenuhi kehendak pengundi. Teori ini turut menjelaskan pengundi akan mengundi berdasarkan prestasi calon, isu-isu semasa dan imej calon. Bagi Catt (1995), pengundi akan mengundi berdasarkan fakta dan bukan emosi.
Jadi adakah dengan mengatakan jika kita mengikat diri dan berjanji taat setia kepada parti menunjukkan kita mengundi berdasarkan emosi dan butakan mata dan pekakkan telinga kepada fakta? Walau apa pun isu yang berlaku, kita tetap mengundi parti yang sama setiap kali pilihan raya atau dengan kata lain penyokong tegar. Tetapi kalau melihat undi berdasarkan fakta pula atau pilihan rasional, bagaimana kalau fakta tersebut dimanipulasi oleh parti yang dominan? Selain itu, jika tahap pendidikan, ilmu dan pengetahuan pengundi rendah, maka kesedaran tahap politik turut akan menjadi rendah menyebabkan mereka boleh jadi tersilap mengundi? Seperti mana pilihan ekonomi, boleh jadi pembeli membeli barang yang kosnya paling murah di sesuatu kedai, tanpa mengetahui barang tersebut lebih murah di satu kedai lain di sudut dunia?
Secara peribadinya, saya melihat perlunya pengundi atau rakyat mengidentifikasi diri dengan parti dan bukannya bersifat atas pagar. Apabila kita mengundi berdasarkan isu, isu seperti yang kita tahu boleh berubah sekelip mata dan boleh dimanipulasi oleh media. Memang mengundi berdasarkan fakta nampak seperti satu pilihan bijak dan tidak bersifat emosional, tetapi bagaimana kalau fakta tersebut disembunyikan dan akses kita kepada fakta hanya melalui TV hitam putih dan surat khabar hitam putih serta kedai kopi yang kopinya juga hitam putih? Namun apabila kita mempunyai parti, kita akan tahu mengenai matlamat perjuangan parti, mengikuti penjelasan oleh parti dan mengetahui personaliti calon-calon parti. Senang cakap, kambing apabila bersendirian boleh menjadi mangsa serigala berbulu kambing.
2 comments:
suka artikel ni.. lg cantik kalau ustazah boleh cantikkan ayat, ana nak masukkan dlm kolum website isiukm...
syukran...ana cuba touch up sket...insyaAllah
Post a Comment