Coklat Ferrero Rocher. Alunan instrumental Kenny G. Pemandangan malam di luar diterangi oleh samar-samar limpahan cahaya dari lampu jalan. Suasana apakah yang lebih baik dari ini untuk mencipta mood bagi mengulangkaji pelajaran?
Namun, baca sebaris tajuk, fikiran dibawa ke tempat lain. Baca lagi sebaris ayat, ada pula yang bertanya:
"Ayu, pernah tak jumpa lelaki yang suka tengok kasut perempuan?"
"Setakat ni tak pernah. Kenapa?"
"Lelaki tu dipanggil psikoseksual. Tapi kalau dia tengok kasut perempuan sebab nak beli kasut dekat isteri dia macam mana pula?"
Sudah diajak berfikir ke isu lain pula sedangkan saya cuba fokus isu hubungan antarabangsa. Melihat kepada tajuk Theoritical Soul Searching After the Rejection of the Constitution Treaty, teringat isu soulmate yang pernah dibangkitkan dan sudah lama ingin saya kongsi.
Oleh itu, bagi menghilangkan segala yang membengkak di benak, saya kongsi sedikit mengenai seorang pak cik yang dijumpai sewaktu Bulan Mesra Pelajar. Dia seorang jurutera dan sedang menemani anak lelakinya yang baru mendaftar di UKM di Kolej Tun Hussein Onn. Saya hanya menjadi pendengar sementara MPP Azidah yang lebih banyak bertanya.
Isu yang dibangkitkan adalah mengenai soulmate. Dengan penuh semangat sambil peluh mencurah-mencurah di dahi, dan gaya berdiri sambil meletakkan kaki sebelah ke atas kerusi, saya sedang cuba menafsirkan sama ada dia sedang berlagak macho di hadapan dua orang perempuan atau memang gayanya bercerita seperti itu. Bak kata iklan Dunhill, style, quality, excellent. Penuh dengan elemen-elemen maskuliniti yang kuat.
Daripada isi perbualannya yang berkisar mengenai zaman dia bercinta dengan entah berapa orang perempuan sebelum menemui isterinya, saya terfikir sambil cuba memproses ceritanya, apakah yang membuatnya percaya untuk menceritakan perkara peribadi sebegini kepada orang asing? Atau dia tak pernah menganggap perkara tersebut sebagai peribadi tetapi lebih kepada pencapaian tertinggi seorang lelaki. Berpengalaman bercinta dengan pelbagai jenis wanita. Ringkasnya, dia nak buktikan bahawa dia dulu seorang yang digilai wanita dan sekali petik, sepuluh yang datang tau. Tetapi saya tak lontarkan perkara sebegini kepada Azidah, sengaja disimpan.
Mengenai soulmate, menurut pemahaman pak cik ni, soulmate ialah orang yang kita boleh ceritakan apa sahaja perkara kepadanya. Soulmate itu tak semestinya adalah sesama pasangan yang berkahwin. Boleh jadi orang lain. Bagi dia, bekas kekasihnya yang kedua merupakan soulmatenya. Apabila bersama mereka boleh bercerita pelbagai perkara. Kiranya tidak akan pernah habis. Modal bercerita sentiasa ada. Contoh, menurut pak cik tu, kalau di hadapan mereka ada seekor semut sedang menjunjung makanan. Mereka boleh bercerita tentang semut tu sahaja sampai dua hari dua malam tak akan habis. Biar betul...kata saya dalam hati. Tiba-tiba terpacul soalan dari mulut saya;
"Macam mana dengan isteri pak cik?"
Dia terdiam sebentar. Kemudian, dengan mudahnya dia memberitahu dia tak merasakan sedemikian dengan isterinya. Mereka lebih banyak berdiam dan tidak ada modal untuk berbicara. Bercakap hanya mengenai perkara yang penting-penting sahaja. How could he make that kind of remarks towards his own wife? Dia menyatakan dia tak dapat bercerita tentang semut kepada isterinya seperti mana dia bercerita kepada bekas kekasih no-2. Apa guna pengalaman bercinta kalau digunakan untuk membandingkan isteri sendiri dengan orang asing?
Saya tak berpuas hati dengan tafsiran soulmate yang diberikan. Hakikatnya, saya tak tahu pun. Saya cuba merujuk beberapa kamus. Dalam Kamus Dwibahasa Edisi Kedua keluaran DBP, tidak ada istilah soulmate. Saya buka pula Kamus Pembaca terbitan Fajar Bakti. Tidak ada juga. Saya google definisi soulmate. Tidak ada definisi melalui sumber yang kukuh. Akhirnya, saya buka Oxford Advanced Learners's Dictionary. ADA.
soulmate>>>a person that you have a special friendship with because you understand each other's feelings and interests.
Hmm...kalau melihat kepada tafsiran ini, memang tak dapat dinafikan apa yang dirasakan oleh pak cik ini dan label yang diberikan kepada bekas kekasihnya itu betul. Tapi dengan cara membandingkan dengan isterinya dilihat tidak patut oleh seorang suami. Adakah itu yang dicari dalam kehidupan? Adakah cukup sekadar kriteria tersebut?
Untuk mudah fikir, saya anggap pak cik ini seorang yang merindui zaman muda dan ketidakterikatan kepada tanggungjawab sebagai ketua keluarga. BEBAS. Sebab itulah dia suka bersembang dengan budak-budak muda di tempat kerjanya dan memberikan tips-tips menarik untuk pasangan yang nak bercinta. Aduhai, satu pengaruh yang tidak baik.
Tapi biasalah, untuk mendapat sesuatu perlu berkorban sesuatu. Jadi, itulah moral of the story. Kiranya, soulmate ini hanya timbul dalam jiwa insan yang kekurangan keyakinan diri dalam mencapai sesuatu sehingga mereka mengharapkan ada seseorang yang sanggup menopup kekurangan tersebut dan mengerti bagi pihak mereka. Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang penting dan menjadi kriteria utama dalam pembinaan hubungan suami isteri.
Secara peribadinya, saya melihat soulmate adalan pasangan yang memiliki matlamat dan tujuan yang sama iaitu menuju redha Allah. Apabila dikaitkan dengan jiwa, maka perlunya kembali kepada matlamat perjalanan rohani tersebut yang pengakhirannya adalah ilallah...
"Wahai jiwa yang tenang . Kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas, dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredhaiNya. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Masuklah ke syurgaKu."
To cut it short, untuk dapat menjawab soalan peperiksaan lusa, awak perlu mengganti kembali masa yang awak buang ini dengan mengorbankan masa tidur.
No comments:
Post a Comment